Rabu, Februari 15, 2023

Integrasi sistem mySIKAP wujud sejak 2007 - JPJ


Proses integrasi pangkalan data sistem mySIKAP Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama pihak berkuasa lain sudah wujud sejak 2007.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim, berkata proses penyepaduan pangkalan data mySIKAP membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Pendigitalan ini adalah projek rintis dan kita akan memastikan usaha penambahbaikan akan dilakukan secara berterusan dalam inisiatif pendigitalan JPJ ini.

"Perkara ini demi memastikan keberkesanannya agar sentiasa memberikan manfaat yang signifikan kepada negara dan rakyat," katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, baru-baru ini yang menggesa Kementerian Pengangkutan (MOT) menjalankan kajian mendalam mengenai pendigitalan lesen kenderaan bermotor atau cukai jalan dan lesen memandu sebelum memutuskan pengguna jalan raya tidak perlu mempamerkannya.

Musa berkata masalah mungkin timbul dalam penguatkuasaan undang-undang jalan raya berkaitan cukai jalan dan lesen memandu digital.

Beliau turut mempersoal bagaimana PBT dan PDRM menjalankan penguatkuasaan sekiranya mereka tidak mempunyai akses kepada pangkalan data lesen digital JPJ.

Sementara itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM dalam satu kenyataan, baru-baru ini berkata JSPT boleh melaksanakan penguatkuasaan melalui semakan integrasi dengan sistem mySikap JPJ atau paparan kod QR.

Semakan nombor kenderaan dan nombor pengenalan boleh dibuat menggunakan peralatan Mobile Computerized On-Line Payment System (MCOPS) yang dibekalkan kepada pasukan itu.

JSPT turut menyambut baik kaedah pendigitalan membabitkan lesen kenderaan motor (e-LKM) dan lesen memandu Malaysia (e-LLM) melalui platform Portal Awam JPJ serta aplikasi mobile MyJPJ yang diperkenalkan MOT melalui JPJ itu.

Selaras inisiatif itu, katanya individu kenderaan persendirian hanya perlu menunjukkan lesen kenderaan motor atau lesen memandu melalui aplikasi tanpa menunjukkan dokumen fizikal.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts