Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan

Rabu, Mei 08, 2024

Safiq Rahim jadi mangsa terbaharu insiden jenayah babitkan pemain bola sepak

 


Cermin kereta bekas ketua pasukan skuad bola sepak kebangsaan, Safiq Rahim, dipecahkan oleh individu tidak dikenali berhampiran pusat latihan Johor Darul Ta'zim (JDT), di Sri Gelam, di sini, malam tadi, beberapa hari selepas nasib malang menimpa tonggak Selangor FC, Faisal Halim apabila disimbah asid di Kota Damansara.

-ADVERTISEMENT-

Kejadian kira-kira jam 10.05 malam itu,

dikongsikan oleh Safiq menerusi akaun media sosial Instagram miliknya.

Dalam muat naik itu, beliau memaklumkan sudah membuat laporan polis selepas risau dengan keselamatan dirinya.

Beliau turut memuat naik gambar cermin belakang kereta Honda City Hatchback miliknya yang dipecahkan itu.

Menerusi laporan polis dimuatnaik di akaun Instagramnya, Safiq melaporkan beliau ketika itu sedang memandu ke arah Pantai Lido, selepas mengambil barangnya di pusat latihan berkenaan kira-kira jam 10.05 malam.

"Ketika sedang memandu, tiba-tiba datang sebuah motosikal yang dibonceng dua lelaki sebelum pembonceng motosikal mengeluarkan sebatang tukul dan mengetuk bahagian cermin belakang kereta saya.

"Saya terkejut dan memberhentikan kereta sebelum dua lelaki itu berhenti di hadapan kereta saya.

"Dua lelaki itu kemudian menunjukkan tukul ke arah saya. Akibat risau, saya mengundurkan kereta dan beredar dari lokasi berkenaan," katanya dalam laporan berkenaan.

Insiden itu berlaku tiga hari selepas Faisal disimbah asid dan seorang lagi pemain, Akhyar Rashid pula disamun dan diserang, di kawasan kediamannya lebih kurang seminggu lalu.

Dalam pada itu, polis sedang giat mengesan suspek yang memecahkan

cermin kereta bekas ketua pasukan skuad kebangsaan itu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata siasatan sedang dijalankan dan usaha mengesan suspek sedang dilakukan.

"Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Polis sedang mengesan dan menangkap saspek terbabit. Kenyataan akan dikeluarkan selepas siasatan selesai," katanya dalam kenyataan.

Sumber : Berita Harian

Pokok besar tumbang di ibu kota

 



Beberapa individu dikhuatiri terperangkap selepas kenderaan dihempap pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur akibat hujan lebat.

Kejadian berlaku kira-kira 3 petang itu turut mengakibatkan kesesakan teruk di lokasi berkenaan.

Pusat Info Trafik dan Kawalan Lampu Isyarat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (KLCCC DBKL) melaporkan sebatang pokok tumbang berhampiran sebuah hotel di Jalan Sultan Ismail.

Orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif bagi mengelak melalui lokasi kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, di sini, hari ini, memandangkan jalan berkenaan ditutup sementara bagi kerja pembersihan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintendan Nazron Abd Yusof berkata, kerja pembersihan sedang dijalankan dan dijangka mengambil masa beberapa jam sehingga malam ini.

"Laluan ini akan dibuka semula kepada orang ramai sebaik kerja-kerja pembersihan selesai," katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai yang terbabit dalam kejadian itu supaya tampil membuat laporan kerosakan kenderaan mahupun kecederaan dialami.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang tadi, seorang lelaki tempatan maut manakala dua lagi termasuk seorang wanita warga Sweden cedera selepas pokok tumbang menghempap 17 kenderaan dan landasan Monorel susulan hujan lebat di Jalan Sultan Ismail.

Sumber : Berita Harian


Isnin, Mei 06, 2024

Faisal Halim disimbah asid


Tidak sampai seminggu selepas insiden pemain kebangsaan, Akhyar Rashid disamun, satu lagi insiden mengejutkan terjadi dengan seorang lagi pemain kebangsaan, Faisal Halim menjadi mangsa terbaharu.

-ADVERTISEMENT-

Menerusi maklumat dan gambar yang tular di laman media sosial, pemain yang dinobat sebagai Penjaring Gol Tercantik Piala Asia itu disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali di sebuah pusat membeli belah di ibu negara hari ini.

Tidak dapat dipastikan sejauh mana tahap kecederaan pemain Selangor FC (SFC) itu, namun berdasarkan gambar yang tular, dia dilihat mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan.

Perkembangan mengenai insiden itu turut disahkan SFC menerusi satu kenyataan, sebentar tadi.

"Dukacita dimaklumkan bahawa pemain SFC, Faisal Halim menjadi mangsa serangan asid petang tadi.

"SFC memandang serius perkara ini dan akan bekerjasama dengan pihak PDRM serta pihak berkuasa untuk melaksanakan siasatan terperinci untuk mengenal pasti sesiapa yang terlibat.

"SFC menyeru penyokong dan peminat bola sepak di seluruh negara untuk mendoakan dan memberi sokongan moral kepada Faisal Halim dan keluarganya serta menghormati privasi beliau dan keluarganya pada masa ini," kata SFC.

Khamis lalu, Akhyar, 25, yang baru sahaja keluar dari kereta dipukul dengan senjata dipercayai cota di kepala dan badan oleh suspek yang tidak dikenali.

Suspek turut merampas dompet dan telefon bimbit milik mangsa sebelum melarikan diri.

Mangsa yang cedera kemudian dikejar ke unit kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan.

Sumber : Berita Harian

Ahad, April 14, 2024

Iran lancar serangan dron ke atas Israel




Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRG) berkata ia melancarkan ratusan dron dan peluru berpandu ke Israel lewat Sabtu, serangan yang mungkin mencetuskan pertempuran besar antara musuh ketat serantau, dengan AS berikrar untuk menyokong Israel.

Tentera Israel berkata lebih 200 dron, yang menurut sumber keselamatan Iraq, dilihat terbang di atas negara itu dari Iran, akan mengambil masa berjam-jam untuk mencapai sasaran mereka.

Media saluran 12 Israel berkata beberapa telah ditembak jatuh di Syria atau Jordan manakala agensi berita Iran memetik sumber mengatakan tenteranya turut melancarkan gelombang pertama peluru berpandu balistik terhadap Israel.

Iran berikrar membalas dendam bagi serangan Israel ke atas konsulatnya di Damsyik pada 1 April yang mengorbankan tujuh pegawai anggota IRG termasuk dua komander kanan.

Katanya, serangan itu adalah hukuman bagi 'jenayah Israel', walaupun regim Yahudi itu tidak mengesahkan mahupun menafikan bertanggungjawab ke atas serangan konsulat itu.

"Sekiranya rejim Israel membuat kesilapan lagi, tindak balas Iran akan menjadi lebih teruk," kata misi Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan memberi amaran kepada AS supaya 'jangan campur tangan' serta menganggap 'perkara itu selesai'.

Presiden AS, Joe Biden, yang memberi amaran kepada Iran supaya tidak menyerang Israel, memendekkan lawatan ke negeri asalnya, Delaware, untuk bertemu penasihat keselamatan negara di Rumah Putih, kata seorang pegawai.

Perang Gaza antara Israel dan Hamas yang kini memasuki bulan ketujuh, mencetuskan ketegangan di Asia Barat, dengan Lubnan dan Syria dan melepaskan tembakan jarak jauh ke Israel, sama seperti Yaman dan Iraq.

Syarikat keselamatan maritim Britain, Amery, dalam satu kenyataan berkata, dron juga dilaporkan dilancarkan terhadap Israel oleh kumpulan Houthi yang bersekutu dengan Iran di Yaman.

Pertempuran itu kini mengancam untuk berubah menjadi konflik terbuka langsung yang melaga-lagakan Iran dan sekutu serantaunya terhadap Israel serta penyokong utamanya, AS, dengan kuasa serantau Mesir menggesa semua pihak 'menahan diri' elakkan perang.

Pesawat pejuang A.S. dan Britain terlibat dalam menembak jatuh beberapa dron milik Israel di kawasan sempadan Iraq-Syria, lapor Channel 12. Tiga pegawai AS berkata tentera AS telah menembak jatuh pesawat dron tanpa menyatakan jumlahnya.

"Ini adalah peningkatan yang buruk dan berbahaya. Keupayaan pertahanan dan serangan kami berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi menjelang serangan berskala besar dari Iran ini," kata jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang pesawat rasminya berlepas sejurus selepas serangan bermula, mengadakan mesyuarat Kabinet perang di sebuah ibu pejabat tentera di Tel Aviv, kata pejabatnya. 

Sumber dari REUTERS

Ahad, Mac 24, 2024

Serangan lelaki bersenjata di Moscow menyebabkan 62 terbunuh


Seorang wartawan AFP melihat pegawai polis bersama anjing pengesan sedang memeriksa kenderaan yang diletakkan di sebelah bangunan itu.

Kumpulan Daesh, dalam satu kenyataan, mengakui pejuangnya menyerang 'sebuah perhimpunan besar' di pinggir Moscow dan 'berundur ke pangkalan mereka dengan selamat'.

Perkhidmatan keselamatan yang dipetik Interfax berkata, antara dua dan lima orang 'memakai seragam taktikal dan membawa senjata automatik', melepaskan tembakan ke arah pengawal di pintu masuk dan kemudian mula menembak ke arah penonton.

"Orang ramai yang berada dalam dewan itu menundukkan badan untuk melindungi diri mereka daripada tembakan selama 15 atau 20 minit," kata wartawan RIA Novosti.

Tambah beliau, pada awalnya berlaku rempuhan apabila penonton berpusu-pusu mencari jalan keluar, disusuli orang ramai yang mula merangkak keluar apabila keadaan selamat.

Kementerian perkhidmatan kecemasan melalui Telegramnya, berkata kira-kira 100 orang melarikan diri melalui ruang bawah tanah teater, manakala yang lain mencari perlindungan di atas bumbung.

Bagaimanapun, kira-kira satu pertiga daripada kompleks itu terbakar, lapor wartawan media Russia.

Tiga helikopter terbabit dalam usaha memadam kebakaran dengan melepaskan air di dewan konsert gergasi yang boleh memuatkan beberapa ribu orang itu dan sebelum ini menjadi tuan rumah kepada persembahan artis antarabangsa terkemuka.

Tragedi kali ini adalah yang terburuk di Russia sejak kumpulan pengganas menjadikan lebih 1,000 orang termasuk ratusan kanak-kanak, sebagai tebusan di Beslan pada 2004.

Seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) yang enggan dikenali, berkata pihaknya sudah memberi amaran yang secukupnya kepada Russia supaya berwaspada terhadap serangan seumpamanya.

Katanya, Kedutaan AS pada 8 Mac lalu memberi amaran kepada Russia bahawa 'pengganas' membuat perancangan segera untuk menyerang Moscow, beberapa jam selepas pasukan keselamatan Russia menggagalkan serangan kumpulan Daesh terhadap sebuah pusat ibadat Yahudi.

Jurucakap kementerian luar Russia, Maria Zakharova berkata, ia adalah 'serangan pengganas paling berdarah'.

"Seluruh masyarakat antarabangsa mesti mengutuk jenayah keji ini," katanya di Telegram.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menyifatkan serangan itu 'mengerikan', namun menegaskan tiada tanda yang menunjukkan ia ada kaitan dengan konflik di Ukraine.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, Kyiv 'tiada kaitan' dengan serangan itu, manakala perisikan tenteranya menyifatkan punca serangan itu sebagai 'provokasi' Russia dan mendakwa wujud peranan perkhidmatan khas Moscow di sebalik kejadian itu.

"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa," kata Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin, yang membatalkan semua acara awam di bandar ini pada hujung minggu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU), Perancis, Sepanyol dan Itali menyertai beberapa negara lain dalam mengutuk serangan itu, dengan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni mengecam 'tindakan keganasan yang menjijikkan'.

Agensi berita TASS berkata, SOBR, pasukan polis khas dan skuad anti rusuhan OMON sudah dihantar ke Dewan Bandaraya Crocus untuk menjalankan siasatan. -

Sumber : AFP

Khamis, Mac 21, 2024

Mahkamah kekalkan hukuman pembunuh pelajar tahfiz yang dibakar hidup-hidup

 


Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu kejadian kebakaran Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, dekat sini, tujuh tahun lalu adalah jenayah terancang sehingga mengorbankan nyawa 23 anak tahfiz yang ditemui rentung sehingga tidak dapat dicam pihak bomba.

-ADVERTISEMENT-
Ads by

Timbalan Pendakwa Raya How Mei Ling berhujah, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz itu adalah mangsa kekejaman yang sangat serius kerana dibakar hidup-hidup, manakala sebahagiannya lemas akibat asap.

Katanya, keterangan menunjukkan dua tong gas masing-masing seberat 14 kilogram (kg) diletakkan di depan pintu bilik asrama adalah satu-satunya jalan keluar, sebelum melepaskan gas ketika penghuni-penghuninya sedang nyenyak tidur.

"Pelakunya memilih untuk meletakkan kedua-dua tong gas di tingkat dua, bukan di bahagian halaman tingkat bawah kerana menyedari aras berkenaan menempatkan bilik asrama.

"Perbuatan pelaku adalah satu jenayah terancang yang mengorbankan penghuni pusat tahfiz itu dalam satu malam," katanya ketika berhujah dalam rayuan seorang pemuda berusia 22 tahun yang disabitkan membunuh 23 penghuni pusat tahfiz itu.

Lelaki berkenaan merayu perintah dan sabitan ditahan dipenjara selama mana yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong diketepikan.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan akhir pemuda itu dan dia kekal ditahan dipenjara selama mana yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam penghujahannya, Mei Ling memohon perintah itu dikekalkan dengan mengambil kira faktor kepentingan awam serta kepentingan keluarga yang menghantar anak-anak mereka berusia antara enam dan 16 tahun ke pusat tahfiz berkenaan.

Beliau turut menggambarkan rentetan kejadian berhubung penemuan mayat semua mangsa dalam keadaan rentung dan mengekot sambil berpelukan kerana dibakar hidup-hidup, serta tidak boleh keluar dan hanya menunggu untuk diselamatkan.

Katanya, keadaan mayat mangsa sangat menyayat hati sehingga menggagalkan usaha pengecaman oleh pihak bomba dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terpaksa dilakukan.

"Ketika pihak bomba tiba, tiada lagi bunyi teriakan... yang tinggal hanya suasana sepi yang menyeramkan," katanya.

Terdahulu, Mei Ling berhujah, pihak pendakwaan mengemukakan keterangan ikut keadaan yang kukuh bahawa pemuda itu bertanggungjawab menyebabkan kebakaran itu.

Hujah beliau, perayu adalah pihak yang bertanggungjawab memanjat pagar belakang tahfiz untuk memulakan kebakaran dan perbuatan itu dilihat oleh dua saksi penting pendakwaan iaitu SP68 dan SP69.

Katanya, tiada asas bahawa kedua-dua saksi itu berniat memerangkap perayu dengan memberi keterangan sedemikian kerana mereka bersahabat baik.

Sementara itu, peguam Haijan Omar yang mewakili perayu berhujah, keterangan ikut keadaan dikemukakan pihak pendakwaan tidak cukup kuat untuk mensabitkan anak guamnya terhadap kesalahan itu.

Hujah Haijan, rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) tidak menunjukkan anak guamnya yang membawa botol mineral mengandungi petrol ke tingkat dua asrama itu.

Malah, beliau berkata, ketika berbual di kedai makan berdekatan tempat kejadian, semua saksi mengesahkan tiada perbualan untuk membakar tahfiz dibuat.

"Mereka hanya berbual untuk main 'snuker' dan tiada niat untuk membakar, kecuali timbul perkataan 'belilah petrol' daripada seorang individu yang tidak dapat dikenal pasti.

"Seorang saksi pakar forensik juga menyatakan kebakaran mula berlaku pada jam 5.25 pagi sedangkan rakaman CCTV (kamera litar tertutup) menunjukkan anak guam saya beredar daripada kawasan itu pada jam 4.48 atau 4.49 pagi," katanya.

Sumber : Berita Harian

Rabu, Mac 13, 2024

PENGAMBILAN CALON GURU TAJAAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA PERGURUAN (PISMP)


PENGAMBILAN CALON GURU TAJAAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA PERGURUAN (PISMP)


Tarikh Permohonan dibuka: 14 MAC - 15 APRIL 2024


Maklumat Lanjut dan Pautan Permohonan: https://pismp.moe.gov.my


Calon yang layak memohon: 

a. LEPASAN SPM TAHUN 2021, 2022, 2023


b. LEPASAN STPM TAHUN 2022, 2023


c. LEPASAN STAM TAHUN 2022, 2023


d. LEPASAN PROGRAM MATRIKULASI SESI 2022/2023 & 2023/2024



PENGAMBILAN CALON GURU TAJAAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA PROGRAM DIPLOMA PASCASISWAZAH PENDIDIKAN (PDPP)




PENGAMBILAN CALON GURU TAJAAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA PROGRAM DIPLOMA PASCASISWAZAH PENDIDIKAN (PDPP)


Tarikh Permohonan dibuka: 14 MAC - 15 APRIL 2024


Maklumat Lanjut dan Pautan Permohonan: https://mypspp.moe.gov.my


Calon yang layak memohon: 

a. Mempunyai Ijazah Sarjana Muda dari universiti awam yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)


b. Mempunyai Ijazah Sarjana Muda dari universiti swasta dalam dan luar negara yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)


 

Rabu, Februari 21, 2024

Tun Abdul Taib Mahmud meninggal dunia


Bekas Yang di-Pertua Negeri yang juga Ketua Menteri paling lama di Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, meninggal dunia di Kuala Lumpur, pagi ini.

-ADVERTISEMENT-
Ads by

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.28 pagi di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL).

Ia disahkan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, pagi ini.

Jenazah Allahyarham akan diuruskan di Masjid Negara, Kuala Lumpur sebelum diterbangkan balik ke Kuching, hari ini.

Beliau berkata, penghormatan terakhir terhadap tokoh berusia 87 tahun itu akan diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Disolatkan di Masjid Negara

Sementara itu, jenazah Taib Mahmud selesai disolatkan di Masjid Negara pada 10.24 pagi.

Solat jenazah dipimpin Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni itu, turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain serta kira-kira 100 hadirin terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat handai.

Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke Dewan Syarahan Utama Masjid Negara untuk ahli keluarga dan rakan-rakan memberi penghormatan terakhir sebelum dibawa pulang ke Sarawak.

Terdahulu, van membawa jenazah Allahyarham tiba di Masjid Negara untuk dimandikan jam 9.11 pagi, selepas selesai urusan di hospital swasta, sebelum dijangka dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, di Subang untuk diterbangkan ke Kuching, Sarawak pada 1 tengah hari.

Jenazah Allahyarham turut diiringi isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib dan anak, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib.

Abdul Taib, 87, meninggal dunia pada 4.40 pagi tadi selepas menerima rawatan selama kira-kira seminggu di hospital berkenaan.

Jenazah dibawa ke Lapangan Terbang Subang

Dari Masjid Negara, jenazah Taib Mahmud sudah dibawa ke Lapangan Terbang Subang, sebentar tadi.

Allahyarham dibawa dengan van jenazah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dari Masjid Negara pada 12.30 tengah hari.

Beberapa kenderaan yang dinaiki ahli keluarga Allahyarham turut mengiringi van jenazah ke lapangan terbang, sebelum jenazah dibawa menaiki penerbangan ke Sarawak pada 1 tengah hari.

Jenazah dijangka tiba di Lapangan Terbang Kuching, Sarawak, pada 3.30 petang sebelum dibawa ke kediamannya di Demak Jaya, Sarawak, untuk penghormatan terakhir.

Terdahulu, pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra berangkat tiba bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang juga Ketua Menteri Sarawak paling lama.

Turut kelihatan pada majlis penghormatan terakhir bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak itu adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam; dan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa.

Upacara penghormatan terakhir turut dijangka diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada esok, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Demak, selepas solat Zuhur.

Bendera Sarawak separuh tiang

Bendera Sarawak, Ibu Pertiwi dikibar separuh tiang sebagai menghormati pemergian Taib Mahmud.

Semua premis mula menurunkan kibaran bendera sejurus menerima arahan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki pagi tadi.

Turut diturunkan, bendera ikonik di Dataran Ibu Pertiwi yang terletak bersebelahan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Jenazah Taib Mahmud akan ditempatkan di kediamannya di Demak Jaya dan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak jam 8 pagi esok untuk penghormatan terakhir hingga 11.30 pagi.

Jenazah Allahyarham akan disemadikan dalam upacara pengebumian negeri di Tanah Perkuburan Demak Jaya, petang esok.

Sumber : Berita Harian