Memaparkan catatan dengan label gta. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label gta. Papar semua catatan

Khamis, November 24, 2022

PEJUANG tewas teruk PRU15, Tun M mahu tulis buku

 


Pengerusi Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad, akhirnya membuka mulut menyatakan kesedihan beliau apabila partinya itu tewas.

Pengerusi Penaja parti Gerakan Tanah Air (GTA) itu berkata, sebagai pengerusi PEJUANG, beliau sedih dengan keputusan itu, namun tetap menerima pilihan rakyat.

"Pejuang Tanah Air (PEJUANG) yang mengganti GTA kalah dalam PRU15. Saya sebagai Pengerusi PEJUANG sedih, tetapi saya terima pilihan rakyat.

"Saya harap pihak yang menang akan mendirikan kerajaan Malaysia," katanya dalam catatan pertama selepas PRU15.

Pada PRU15 Sabtu lalu, GTA yang bertanding menggunakan logo PEJUANG gagal mendapat sebarang kerusi meskipun meletakkan calon di 125 kerusi.

Mahathir sendiri kalah teruk di tangan calon Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 13,518 undi, malah bekas Perdana Menteri itu juga hilang wang deposit apabila sekadar meraih 4,566 undi.

Anaknya, yang juga Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, serta calon Gerakan Tanah Air lain juga mengalami kekalahan teruk, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada parti itu akan terus bertahan sebagai entiti politik selepas PRU15.

Dr Mahathir mengakui kekalahan PEJUANG di semua 125 kawasan ditandinginya bermakna parti itu tidak dapat berperanan sebagai pembangkang dalam Dewan Rakyat.

Justeru, beliau berkata, segala perancangan diatur PEJUANG untuk negara terpaksa digugurkan dan parti itu akan menyokong pemerintahan yang menang.

"PEJUANG berdoa siapa juga yang menjadi kerajaan akan dapat memulihkan segala masalah yang akan dihadapi oleh negara.

"Saya sendiri akan tumpu kepada penulisan berkenaan sejarah dan aktiviti dalam negara.

"Sesungguhnya banyak peristiwa yang berlaku dalam negara belum pun direkod, termasuk apa yang berlaku di zaman British.

"Saya juga terbuka untuk ditemuduga oleh penulis," katanya.

Sumber : Berita Harian

Rabu, November 02, 2022

GTA tanding lebih 121 kerusi Parlimen

 


Gerakan Tanah Air (GTA) akan bertanding di lebih 121 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Calon yang akan bertanding, sebahagian besarnya atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) di Kelantan, membabitkan pemimpin daripada parti gabungan GTA dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Presiden Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata semua calon berkenaan mempunyai rekod yang baik dan tidak terbabit dengan jenayah serta pertuduhan di mahkamah, namun tidak membabitkan tapisan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Nama calon ini sudah kita kaji dan kita tentukan mereka ialah yang berintegriti, berpengalaman dan layak menjadi wakil rakyat, malah layak menjadi menteri pun.

"Masih ada beberapa kawasan yang belum kita tentukan calonnya dan ini akan diumumkan kemudian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Calon PRU15 GTA-PEJUANG di sini, hari ini.

Antara nama terkenal yang dicalonkan GTA ialah pelakon dan pengarah, Ahmad Idham Ahmad Nadzri serta pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof.

Ahmad Idham dan Eizlan, daripada NGO, Gagasan Bangsa, masing-masing akan bertanding di Parlimen Port Dickson dan Sabak Bernam, atas tiket PEJUANG.

Selain dua selebriti itu, pelakon, Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando turut dicalonkan bagi Parlimen Tanjung Karang.

Ditanya mengapa bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang sebelum ini dikhabarkan akan menjadi calon GTA bagi Parlimen Rembau tidak disenaraikan, Dr Mahathir berkata, Abdul Hamid belum bersedia.

Sementara itu, Dr Mahathir, berkata calon Perdana Menteri bagi gabungan itu hanya akan ditentukan selepas ia menang pada PRU15, sama seperti pilihan gabungan untuk kerjasama politik yang akan dipilih jika menang.

Ditanya sasaran kerusi yang akan dimenangi, Dr Mahathir berkata, GTA hanya berharap akan menang dan menubuhkan kerajaan.

Sumber : Berita Harian

Jumaat, Oktober 28, 2022

PN putuskan tiada kerjasama dengan GTA

 


Perikatan Nasional (PN) putuskan tidak ada kerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pihaknya mengambil keputusan untuk bergerak ke depan dengan parti komponen sedia ada.

"Tidak ada perbincangan untuk bekerjasama dengan GTA. Bukan PN tidak mahu ada kerjasama tetapi kita memutuskan untuk bergerak ke hadapan dengan apa yang sudah dirancang sejak awal," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PN di ibu pejabat BERSATU di Petaling Jaya.

Turut hadir ialah Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau juga menafikan dakwaan PN ada perbincangan dengan GTA tetapi belum dimuktamadkan kerana ada isu belum selesai.

Pengerusi Penaja GTA, Dr Mahathir hari ini berkata pihaknya masih meneruskan perbincangan kerjasama dengan GTA dan menyelesaikan beberapa isu dan memberikan masa kepada PN selama dua hari untuk putuskan.

Muhyiddin berkata beliau tidak tahu mengenai perbincangan itu kerana tidak dibawa ke Majlis Presiden PN.

"Tidak ada perbincangan dan tidak ada mesyuarat rasmi. Mungkin ada bincang di peringkat bawahan tetapi tidak sampai kepada majlis (presiden), saya tidak tahu," katanya.

Sumber : Berita Harian

Recent Posts