Memaparkan catatan dengan label cikgu yahaya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label cikgu yahaya. Papar semua catatan

Selasa, Ogos 01, 2023

Kementerian Pendidikan mohon semakan kehakiman guru dibuang kerja kerana fobia air batalkan pemecatan

 


Hasrat Yahaya Wahi, guru Sains dan Matematik sekolah rendah di kawasan pedalaman Gerik, untuk terus mengajar masih tertangguh walaupun perintah Mahkamah Tinggi, semalam mengembalikan semula profesionnya sebagai guru selepas dipecat kerana tidak hadir selama 1,535 hari.

Kementerian Pendidikan menerusi Jabatan Peguam Negara akan membuat rayuan ke atas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy yang membenarkan permohonan semakan kehakiman Yahaya untuk membatalkan pemecatannya.

Peguam, E Ernest Balasingam yang mewakili Yahaya berkata, 'pertempuran' untuk mendapatkan keadilan terhadap guru itu akan diteruskan di Mahkamah Rayuan pada 28 Ogos ini.

Peguam kanan itu berkata, Mahkamah Rayuan dijangka menetapkan tarikh perbicaraan ketika pengurusan kes pada tarikh berkenaan

"Sebenarnya hakim (Muniandy) sudah pun menjatuhkan keputusan untuk mengembalikan semula jawatan anak guam saya dalam perkhidmatan perguruan pada Ogos 2020.

"Bagaimanapun, berikutan pandemik COVID-19, kes berkenaan belum selesai dan baru semalam hakim memberikan penghakiman penuh.

"Setakat ini, anak guam saya hanya menjalankan tuisyen persendirian," katanya ketika dihubungi.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam membenarkan permohonan semakan kehakiman Yahaya, 44, dan mengembalikan jawatannya yang sudah berkhidmat dalam profesion perguruan selama 18 tahun.

Yahaya yang fobia kepada air berikutan hampir lemas ketika kanak-kanak, gagal hadir selepas terpaksa menaiki bot ke sekolah.

Dia hanya kembali mengajar di sekolah SK RPS Kemar, Gerik selepas menemui jalan darat ke sekolah berkenaan empat tahun kemudian.

Yahaya yang ditamatkan perkhidmatannya mengemukakan permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Taiping untuk membatalkan pemecatannya dan dilantik semula sebagai guru di mana-mana sekolah lain yang boleh dilalui melalui laluan darat.

Hakim K Muniandy (Dulu Hakim Mahkamah Tinggi Taiping) dalam keputusannya di Mahkamah Tinggi di sini, berkata, Yahaya yang didiagnosis dengan fobia tertentu di bawah persekitaran semula jadi iaitu mental dan gangguan tingkah laku serta perkembangan saraf, tidak memalsukan keadaannya, malah disokong bukti perubatan berterusan dan konsisten.

Menurut semakan kehakiman itu, keadaan Yahaya ditambah lagi apabila abangnya mati lemas, yang mana beliau turut berada dekat tempat kejadian.

Katanya, Yahaya mengemukakan tiga laporan perubatan termasuk dari hospital kerajaan mengenai keadaannya.

Bagaimanapun responden tidak mengambil sebarang langkah untuk mengakui atau menafikan bukti perubatan terbabit.

Semua responden yang dinamakan dalam semakan kehakiman itu adalah Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof; Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Perak; Jabatan Pendidikan Negeri Perak; Kementerian Pendidikan dan kerajaan Malaysia.

Sumber : Berita Harian

Recent Posts