Memaparkan catatan dengan label 2022. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 2022. Papar semua catatan

Sabtu, September 10, 2022

JDT Juara Piala FA 2022

 


Johor Darul Ta'zim (JDT) menjulang Piala FA buat kali kedua selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-1 pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Kemenangan JDT itu turut menyaksikan hasrat TFC untuk menamatkan penantian 11 tahun tidak kesampaian selepas kali terakhir skuad Penyu menjuarai Piala FA pada 2011.

Harimau Selatan yang juga juara 2016 lebih menguasai perlawanan dan bermula garang menerusi percubaan Arif Aiman Hanapi yang menggegar tiang gol pada minit ke-11.

TFC yang sesekali melancarkan serangan balas ke kubu JDT turut memiliki peluang terbaik untuk meledak gol pembukaan pada minit ke-25, namun percubaan Tchetche Kipre dinafikan penjaga gol, Farizal Marlias yang bertindak bijak menutup ruang lebih awal.

Stadium Nasional bergema dengan sorakan penyokong JDT pada minit ke-34 apabila Arif Aiman berjaya meletakkan Harimau Selatan di depan selepas menyudahkan umpanan Leandro Velazquez.

Skuad kendalian Bidoglio yang dilihat lebih efektif dalam membuat hantaran berbahaya berjaya mendapatkan sepakan penalti selepas Bergson Da Silva dijatuhkan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim pada minit ke-62 dan peluang itu disempurnakan sendiri olehnya bagi mengukuhkan kedudukan Harimau Selatan.

Selepas berhempas pulas untuk merobohkan benteng kebal JDT yang diketuai Shane Lowry, Kipre menghidupkan harapan untuk TFC selepas meledak gol pertama skuad Penyu pada minit ke-76.

Namun, kedudukan itu hanya bertahan dua minit apabila Bergson terus membuktikan ketajamannya dengan meledak gol ketiga JDT selepas berlaku keadaan kelab kabut di depan pintu gol TFC.

Malah, jaringan itu juga seakan membunuh semangat sebahagian penyokong TFC yang dilihat mula meninggalkan tempat duduk penonton ketika masa sebenar perlawanan berbaki kira-kira 10 minit.

Walaupun cuba bangkit pada penghujung perlawanan, namun usaha keras barisan pemain TFC tidak berhasil dan keputusan 3-1 memihak JDT kekal hingga wisel penamat.

Sumber : Berita Harian

Isnin, September 05, 2022

7,720 calon SPM ulangan duduki peperiksaan 12 Disember 2022

 


Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) 2022 akan dilaksanakan bermula 12 hingga 14 Disember 2022.

Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan seramai 7,720 calon sudah mendaftar bagi menduduki peperiksaan SPMU 2022 di 209 pusat peperiksaan di seluruh negara, untuk tahun ini.

"Bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan ini, seramai 1,317 petugas peperiksaan dilantik untuk Ujian Bertutur Bahasa Melayu manakala seramai 1,441 lagi dilantik untuk Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Ujian Bertulis.

Lembaga Peperiksaan (LP) ingin mengingatkan semua calon peperiksaan SPMU 2022 untuk merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

Calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan," katanya dalam kenyataan.

Menurut KPM jadual peperiksaan SPMU 2022 serta Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan boleh dimuat turun dari laman sesawang rasmi LP di http://lp.moe.gov.my

Ahad, Ogos 01, 2021

Semakan Penempatan Tahun 1 Sesi 2022

 

Ibu bapa yang telah membuat pendaftaran anak mereka bagi penempatan murid tahun 1 untuk sesi persekolahan pada tahun 2022 boleh menyemak keputusan tersebut mulai 1 Ogos 2021.

Keputusan tersebut boleh disemak menerusi laman web Kementerian Pendidikan (KPM) di https://public.moe.gov.my/.

Proses pengesahan boleh dibuat berdasarkan perakuan penempatan dimana ibu bapa atau penjaga perlu membuat pengesahan penempatan secara dalam talian.

Surat penempatan dan dokumen pengesahan sekolah tidak perlu dihantar secara fizikal namun ia perlu dicetak dan disimpan untuk kegunaan ketika pendaftaran sekolah.

Ibu bapa atau penjaga yang menghadapi masalah boleh menghubungi sekolah yang ditempatkan untuk bantuan proses pengesahan tersebut.

Bagi permohonan rayuan penempatan, ia boleh dibuat secara dalam talian dan keputusan boleh disemak di dalam sistem yang sama.

 

 

Recent Posts