Memaparkan catatan dengan label pengasas. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pengasas. Papar semua catatan

Isnin, Disember 12, 2022

Pengasas Public Bank meninggal dunia


Tokoh perbankan yang juga Pengasas dan Emeritus Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow meninggal dunia 10.20 pagi tadi pada usia 92 tahun.

Mendiang adalah antara individu penting dalam pembangunan institusi kewangan di Malaysia dan individu keempat terkaya di Malaysia berdasarkan senarai Forbes dengan nilai kekayaan sebanyak RM26 bilion.

Hong Piow memulakan kerjaya perbankannya pada tahun 1950 sebagai kerani bank di Overseas-Chinese Banking Corporation Ltd sebelum dinaikkan pangkat kepada pegawai dalam tempoh lima tahun. 

Kemudian beliau menyertai Malayan Banking Bhd sebagai pengurus pada 1960 sebelum pada 1964 dinaikkan pangkat ke jawatan Pengurus Besar pada usia 34 tahun.

Hong Piow kemudian meninggalkan Malayan Banking untuk menubuhkan Public Bank pada 1965. 

Sejak itu, beliau telah menyelia evolusinya menjadi sebuah institusi kewangan moden dan bersepadu dengan rangkaian luas lebih 200 cawangan domestik dan di luar negara.

Mendiang kini merupakan Pengerusi Emeritus, Pengarah dan Penasihat Kumpulan Public Bank. 

Beliau juga memegang jawatan utama dalam pelbagai organisasi seperti Yayasan Awam, Malaysia dan LPI Capital Bhd.

Hong Piow dilahirkan di Singapura pada 14 Mac 1930 dan mengikuti pendidikan formal rendah dan menengah di Sekolah Cina Anglo di Singapura. 

Beliau berkahwin dengan Puan Sri Datin Sri Tay Sock Noy sejak 1956 dan mereka dikurniakan empat orang anak.

Public Bank antara bank utama di Malaysia dengan mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM1.59 bilion bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022, meningkat 16.8 peratus daripada RM1.36 bilion setahun sebelumnya.

Prestasi yang bertambah baik ini didorong terutamanya oleh pendapatan faedah bersih yang lebih tinggi sebanyak RM338.1 juta dan elaun rosot nilai pinjaman yang rendah sebanyak RM228.5 juta, sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan operasi lain yang lebih tinggi berjumlah RM101.5 juta.

Hasil turut meningkat kepada RM5.50 bilion daripada RM4.81 bilion sebelumnya.

Untuk tempoh sembilan bulan, keuntungan bersih bank itu meningkat 3.0 peratus kepada RM4.40 bilion daripada RM4.27 bilion disebabkan caj cukai tambahan daripada cukai kemakmuran sekali sahaja dalam tempoh semasa, manakala hasil melonjak kepada RM15.36 bilion daripada RM14.76 bilion.

Sumber : Berita Harian

Recent Posts