Memaparkan catatan dengan label guru kpm. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label guru kpm. Papar semua catatan

Jumaat, November 03, 2023

Calon guru boleh semak permohonan mengajar mulai 3 Nov 2023

 


Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan, seramai 9,552 graduan pendidikan ditawarkan jawatan guru gred DG41 bagi pengambilan tahun ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, keputusan itu diumumkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) hari ini dan urusan semakan permohanan boleh disemak mulai 3 Nov 2023 (Jumaat).

“Urusan pengambilan guru bagi tahun2023 sedang dilaksanakan oleh SPP dan calon guru akan mendapat keputusan berkaitan permohonan di laman web SPP : www.spp.gov.my

“Mereka semua akan mengisi 9,552 kekosongan jawatan guru di seluruh negara,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 bagi Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat.

Sementara itu, menyentuh mengenai isu kekurangan guru di sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), Fadhlina berkata, ia bersifat dinamik dan dipengaruhi oleh pelbagai faktor.

“Berdasarkan data yang dibuat oleh KPM, jumlah perjawatan guru bagi sekolah KPM adalah 431,229 orang dengan jumlah diisi adalah 410,336.

“Jumlah kekosongan adalah dinamik dan akan berubah sifat sementara disebabkan guru keluar daripada sistem atas pelbagai faktor termasuk guru bersara, meninggal dunia, letak jawatan dan sebagainya,” katanya.

Selasa, Mei 16, 2023

Guru subjek kritikal kurang, KPM buka peluang kepada graduan universiti swasta

 


Kementerian Pendidikan (KPM) mempertingkat sinergi dan kerjasama strategik dengan agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mengatasi isu kekosongan guru dalam mata pelajaran kritikal.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, beberapa kaedah dan pendekatan strategik telah dipersetujui dan akan dilaksanakan termasuk peluasan kluster mata pelajaran bagi membolehkan lebih ramai calon berpotensi dilantik sebagai guru.

“Bagi mengatasi isu kekosongan guru dalam mata pelajaran kritikal, KPM bersama-sama SPP telah memperkasakan kaedah yang lebih strategik dalam urusan pengambilan guru baharu.

“Pengambilan juga diperluaskan kepada graduan-graduan berpotensi tinggi dari universiti swasta dan universiti luar negara bagi mata pelajaran kritikal yang calonnya sukar didapatkan dari universiti awam, seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Rekabentuk dan Teknologi dan Pendidikan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-52 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Terdahulu, langkah itu antara 10 prakarsa yang diumumkan beliau yang menjadi fokus baharu Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membantu mengurangkan kos sara hidup, merancakkan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan negara.

Mengulas lanjut beliau berkata, sekiranya pelbagai kaedah strategik yang dilaksanakan masih gagal memenuhi kekosongan, maka pelantikan guru secara Contract of Service (CoS) dalam kalangan graduan yang tidak mempunyai ikhtisas pendidikan juga akan dilaksanakan.

“Guru-guru lantikan CoS ini akan dipersiapkan dengan ilmu, kemahiran dan sikap yang sesuai melalui Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan selama setahun sebelum dilantik tetap oleh SPP.

“KPM dan SPP akan sentiasa mengenal pasti pendekatan strategik lain dari semasa ke semasa untuk meningkatkan kualiti dan kompetensi guru baharu,” katanya.

Sumber : KOSMO!

Ahad, Jun 20, 2021

Pengambilan Khas Guru KPM seramai 18,000 orang

 


Kementerian Pendidikan (KPM) akan membuat pengambilan khas guru secara 'one-off' bagi mengisi kekosongan guru yang dihadapi di seluruh negara terutama di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata ia akan membabitkan pengambilan sejumlah 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41.

Iklan pengambilan itu akan disiarkan pada 7 Julai ini manakala penempatan secara berperingkat-peringkat bermula pada Oktober nanti.

Katanya, usaha berkenaan adalah perancangan KPM bawah Pelan Pemulihan Negara yang sebelum ini diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, ketika ini KPM berdepan cabaran kekurangan calon guru dari Institut Pendidikan Guru (IPG) selain ketidaksepadanan opsyen mata pelajaran.

"KPM memerlukan untuk mata pelajaran tertentu tetapi bekalan tidak banyak.

 

"Wujud keadaan apabila agak sukar untuk KPM mengambil guru baharu bagi memenuhi kekosongan yang ada," katanya pada Sidang Media Khas, yang dijalankan secara maya, pagi ini.

Radzi berkata, antara mata pelajaran dikesan mengalami kekurangan guru adalah Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi di peringkat sekolah rendah.

Beliau berkata, di sekolah menengah, antara mata pelajaran yang menunjukkan kekurangan guru adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi.

Katanya, pengambilan khas guru itu adalah satu usaha bersama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Perguruan (SPP) selepas ketiga-tiga pihak meneliti serta mengenal pasti kekangan dan pendekatan yang boleh diambil bagi merapatkan jurang kekurangan guru sedia ada bagi memastikan ia tidak berlaku lagi di masa depan.

Susulan itu, JPA sudah memberi kelulusan khas untuk pengisian jawatan guru, yang kemudian membolehkan KPM mendapat persetujuan SPP dalam proses lantikan guru.

Radzi berkata, pihaknya menyedari, isu kekurangan guru itu tidak akan dapat diselesaikan jika kementerian masih melihat dan menggunakan pendekatan lama.

"Melalui pendekatan baharu ini kita dapati antara punca bekalan itu terhad apabila guru dengan opsyen tertentu hanya boleh mengajar mata pelajaran tertentu saja.

"Dalam konteks lain, guru ini juga boleh mengajar mata pelajaran berbeza atau hampir dengan ruang lingkup sama. Justeru apabila kita membuat kajian mendalam kita dapati, terdapat keperluan untuk mewujudkan kluster opsyen mata pelajaran," katanya.

Beliau berkata, melalui kluster opsyen mata pelajaran, bakal guru yang akan diambil dalam pengambilan khas itu akan disusun mengikut kelayakan dan kelulusan mereka mengikut kluster tertentu bagi membolehkan ruang atau kelompok tertentu sumber bekalan itu lebih luas.

Katanya, ia bagi membolehkan pemilihan calon berkelayakan bagi opsyen mata pelajaran yang memerlukan pengisian.

Selain itu, beliau berkata, KPM akan mengadakan kepelbagaian kaedah pelantikan berbanding sebelum ini yang hanya memberikan tumpuan kepada kaedah tertentu saja.

Biarpun, pengambilan khas itu akan memberi tumpuan kepada calon yang mempunyai iktisas pendidikan, Radzi berkata ia tidak akan terhenti di situ saja, sebaliknya KPM akan melihat pengambilan secara menyeluruh dengan mengambil kira latar belakang pendidikan calon yang bersesuaian dengan kekosongan guru mengikut mata pelajaran.

"Ia adalah 'one off' dan mengambil kira kekurangan yang kritikal. Jika tiada graduan pendidikan yang boleh memenuhinya maka kaedah bersesuaian akan diambil dan diteliti oleh SPP," katanya. 

Sumber : Berita Harian

 

Recent Posts