Faisal Halim disimbah asid


Tidak sampai seminggu selepas insiden pemain kebangsaan, Akhyar Rashid disamun, satu lagi insiden mengejutkan terjadi dengan seorang lagi pemain kebangsaan, Faisal Halim menjadi mangsa terbaharu.

-ADVERTISEMENT-

Menerusi maklumat dan gambar yang tular di laman media sosial, pemain yang dinobat sebagai Penjaring Gol Tercantik Piala Asia itu disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali di sebuah pusat membeli belah di ibu negara hari ini.

Tidak dapat dipastikan sejauh mana tahap kecederaan pemain Selangor FC (SFC) itu, namun berdasarkan gambar yang tular, dia dilihat mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan.

Perkembangan mengenai insiden itu turut disahkan SFC menerusi satu kenyataan, sebentar tadi.

"Dukacita dimaklumkan bahawa pemain SFC, Faisal Halim menjadi mangsa serangan asid petang tadi.

"SFC memandang serius perkara ini dan akan bekerjasama dengan pihak PDRM serta pihak berkuasa untuk melaksanakan siasatan terperinci untuk mengenal pasti sesiapa yang terlibat.

"SFC menyeru penyokong dan peminat bola sepak di seluruh negara untuk mendoakan dan memberi sokongan moral kepada Faisal Halim dan keluarganya serta menghormati privasi beliau dan keluarganya pada masa ini," kata SFC.

Khamis lalu, Akhyar, 25, yang baru sahaja keluar dari kereta dipukul dengan senjata dipercayai cota di kepala dan badan oleh suspek yang tidak dikenali.

Suspek turut merampas dompet dan telefon bimbit milik mangsa sebelum melarikan diri.

Mangsa yang cedera kemudian dikejar ke unit kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan.

Sumber : Berita Harian

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.