Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan

Selasa, Oktober 10, 2023

Pejuang Palestin bedil 5,000 roket ke Israel


Beribu-ribu roket dilancarkan ke arah Israel dari Semenanjung Gaza pada waktu subuh semalam ketika pejuang Palestin menyelinap masuk ke Israel dengan sekurang-kurangnya seorang dilaporkan terbunuh.
Berbilang roket meluncur ke ruang udara dari pelbagai lokasi di seluruh wilayah Palestin itu selepas bedilan pertama berlaku pukul 6.30 pagi (waktu tempatan), lapor wartawan agensi berita AFP di Gaza.
Serangan itu berlaku susulan peningkatan keganasan selama beberapa bulan melibatkan konflik Israel-Palestin, manakala kematian di wilayah Tebing Barat yang diduduki Rejim Zionis mencecah angka yang belum pernah direkodkan selama bertahun-tahun.
Sementara itu, siren kecemasan bergema di selatan dan tengah Israel dengan tentera menggesa orang ramai berpindah ke pusat-pusat perlindungan bom.
Wartawan AFP di Baitulmuqaddis mendengar beberapa roket dipintas sistem anti peluru berpandu ‘Kubah Besi’ selain bunyi siren di seluruh bandar yang lebih kuat berbanding mana-mana konflik sejak tiga tahun lalu.
Pejuang Palestin mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan udara itu, dengan mendakwa bahawa pihaknya telah melancarkan lebih 5,000 roket. 
Akhbar The Guardian melaporkan, sebagai tindak balas kepada serangan yang mengejutkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Israel telah mengisytiharkan ‘situasi  perang’.
“Sebilangan pengganas telah menyelinap masuk ke wilayah Israel dari Semenanjung Gaza,” kata IDF dalam satu kenyataan sambil menambah, penduduk di sekitar Semenanjung Gaza diarahkan untuk tinggal di rumah mereka. 
– AFP/Agensi

Selasa, Ogos 08, 2023

Lumi News sediakan liputan menyeluruh PRN 2023


Pilihan Raya Negeri 2023 (PRN 2023) yang akan datang, aplikasi agregator berita pertama Malaysia Lumi News, memperkenalkan beberapa ciri baharu bagi membantu rakyat Malaysia mengikuti perkembangan terkini sepanjang musim pilihan raya.

Salah satu ciri baharu yang menarik ialah fungsi Chat yang membolehkan pengguna berinteraksi antara satu sama lain dalam masa nyata sambil menonton ceramah secara langsung atau mengikuti keputusan pilihan raya.

Ini adalah cara terbaik untuk berkongsi idea dan pendapat dengan pengguna lain serta merasai suasana negara ketika pilihan raya berlangsung.

Pengundi juga berpeluang untuk bersembang dengan profil yang disahkan di aplikasi, termasuk Syed Saddiq, Hannah Yeoh dan pembaca berita veteran, Charles Mohan.

Selain itu, Lumi News turut menampilkan siri News Stacks eksklusif oleh beberapa tokoh politik Malaysia terkenal termasuk Tun Mahathir, Rafizi Ramli, dan Hannah Yeoh.

Kandungan eksklusif ini bakal menghubungkan pengguna dengan perkara yang difikirkan dan dirancang oleh ahli politik dan pandangan mereka tentang pilihan raya yang akan datang.

Pada hari pengundian, Lumi News akan menyediakan liputan langsung keputusan pilihan raya, dengan pecahan terperinci kiraan undi mengikut parti dan negeri.

Pengguna juga boleh menyediakan pemberitahuan tersuai untuk menerima kemas kini tentang keputusan bagi negeri pilihan mereka.

Antara muka estetik, mudah difahami

Aplikasi ini telah memperkenalkan dua antara muka utama ke halaman keputusan iaitu terperinci dan keseluruhan yang mana gambaran keseluruhan akan memaparkan parti-parti terkemuka untuk semua enam negeri.

Manakala, paparan terperinci menampilkan pecahan kiraan pengundian bagi setiap gabungan yang bertanding.

Walau bagaimanapun, kedua-dua antara muka akan membawa kepada paparan mod Perlumbaan yang mana rakyat Malaysia dari semua peringkat umur dapat mengetahui gabungan mana mendahului hanya dari satu pandangan.

Ketiga-tiga bentuk pengiraan keputusan (Keseluruhan, Terperinci dan Mod Perlumbaan) akan sentiasa dikemas kini, membolehkan pengguna melihat kiraan undian masa nyata secara langsung menerusi aplikasi Lumi News.

Dengan liputan yang komprehensif, ciri-ciri yang menarik dan antara muka yang mudah digunakan, Lumi News ialah sumber utama untuk rakyat Malaysia yang ingin membuat undian termaklum.

Muat turun aplikasi Lumi News secara percuma di Google Play StoreApple App Store dan Huawei AppGallery

Khamis, Julai 20, 2023

Bank pusat Singapura rugi RM107 bilion dalam usaha bendung inflasi

 


Bank pusat Singapura mencatatkan kerugian bersih terbesar dalam sejarah AS$23 bilion (RM107 bilion) pada tahun kewangan terkini ketika ia mengetatkan dasar monetari bagi membendung lonjakan inflasi.

Ia turut memberikan amaran bahawa ekonomi negara itu masih berdepan ketidaktentuan.

Bank-bank pusat di seluruh dunia melaksanakan usaha untuk membendung kesan kenaikan harga susulan pencerobohan Russia ke atas Ukraine tahun lalu sehingga menjejaskan bekalan minyak dan gas.

Dalam pada bank-bank pusat lain menaikkan kadar faedah bagi membendung kenaikan itu, Singapura, yang mengimport kebanyakan daripada barangan keperluannya, mengukuhkan mata wang tempatan untuk menjadikan barangan import lebih murah.

Bagaimanapun, langkah itu menyebabkan kehilangan besar rizab asing rasminya, kata Pengarah Urusan Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Ravi Menon.

"MAS mencatatkan kerugian bersih S$30.8 bilion (bagi tahun kewangan berakhir Mac), mencerminkan kesan mengetatkan dasar monetari untuk menurunkan inflasi," katanya pada penerbitan laporan tahunan bank pusat itu.

"Ia kerugian terbesar pernah direkodkan MAS," katanya.

Beliau berkata, 70 peratus daripada kerugian itu, atau S$21.4 bilion, berpunca daripada kesan negatif mata wang daripada nilai dolar Singapura lebih tinggi.

30 peratus lagi kerugian berpunca daripada perbelanjaan faedah bersih MAS, daripada operasi pasaran wang bagi menghapuskan lebihan kecairan dalam sistem perbankan.

Menon berkata, inflasi dengan jelas sudah mencapai tahap kemuncak dan dilihat menjadi sederhana.

Inflasi teras turun mendadak daripada kemuncak 9.1 peratus pada Jun 2022 kepada 3.6 peratus pada Mei 2023, katanya.

Beliau berkata, prospek pertumbuhan bagi Singapura 'berkurangan' dan ekonomi negara itu akan beroperasi sedikit di bawah kapasiti sedia ada, pada ketika dua tonggak ekonomi utama iaitu pembuatan dan perkhidmatan kewangan, tidak berkembang sejak beberapa suku kebelakangan ini.

"Pertumbuhan kekal lemah dalam jangka terdekat," katanya.

Kementerian Perdagangan pada Mei lalu mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Singapura antara 0.5 hingga 2.5 peratus tahun ini.

Sumber dari AFP

Selasa, Julai 04, 2023

OCBC perkenal logo baharu

 


Logo OCBC Bank (Malaysia) Bhd (OCBC Bank) dan OCBC Al-Amin Bank Bhd (OCBC Al-Amin) diperbaharui sebagai sebahagian usaha seluruh Kumpulan OCBC untuk menyatukan jenama di semua pasaran terasnya.

Langkah itu bertujuan mengukuhkan pendekatan 'One Group' atau 'Satu Kumpulan' yang disusun OCBC untuk memanfaatkan peluang besar di rantau ASEAN-Greater China.

Dengan tumpuan lebih khusus terhadap ASEAN-Greater China, Kumpulan OCBC yang berpangkalan di Singapura bercadang menggiatkan pertumbuhan dan menjana hasil tambahan bernilai S$3 bilion menjelang 2025, selain daripada pertumbuhan semasa yang dicatatkannya.Kali terakhir logo OCBC diperbaharui adalah pada 1998.

Kali terakhir logo OCBC diperbaharui adalah pada 1998.

"Walaupun dimodenkan, logo itu mengekalkan ikon kapal layar Cina klasik terkenal yang melambangkan jenama OCBC.

"Logo ini mencerminkan semangat keusahawanan pengasas OCBC dalam usaha gigih mereka menceburi pasaran ASEAN untuk membina rumah dan perniagaan yang membawa manfaat kepada insan dari generasi ke generasi.

"Simbol mercu jaya ini telah dipaparkan dalam setiap versi logo sejak bank diasaskan pada 1932," kata bank itu dalam satu kenyataan.

Sejajar dengan logo diperbaharui itu, satu cogankata baharu juga telah dilancarkan, iaitu 'For now, and beyond' atau 'Untuk masa kini dan selanjutnya'.

Cogankata baharu itu mencerminkan tunjang OCBC untuk sentiasa mengambil pendekatan jangka panjang dalam semua urusan dan pelaburannya, dan komitmen bukan saja kepada masa kini tetapi juga masa depan dengan impak berpanjangan demi dunia yang lebih baik.

Jenama disatukan itu mencerminkan komitmen OCBC untuk memanfaatkan kekuatan bersama rangkaian menyeluruhnya, dan juga keupayaan 'One Group' dalam bidang perbankan, pengurusan kekayaan dan insurans, bagi menyokong aspirasinya yang kini merentasi sempadan dan juga mendorong pertumbuhan perniagaan dan individu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan OCBC, Helen Wong, berkata aliran perniagaan antara ASEAN dan Greater China bukan sesuatu yang baharu, sesungguhnya kumpulan perbankan itu mengiktiraf potensinya.

Beliau berkata, selama ini, pihaknya telah membina francais yang kukuh dan memantapkan kedudukan bank untuk memanfaatkan alirannya.

Katanya, kesan pembukaan semula China selepas pandemik, dan kebangkitan ASEAN bagi melaksanakan strategi China campur satu dan faktor geopolitik lain telah mengukuhkan lagi potensi berkenaan.

"Jenama disatukan yang kami lancarkan hari ini menandakan satu lagi langkah strategik yang mengukuhkan pendekatan 'One Group' kami, sebagai satu daripada lapan tunggak teras strategi korporat yang diperbaharui pada 2022.

"Malah, usaha ini juga mengukuhkan komitmen kami kepada pelanggan apabila mereka berurusan dengan bank kami, mereka memanfaatkan kekuatan tergabung Kumpulan OCBC untuk menyokong mereka dengan lancar merentasi pasaran," katanya.

Wong berkata, dengan pendekatan 'One Group' itu, francais komprehensif ASEAN-Greater China dan juga tawaran dwipusat yang terdiri daripada Singapura dan Hong Kong kini semakin menarik.

Beliau berkata, di ASEAN, OCBC berkhidmat kepada tujuh pasaran utama menerusi anak-anak syarikat perbankan dan insurans yang ditubuhkan di dalam negara, dan cawangan dan pejabat bank, yang menyumbang kepada 98 peratus daripada pertumbuhan ekonominya di rantau ini.

"Di Greater China, kami mempunyai kira-kira 4,500 kakitangan yang berkhidmat di 67 cawangan meliputi 17 bandar raya di China, Hong Kong, Macau dan Taiwan yang disokong oleh pakatan kukuh kami dengan Bank of Ningbo.

"Justeru, kami yakin bahawa kami dapat menjana hasil tambahan berjumlah S$3 bilion menjelang 2025 menerusi tumpuan kami terhadap ASEAN-Greater China," katanya.

Mengenai pembaharuan jenama itu, Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Tan Chor Sen, berkata langkah itu menekankan lagi kelancaran operasi OCBC Group di semua pasaran termasuk Malaysia.

"Sejarah kami beroperasi selama ini di Malaysia, iaitu sejak 1917, telah membolehkan kami mengukuhkan kedudukan kami sebagai rakan kerjasama yang dipercayai kepada komuniti di sekeliling kami.

"Sejak dulu lagi, kami menghargai nilai yang dilihat oleh orang ramai dalam jenama kami, tujuan mereka berurusan dengan bank kami dan kepercayaan yang mereka letakkan dalam nama kami.

"Kami ingin meneruskan dan membina kepercayaan yang diberikan kepada kami pada masa kini dan masa depan," katanya.

Sumber : Berita Harian

Selasa, Jun 27, 2023

Sultan Terengganu berkenan bubar DUN 28 Jun 2023

 


Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara rasmi pada 28 Jun 2023.

Pembubaran DUN Terengganu bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diperkenankan di bawah Fasal 44 (2), Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Pertama).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata berdasarkan peruntukan itu, Sultan Mizan boleh memberhentikan atau membubarkan DUN bagi membolehkan PRN diadakan.

Dengan pembubaran itu, katanya, kerajaan negeri kini berperanan sebagai kerajaan sementara.

"Tuanku Sultan sudah memperkenankan tarikh cadangan pembubaran DUN seperti dipersembahkan pagi ini," katanya melalui kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS mengadap dan persembahkan dokumen serta tarikh cadangan pembubaran DUN negeri bagi memberi laluan kepada PRN.

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang memasuki pintu pagar utama Istana Syarqiyyah di Chendering, kira-kira jam 8.38 pagi dan keluar pada jam 9.18 pagi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PAS berjaya menguasai 22 kerusi daripada 32 kerusi DUN, manakala 10 lagi kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN).

Kerusi DUN dimenangi BN adalah Kijal, Bukit Besi, Telemong, Seberang Takir, Batu Rakit, Langkap, Permaisuri, Kuala Besut, Jertih dan Hulu Besut.

Selain Terengganu, PRN turut membabitkan lima negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Difahamkan, dokumen pembubaran DUN negeri yang diperkenankan Sultan Mizan akan diserahkan kepada Yang Dipertua DUN, Datuk Yahaya Ali untuk dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

Sumber : Berita Harian

Khamis, Jun 22, 2023

Jalan baru di Raub dibuka 25 Jun 2023

 


Projek Lingkaran Tengah Utama bagi pakej 5B dan sebahagian pakej 5A dekat Raub, akan dibuka pada Ahad depan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata projek berkenaan disiapkan lebih awal berbanding jadual asal pada Disember ini.

Katanya, laluan itu dipercepat berikutan jalan berkenaan akan dilalui kira-kira 500,000 kenderaan sama ada penduduk Kelantan dan Pahang pada Aidiladha ini.

"Bagi pakej 5A dan 5B membabitkan 17 kilometer (km) itu, pengguna akan susur keluar di persimpangan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Raub sekali gus mampu menjimatkan masa sekitar 40 minit.

"Laluan berkenaan sepatutnya siap lama lagi, namun mengambil kira kepulangan perantau pada Aidiladha ini, saya meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya percepatkan projek ini.

"Alhamdulillah dapat dipercepatkan dan laluan ini boleh dibuka pada 25 Jun ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-44 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Kelantan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi PKMM Kelantan, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz.

Sumber : Berita Harian

Khamis, Februari 23, 2023

6 negeri bubar DUN dua minggu terakhir Jun 2023


 

Enam negeri mencapai persetujuan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tempoh dua minggu terakhir Jun ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) masing-masing.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata kesepakatan itu dicapai dalam satu pertemuan antara enam Menteri Besar serta Ketua Menteri di ibu negara.

"Kami berenam mengambil kesempatan minum petang di Kuala Lumpur sempena Mesyuarat Majlis Raja Raja (MRR) yang bersidang dua hari.

"Secara ringkas kami mencapai kata sepakat untuk mempertimbangkan pembubaran DUN masing-masing dalam dua minggu terakhir Jun 2023," katanya di Facebook 

Selain Amiruddin, turut bersama dalam pertemuan itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Selain itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Amirudin berkata, persefahaman sudah pasti akan dimaklum serta dibincangkan di peringkat parti masing-masing sebelum dipersembah bagi tujuan perkenan Sultan, Yang Dipertuan Besar serta Tuan Yang Terutama Negeri masing-masing.

"Semoga persefahaman ini dapat mempermudahkan usaha rakyat untuk merayakan demokrasi kelak, Insya-Allah," katanya.

Mengambil kira tempoh masa pembubaran itu, PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu serta Kelantan dijangka diadakan pada Julai atau Ogos ini.

Tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan kini dibawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), sementara Terengganu, Kedah dan Kelantan, dibawah teraju Perikatan Nasional (PN).

PRN itu perlu diadakan memadangkan tempoh mandat DUN di enam negeri berkenaan akan berakhir pertengahan tahun ini.

Sumber : Berita Harian

Khamis, Februari 16, 2023

SSM perkenal dua inisiatif baharu

 


Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memperkenalkan dua inisiatif baharu bagi membantu meringankan beban kewangan syarikat dan membantu komuniti korporat meneruskan perniagaan dalam persekitaran yang mencabar.

SSM dalam satu kenyataan menyebut, inisiatif pertama membabitkan pengurangan kompaun sebanyak 90 peratus daripada nilai asal ke atas syarikat yang berstatus 'dissolved' (lupus) di bawah Akta Syarikat 1965.

Pelaksanaan inisiatif ini bertujuan meringankan beban kewangan pengarah dan syarikat yang sudah ditutup.

Inisiatif kedua pula, membabitkan pengurangan kompaun sebanyak 90 peratus daripada nilai asal kompaun bagi semua kesalahan lazim di bawah Akta Syarikat 2016.

Pengurangan kompaun ini diberikan kepada syarikat selepas pematuhan terhadap kegagalan atau kesalahan yang diambil tindakan oleh syarikat.

Ia hanya diberikan bagi kesalahan lazim di bawah Seksyen 68(1), Seksyen 248(1), Seksyen 258(1), Seksyen 259(1), Seksyen 340(1), Seksyen 30(1) dan Seksyen 30(2) Akta Syarikat 2016.

"Diharapkan pelaksanaan inisiatif ini dapat membantu komuniti korporat untuk meneruskan perniagaan dalam persekitaran perniagaan yang mencabar," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, mengumumkan tiga inisiatif pengurangan kompaun bagi 2023 untuk membantu pemulihan ekonomi negara pascapandemik COVID-19.

SSM menerusi kenyataan itu juga menyebut, pihaknya akan meneruskan enam inisiatif sedia ada.

Antaranya, pengurangan kompaun sebanyak 90 peratus daripada nilai asal kompaun bagi semua kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965, bagi memastikan data yang disimpan berhubung entiti syarikat dalam pendaftaran SSM adalah terkini, selain mendorong syarikat mematuhi amalan tadbir urus terbaik khususnya serah simpan Penyata Kewangan serta maklumat terkini di SSM.

SSM juga melanjutkan tempoh masa pendaftaran SSM BizTrust secara percuma sehingga 31 Disember 2023 dan memperluaskan penggunaan Kod QR SSM BizTrust kepada entiti Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) berdaftar yang boleh diperoleh secara automatik.

Selain itu, SSM meneruskan pelaksanaan inisiatif Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP), untuk menawarkan pendaftaran perniagaan secara percuma kepada usahawan kumpulan B40 dan pelajar Institut pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa.

Menurut SSM, syarat SPPP diperluaskan kepada pasangan suami dan isteri usahawan B40, tahun ini .

SSM juga meneruskan pelaksanaan Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P), yang menyediakan pendaftaran dan pembaharuan perniagaan secara percuma bagi menggalakkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menceburi bidang perniagaan secara sah.

Selanjutnya, SSM meneruskan cadangan pindaan bagi menambah baik peruntukan di bawah Akta Syarikat 2016, berkaitan mekanisma penyelamat korporat dan skim kompromi atau perkiraan.

"Penambahbaikan serta pindaan ini akan membolehkan syarikat yang menghadapi masalah kewangan memohon proses rehabilitasi korporat yang bersesuaian supaya syarikat boleh terus beroperasi.

"Inisiatif ini penting untuk membantu sektor korporat yang menghadapi masalah kewangan, terutama sekali akibat daripada kesan pandemik COVID-19 untuk kekal beroperasi dan menjana ekonomi negara," katanya.

Inisiatif seterusnya, SSM akan meneruskan cadangan untuk memperkenalkan peruntukan berkaitan mekanisma penyelamat korporat di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012.

Sumber : Berita Harian

Rabu, Februari 15, 2023

Integrasi sistem mySIKAP wujud sejak 2007 - JPJ


Proses integrasi pangkalan data sistem mySIKAP Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama pihak berkuasa lain sudah wujud sejak 2007.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim, berkata proses penyepaduan pangkalan data mySIKAP membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Pendigitalan ini adalah projek rintis dan kita akan memastikan usaha penambahbaikan akan dilakukan secara berterusan dalam inisiatif pendigitalan JPJ ini.

"Perkara ini demi memastikan keberkesanannya agar sentiasa memberikan manfaat yang signifikan kepada negara dan rakyat," katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, baru-baru ini yang menggesa Kementerian Pengangkutan (MOT) menjalankan kajian mendalam mengenai pendigitalan lesen kenderaan bermotor atau cukai jalan dan lesen memandu sebelum memutuskan pengguna jalan raya tidak perlu mempamerkannya.

Musa berkata masalah mungkin timbul dalam penguatkuasaan undang-undang jalan raya berkaitan cukai jalan dan lesen memandu digital.

Beliau turut mempersoal bagaimana PBT dan PDRM menjalankan penguatkuasaan sekiranya mereka tidak mempunyai akses kepada pangkalan data lesen digital JPJ.

Sementara itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM dalam satu kenyataan, baru-baru ini berkata JSPT boleh melaksanakan penguatkuasaan melalui semakan integrasi dengan sistem mySikap JPJ atau paparan kod QR.

Semakan nombor kenderaan dan nombor pengenalan boleh dibuat menggunakan peralatan Mobile Computerized On-Line Payment System (MCOPS) yang dibekalkan kepada pasukan itu.

JSPT turut menyambut baik kaedah pendigitalan membabitkan lesen kenderaan motor (e-LKM) dan lesen memandu Malaysia (e-LLM) melalui platform Portal Awam JPJ serta aplikasi mobile MyJPJ yang diperkenalkan MOT melalui JPJ itu.

Selaras inisiatif itu, katanya individu kenderaan persendirian hanya perlu menunjukkan lesen kenderaan motor atau lesen memandu melalui aplikasi tanpa menunjukkan dokumen fizikal.

Sumber : Berita Harian

Ahad, Januari 29, 2023

Henti budaya beri amaran kepada guru yang mengkritik' - Fadhlina


 

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, mahu budaya memberi amaran kepada guru yang menyuarakan kebimbangan berhubung sesuatu isu menerusi media sosial dihentikan dengan segera.

Beliau berkata, ruang kritikan konstruktif penting sebagai proses semak dan imbang, mengikut saluran.

"Saya dimaklumkan guru pendidikan khas, Hasmadi Hamdan, diberi amaran oleh pegawai kerana mengkritik di media sosial.

"Saya mohon dihentikan budaya ini dengan kadar segera. Pendekatan administratif yang baik hanya boleh dicapai apabila wujud ketelusan di peringkat bilik darjah, sekolah dan pejabat pendidikan," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Fadhlina menambah, guru pendidikan khas adalah barisan hadapan dalam membangun konsep madani dalam pendidikan khas.

"Kebimbangan beliau adalah kebimbangan saya.

"Adab berbeza pandangan yang sentiasa meletakkan kepentingan serta kebajikan murid-murid, guru dan tonggak profesionalisme yang memandu penjawat awam," katanya.

Bersama kenyataan itu, Fadhlina berkongsi hantaran Hasmadi yang memuatkan naik surat terbuka kepadanya berhubung isu pendidikan negara pada Isnin lalu.

Melalui hantaran itu, Hasmadi menggesa Menteri Pendidikan dan Kementerian Pendidikan (KPM) mengutamakan kepentingan dan kebajikan guru serta murid ketika memutuskan dasar-dasar utama pendidikan.

"Dalam hal Pendidikan Khas, hanya guru Pendidikan Khas yang lebih faham bagaimana menguruskan murid berkeperluan khas (MBK) di peringkat Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) atau sekolah pendidikan khas.

"Justeru, sumber maklumat menteri mestilah datang dari guru PPKI dan sekolah pendidikan khas juga, bukan sekadar Bahagian Pendidikan Khas di KPM atau Sektor Pendidikan Khas Negeri," katanya.

Sumber : Berita Harian

Sabtu, Disember 17, 2022

Tragedi tanah runtuh Batang Kali


 

Seramai 51 individu dewasa dan 30 kanak-kanak mendaftar untuk bermalam di tapak perkhemahan ​​​​di ​Father's Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali, yang mengalami tanah runtuh, awal 16 Disember 2022.

Perkara itu dinyatakan individu bertanggungjawab di tapak perkhemahan terbabit yang hanya ingin dikenali sebagai Chang.

"Jumlah itu terdiri daripada mereka yang telah mendaftar di tapak perkhemahan," katanya kepada BERNAMA ketika dihubungi.

Bagaimanapun, beliau tidak pasti jik ada kanak-kanak berusia bawah empat tahun di tapak perkhemahan kerana mereka tidak perlu mendaftar dan hanya kanak-kanak berumur antara empat hingga 12 tahun perlu mendaftar.

Chang berkata, mereka yang berkhemah kebanyakannya mempunyai pertalian keluarga dan tidak membabitkan kumpulan pelajar atau universiti.

Laporan awal media menyebut kira-kira 100 orang berada di tapak perkhemahan itu yang dikhuatiri terperangkap dalam kejadian tanah runtuh berketinggian 30 meter berhampiran ladang organik berkenaan.

Setakat jam 11 pagi tadi, seramai 53 mangsa telah dibawa keluar dari tempat kejadian manakala sembilan orang disahkan maut dalam kejadian itu.

Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan di lokasi kejadian. – BERNAMA

Isnin, Disember 12, 2022

Pengasas Public Bank meninggal dunia


Tokoh perbankan yang juga Pengasas dan Emeritus Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow meninggal dunia 10.20 pagi tadi pada usia 92 tahun.

Mendiang adalah antara individu penting dalam pembangunan institusi kewangan di Malaysia dan individu keempat terkaya di Malaysia berdasarkan senarai Forbes dengan nilai kekayaan sebanyak RM26 bilion.

Hong Piow memulakan kerjaya perbankannya pada tahun 1950 sebagai kerani bank di Overseas-Chinese Banking Corporation Ltd sebelum dinaikkan pangkat kepada pegawai dalam tempoh lima tahun. 

Kemudian beliau menyertai Malayan Banking Bhd sebagai pengurus pada 1960 sebelum pada 1964 dinaikkan pangkat ke jawatan Pengurus Besar pada usia 34 tahun.

Hong Piow kemudian meninggalkan Malayan Banking untuk menubuhkan Public Bank pada 1965. 

Sejak itu, beliau telah menyelia evolusinya menjadi sebuah institusi kewangan moden dan bersepadu dengan rangkaian luas lebih 200 cawangan domestik dan di luar negara.

Mendiang kini merupakan Pengerusi Emeritus, Pengarah dan Penasihat Kumpulan Public Bank. 

Beliau juga memegang jawatan utama dalam pelbagai organisasi seperti Yayasan Awam, Malaysia dan LPI Capital Bhd.

Hong Piow dilahirkan di Singapura pada 14 Mac 1930 dan mengikuti pendidikan formal rendah dan menengah di Sekolah Cina Anglo di Singapura. 

Beliau berkahwin dengan Puan Sri Datin Sri Tay Sock Noy sejak 1956 dan mereka dikurniakan empat orang anak.

Public Bank antara bank utama di Malaysia dengan mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM1.59 bilion bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022, meningkat 16.8 peratus daripada RM1.36 bilion setahun sebelumnya.

Prestasi yang bertambah baik ini didorong terutamanya oleh pendapatan faedah bersih yang lebih tinggi sebanyak RM338.1 juta dan elaun rosot nilai pinjaman yang rendah sebanyak RM228.5 juta, sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan operasi lain yang lebih tinggi berjumlah RM101.5 juta.

Hasil turut meningkat kepada RM5.50 bilion daripada RM4.81 bilion sebelumnya.

Untuk tempoh sembilan bulan, keuntungan bersih bank itu meningkat 3.0 peratus kepada RM4.40 bilion daripada RM4.27 bilion disebabkan caj cukai tambahan daripada cukai kemakmuran sekali sahaja dalam tempoh semasa, manakala hasil melonjak kepada RM15.36 bilion daripada RM14.76 bilion.

Sumber : Berita Harian

Selasa, November 29, 2022

Safawi Rasid sah bergelar suami Syifa Melvin

 


Dengan sekali lafaz, pemain bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid selamat bernikah dengan wanita pilihan yang juga pempengaruh popular, Syifa Melvin sekitar pukul 8.46 malam tadi.

Pasangan itu dinikahkan oleh Ustaz Khairil Nizam sambil disaksikan oleh bapa Syifa sendiri iaitu Amirol Melvin Abdullah.

Safawi atau nama sebenarnya, Muhammad Safawi Rasid, 27, menyerahkan mas kahwin sebentuk cincin berlian kepada Syifa, 28, manakala wang hantaran tidak didedahkan.

Pada majlis pernikahan berkonsep dalam taman tersebut, pasangan mempelai menggayakan persalinan pengantin sedondon berona nude.

Majlis yang dihadiri kira-kita 300 orang tetamu terdiri daripada keluarga dan kenalan rapat tersebut berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Antara rakan selebriti yang turut hadir ialah Syatilla Melvin, Shaheizy Sam, Uyaina Arshad, Nabila Razali, Riena Diana dan Raja Syahiran.

Semalam, Syifa mengharapkan orang ramai tidak terlalu menguar-uarkan tentang majlis pernikahannya dengan Safawi dan hanya mengharapkan doa yang baik-baik.

“Tak payahlah dihebohkan lagi tentang hal ini (perkahwinan dengan Safawi). Saya minta sangat-sangat,” katanya.

Pemilik nama lengkap, Nur Syifa Athirah Amirol Melvin itu juga masih dengan pendirian tidak mahu mengiyakan mahupun menidakkan perihal terbabit namun mengharapkan doa yang baik-baik daripada orang ramai.

“Kalau betul dah sampai waktunya nanti, anda semua akan tahu. Saya cuma mohon doa yang baik-baik daripada semua agar perhubungan ini mendapat reda Allah SWT,” katanya lagi.

Sebelum itu, majlis perkahwinan yang dikhabarkan sudah dihidu lebih awal oleh penyokong JDT apabila Safawi dikejutkan dengan nyanyian lagu Selamat Pengantin Baru di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru, baru-baru ini.

Bayangan perkahwinan pasangan itu diperkuatkan lagi dengan penularan kad undangan perkahwinan bertarikh 3 Disember 2022 milik Syifa dan Safawi yang diterima Kosmo! menerusi aplikasi WhatsApp. 

Sumber : KOSMO! 

Rabu, November 02, 2022

GTA tanding lebih 121 kerusi Parlimen

 


Gerakan Tanah Air (GTA) akan bertanding di lebih 121 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Calon yang akan bertanding, sebahagian besarnya atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) di Kelantan, membabitkan pemimpin daripada parti gabungan GTA dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Presiden Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata semua calon berkenaan mempunyai rekod yang baik dan tidak terbabit dengan jenayah serta pertuduhan di mahkamah, namun tidak membabitkan tapisan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Nama calon ini sudah kita kaji dan kita tentukan mereka ialah yang berintegriti, berpengalaman dan layak menjadi wakil rakyat, malah layak menjadi menteri pun.

"Masih ada beberapa kawasan yang belum kita tentukan calonnya dan ini akan diumumkan kemudian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Calon PRU15 GTA-PEJUANG di sini, hari ini.

Antara nama terkenal yang dicalonkan GTA ialah pelakon dan pengarah, Ahmad Idham Ahmad Nadzri serta pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof.

Ahmad Idham dan Eizlan, daripada NGO, Gagasan Bangsa, masing-masing akan bertanding di Parlimen Port Dickson dan Sabak Bernam, atas tiket PEJUANG.

Selain dua selebriti itu, pelakon, Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando turut dicalonkan bagi Parlimen Tanjung Karang.

Ditanya mengapa bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang sebelum ini dikhabarkan akan menjadi calon GTA bagi Parlimen Rembau tidak disenaraikan, Dr Mahathir berkata, Abdul Hamid belum bersedia.

Sementara itu, Dr Mahathir, berkata calon Perdana Menteri bagi gabungan itu hanya akan ditentukan selepas ia menang pada PRU15, sama seperti pilihan gabungan untuk kerjasama politik yang akan dipilih jika menang.

Ditanya sasaran kerusi yang akan dimenangi, Dr Mahathir berkata, GTA hanya berharap akan menang dan menubuhkan kerajaan.

Sumber : Berita Harian

Ahad, Oktober 30, 2022

Tragedi Halloween di Seoul seperti 'permainan domino'

 


Sekurang-kurangnya 151 orang terbunuh dan 156 lain cedera dalam rempuhan maut di Itaewon, Seoul, selepas sekumpulan besar anak muda yang menyambut pesta Halloween terperangkap dan tersepit di lorong sempit.

Pekerja kecemasan dan pejalan kaki dilihat giat melakukan bantuan pernafasan ke atas mangsa yang terbaring selepas dihempap ​​di daerah ibu kota Itaewon, malam tadi.

Ketua jabatan bomba Yongsan Seoul, Choi Seong-beom, berkata angka kematian mungkin meningkat dan jumlah mangsa yang cedera dan berada dalam keadaan kritikal masih belum dapat dipastikan.

Dianggarkan seramai 100,000 orang berkumpul di Itaewon untuk sambutan Halloween yang terbesar dan diadakan di kawasan terbuka sejak pandemik bermula.

Ia selepas kerajaan Korea Selatan melonggarkan sekatan COVID-19 dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Itaewon adalah kawasan berhampiran bekas ibu pejabat tentera Amerika Syarikat (AS) di Korea Selatan sebelum berpindah pada 2018 dan merupakan kawasan mesra ekspatriat yang terkenal dengan bar, kelab dan restoran terkini.

Setakat ini, masih belum dapat dipastikan apa yang menyebabkan orang ramai memasuki lorong menuruni bukit yang sempit berhampiran Hotel Hamilton.

Seorang mangsa yang terselamat berkata orang ramai mula jatuh dan menghempap satu sama lain "seperti permainan domino" selepas ditolak.

Mangsa yang terselamat dan dikenali sebagai Kim, berkata mereka terperangkap selama kira-kira satu setengah jam sebelum diselamatkan.

Kebanyakan mereka mula menjerit meminta pertolongan, manakala sebahagian lain mengalami sesak nafas, menurut akhbar Hankyoreh.

Seorang lagi mangsa yang terselamat, Lee Chang-kyu, berkata beliau melihat kira-kira lima hingga enam lelaki saling menolak antara satu sama lain sebelum seorang atau dua mula terjatuh.

Menurut seorang pengunjung ke Itaewon, Hwang Min-hyeok, beliau terkejut melihat deretan mayat berhampiran hotel.

Katanya, pekerja kecemasan pada mulanya panik, menyebabkan pejalan kaki yang berada di kawasan itu bergelut untuk memberikan bantuan pernafasan kepada mangsa yang cedera.

Seorang lagi mangsa yang terselamat, berkata beliau berjaya mengelak daripada dipijak dengan bertindak masuk ke dalam sebuah bar yang pintunya terbuka di lorong itu.

Seorang wanita berusia 20-an dikenali sebagai Park, berkata beliau dan yang lain berdiri di tepi lorong manakala mereka yang terperangkap di tengah lorong tidak dapat melarikan diri.

Ketua bomba, Choi, berkata mayat dihantar ke hospital atau gim, di mana ahli keluarga dapat mengenal pasti mangsa.

Katanya, kebanyakan mangsa yang maut dan cedera berusia dalam lingkungan 20-anPerdana Menteri Britain, Rishi Sunak dalam ciapannya di Twitter, berkata "berita mengerikan dari Seoul malam ini.

"Ingatan kami bersama mereka yang sedang memberi tindak balas kepada situasi itu dan semua rakyat Korea Selatan pada saat yang menyedihkan ini," katanya.

Kali terakhir Korea Selatan berdepan insiden maut membabitkan golongan muda adalah pada April 2014.

Seramai 304 orang, kebanyakannya pelajar sekolah menengah, maut dalam insiden feri karam.

Insiden mendedahkan kegagalan dan kelonggaran peraturan keselamatan dan sebahagiannya disalahkan kepada kargo yang berlebihan dan diikat dengan teruk selain kru yang kurang terlatih untuk berdepan situasi kecemasan.

Ia juga adalah bencana besar kedua di Asia dalam tempoh sebulan.

Pada 1 Oktober lalu, polis di Indonesia melepaskan gas pemedih mata pada perlawanan bola sepak, menyebabkan rempuhan yang mengorbankan 132 orang ketika penonton cuba melarikan diri.

Tragedi malam tadi juga adalah bencana paling dahsyat dalam sejarah Korea Selatan. Pada 2005, 11 orang terbunuh dan kira-kira 60 yang lain cedera dalam konsert pop di selatan bandar Sangju. 

Sumber : AP

Kanak-kanak perempuan 12 tahun dilapor hilang ditemukan di Klang

 


Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang setelah keluar dari rumahnya di Parit Tok Hin, Tanjung Piandang, Perak ditemukan dalam keadaan selamat.


Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintenden Hudri Mohd. Arshad berkata, kanak-kanak itu, Nur Safiyyah Mohd. Shukri ditemukan pada kira-kira pukul 2 pagi di kawasan Klang, Selangor dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian seterusnya diserahkan kepada keluarganya.

Katanya, terdahulu pihak polis menerima satu laporan mengenai kehilangan kanak-kanak itu pada pukul 7.19 petang.

Bertindak atas laporan itu, satu kertas siasatan Orang Hilang telah dibuka oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kerian dan telah mengesan Nur Safiyyah berada di Klang.

Menurut Hudri, hasil siasatan awal mendapati, Nur Safiyyah bertindak keluar dari rumah berpunca daripada rasa tidak puas hati dan merajuk kerana sering ditegur oleh kakak dan ibunya.

Beliau berkata, Nur Safiyyah dipercayai menaiki bas seorang diri sehingga ke Terminal Bersepadu Selatan Sungai Besi di Kuala Lumpur.

Selepas itu, Nur Safiyyah menaiki Grab ke rumah rakan yang dikenalinya kurang dari sebulan melalui laman Facebook di Klang.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes itu yang boleh mengeruhkan keadaan dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar sehingga menimbulkan kegusaran awam.

Semalam berita melaporkan kanak-kanak perempuan itu keluar dari rumahnya pada petang kelmarin membawa dua beg pakaian serta wang RM200 tanpa dapat dikesan oleh pihak keluarga.

Sumber : Utusan