Oleh Dr Anuar Ahmad
Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Laporan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) bertajuk The
State of Education: One Year Into the COVID Pandemic diterbitkan April
2021, adalah kajian peringkat global berskala besar membabitkan 38
negara anggota.
Beberapa hasil kajian ini boleh diteliti dalam usaha kita
melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang sejahtera
di negara kita.
Pertama, laporan ini menunjukkan ada tiga kaedah PdPR berkesan dan
menjadi pilihan kebanyakan negara OECD, iaitu secara dalam talian,
edaran modul atau nota serta melalui siaran televisyen.
Terdapat juga beberapa kaedah PdPR lain seperti penggunaan telefon
bimbit dan siaran radio, tetapi tahap keberkesanan lebih rendah dan
kurang menjadi pilihan negara anggota OECD. Kaedah dalam talian paling
berkesan dan menjadi pilihan utama kebanyakan negara.
Namun, untuk menggunakan kaedah ini, sesebuah negara mestilah
mempunyai kemudahan internet berkualiti. Guru serta murid juga mestilah
mempunyai kemudahan peranti. Tanpa dua kemudahan ini, kaedah PdPR dalam
talian tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh, sebaliknya hanya
sebagai kaedah sampingan.
Sebagai alternatif, OECD mencadangkan pilihan kedua, iaitu
menggunakan PdPR seperti mengedarkan nota atau modul pembelajaran kepada
murid. Kaedah ini sama ada secara luar talian atau edaran tangan boleh
dilakukan bersama panduan manual atau modul pembelajaran.
Murid boleh mengulang kaji dan kemudian menyiapkan latihan. Selepas
selesai, murid boleh membuat serahan latihan kepada guru untuk tujuan
semakan dan penilaian. Sebagai sokongan kepada kaedah edaran penggunaan
telefon bimbit digalakkan murid bertanya soalan pada guru menerusi
aplikasi WhatsApp atau Telegram.
Bagaimana pula Malaysia? Kajian Kementerian Pendidikan (KPM)
bertajuk Kajian Kesediaan Murid Berkaitan Pembelajaran Secara Dalam
Talian (2020) menunjukkan 36.9 peratus murid negara ini tidak mempunyai
peranti langsung. Ini mewakili 1.85 juta murid seluruh negara.
Maksudnya, keluarga mereka langsung tidak ada peranti. PdPR secara dalam
talian tidak boleh mereka ikuti sepenuhnya.
Sementara itu, 90 peratus murid tidak mempunyai peranti milik
peribadi. Mereka masih boleh melakukan PdPR dalam talian, tetapi perlu
bergilir dengan adik-beradik lain. Selain kadar pemilikan peranti
rendah, isu capaian internet rendah dan kelajuan lemah juga menyebabkan
sebahagian besar anak-anak khususnya di luar bandar dan pedalaman tidak
dapat menjalankan PdPR dalam talian sepenuhnya.
Kajian Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP)
dan pasukan pengkaji Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM) juga membuktikan majoriti ibu bapa dan guru tidak bersedia
melaksanakan PdPR dalam talian.
Berdasarkan data kajian, fahamlah kita bahawa Malaysia belum sesuai
menggunakan kaedah dalam talian sebagai kaedah utama PdPR. Bagaimanapun,
KPM mengambil keputusan meneruskan juga. Hasilnya, ramai murid yang
tiada peranti tidak ada pilihan lain, selain terpaksa menggunakan
telefon bimbit bagi menggantikan komputer atau laptop. Penggunaan
telefon bimbit sebagai kaedah PdPR berada pada kedudukan pilihan keempat
dalam kalangan negara anggota OECD.
Mengapa perlu menyusahkan ibu bapa, guru dan pelajar sedangkan ada pilihan lain lebih sesuai dengan persekitaran kita?
Menteri Kanan Pendidikan sendiri mendedahkan kadar keciciran murid
pada peringkat sekolah rendah meningkat daripada 0.12 peratus pada 2019
kepada 0.13 peratus pada 2020. Kadar keciciran murid sekolah menengah
pula meningkat daripada 1.14 peratus kepada 1.26 peratus untuk tempoh
sama.
Selepas hampir setahun setengah berlalu, berapakah kadar keciciran murid terkini?
Terdapat dua kesilapan utama PdPR sejak 2020. Pertama, keputusan
memilih PdPR dalam talian sebagai medium utama. Sepatutnya, kita
menggunakan edaran nota, modul dan buku kerja dengan dibantu penggunaan
telefon bimbit untuk pelajar menghubungi guru atau sebaliknya.
Penggunaan PdPR dalam talian hanyalah sebagai kaedah sampingan yang
boleh digunakan oleh mana-mana sekolah yang mempunyai keupayaan internet
dan peranti.
Kesilapan kedua ialah PdPR sepatutnya menggunakan pendekatan berasaskan 'sistem pembelajaran' dan bukan 'sistem persekolahan'.
Pendekatan 'sistem pembelajaran' maksudnya tiada lagi konsep
kehadiran kelas secara seragam seperti amalan di sekolah, tetapi PdPR
tekankan aktiviti penyertaan mengikut keperluan dan kemampuan murid.
Sistem ini juga boleh berubah daripada memenuhi keperluan murid secara
'seragam' kepada keperluan berasaskan individu atau kumpulan kecil.
Keanjalan pembelajaran juga diutamakan dan tidak lagi berasaskan
jadual waktu yang rigid seperti di sekolah. Ia lebih mengutamakan usaha
kolaborasi antara ibu bapa dan guru.
KPM boleh memberikan insentif untuk menggalakkan kolaborasi ibu bapa
dan guru. Misalnya, di beberapa negara lain, diwujudkan papan pemuka,
'e-sekolah' untuk ibu bapa pantau pencapaian anak mereka.
Guru akan memasukkan markah, laporan murid dan sebagainya dalam
e-sekolah. Ibu bapa boleh semak aktiviti anak mereka tanpa mengganggu
guru selepas waktu pejabat.
Bila kita sudah memahami konsep dan prinsip 'sistem pembelajaran'
barulah direka bentuk pelaksanaan PdPR. Misalnya, mengurangkan bilangan
mata pelajaran kepada yang teras. Bagi mata pelajaran lain, KPM boleh
sediakan bahan aktiviti pada ibu bapa untuk membantu anak mereka.
KPM juga boleh menggunakan Didik TV Pendidikan untuk pengajaran mata pelajaran bukan teras.
Untuk kecilkan kumpulan PdPR, sepanjang pelaksanaan ini rombak buat
sementara tugasan guru. Guru mata pelajaran bukan teras boleh diminta
membantu mengajar mata pelajaran teras khususnya pada peringkat sekolah
rendah. Bagi melaksanakan PdPR secara berkesan, guru tidak perlu ikut
senarai murid seperti senarai kelas di sekolah lagi.
Kumpulan murid boleh dikecilkan. Amalan sekarang ada kelas PdPR
sehingga 40 pelajar. Jumlahnya sangat ramai. Bagaimana seorang guru
dapat melaksanakan PdPR berkesan dengan jumlah murid seramai itu?
KPM juga sepatutnya melaksanakan pentaksiran PdPR untuk menggantikan
Pentaksiran Bilik Darjah (PBD). Ketika PBD dibangunkan dahulu, rubrik
pentaksiran berasaskan PdP secara bersemuka dalam bilik darjah.
Apabila dibina rubrik pentaksiran baharu selari amalan PdPR,
mudahlah tugasan guru melaksanakan pentaksiran tidaklah mereka
teragak-agak memberikan markah. Yang penting semua guru jelas rubrik
yang perlu mereka taksir.
Ia juga membantu memudahkan ibu bapa untuk membantu murid, manakala
murid sendiri memahami lebih jelas apakah yang mereka perlu lakukan
untuk mendapat markah yang baik.
Sumber : Berita Harian