Memaparkan catatan dengan label parti pejuang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label parti pejuang. Papar semua catatan

Rabu, November 02, 2022

GTA tanding lebih 121 kerusi Parlimen

 


Gerakan Tanah Air (GTA) akan bertanding di lebih 121 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Calon yang akan bertanding, sebahagian besarnya atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) di Kelantan, membabitkan pemimpin daripada parti gabungan GTA dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Presiden Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata semua calon berkenaan mempunyai rekod yang baik dan tidak terbabit dengan jenayah serta pertuduhan di mahkamah, namun tidak membabitkan tapisan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Nama calon ini sudah kita kaji dan kita tentukan mereka ialah yang berintegriti, berpengalaman dan layak menjadi wakil rakyat, malah layak menjadi menteri pun.

"Masih ada beberapa kawasan yang belum kita tentukan calonnya dan ini akan diumumkan kemudian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Calon PRU15 GTA-PEJUANG di sini, hari ini.

Antara nama terkenal yang dicalonkan GTA ialah pelakon dan pengarah, Ahmad Idham Ahmad Nadzri serta pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof.

Ahmad Idham dan Eizlan, daripada NGO, Gagasan Bangsa, masing-masing akan bertanding di Parlimen Port Dickson dan Sabak Bernam, atas tiket PEJUANG.

Selain dua selebriti itu, pelakon, Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando turut dicalonkan bagi Parlimen Tanjung Karang.

Ditanya mengapa bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang sebelum ini dikhabarkan akan menjadi calon GTA bagi Parlimen Rembau tidak disenaraikan, Dr Mahathir berkata, Abdul Hamid belum bersedia.

Sementara itu, Dr Mahathir, berkata calon Perdana Menteri bagi gabungan itu hanya akan ditentukan selepas ia menang pada PRU15, sama seperti pilihan gabungan untuk kerjasama politik yang akan dipilih jika menang.

Ditanya sasaran kerusi yang akan dimenangi, Dr Mahathir berkata, GTA hanya berharap akan menang dan menubuhkan kerajaan.

Sumber : Berita Harian

Sabtu, Julai 10, 2021

Pendaftaran Parti Pejuang diluluskan

 

Parti Pejuang telah didaftarkan sebagai parti yang sah,  kata Pengerusi Pejuang, Dr Mahathir Mohamad.

“Saya ingin umumkan bahawa parti Pejuang ini telah didaftarkan. Sebagai parti politik kita berterima kasihlah kepada kerajaan yang mendaftar parti Pejuang ini dan kami berpendapat bahawa cara kami bukanlah untuk menimbulkan masalah, cuma kita buat melalui undang-undang.

“Tak ada sebab kenapa kami tak boleh didaftar.

“Jadi akhirnya, parti Pejuang ini sudah didaftar, dan mereka yang ingin menyertai Pejuang, mereka dialu-alukan, bolehlah buat permohonan, dan saya harap kita akan lebih cergas selepas ini,” katanya dalam satu sidang media dalam talian hari ini.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sebelum ini tidak melayan permohonan Pejuang, namun setelah parti itu membawa isu berkenaan ke mahkamah sejak tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Jun mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat keputusan dalam masa 14 hari.

Pendaftaran Pejuang diluluskan hari ini, yang merupakan hari terakhir tempoh 14 hari yang diberikan mahkamah.

“Kelulusan adalah dari menteri (dalam negeri) dan pengarah ROS,” kata Mahathir.

Pejuang memiliki empat ahli parlimen termasuk Mahathir yang merupakan wakil rakyat Langkawi.

Muda juga tuntut parti disahkan

Susulan itu, Parti Ikatan Demokratik (Muda) turut menggesa ROS untuk mempercepat kelulusan pendaftaran ke atas parti Muda.

Meskipun menyambut baik kelulusan ke atas Pejuang oleh ROS, Setiausaha Agung Penaja Muda, Amir Abd Hadi mengingatkan yang kelulusan itu hanya diberikan selepas tempoh masa panjang dan terpaksa dibawa ke mahkamah.

Oleh hal yang demikian, Muda menggesa agar Akta Pertubuhan 1966 dipinda, selari dengan cadangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Buat masa ini, undang-undang itu tidak memperuntukkan tempoh masa tertentu bagi meluluskan pendaftaran sesuatu persatuan, dan memberikan kuasa yang terlalu besar kepada Menteri Dalam Negeri ke atas perkara berkenaan.

Ia turut tidak memerlukan ROS memberikan sebab penolakan kepada pendaftaran sesuatu persatuan, kata Amir. 

Sumber : Malaysiakini

Recent Posts