Khamis, Februari 23, 2023

6 negeri bubar DUN dua minggu terakhir Jun 2023


 

Enam negeri mencapai persetujuan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tempoh dua minggu terakhir Jun ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) masing-masing.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata kesepakatan itu dicapai dalam satu pertemuan antara enam Menteri Besar serta Ketua Menteri di ibu negara.

"Kami berenam mengambil kesempatan minum petang di Kuala Lumpur sempena Mesyuarat Majlis Raja Raja (MRR) yang bersidang dua hari.

"Secara ringkas kami mencapai kata sepakat untuk mempertimbangkan pembubaran DUN masing-masing dalam dua minggu terakhir Jun 2023," katanya di Facebook 

Selain Amiruddin, turut bersama dalam pertemuan itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Selain itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Amirudin berkata, persefahaman sudah pasti akan dimaklum serta dibincangkan di peringkat parti masing-masing sebelum dipersembah bagi tujuan perkenan Sultan, Yang Dipertuan Besar serta Tuan Yang Terutama Negeri masing-masing.

"Semoga persefahaman ini dapat mempermudahkan usaha rakyat untuk merayakan demokrasi kelak, Insya-Allah," katanya.

Mengambil kira tempoh masa pembubaran itu, PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu serta Kelantan dijangka diadakan pada Julai atau Ogos ini.

Tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan kini dibawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), sementara Terengganu, Kedah dan Kelantan, dibawah teraju Perikatan Nasional (PN).

PRN itu perlu diadakan memadangkan tempoh mandat DUN di enam negeri berkenaan akan berakhir pertengahan tahun ini.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts