Memaparkan catatan dengan label Palestin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Palestin. Papar semua catatan

Ahad, November 05, 2023

Tidak mudah patahkan Hamas - Pakar


 

Seminggu selepas menghantar tentera darat ke Gaza, Israel berkata, tenteranya mengepung Gaza City di utara wilayah, membunuh 10 komander Hamas yang membantu merancang serangan ke atas rejim zionis pada 7 Oktober lalu dan mencatatkan kejayaan mengagumkan, menurut Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Tentera Israel kelihatan dalam proses memotong dua Semenanjung Gaza, di selatan Gaza City. Menjelang Jumaat, mereka sudah mara kira-kira 15 kilometer (km) dari sempadan Gaza-Israel di sepanjang jalan pantai, bersebelahan Hospital Persahabatan Turkiye-Palestine, di selatan Gaza City.

Sementara itu, Hamas berkata, ia sedang memerangi perisai Israel di timur lokasi itu, di Juhor ad-Dik, menunjukkan tentera Israel beroperasi hampir merentasi Semenanjung Gaza, dari pantai ke sempadan.

Pertempuran berterusan ke belakang kedudukan itu. Sumber yang bersekutu dengan Hamas berkata, pertempuran sedang berlangsung di Beit Hanoun, di sudut timur laut Semenanjung Gaza.

Israel mendakwa, kem pelarian Jabalia di utara Gaza City adalah hab rangkaian terowong Hamas yang digunakan untuk simpanan senjata, kedudukan tembakan roket dan terowong menuju ke pantai.

Israel, tanpa memberikan bukti jelas untuk menyokong dakwaanya itu, meratakan sebahagian besar Jabalia dalam serbuan udara selama tiga hari, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 50 rakyat Palestin.

Sejak serangan Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober lalu yang mengorbankan lebih 1,400 orang, pengeboman udara Israel ke atas Gaza, yang kini disertai serangan darat, sudah meragut lebih 9,400 nyawa rakyat Palestin, termasuk hampir 4,000 kanak-kanak.

Jumaat lalu, konvoi ambulans dari Gaza City menuju selatan Gaza dibom, dengan sekali lagi, Israel mendakwa, tanpa memberikan bukti, bahawa pejuang Hamas berada dalam ambulans. Tindakan itu membunuh 15 orang.

Bagaimanapun, Israel masih gagal menghapuskan keupayaan Hamas untuk melancarkan roket yang menyasarkan kedudukan tentera di Israel, dengan kira-kira 12 serangan sehari, sepanjang minggu, walaupun ia menurun kepada sembilan serangan roket pada 3 November lalu.

Pada 25 Oktober lalu, Netanyahu mengisytiharkan matlamat Israel dalam beberapa hari akan datang adalah "untuk menghapuskan Hamas dengan memusnahkan keupayaan ketenteraan dan tadbir urus selain untuk melakukan segala yang mungkin untuk mendapatkan kembali tebusan kami".

Tentera Israel menguji tindak balas Hamas dengan pencerobohan terhad ke utara Gaza pada malam berikutnya, menggunakan jentolak, sebelum melakukan beberapa lagi serangan darat ke atas Gaza pada malam 27 Oktober, kali ini disokong helikopter tempur.

Pada 28 Oktober, Israel melancarkan serangan daratnya, tepat tiga minggu selepas serangan Hamas ke atas Israel selatan.

Pencerobohan itu disertai dengan pemadaman telekomunikasi, memotong akses internet dan telefon di Semenanjung Gaza.

Pakar memberitahu Al Jazeera, kedua-dua serangan Hamas dan tindak balas Israel menandakan pelepasan daripada konfrontasi masa lalu antara mereka dalam skala dan begitu kompleks.

"Apa yang kita lihat sejak 7 Oktober adalah jenis peperangan hibrid baharu," kata profesor kajian strategik di Lumsa Master School–University, Matteo Bressan.

"Hamas dapat melancarkan 6,000 roket ke Israel dan jumlah itu menunjukkan keupayaan ketenteraan yang tidak pernah dimiliki Hamas pada masa lalu.

"Persoalannya adalah bagaimana mungkin Hamas sudah melakukan 20 serangan di 20 kampung berbeza. Ini bermakna Hamas mempunyai latihan dan persediaan yang jelas untuk melakukannya," kata Bressan.

Briged Qassam, sayap bersenjata Hamas, berkata mereka menyasarkan roket ke reaktor nuklear Israel dan kemudahan penyelidikan di Dimona, kali pertama mereka melakukannya.

"Itulah sebabnya tindak balas Israel berbeza daripada masa lalu... ia tidak mudah dan ia akan mengambil masa untuk Israel," kata Bressan.

Komander pasukan khas Amerika Syarikat (AS), Demetries Andrew Grimes berkata kepada Al Jazeera, Hamas sudah bersiap sedia untuk kempen ini agak lama dan menembak banyak roket.

"Banyak bateri roket Hamas tertimbus di bawah tanah atau dikerahkan melalui rangkaian terowong di bawah Gaza," katanya.

Beliau menyifatkan matlamat Israel untuk memusnahkan Hamas sebagai "usaha yang amat mencabar". 

Sumber : AGENSI


Selasa, Oktober 10, 2023

Pejuang Palestin bedil 5,000 roket ke Israel


Beribu-ribu roket dilancarkan ke arah Israel dari Semenanjung Gaza pada waktu subuh semalam ketika pejuang Palestin menyelinap masuk ke Israel dengan sekurang-kurangnya seorang dilaporkan terbunuh.
Berbilang roket meluncur ke ruang udara dari pelbagai lokasi di seluruh wilayah Palestin itu selepas bedilan pertama berlaku pukul 6.30 pagi (waktu tempatan), lapor wartawan agensi berita AFP di Gaza.
Serangan itu berlaku susulan peningkatan keganasan selama beberapa bulan melibatkan konflik Israel-Palestin, manakala kematian di wilayah Tebing Barat yang diduduki Rejim Zionis mencecah angka yang belum pernah direkodkan selama bertahun-tahun.
Sementara itu, siren kecemasan bergema di selatan dan tengah Israel dengan tentera menggesa orang ramai berpindah ke pusat-pusat perlindungan bom.
Wartawan AFP di Baitulmuqaddis mendengar beberapa roket dipintas sistem anti peluru berpandu ‘Kubah Besi’ selain bunyi siren di seluruh bandar yang lebih kuat berbanding mana-mana konflik sejak tiga tahun lalu.
Pejuang Palestin mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan udara itu, dengan mendakwa bahawa pihaknya telah melancarkan lebih 5,000 roket. 
Akhbar The Guardian melaporkan, sebagai tindak balas kepada serangan yang mengejutkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Israel telah mengisytiharkan ‘situasi  perang’.
“Sebilangan pengganas telah menyelinap masuk ke wilayah Israel dari Semenanjung Gaza,” kata IDF dalam satu kenyataan sambil menambah, penduduk di sekitar Semenanjung Gaza diarahkan untuk tinggal di rumah mereka. 
– AFP/Agensi

Isnin, Mei 17, 2021

Cahaya berwarna bendera Palestin di drawbridge

 

Selepas Menara Kuala Lumpur dan Alor Setar, malam ini mercu tanda ikonik Terengganu, jambatan angkat atau drawbridge pula dilimpahi cahaya lampu berwarna bendera Palestin.

Pengerusi TI Properties Sdn. Bhd., Maliaman Kassim berkata, inisiatif itu sebagai tanda solidariti dan sokongan kerajaan negeri dan seluruh rakyat terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Katanya, pemasangan lampu berkenaan bermula dari pukul 7 malam hingga 12 tengah malam selama seminggu dan berakhir Ahad ini.

“Sepanjang tempoh itu, cahaya lampu di jambatan angkat dihiasi warna merah, hijau, hitam dan putih sebagai simbolik kepada bendera Palestin.

“Ini sebagai tanda kebersamaan Terengganu terhadap denyut nadi rakyat Palestin yang ditindas rejim zionis Israel,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sabtu lalu, Menara Kuala Lumpur dan Menara Alor Setar menarik perhatian ramai kerana dilimpahi cahaya berwarna bendera Palestin.

Jambatan angkat sepanjang 638 meter dengan bahagian tengahnya (bascule) yang boleh diangkat untuk laluan kapal itu baru-baru ini diiktiraf sebagai ikon pelancongan baharu terbaik Malaysia pada Anugerah Kecemerlangan Pelancongan Dunia 2020. 

Sumber : Kosmo!

Khamis, Ogos 24, 2017

Kerajaan masih tanggung rawatan penjawat awam, pesara di IJN



Kerajaan masih menanggung kemudahan perubatan pesakit pegawai kerajaan, pesara Persekutuan serta pesakit kurang mampu yang mendapatkan rawatan di Insitut Jantung Negara (IJN).

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr Chen Chaw Min berkata bagi pegawai Persekutuan, kerajaan turut menanggung kemudahan perubatan untuk keluarganya sama ada suami/isteri, anak berumur bawah 18 tahun atau sekiranya masih belajar di bawah umur 21 tahun serta ibu bapa yang sah."Bagi pesakit yang kurang mampu, mereka perlu mendapat rujukan dari pakar perubatan umum, pakar kardiologi dari hospital atau klinik kerajaan sahaja,” katanya.

Dr Chen berkata demikian ketika mengulas maklumat yang tular di media sosial kononnya kerajaan Persekutuan tidak lagi menanggung kemudahan perubatan penjawat awam di IJN.

Beliau berkata kerajaan sentiasa komited untuk memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat dengan kerajaan membelanjakan RM435.65 juta untuk membiayai kos rawatan pesakit tanggungan kerajaan di IJN pada tahun lepas.

- Bernama

Isnin, November 19, 2012

Umat Islam digesa boikot produk Israel

Umat Islam digesa memboikot segala bentuk perkara yang berhubung kait dengan Israel termasuk produk keluaran rejim itu sebagai tanda protes ke atas kekejaman mereka membedil Gaza.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata usaha itu boleh dilaksanakan seluruh umat Islam bagi membuka mata Israel bahawa masyarakat dunia menolak segala bentuk kezaliman terhadap rakyat Palestin.

Kita mengecam sekeras-kerasnya kekejaman Israel ke atas penduduk Palestin. Kita bukan saja ambil kira faktor kemanusiaan dan keagamaan, tetapi hakikatnya manusia sejagat tak dapat menerima kekejaman. Kita harapkan pelaksanaan segala macam (tindakan) yang boleh mem-berikan tekanan terhadap Israel.

Tak kiralah jika ia pemulauan produk dikeluarkan Israel atau segala yang berkait dengan rejim itu supaya mereka sedar kekejaman menumpahkan darah di bumi Palestin adalah sesuatu yang tak wajar, katanya selepas merasmikan Majlis Khatan Perdana di Hospital Yan, di Yan, Kedah.

Pada masa sama, Jamil turut meminta umat Islam di negara ini berganding bahu dengan mengimarahkan surau dan masjid, melakukan solat hajat memohon keselamatan rakyat Palestin kerana serangan udara itu hanya permulaan Israel yang dijangka melancarkan serangan darat nanti.

Serangan terbaru Israel yang digelar Operasi Pillar of Defence dilancarkan Rabu lalu atas alasan memburu pemimpin sayap bersenjata Hamas, Briged al-Qasam serta lokasi strategik mereka, namun turut mengorbankan 19 penduduk Palestin termasuk enam kanak-kanak.

Kerajaan Malaysia menghantar surat bantahan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak PBB mengambil tindakan tegas berhubung apa yang disifatkan tindakan ketenteraan tidak bertanggungjawab oleh Israel yang mensasarkan orang awam di Gaza.

- BERITA MINGGU

Rabu, Januari 13, 2010

Bandar moden Palestin mula dibina


ATARA, Tebing Barat - Sejumlah pekerja pembinaan mula melakukan kerja-kerja memecah tanah dalam projek yang diharapkan bakal menjadi sebuah bandar raya Palestin moden yang pertama dan terancang di sini.

Usaha itu, kata beberapa pegawai Palestin, akan menjadi langkah pertama yang akan membantu membina sebuah negara merdeka.

Kawasan yang mahu dimajukan itu dikenali sebagai bandar raya Rawabi.

Namun, rancangan tersebut menimbulkan tanda tanya ekoran kebuntuan proses damai dengan jirannya, Israel.

Tanpa kelulusan daripada pemerintah Israel untuk membina sebatang jalan raya di kawasan itu, ia mungkin menyebabkan projek bandar Rawabi bernilai AS$500 juta (RM1.67 bilion) tidak dapat disiapkan dengan lancar seperti mengikut jadual.

"Kami mampu membina bandar raya tetapi timbul persoalan, bagaimanakah penduduk di sebuah kota yang tidak mempunyai sebatang jalan keluar?" kata pengarah urusan sebuah syarikat yang mengendalikan projek itu, Bashar Masri.

Sejak awal bulan ini, ramai pekerja memecahkan bukit berbatu dekat sebuah perkampungan di Tebing Barat yang akan menyediakan 40,000 penduduk Palestin dengan kediaman mengikut gaya Amerika Syarikat (AS).

Projek itu dimajukan firma hartanah Bayti Real Estate Investment Co. di Ramallah dengan dibiayai syarikat Qatar, Diar Real Estate Investment Co. dan Massar International berpejabat di Ramallah serta dijangka mula diduduki pada 2013.

Bashar enggan mendedahkan harga kediaman tetapi beliau berkata 5,000 unit kondominium mampu dimiliki dengan bayaran bulanan serendah AS$400 (RM1,337) sehingga AS$700 (RM2,339).

- AP

Jumaat, Januari 30, 2009

Israel bedil bengkel senjata

Pesawat perang Israel mengebom sebuah bengkel pengeluaran senjata di Genting Gaza awal hari ini, selepas pejuang Palestin melancarkan sebuah roket ke wilayah Israel.

Israel melancarkan serangan itu, ketika Duta Khas Amerika Syarikat (AS) ke Asia Barat, George Mitchell berada di rantau ini dalam usaha mengukuhkan gencatan senjata yang diisytiharkan lebih 10 hari lalu.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam serangan itu yang dilancarkan oleh Israel sebelum subuh ke atas sasaran di bandar Rafah, dekat sempadan Gaza dengan Mesir.

Saksi dan pejuang Hamas berkata, sebuah bengkel membuat acuan logam mengalami kerosakan.

Sejurus sebelum itu, sebuah kumpulan pejuang yang ada hubungan dengan Parti Fatah pimpinan Presiden Mahmoud Abbas mengaku bertanggungjawab melancarkan sebuah roket ke selatan Israel lewat semalam.

Jet pejuang Israel kemudian melancarkan satu lagi serangan ke atas bandar Khan Younis mengakibatkan 18 cedera, termasuk 11 murid sekolah, seorang wanita mengandung dan seorang polis Hamas.

Serangan roket itu adalah yang pertama dari Gaza sejak Israel dan Hamas mengisytiharkan gencatan senjata berasingan pada 18 Januari lalu, bagi menamatkan kempen serangan Israel selama 23 hari ke atas wilayah Palestin tersebut.

Walaupun serangan roket hari ini tidak menyebabkan kemalangan jiwa di pihak Israel, para pemimpin Yahudi yang bakal menghadapi pilihan raya umum pada 10 Februari ini telah berikrar untuk membalas sebarang tembakan roket pejuang Palestin dari Gaza itu.

Rejim Yahudi itu semalam telah memberi amaran akan mengambil tindakan lebih keras terhadap pembunuhan seorang askarnya dalam satu letupan dekat pagar sempadan Gaza, kelmarin.

- Reuters

Khamis, Januari 29, 2009

Israel bedil terowong Palestin

Sebuah pesawat perang Israel awal hari ini, membedil beberapa terowong yang digunakan oleh rakyat Palestin untuk menyeludup barang keperluan dan senjata di sempadan Genting Gaza dengan Mesir.

Serangan tersebut dilancarkan hanya beberapa jam sebelum duta khas Amerika Syarikat (AS) ke Asia Barat, George Mitchell dijadual tiba di negara Yahudi itu.

Penduduk Palestin di pekan Rafah, Genting Gaza dan pegawai keselamatan Hamas berkata, sebilangan penduduk mula meninggalkan rumah mereka dalam ketakutan apabila pesawat berkenaan melancarkan tiga serangan sebelum subuh.

Belum ada laporan mengenai kemalangan jiwa.

Seorang jurucakap tentera Israel mengesahkan, Israel melancarkan serangan udara ke atas terowong penyeludupan di Rafah.

Bedilan itu sebagai membalas serangan pejuang Palestin di Gaza ke atas sebuah kenderaan tentera Israel semalam, kata jurucakap itu.

Dalam serangan semalam, seorang askar Yahudi maut dan tiga yang lain cedera apabila kenderaan yang mereka naiki terkena serangan bom.

Ekoran itu, Israel segera melancarkan serangan udara yang membunuh seorang lelaki Palestin yang bermotosikal dan didakwa oleh tentera Israel sebagai perancang letupan bom tepi jalan itu tetapi menurut sumber Palestin, lelaki itu hanyalah seorang petani.

Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert malam tadi berkata, pembunuhan lelaki bermotosikal itu hanyalah reaksi awal dan Israel akan melancarkan tindakan balas sepenuhnya tidak lama lagi.

Insiden berbalas-balas serangan semalam, adalah yang pertama sejak Hamas dan Israel mengisytiharkan gencatan senjata berasingan pada awal bulan ini berikutan serangan rejim Zionis selama 23 hari ke atas Genting Gaza.

– Reuters

Rabu, Januari 28, 2009

Trauma kanak-kanak Gaza

Puluhan kanak-kanak Palestin duduk berselimutkan kain berwarna-warni sambil melukis dan dikelilingi oleh persekitaran bukit-bukit timbunan runtuhan rumah mereka.

Mereka melukis kereta kebal Israel, mayat yang bergelimpangan di jalanan serta pejuang Palestin yang sedang menembak bagi menggambarkan suasana kejadian yang mereka lihat semasa serangan baru-baru ini oleh tentera Israel.

Seorang daripada kanak-kanak berkenaan, Sharif Abdel Rabbo, 11, berkata, "kami rasa seperti akan mati tidak lama lagi. Saya sedih kerana telah kehilangan rumah kediaman."

Ahli psikologi berkata, serangan selama tiga minggu oleh tentera Israel mengakibatkan lebih banyak kesan trauma berbanding konflik sebelum ini di Gaza kerana mereka tidak mempunyai tempat untuk lari menyelamatkan diri.

Kaunselor dan pekerja bantuan khuatir kanak-kanak Gaza yang merupakan 56 peratus daripada 1.4 juta penduduk akan membesar dengan perasaan benci terhadap Israel dan mudah menjadi mangsa kumpulan pelampau.

"Kami kehilangan generasi seterusnya," kata pegawai tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, John Ging di Gaza.

Bagi menentang pergerakan militan, sekolah PPB melancarkan kelas hak asasi manusia kepada 200,000 pelajar mereka minggu ini.

Di Gaza, Pusat Hak Asasi Manusia rakyat Palestin melaporkan seramai 280 kanak-kanak daripada 1,285 terbunuh sementara lebih 4,000 lagi cedera ringan.

Seorang kanak-kanak yang berlindung di sekolah PBB, Ansam Rahel, 10, terpaksa menerima jahitan besar di kepala selepas terkena serpihan bom tentera Israel yang menyerang sekolah berkenaan.

Abu Hein yang merupakan ahli psikologi yang menguruskan pusat komuniti kesihatan di Gaza City berkata, kumpulannya telah menemuramah 950 keluarga dan di antara mereka terdapat 2,180 kanak-kanak di pusat perlindungan PBB seluruh Genting Gaza.

Kebanyakan keluarga memberitahu anak-anak mereka tidak mahu berjauhan dengan mereka dan satu pertiga pula menyatakan mereka mahu tidur bersama dalam satu bilik.

Sejak gencatan senjata minggu lalu, pusat Abu Hein dan kumpulan pertolongan telah menghantar pasukan mereka ke kawasan-kawasan yang musnah untuk memberi kaunseling kepada kanak-kanak.

- AP

Isnin, Januari 26, 2009

Pakar Mercy nilai kerosakan hospital Gaza

Lapan pakar perubatan dari pasukan Mercy Malaysia kini ditempatkan di Hospital Shahid Annajar, Genting Gaza bagi menjalankan penilaian dan membuat cadangan mengenai kerosakan di hospital itu.

Timbalan Presiden (Perubatan) Mercy Malaysia, Dr. Ahmad Faizal Perdaus berkata, pasukan terbabit mendapati infrastruktur kesihatan dan kemudahan di hospital itu dan Rafah rosak teruk akibat serangan Israel baru-baru ini.

"Pakar perubatan ini mencadangkan beberapa projek yang boleh dijalankan oleh Mercy Malaysia di hospital terbabit bagi membantu menangani kerosakan.

"Kami mengenal pasti beberapa langkah yang boleh diambil ke atas hospital ini termasuk membaiki bangunan dan kelengkapan unit pemulihan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, pakar perubatan terbabit mencadangkan Mercy Malaysia menyokong dan membantu penduduk yang kehilangan rumah dan kini menginap di khemah.

Dr. Ahmad Faizal berkata, selain menilai dan membuat cadangan tentang keperluan di hospital terbabit, pasukan itu juga perlu menjalankan tugas merawat pesakit di sana mengikut kepakaran masing-masing.

Sebelum ini, katanya, enam pakar perubatan dari Mercy Malaysia dihantar ke Al-Arish, Mesir bagi menjalankan misi bantuan kemanusiaan di Gaza termasuk membekalkan perubatan.

"Ketika ini, pasukan kami di Gaza bekerja keras bagi memastikan bagaimana kami boleh membantu serta menjalankan perancangan selepas ini," katanya.

Pada masa sama, jelasnya, Mercy Malaysia sudah menghantar bekalan ubat bernilai AS$400,000 ke Gaza termasuk agen ubat pelali, rumusan antibiotik intravena, penahan sakit dan peralatan pembedahan serta perubatan.

"Mercy Malaysia dapat membantu penduduk Gaza ini menerusi dana yang disumbangkan rakyat Malaysia," tambahnya.

Rakyat Malaysia, katanya, diharap terus memberi bantuan kewangan kepada penduduk di Gaza melalui Dana Bantuan Palestin.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan kepada Mercy Malaysia menerusi akaun CIMB 1424-000-6561053 manakala bagi Maybank 5621-7950-4126. Semua cek hendaklah ditulis Dana Bantuan Palestin di belakangnya.

- Utusan

Ahad, Januari 25, 2009

Jentera propaganda Zionis

Oleh MUHAMMAD ALIAS

Dalam sejarah konflik Palestin sejak lebih 60 tahun lalu negara-negara Arab sering melepas peluang untuk merealisasikan pembentukan sebuah negara untuk rakyat Palestin. Kesilapan demi kesilapan dilakukan bermula dengan perang Arab-Israel pertama tahun 1948.

Pengajaran daripada beberapa peperangan Arab-Israel itu ialah jumlah ramainya penduduk sahaja tidak memadai. Apa yang penting ialah strategi, persediaan, latihan, persenjataan, moral dan jentera propaganda. Sayangnya hingga ke hari ini jentera propaganda merupakan kelemahan negara-negara Arab yang paling ketara.

Perkara ini terjadi di kala negara-negara Arab menguasai pengeluaran minyak mentah dunia. Malahan pelaburan Arab melimpah ruah ke negara-negara Barat khususnya sebelum tragedi 11 September 2001. Beberapa buah negara Eropah boleh dikatakan hidup kerana duit Arab.

Meskipun begitu mereka tidak berjaya mempengaruhi dan mendapatkan simpati negara-negara Barat dalam konflik Palestin. Meskipun lebih 1,300 orang menjadi korban dalam serangan Israel ke atas Genting Gaza baru-baru ini.

Namun keadaan amat berbeza dengan Israel. Negara-negara Eropah dan AS amat menyayangi Israel. Mereka sanggup menyokong Israel meskipun rejim Zionis itu sering kali berlaku zalim. Puncanya ialah jentera propagandanya yang efisien.

Kempen-kempen propaganda Israel berkembang ekoran daripada kewujudan fahaman Zionis lebih seratus tahun lalu. Perisytiharan Balfour tahun 1917 dan penubuhan negara Israel merupakan kemuncak kepada kejayaan Zionis.

Melalui propaganda yang berterusan, Zionis berjaya menguasai pengembang-pengembang agama Kristian berhaluan kanan, ahli-ahli politik, media massa dan paling penting industri perfileman Hollywood.

Sejak kewujudan Israel hampir-hampir seratus buah filem Hollywood yang bertemakan bangsa Yahudi khususnya mengenai kekejaman Nazi di samping mempertahan dan menghalalkan pembentukan negara Israel tahun 1948.

Hari ini kritikan terhadap Israel dicap sebagai 'anti-Semites.' Di beberapa negara Eropah perbuatan mempersoalkan kewujudan holocaust boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Pengaruh Israel dalam dasar luar AS jelas dinyatakan oleh John Mearsheimer dan Stephen Walt dalam buku bertajuk The Israel Lobby and U.S. Foreign Policy (Lobi Israel dan Dasar Luar Amerika) terbitan tahun 2006.

Nadi propaganda zionis berpusat di Simon Wiesenthal Center atau SWC di Los Angeles. SWC menjalankan pelbagai aktiviti bertujuan mempertahankan keselamatan bangsa Yahudi di seluruh dunia, khususnya Israel dan menentang anti-semitisme.

SWC juga terdapat di New York, Miami, Paris, Toronto, Buenos Aires and Jerusalem. SWC mendapat taraf sebagai badan bukan kerajaan (NGO) di pertubuhan-pertubuhan antarabangsa termasuk PBB, UNESCO dan Majlis Eropah (Council of Europe).

Muzium Toleransi (Museum of Tolerance) juga memainkan peranan yang sama penting dengan SWC. Objektif utama ialah mendidik dan menyebarkan tragedi yang menimpa bangsa Yahudi di Eropah dalam Perang Dunia Kedua.

Muzium ini menyediakan bacam-macam program untuk pelbagai lapisan masyarakat khususnya para pelajar dari sekolah rendah hingga ke universiti, ahli-ahli akademik, guru-guru, penguatkuasa undang-undang dan pekerja-pekerja sosial.

Sebaliknya sejak 60 tahun lalu hampir-hampir tidak ada filem-filem tentang holocaust rakyat Palestin. Sepanjang penulis ketahui tidak ada satu pun pusat dan muzium tentang tragedi rakyat Palestin seperti mana Simon Wiesenthal Center dan Museum of Tolerance.

Kenapa agaknya perkara seumpama ini tidak terlintas di fikiran pemimpin-pemimpin Arab dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Pusat ini sepatutnya dibina di AS, Eropah, Timur Tengah dan beberapa buah negara di Afrika dan Asia.

Mesir mempunyai industri perfileman yang bermutu tinggi dan dirasa mampu mengeluarkan filem-filem yang baik dengan pelaburan dari negara-negara Arab/OIC. Kesan filem-filem ini dikira dapat mempengaruhi pemikiran dunia tentang masalah yang dihadapi oleh rakyat Palestin.

Bagaimana pula dengan penubuhan sebuah badan agensi berita dan stesen televisyen OIC. Isu propaganda ini patut dipandang serius oleh OIC. Adalah lebih baik OIC membincangkan isu-isu yang mudah dipraktikkan daripada isu-isu besar dan penuh dengan retorik sedangkan sukar sekali dilaksanakan.

Sepatutnya jentera propaganda Liga Arab dan OIC memanipulasikan pembunuhan kejam terhadap penduduk Gaza baru-baru ini. Bayangkan apa yang akan terjadi sekiranya lebih 1,300 orang yang terkorban itu merupakan rakyat Israel.

Sebaliknya pemimpin-pemimpin Arab terus menerus bercakaran sesama sendiri. Sidang Kemuncak Ekonomi Arab di Kuwait menambah tebal lagi permusuhan sesama mereka sedangkan Gaza telah hampir musnah, termasuk lebih 20 buah masjid ranap dibedil Israel.

Di zaman Perang Dingin, Republik Rakyat China (PRC), India, Soviet Union, sebahagian besar negara-negara blok komunis dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Kini hampir-hampir semua menjadi rakan Israel. Nampaknya nasib rakyat Palestin semakin gelap.

- Utusan

Rabu, Januari 21, 2009

Sumbangan material lebih bermakna untuk Palestin

Sebagaimana reaksi Setiausaha Gabungan Badan NGO Malaysia, Mohd. Jurit Ramli yang hanya sekadar mampu menggelengkan kepala apabila kempen memboikot barangan Amerika Syarikat (AS) seolah-olah tidak dihiraukan masyarakat di negara ini, sebagai warga yang prihatin, kita semua turut merasakan bahawa matlamat kempen tersebut hanya akan tinggal agenda semata-mata.

Rakyat kita sudah terbiasa menjadikan waktu makan di luar terutama di restoran makanan segera sebagai trend hidup. Situasi ini sudah pasti menyebabkan rasa simpati akan hilang dalam sekelip mata apabila sudah berada di dalam restoran berkenaan, lebih-lebih lagi ketika rasa lapar mula menjengah.

Antara simpati yang melimpah terhadap mangsa kekejaman rejim Zionis dan kelaziman makan di premis seperti itu, adalah dua perkara berbeza.

Rakyat Malaysia barangkali bukannya menolak secara total kempen memboikot barangan berjenama AS dan Israel ini. Tetapi, mereka tidak nampak kesan yang dapat dilihat daripada kempen yang mendapat sambutan dingin itu.

Keprihatinan rakyat di Malaysia terhadap penderitaan yang ditanggung rakyat Palestin lebih mudah dijelmakan dengan pelbagai cara lain sebenarnya.

Paling mudah adalah menyertai mana-mana demonstrasi anjuran banyak NGO yang prihatin, selain mengadakan majlis amal untuk mengutip derma kepada Palestin.

Pada pendapat penulis, sumbangan dalam bentuk material terutamanya wang adalah lebih cekap, tepat dan bermakna pada waktu mereka terlalu mengharapkan bantuan luar ini.

Sumbangan boleh disalurkan terus kepada rakyat Palestin sama ada dalam bentuk pembelian ubatan, keperluan makanan dan pakaian.

Kita bukannya menolak kempen memboikot barangan AS dan Israel secara total, tetapi itulah realitinya. Kerajaan sendiri tidak boleh membuat keputusan mendadak membatalkan pembelian semua barangan Amerika dan sekutunya, termasuklah alatan senjata sebagaimana saranan mantan PM, Tun Dr. Mahathir.

Jika kempen memboikot itu berjaya sekalipun, kesannya mungkin hanya dirasai oleh mereka yang terlibat secara langsung dalam perniagaan francais dan pengimport yang ada di negara kita sahaja, bukannya kerajaan Amerika.

Keperluan kepada bahan asas yang amat kritikal bagi mangsa kekejaman zionis seperti ubatan di hospital, sumber makanan dan minuman yang mencukupi dan pakaian perlulah diutamakan.

Pada saat mereka kembali ke kediaman yang telah hancur dan hilang segala-galanya, tiada apa yang mereka harapkan selain memerlukan keperluan asas tersebut bagi meneruskan sisa hidup.

Sumbangan material ini juga sekurang-kurangnya dapat mengubati kesedihan mereka yang telah kehilangan ramai ahli keluarga termasuk yang cedera.

Sebagai rakyat yang begitu prihatin terhadap nasib mereka, dengan mudah boleh menyalurkan sumbangan sama ada menerusi tabung bantuan yang dianjurkan oleh media ataupun melalui tabung bantuan di masjid-masjid, pasar raya dan di tempat tumpuan awam.

Usah kita biarkan mereka hilang segala-galanya. Ahli keluarga yang cedera sekurang-kurangnya akan panjang hayat dengan bantuan ubatan. Begitu juga dengan bekalan makanan yang akan dapat membantu mereka meneruskan kehidupan tanpa perlu berlapar.

Seluruh penduduk di negara ini khasnya dan di seluruh dunia amnya akan merasa puas hati, lega dan boleh tersenyum melihat sedikit sumbangan mereka kepada penduduk Palestin.

Gaza seperti padang jarak padang terkukur


Kemusnahan yang berlaku di Genting Gaza akibat bedilan Israel selama lebih tiga minggu, digambarkan sebagai sepuluh kali lebih dahsyat daripada gempa bumi.

Rumah, kilang dan pohon zaitun yang dahulunya berdiri tegak di sebuah kawasan di pekan utara Gaza ini habis musnah dan kini hanya tinggal timbunan runtuhan.

"Kemusnahan ini sepuluh kali lebih dahsyat daripada apa yang berlaku selepas gempa bumi," kata seorang jurutera, Ashraf Faraj, 42.

Tidak ada sebuah pun bangunan yang masih berdiri sejauh beberapa ratus meter di kawasan perumahan Qirem dan Abed Rabbo di pekan ini,.

Jabaliya adalah antara kawasan pertama yang dicerobohi oleh tentera Israel yang membedil wilayah ini selama 22 hari dalam usaha untuk menumpaskan pejuang Hamas.

Seorang ahli perniagaan, Mohammad Hassan yang berumur 52 tahun tidak dapat menahan sebak apabila melihat kemusnahan di depan matanya.

Beliau telah kehilangan segala-gala termasuk rumahnya, depot tempat beliau menyimpan barang serta hotel yang dibinanya sebagai tempat penginapan untuk pelanggan.

"Mengapa mereka memusnahkan segala-galanya," rintih Mohammad yang lebih dikenali sebagai Abu Rami, tokoh popular di wilayah miskin ini.

Anggaran pertama oleh penaksir bebas menunjukkan, aset bernilai hampir AS$2 bilion (RM7 bilion) hancur musnah di Gaza, termasuk 4,100 rumah, 1,500 kilang dan bengkel, 20 masjid, 31 pejabat keselamatan dan 10 saluran bekalan air atau kumbahan.

Kebanyakan penduduk Gaza seperti Mohammad menjadi bingung melihat kemusnahan begitu meluas dan berkata, mereka tidak tahu bagaimana hendak memulakan kerja pembersihan.

- AP

Misi kemanusiaan Mercy Malaysia di Gaza

MERCY Malaysia dikenali sebagai badan sukarela antarabangsa dalam memberi bantuan kemanusiaan. Bagaimana ia memulakan operasi bantuan sebaik Israel menggempur Semenanjung Gaza 27 Disember lalu?

Mercy Malaysia adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada 1999 dengan fokus utama memberi bantuan kemanusiaan. Mercy Malaysia sudah bertindak sebagai badan bantuan kemanusiaan antarabangsa serta bertindak mengikut piawaian antarabangsa. Tujuan penubuhan ialah memberi tindak balas apabila berlaku krisis dan bencana dengan secepat mungkin iaitu antara 48 hingga 72 jam daripada bermula sesuatu krisis. Dalam kes di Gaza ini, pengeboman tentera Israel secara besar-besaran ke atas rakyat Palestin berlaku pada 27 Disember lalu. Maka Mercy Malaysia mengaktifkan mekanismenya pada 30 Disember lalu dengan menghantar pasukan pertama ke sempadan Gaza bagi menepati mandat dalam tempoh itu. Bantuan kepada rakyat Palestin dianggap perlu bagi memberi pertolongan kecemasan di wilayah berkonflik.

Apabila berlaku konflik itu, apakah tindakan pertama dirancang Mercy Malaysia dalam memenuhi misinya memberi bantuan kemanusiaan?

Dalam isu di Gaza ini, Mercy Malaysia mengambil sedikit masa iaitu antara antara 24 hingga 72 jam pertama untuk menganalisis dan mekanisme perancangan sebelum menghantar pasukan di Palestin. Pasukan pertama dianggotai Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Jemilah Mahmood; Ahli Majlis Eksekutif, Nor Azam Ab Samah dan Pegawai Program, Muhammad Fitri Muhammad Hashim, yang diberi mandat membuat penilaian dan memulakan operasi bantuan serta mengenal pasti apakah keperluan segera di sana. Mereka berada selama 10 hari di sana. Dua ahli dari Malaysia dan diperkuatkan seorang sukarelawan Malaysia yang sudah beroperasi di Sudan dan Kaherah. Selepas penilaian dibuat, didapati ada keperluan sangat tinggi dari segi bantuan perubatan berikutan ramai mangsa tercedera khususnya wanita dan kanak-kanak.

Bagaimana keadaan di Gaza sebaik pasukan bantuan kemanusiaan Mercy Malaysia tiba di sempadan Semenanjung berkenaan?

Berdasarkan penilaian pertama, kita mendapati kebanyakan hospital kekurangan banyak peralatan perubatan dan ubat-ubatan. Malah, sebelum peperangan memang keadaan hospital di Gaza serba kekurangan dari segi peralatan, perkakasan dan ubat-ubatan. Fungsi hospital tidak sempurna akibat pengepungan Israel dan sekatan dikenakan ke atas Gaza. Keadaan menjadi semakin teruk dan keperluan perubatan meningkat mendadak termasuk tenaga pakar dalam pelbagai bidang pembedahan disebabkan kecederaan dahsyat dialami. Malah, ramai pakar perubatan dan paramedik di Palestin bekerja melebihi masa serta bekerja berterusan, sesetengahnya 24 jam sehari dengan rehat yang minimum. Mereka keletihan dan mungkin boleh berfungsi dengan optimum. Keperluan tenaga pakar dari luar negara untuk menggantikan tugas mereka selain memberi bantuan berkaitan adalah amat tinggi. Oleh itu, kita juga berharap supaya dapat menghantar pasukan pembedahan secepat mungkin sejurus diberi kebenaran masuk dan menyediakan pelan mengeluarkan mereka dari Gaza jika keadaan memaksa. Dalam misi pertama ini, kita tidak membawa bekalan perubatan dari Malaysia, tetapi membeli bekalan perubatan di sana. Pasukan pertama membuka saluran logistik untuk menghantar bekalan ke Gaza melalui persimpangan Rafah. Bekalan pertama bernilai AS$100,000 (RM300,000) iaitu 50 tan bantuan kecemasan meliputi ubat-ubatan, alat perubatan pakai buang dan set pembedahan.

Apa tindakan seterusnya pasukan Mercy Malaysia?

Kita hantar dua lagi sukarelawan dari Malaysia, iaitu Mohammad Said Alhudzari Ibrahim dan Syed Zahid Syed Mohamad dan mereka menghantar bekalan tambahan bernilai AS$70,000 (RM254,000). Pasukan kedua berada di sana sejak 8 Januari dan sehingga ini masih berada di sana bagi menggantikan pasukan pertama yang pulang ke Malaysia untuk memberi maklumat. Malah, kita juga sudah menghantar pasukan ketiga, iaitu Dr Mohamed Ikram Mohamed Salleh dan Dr Al-Amin Mohamad Daud, yang bertolak pada 14 Januari lalu untuk membantu pasukan kedua dalam menentu dan memilih bahan alat perubatan penting untuk dibekalkan. Mereka diberi tugas menyelia pembelian empat ambulans untuk dihantar ke Gaza dan dilengkapi peralatan yang baik. Ketika ini ada 30 ambulans di Gaza sedangkan mereka memerlukan 40 ambulans selepas banyak ambulans musnah dibedil Israel. Oleh itu, tugas mereka juga menjadi pasukan peninjau sejauh mana pasukan perubatan dari Malaysia boleh memasuki Gaza. Kita juga sudah bersiap sedia untuk menghantar 20 doktor kebanyakannya pakar pembedahan sebaik saja pasukan peninjau itu berjaya memberi maklum balas positif serta mendapat kebenaran memasuki Gaza.

Apa rintangan dihadapi Mercy Malaysia serta badan sukarelawan negara asing yang ingin menghulurkan bantuan kemanusiaan di sana?

Halangan utama dari segi keselamatan. Malah bandar Rafah, di sempadan Gaza dibom tentera Israel. Keselamatan anggota adalah perkara utama dan tidak mahu anggota kita menghadapi risiko tinggi. Halangan lain dari segi proses untuk memasuki Gaza yang perlu mendapat kebenaran dan tapisan daripada beberapa pihak berkuasa di sana. Sebelum peperangan juga memang saringan ketat dikenakan untuk memasuki Palestin. Bagaimanapun, ada pasukan perubatan negara Arab khususnya Mesir iaitu seramai 11 orang berjaya masuk dari sempadan Rafah dan sekumpulan doktor perubatan Eropah (Norway) dibenarkan masuk melalui persimpangan Gaza dan Israel, selain Pasukan Bulan Sabit Merah Antarabangsa. Laporan akhir juga ada pasukan sukarelawan antarabangsa berjaya masuk, tetapi kita tidak pasti jumlahnya.

Sejauh mana kerjasama diberikan pihak berkaitan termasuk badan sukarelawan antarabangsa?

Sekarang kita mendapat kerjasama yang baik daripada Kedutaan Malaysia yang membantu menghantar pasukan perubatan, bekalan peralatan dan kelengkapan perubatan. Setakat ini tidak ada halangan besar daripada pihak lain. Mercy Malaysia bekerjasama dengan Kesatuan Perubatan Arab, Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir, Kementerian Kesihatan Palestin dan Hospital Al-Ahli Arab. Mereka membantu menghantar bantuan bekalan perubatan ke pusat perubatan di Palestin sepanjang waktu kecemasan itu. Selepas gencatan senjata dan perhubungan infrastruktur dan komunikasi yang lebih baik, Mercy Malaysia sudah ada kerjasama dengan sukarelawan antarabangsa seperti Pertubuhan Perubatan Palestin dan Save The Children, United Kingdom serta beberapa pertubuhan sukarelawan antarabangsa lain.

Apakah pelan perancangan membantu rakyat Palestin secara keseluruhan selepas tamat peperangan seperti yang pernah dilakukan dalam konflik berkaitan di negara lain?

Untuk Gaza, Mercy Malaysia sudah merangka strategi dalam tiga fasa. Pertama, fasa kecemasan, iaitu selama mana perang berterusan dan itu yang sedang dihadapi sekarang. Setakat ini, dalam fasa kecemasan ini, kita sudah membelanjakan sebanyak AS$300,000 (RM1.5 juta) dan menjangkakan membelanjakan sekurang-kurangnya AS$200,000 lagi diperlukan atau jumlah keseluruhan untuk perubatan sebanyak saja mencecah AS$500,000 dan ia tidak termasuk pembelian ambulans dan Bank Darah Bergerak yang akan meningkat kepada AS$900,000 (RM3.15 juta). Fasa kedua, sejurus selepas gencatan senjata dicapai, masih lagi dikatakan fasa kecemasan dari segi kemanusiaan walaupun perang sudah berhenti. Oleh itu, modus operandi dan bantuan kita banyak mirip kepada bantuan kecemasan berikutan masalah komunikasi dan perhubungan serta bekalan makanan, air dan perubatan masih kekurangan. Fasa kedua, kita membelanjakan AS$250,000 (RM875,000) (jika dapat dana lebih dari Malaysia), kita memberi bantuan yang lebih. Fasa ketiga, ialah berkaitan pemulihan iaitu perancangan jangka pendek dan panjang. Justeru, kita akan merancang membantu memulih dan menambah baik peralatan perubatan yang rosak akibat peperangan itu, keperluan program psikologi sosial, pembangunan kapasiti modal insan, program latihan khusus dalam bidang perubatan (pembedahan, trauma dan sebagainya). Peruntukkan awal ialah sebanyak AS$250,000 (RM875,00).

Setakat ini, berapa dana dan sumbangan diterima daripada kerajaan dan rakyat kepada Mercy Malaysia untuk membantu rakyat Palestin?

Mercy berbesar hati dan berterima kasih dengan sumbangan RM1 juta daripada kerajaan, Petronas AS$300,000 (RM1.5 juta) serta pihak lain. Sehingga ini, kira-kira RM5.5 juta dikumpulkan. Kita masih perlu lagi sumbangan untuk diberikan secara optimum bagi memulihkan Palestin, akibat peperangan di Semenanjung Gaza.

Setiap krisis yang berlaku, Mercy lazimnya akan menerima sumbangan daripada badan korporat, NGO dan orang ramai untuk membantu mangsa bencana dan krisis tertentu. Selain itu Mercy Malaysia mempunyai Tabung Kemanusiaan Umum yang mana orang ramai boleh menyalur derma menerusi cek kepada CIMB (nombor akaun 14240006561053 atau Maybank (562179504126) atas nama Bantuan Kemanusiaan Mercy Malaysia atau hubungi kami 03-22733999 atau layari www.mercy.org.my

- Berita Harian

Kemenangan besar Palestin

Ketua kerajaan Hamas, Ismail Haniyeh menggambarkan perang di Genting Gaza sebagai "kemenangan besar" untuk seluruh rakyat Palestin.

Perdana Menteri kerajaan Hamas di Gaza itu berkata, kempen tentera Israel selama 22 hari itu telah gagal mencapai matlamatnya, selain gagal mematahkan semangat penduduk Palestin.

"Allah telah memberi kita kemenangan besar, bukan untuk satu puak atau satu parti atau satu wilayah, tetapi untuk seluruh rakyat kita.

"Kita telah berjaya menghentikan serangan dan musuh gagal mencapai sebarang matlamatnya," kata Ismail dalam ucapan di televisyen lewat semalam.

Beliau berkata demikian kurang 24 jam selepas Israel menamatkan keganasannya di Gaza yang telah membunuh lebih 1,300 penduduk Palestin.

Ismail telah menyembunyikan diri sejak bermulanya serangan Israel pada 27 Disember lalu, tetapi pernah membuat dua kenyataan di televisyen bagi menjanjikan kemenangan di tengah-tengah serangan paling dahsyat rejim Zionis ke atas wilayah Palestin ini.

Beliau mengesahkan keputusan Hamas awal semalam untuk menguatkuasakan gencatan senjata selama seminggu bagi membolehkan Israel mengundurkan semua askarnya dan membuka semula pintu sempadan Gaza.

"Kumpulan-kumpulan pejuang memutuskan untuk menghentikan tembakan di Gaza supaya askar musuh boleh berundur sepenuhnya.

"Keputusan ini membuktikan Hamas mengambil tindakan betul dan bertanggungjawab dan berusaha untuk memenuhi kepentingan rakyat," katanya.

Askar Israel mula berundur dari Gaza selepas gencatan senjata yang diisytiharkan oleh rejim Yahudi itu mula berkuat kuasa pada pukul 2 pagi semalam (8 pagi semalam waktu Malaysia).

Rejim tersebut bagaimanapun belum menetapkan tarikh untuk mengundurkan semua askarnya.

- AFP

Isnin, Januari 19, 2009

Pengajaran di sebalik Palestin

Hari ini genap seminggu keganasan di Palestin berlaku dan Israel masih belum memberikan sebarang petanda untuk menamatkannya. Mereka belum puas menjarah bumi Gaza dan lebih menyedihkan kanak-kanak dan wanita yang tidak berdosa menjadi mangsa.

Tidak dinafikan serangan ini sememangnya telah dirancang teliti oleh Israel. Serangan ini dari awal lagi sangat berat sebelah dengan pelbagai kelengkapan peperangan yang canggih merangkumi laut, udara dan darat digunakan Israel untuk menewaskan musuhnya yang langsung tidak setanding.

Pejuang Hamas hanya mampu melancarkan serangan balas yang sangat tidak seimbang serta taktik serangan gerila yang dilihat lebih efektif ketika dalam ruang yang sempit.

Pasukan tentera khas Israel dengan sokongan kereta kebal dan jet pejuang, terus mara di beberapa kawasan kejiranan di selatan Gaza, namun pejuang Palestin hanya mampu menghalang dengan bom, serangan mortar dan senjata api yang ketinggalan zaman.

Angka korban meningkat lebih 1,200 orang dengan lebih 335 kanak-kanak dan 100 wanita terbunuh. Jumlah mereka yang cedera melibatkan lebih 5,000.

Genting Gaza berdepan dengan lebih 60 bedilan udara yang disasarkan ke atas tapak pelancaran roket, kemudahan simpanan senjata, bangunan milik Hamas dan terowong rahsia yang menghubungkan sempadan Gaza dengan Mesir.

Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh menegaskan bahawa pejuang Palestin yang terbunuh dalam konflik ini akan menjadi "sumpah yang akan menghantui" Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush untuk seumur hidupnya. Setakat ini, sekitar 400 penduduk Palestin yang terkorban ialah wanita dan kanak-kanak dan golongan tua.

"Kita sedang menuju ke arah kemenangan. Darah yang mengalir tidak akan tumpah dengan sia-sia kerana ia akan membawa kemenangan. Insyallah," kata Ismail.

Sampai bilakah kekejaman Yahudi ini akan berterusan. Berapa banyak lagikah nyawa rakyat Palestin yang tidak berdosa akan melayang begitu sahaja? Mereka hanya mentertawakan kita dari puncak kuasa tentang usaha kita yang hanya mampu merusuh, berdemontrasi dan memungut derma.

Konflik di Gaza ini sesungguhnya tiada jalan lain untuk penyelesaiannya melainkan umat Islam itu sendiri yang perlu menanganinya.

Kita sememangnya tidak boleh bergantung harap kepada sekutu yang juga pelindung utama Israel, AS dan negara-negara Barat malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana semua negara ini umpama kuda tunggangan Yahudi.

Negara kuasa besar dunia bagaikan tidak mempunyai kemampuan untuk bertindak. Negara-negara Islam sendiri hanya mampu mengutuk tindakan biadap Israel yang disokong sekutunya Amerika Syarikat.

Setakat ini tiada sebarang petanda perang berat sebelah ini akan berakhir, namun apa yang pasti Israel akan menggunakan sepenuhnya peluang ini untuk melumpuhkan Hamas dan dan Palestin.

Mungkin perang ini akan berakhir sebaik matlamat Israel tercapai, tetapi apakah demi mencapai matlamat itu, darah penduduk Palestin yang mengalir dianggap sebagai sia-sia dan dibiarkan begitu saja.

Namun itulah hakikatnya, kekejaman Yahudi ini tidak akan berhenti sehingga matlamat mereka untuk menubuhkan negara Israel merdeka di atas bumi Palestin yang dirampas tercapai. Sesungguhnya semua ini memberi pengajaran yang sangat berguna kepada semua umat Islam bahawa apa yang berlaku di Palestin ini menunjukkan hakikat kelemahan kita.

Bukan kerana Israel terlalu kuat atau berkuasa, namun kita sebenarnya terlalu lemah sehingga maruah kita boleh dipijak bukan sahaja dari segi ekonomi, ketenteraan atau kuasa politik tetapi yang paling utama kita sangat ketinggalan dalam hal penguasaan ilmu.

Sudah sampai masanya untuk kita mengambil contoh Yahudi yang sangat bersatu dalamlmempertahankan agama dan bangsa mereka sebagai senjata untuk kita bangkit kembali selain menguasai sumber ilmu.

Dekad lepas merupakan zaman gelap bagi umat Islam kerana pelbagai peristiwa sukar berlaku, namun jika kita masih belum sedar dan mengambil iktibar atas apa yang berlaku terutama dengan apa yang berlaku di Palestin, adalah tidak mustahil kita akan terus dilingkari kegelapan sebegini untuk tempoh sedekad lagi.

Ahad, Januari 18, 2009

Gencatan senjata Israel

Israel bersiap sedia untuk melaksanakan gencatan senjata sebelah pihak tetapi menegaskan tidak akan berundur dari Semenanjung Gaza selepas 22 hari membedil wilayah Palestin dan membunuh 1,199 orang, termasuk 410 kanak-kanak serta mencederakan 5,300 orang.

Bagaimanapun Hamas yang menguasai Gaza, menegaskan kumpulan itu akan terus menyerang Israel selagi tentera rejim Zionis itu meneruskan pencerobohan di wilayah Palestin.

Hasrat Tel Aviv itu dibuat selepas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) lewat kelmarin bersetuju mendesak pelaksanaan gencatan senjata segera dan berpanjangan serta pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Gaza.

Bagaimanapun, badan dunia itu menolak deraf lebih keras terhadap rejim Zionis berkenaan yang dikemukakan sebilangan negara termasuk Malaysia, Indonesia, Ecuador, Venezuela, Iran, Syria dan Nicaragua.

Kabinet Keselamatan Perdana Menteri Israel Ehud Olmert mengadakan mesyuarat lewat petang semalam berhubung gencatan senjata yang dicadangkan Mesir.

Mengikut gencatan senjata itu, Israel merancang menghentikan bedilan selama 10 hari tetapi mengekalkan kehadiran tenteranya di Gaza.

Pintu masuk ke wilayah itu yang bersempadan dengan wilayah dicerobohi Israel dan Mesir akan terus ditutup sehingga peraturan keselamatan diwujudkan atas alasan mahu menghalang penyeludupan senjata ke Gaza.

Mesir yang dibantu pasukan keselamatan antarabangsa juga akan menutup semula laluan penyeludupan senjata dan memulakan rundingan membuka pintu masuk pada masa yang akan ditentukan kemudian.

Radio Israel melaporkan, sidang kemuncak gencatan senjata yang akan diadakan di Kaherah hari ini akan dihadiri Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan pemimpin Israel.

Sementara itu, pegawai Hamas Osama Hemdan berkata kumpulan itu akan terus memerangi tentera Israel selagi ia tidak berundur.

"Kami tidak melihat mereka akan berundur di bawah gencatan senjata sebelah pihak ini.

"Selagi ia kekal di Gaza, pemberontakan dan serangan kami akan diteruskan," katanya.

Dalam pertempuran semalam Israel meneruskan serangannya ke atas Gaza, termasuk membedil sebuah sekolah PBB yang meragut nyawa dua kanak-kanak lelaki.

- AFP / Reuters

Recent Posts