Selasa, Jun 27, 2023

Sultan Terengganu berkenan bubar DUN 28 Jun 2023

 


Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara rasmi pada 28 Jun 2023.

Pembubaran DUN Terengganu bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diperkenankan di bawah Fasal 44 (2), Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Pertama).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata berdasarkan peruntukan itu, Sultan Mizan boleh memberhentikan atau membubarkan DUN bagi membolehkan PRN diadakan.

Dengan pembubaran itu, katanya, kerajaan negeri kini berperanan sebagai kerajaan sementara.

"Tuanku Sultan sudah memperkenankan tarikh cadangan pembubaran DUN seperti dipersembahkan pagi ini," katanya melalui kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS mengadap dan persembahkan dokumen serta tarikh cadangan pembubaran DUN negeri bagi memberi laluan kepada PRN.

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang memasuki pintu pagar utama Istana Syarqiyyah di Chendering, kira-kira jam 8.38 pagi dan keluar pada jam 9.18 pagi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PAS berjaya menguasai 22 kerusi daripada 32 kerusi DUN, manakala 10 lagi kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN).

Kerusi DUN dimenangi BN adalah Kijal, Bukit Besi, Telemong, Seberang Takir, Batu Rakit, Langkap, Permaisuri, Kuala Besut, Jertih dan Hulu Besut.

Selain Terengganu, PRN turut membabitkan lima negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Difahamkan, dokumen pembubaran DUN negeri yang diperkenankan Sultan Mizan akan diserahkan kepada Yang Dipertua DUN, Datuk Yahaya Ali untuk dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts