Memaparkan catatan dengan label didik tv. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label didik tv. Papar semua catatan

Rabu, Februari 17, 2021

DIDIK TV KPM tampil kelainan


 

DIDIK TV Kementerian Pendidikan (KPM) menampilkan kelainan merangkumi tiga aspek utama bagi mengukuhkan kualiti pembelajaran dan pengajaran.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata saluran khusus yang mula dipancarkan di seluruh negara, berkuat kuasa hari ini itu berbeza dengan slot TV Pendidikan.

Katanya, slot TV pendidikan yang diwujudkan sebelum ini, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu berdepan kekangan masa, sekali gus merencatkan kualiti pembelajaran murid dan pelajar di rumah.

Beliau berkata, saluran DIDIK TV KPM yang mula bersiaran hari ini bakal menjadi ruangan khusus untuk masyarakat mendapatkan input menyeluruh berkaitan dunia pendidikan negara, bermula daripada aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP) sehingga program pembangunan sahsiah murid.

"Saluran ini tidak hanya menumpukan kepada pembelajaran kurikulum semata-mata, sebaliknya mempunyai fokus yang lebih menyeluruh dan terangkum.

"Data menunjukkan 95 peratus isi rumah di luar bandar khususnya mempunyai televisyen di rumah, sekali gus membolehkan capaian lebih mudah murid kepada PdP.

"Kita mahu memastikan kandungan bukan sahaja menarik minat murid tapi untuk mereka mendapatkan ilmu merangkumi ilmu kehidupan, ada (slot) didik hibur, program antarabangsa, kemahiran, wartawan kadet untuk mereka tunjukkan bakat dan banyak lagi.

"Kita mahu bawa mereka (pelajar) menjadi sebahagian komuniti didalamnya. Kalau sepanjang hari cerita pasal silibus sekolah, murid akan nampak rigid (bosan) tetapi dengan program lain mereka boleh berasa TV ini sebahagian daripada mereka," katanya dalam temu bual menerusi program Malaysia Hari ini (MHI) di Sri Pentas, di sini hari ini.

Menerusi DIDIK TV KPM, katanya, kementerian dapat menampilkan barisan guru berpengalaman untuk mengajar pelajar dengan kaedah baharu yang lebih menarik dan mudah difahami.

"Kita lihat untuk setiap mata pelajaran mengikut kesesuaian guru dan kaedahnya. Dalam subjek yang agak susah, contohnya Cikgu Rohani mengajar Matematik Tambahan memang berjaya walaupun kita tahu ini subjek sukar.

"Beliau berjaya menjelaskan mengapa begitu dan begini. Konteks memilih guru ini juga kita akan melihat guru yang paling sesuai dengan mata pelajaran yang mahu diajar," katanya.

Radzi mengakui pada awal pengenalan TV Pendidikan, ia melalui tempoh kesukaran dan cabaran tertentu yang akhirnya memerlukan untuk kementerian cepat bertindak dan mencari penyelesaian yang lebih jitu.

"TV Pendidikan pada peringkat awal PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pada 18 Mac tahun lalu, kita wujudkan slot TV Pendidikan yang bersiaran selama dua jam di TV Okey RTM dan Astro.

"Apabila kita laksanakan PKP sekali lagi, ada keperluan mendesak untuk mewujudkan kaedah penyampaian lebih menyeluruh dan dari situ kita kembangkan serta wujudkan saluran khusus, berbanding slot khas sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, keputusan melaksanakan DIDIK TV KPM dibuat selepas kementerian melihat keberkesanan slot TV Pendidikan sebelum ini, khususnya kepada murid yang berdepan masalah akses kepada peranti dan internet.

Dalam pada itu, Radzi menjelaskan untuk tempoh awal ini, fokus DIDIK TV KPM akan bertumpu kepada PdP bagi pelajar yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula hujung bulan ini.

"Tumpuan kita sekarang ialah bagi anak-anak yang akan mengambil SPM untuk membolehkan mereka membuat persediaan lebih rapi. Ini satu konteks (fokus) yang baik.

"Apabila dilancarkan 'Road To Success' (untuk pelajar SPM), kita lihat ramai guru berkebolehan dan kreatif, ada cara, kaedah dan pendekatan yang boleh menarik minat pelajar dan menyampaikan silibus dengan berkesan," katanya.

Justeru, katanya, bagi memastikan keberkesanan DIDIK TV KPM, peranan dan sokongan semua pihak termasuk ibu bapa amat penting bagi memastikan setiap rakyat mendapat manfaat daripada pendekatan yang dilaksana kerajaan.

DIDIKTV Road To Success SPM (2020): https://www.youtube.com/playlist?list=PLL9CnO8V-9tvp_AF9MyM2eGttS6TjITng

Sumber : Berita Harian

 

 

Sabtu, Februari 13, 2021

Saluran khusus TV Pendidikan melalui DidikTV KPM mulai 17 Februari 2021

 

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan yang dikenali sebagai DidikTV KPM mulai 17 Februari 2021 ini.

Majlis pelancaran saluran berkenaan yang bersiaran dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari, akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada jam 8 pagi hari pertama siaran.

KPM dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan inisiatif mewujudkan saluran khusus itu adalah usaha berterusan kementerian dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua murid di seluruh negara.

"Sebelum ini, KPM telah menyediakan program TV Pendidikan selama 11 jam melalui TV Okey RTM, Tutor TV ASTRO dan DidikTV@ntv7. 

"Kini, buat pertama kalinya, KPM memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan secara terestrial dengan pengisian dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari," menurut kenyataan berkenaan.

DidikTV KPM boleh ditonton menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di ASTRO dan saluran ntv7 di TV UNIFI. 

Bagi set TV Digital Bersepadu (iDTV) yang menggunakan antena, carian saluran DidikTV KPM boleh dilakukan menerusi penalaan automatik.

"DidikTV KPM akan menyiarkan program yang diterbitkan khusus dengan berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM.

"Saluran ini juga akan menyiarkan berita mengenai dunia pendidikan, program bercorak didik hibur (edutainment) serta kandungan yang dihasilkan oleh murid. Selain itu, program antarabangsa yang bersesuaian akan turut disiarkan," kata KPM.

Menurut kenyataan itu, saluran DidikTV KPM juga satu platform untuk memperkasakan budaya ilmu, menerapkan nilai-nilai murni dan mewujudkan masyarakat berinformasi.

"KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik," kata kementerian itu lagi.

 Sumber : Berita Harian

 

Recent Posts