DIDIK TV Kementerian Pendidikan (KPM) menampilkan kelainan merangkumi
tiga aspek utama bagi mengukuhkan kualiti pembelajaran dan pengajaran.
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata
saluran khusus yang mula dipancarkan di seluruh negara, berkuat kuasa
hari ini itu berbeza dengan slot TV Pendidikan.
Katanya, slot TV pendidikan yang diwujudkan sebelum ini, sejak
pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu
berdepan kekangan masa, sekali gus merencatkan kualiti pembelajaran
murid dan pelajar di rumah.
Beliau berkata, saluran DIDIK TV KPM yang mula bersiaran hari ini
bakal menjadi ruangan khusus untuk masyarakat mendapatkan input
menyeluruh berkaitan dunia pendidikan negara, bermula daripada aspek
pengajaran dan pembelajaran (PdP) sehingga program pembangunan sahsiah
murid.
"Saluran ini tidak hanya menumpukan kepada pembelajaran kurikulum
semata-mata, sebaliknya mempunyai fokus yang lebih menyeluruh dan
terangkum.
"Data menunjukkan 95 peratus isi rumah di luar bandar khususnya
mempunyai televisyen di rumah, sekali gus membolehkan capaian lebih
mudah murid kepada PdP.
"Kita mahu memastikan kandungan bukan sahaja menarik minat murid tapi
untuk mereka mendapatkan ilmu merangkumi ilmu kehidupan, ada (slot)
didik hibur, program antarabangsa, kemahiran, wartawan kadet untuk
mereka tunjukkan bakat dan banyak lagi.
"Kita mahu bawa mereka (pelajar) menjadi sebahagian komuniti
didalamnya. Kalau sepanjang hari cerita pasal silibus sekolah, murid
akan nampak rigid (bosan) tetapi dengan program lain mereka boleh berasa
TV ini sebahagian daripada mereka," katanya dalam temu bual menerusi
program Malaysia Hari ini (MHI) di Sri Pentas, di sini hari ini.
Menerusi DIDIK TV KPM, katanya, kementerian dapat menampilkan barisan
guru berpengalaman untuk mengajar pelajar dengan kaedah baharu yang
lebih menarik dan mudah difahami.
"Kita lihat untuk setiap mata pelajaran mengikut kesesuaian guru dan
kaedahnya. Dalam subjek yang agak susah, contohnya Cikgu Rohani mengajar
Matematik Tambahan memang berjaya walaupun kita tahu ini subjek sukar.
"Beliau berjaya menjelaskan mengapa begitu dan begini. Konteks
memilih guru ini juga kita akan melihat guru yang paling sesuai dengan
mata pelajaran yang mahu diajar," katanya.
Radzi mengakui pada awal pengenalan TV Pendidikan, ia melalui tempoh
kesukaran dan cabaran tertentu yang akhirnya memerlukan untuk
kementerian cepat bertindak dan mencari penyelesaian yang lebih jitu.
"TV Pendidikan pada peringkat awal PKP (Perintah Kawalan Pergerakan)
pada 18 Mac tahun lalu, kita wujudkan slot TV Pendidikan yang bersiaran
selama dua jam di TV Okey RTM dan Astro.
"Apabila kita laksanakan PKP sekali lagi, ada keperluan mendesak
untuk mewujudkan kaedah penyampaian lebih menyeluruh dan dari situ kita
kembangkan serta wujudkan saluran khusus, berbanding slot khas sebelum
ini," katanya.
Beliau berkata, keputusan melaksanakan DIDIK TV KPM dibuat selepas
kementerian melihat keberkesanan slot TV Pendidikan sebelum ini,
khususnya kepada murid yang berdepan masalah akses kepada peranti dan
internet.
Dalam pada itu, Radzi menjelaskan untuk tempoh awal ini, fokus DIDIK
TV KPM akan bertumpu kepada PdP bagi pelajar yang akan mengambil
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula hujung bulan ini.
"Tumpuan kita sekarang ialah bagi anak-anak yang akan mengambil SPM
untuk membolehkan mereka membuat persediaan lebih rapi. Ini satu konteks
(fokus) yang baik.
"Apabila dilancarkan 'Road To Success' (untuk pelajar SPM), kita
lihat ramai guru berkebolehan dan kreatif, ada cara, kaedah dan
pendekatan yang boleh menarik minat pelajar dan menyampaikan silibus
dengan berkesan," katanya.
Justeru, katanya, bagi memastikan keberkesanan DIDIK TV KPM, peranan
dan sokongan semua pihak termasuk ibu bapa amat penting bagi memastikan
setiap rakyat mendapat manfaat daripada pendekatan yang dilaksana
kerajaan.
DIDIKTV Road To Success SPM (2020): https://www.youtube.com/playlist?list=PLL9CnO8V-9tvp_AF9MyM2eGttS6TjITng
Sumber : Berita Harian