Khamis, Julai 20, 2023

Bank pusat Singapura rugi RM107 bilion dalam usaha bendung inflasi

 


Bank pusat Singapura mencatatkan kerugian bersih terbesar dalam sejarah AS$23 bilion (RM107 bilion) pada tahun kewangan terkini ketika ia mengetatkan dasar monetari bagi membendung lonjakan inflasi.

Ia turut memberikan amaran bahawa ekonomi negara itu masih berdepan ketidaktentuan.

Bank-bank pusat di seluruh dunia melaksanakan usaha untuk membendung kesan kenaikan harga susulan pencerobohan Russia ke atas Ukraine tahun lalu sehingga menjejaskan bekalan minyak dan gas.

Dalam pada bank-bank pusat lain menaikkan kadar faedah bagi membendung kenaikan itu, Singapura, yang mengimport kebanyakan daripada barangan keperluannya, mengukuhkan mata wang tempatan untuk menjadikan barangan import lebih murah.

Bagaimanapun, langkah itu menyebabkan kehilangan besar rizab asing rasminya, kata Pengarah Urusan Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Ravi Menon.

"MAS mencatatkan kerugian bersih S$30.8 bilion (bagi tahun kewangan berakhir Mac), mencerminkan kesan mengetatkan dasar monetari untuk menurunkan inflasi," katanya pada penerbitan laporan tahunan bank pusat itu.

"Ia kerugian terbesar pernah direkodkan MAS," katanya.

Beliau berkata, 70 peratus daripada kerugian itu, atau S$21.4 bilion, berpunca daripada kesan negatif mata wang daripada nilai dolar Singapura lebih tinggi.

30 peratus lagi kerugian berpunca daripada perbelanjaan faedah bersih MAS, daripada operasi pasaran wang bagi menghapuskan lebihan kecairan dalam sistem perbankan.

Menon berkata, inflasi dengan jelas sudah mencapai tahap kemuncak dan dilihat menjadi sederhana.

Inflasi teras turun mendadak daripada kemuncak 9.1 peratus pada Jun 2022 kepada 3.6 peratus pada Mei 2023, katanya.

Beliau berkata, prospek pertumbuhan bagi Singapura 'berkurangan' dan ekonomi negara itu akan beroperasi sedikit di bawah kapasiti sedia ada, pada ketika dua tonggak ekonomi utama iaitu pembuatan dan perkhidmatan kewangan, tidak berkembang sejak beberapa suku kebelakangan ini.

"Pertumbuhan kekal lemah dalam jangka terdekat," katanya.

Kementerian Perdagangan pada Mei lalu mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Singapura antara 0.5 hingga 2.5 peratus tahun ini.

Sumber dari AFP

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts