Khamis, Februari 16, 2023

SSM perkenal dua inisiatif baharu

 


Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memperkenalkan dua inisiatif baharu bagi membantu meringankan beban kewangan syarikat dan membantu komuniti korporat meneruskan perniagaan dalam persekitaran yang mencabar.

SSM dalam satu kenyataan menyebut, inisiatif pertama membabitkan pengurangan kompaun sebanyak 90 peratus daripada nilai asal ke atas syarikat yang berstatus 'dissolved' (lupus) di bawah Akta Syarikat 1965.

Pelaksanaan inisiatif ini bertujuan meringankan beban kewangan pengarah dan syarikat yang sudah ditutup.

Inisiatif kedua pula, membabitkan pengurangan kompaun sebanyak 90 peratus daripada nilai asal kompaun bagi semua kesalahan lazim di bawah Akta Syarikat 2016.

Pengurangan kompaun ini diberikan kepada syarikat selepas pematuhan terhadap kegagalan atau kesalahan yang diambil tindakan oleh syarikat.

Ia hanya diberikan bagi kesalahan lazim di bawah Seksyen 68(1), Seksyen 248(1), Seksyen 258(1), Seksyen 259(1), Seksyen 340(1), Seksyen 30(1) dan Seksyen 30(2) Akta Syarikat 2016.

"Diharapkan pelaksanaan inisiatif ini dapat membantu komuniti korporat untuk meneruskan perniagaan dalam persekitaran perniagaan yang mencabar," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, mengumumkan tiga inisiatif pengurangan kompaun bagi 2023 untuk membantu pemulihan ekonomi negara pascapandemik COVID-19.

SSM menerusi kenyataan itu juga menyebut, pihaknya akan meneruskan enam inisiatif sedia ada.

Antaranya, pengurangan kompaun sebanyak 90 peratus daripada nilai asal kompaun bagi semua kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965, bagi memastikan data yang disimpan berhubung entiti syarikat dalam pendaftaran SSM adalah terkini, selain mendorong syarikat mematuhi amalan tadbir urus terbaik khususnya serah simpan Penyata Kewangan serta maklumat terkini di SSM.

SSM juga melanjutkan tempoh masa pendaftaran SSM BizTrust secara percuma sehingga 31 Disember 2023 dan memperluaskan penggunaan Kod QR SSM BizTrust kepada entiti Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) berdaftar yang boleh diperoleh secara automatik.

Selain itu, SSM meneruskan pelaksanaan inisiatif Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP), untuk menawarkan pendaftaran perniagaan secara percuma kepada usahawan kumpulan B40 dan pelajar Institut pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa.

Menurut SSM, syarat SPPP diperluaskan kepada pasangan suami dan isteri usahawan B40, tahun ini .

SSM juga meneruskan pelaksanaan Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P), yang menyediakan pendaftaran dan pembaharuan perniagaan secara percuma bagi menggalakkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menceburi bidang perniagaan secara sah.

Selanjutnya, SSM meneruskan cadangan pindaan bagi menambah baik peruntukan di bawah Akta Syarikat 2016, berkaitan mekanisma penyelamat korporat dan skim kompromi atau perkiraan.

"Penambahbaikan serta pindaan ini akan membolehkan syarikat yang menghadapi masalah kewangan memohon proses rehabilitasi korporat yang bersesuaian supaya syarikat boleh terus beroperasi.

"Inisiatif ini penting untuk membantu sektor korporat yang menghadapi masalah kewangan, terutama sekali akibat daripada kesan pandemik COVID-19 untuk kekal beroperasi dan menjana ekonomi negara," katanya.

Inisiatif seterusnya, SSM akan meneruskan cadangan untuk memperkenalkan peruntukan berkaitan mekanisma penyelamat korporat di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts