Isnin, Jun 07, 2021

Bukan satu kesalahan tak kemas kini MySejahtera

 

Tidak mengemas kini aplikasi MySejahtera tidak menjadi kesalahan di sisi undang-undang.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini adalah berdasarkan kepada Akta 342 Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit – Covid Malaysia yang mana ia tidak terkandung sebagai satu kesalahan untuk dikenakan kompaun oleh mana-mana penguat kuasa.

“Sehubungan itu, saya berharap dan menyarankan agar mana-mana kompaun yang telah dikeluarkan atas kesalahan terbabit perlulah dibatalkan.

Pegawai penguat kuasa juga disarankan supaya tidak salah dalam membuat sebarang tafsiran berhubung prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sumber : Kosmo!

MR DIY jual produk kesihatan, penjagaan diri

 

Peruncit barangan rumah, MR DIY Group (M) Bhd (MR DIY) mempelbagaikan lagi pilihan barangannya dengan menambah produk kesihatan dan penjagaan diri.

Naib Presiden Pemasaran MR DIY, Andy Chin, berkata penambahbahan produk itu seiring dengan usaha berterusan kumpulan menjadikan produk mampu milik lebih mudah diakses oleh pengguna.

Beliau berkata, MR DIY kini membawa masuk 69 produk dari pelbagai jenama kesihatan dan penjagaan diri termasuk vitamin, makanan tambahan, produk kebersihan, penjagaan kebersihan diri dan mulut.

Katanya, pandemik COVID-19 meningkatkan keperluan memiliki produk kesihatan dan penjagaan diri dikalangan pengguna.

"Penambahan produk di semua rangkaian MR DIY ini memperkukuhkan lagi peranan kami sebagai pusat sehenti untuk keperluan harian bagi semua rakyat.

"Ia juga seiring dengan keperluan serta kehendak pengguna dengan harga yang rendah. Pengguna kini sentiasa mencari produk berkualiti dengan harga rendah dan MR DIY sentiasa memberikan yang terbaik kepada pengguna," katanya dalam satu kenyataan.

Chin berkata, MR DIY juga menjalin kerjasama erat dengan pembekal bagi menguruskan secara menyeluruh barisan produk kesihatan dan penjagaan diri yang paling sesuai untuk memenuhi keperluan seisi keluarga.

Rangkaian produk baharu itu, katanya, boleh didapati dengan harga rendah di lebih daripada 350 cawangan MR DIY kedai seluruh negara bermula 1 Jun sebelum ditambah ke kesemua rangkaiannya dalam masa terdekat.

Beliau menambah, pelanggan juga boleh membeli produk ini secara dalam talian di www.mrdiy.com.my.

"Sempena dengan pelancaran ini juga, MR DIY memberikan 15 peratus diskaun kepada lebih 35 produk," katanya.

Sumber : Berita Harian

PDRM hanya terima surat 7 kementerian, 3 agensi untuk melepasi SJR

 

Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya menerima pakai surat pengesahan pekerja yang dikeluarkan tujuh kementerian dan tiga agensi kerajaan sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata tujuh kementerian itu merangkumi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC).

Katanya, surat pengesahan dikeluarkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga diterima, selain Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk pengamal perundangan.

"PDRM turut menerima pakai surat pengesahan dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi sektor kewangan dan insurans, Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang berkaitan sektor urus niaga saham.

"Turut diterima pakai, surat pengesahan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi sektor peniaga kecil dan penjaja gerai makanan serta kenderaan saji.

"Bagi pengeluaran lesen berniaga pengurusan sisa pepejal dan sanitasi, surat pengesahan akan dikeluarkan MITI melalui Sistem Pengurusan Pintar COVID-19 (CIMS​) 3.0," katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi sekatan jalan raya Plaza Tol Jalan Duta, malam ini.

Surat pengesahan berkenaan adalah bukti yang membolehkan pekerja melepasi sekatan jalan raya bagi pergerakan dari kediaman ke tempat kerja membabitkan sektor yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh dua minggu fasa pertama sekatan pergerakan penuh hingga 14 Jun.

Acryl Sani berkata, pihaknya menerima surat pengesahan dikeluarkan MITI bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan, dan MOT bagi sektor pengangkutan awam serta barangan keperluan.

"Surat pengesahan MAFI adalah untuk sektor pertanian, perikanan, penternakan, perladangan dan komoditi.

"MAFI mengeluarkan surat pengesahan menerusi CIMS 3.0 kepada pekebun kecil yang mempunyai lesen di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)," katanya.

Beliau berkata, surat pengesahan MPIC adalah bagi sektor perladangan dan pengeluaran komoditi seperti kelapa sawit, getah dan sebagainya.

"Pemegang permit dan lesen Lembaga Getah Malaysia (LGM) seperti pekebun kecil, estet, nurseri, peniaga getah, pedagang dan pengilang getah boleh menggunakan surat pengesahan dikeluarkan MPIC atau LGM.

"Bagi pengilang pembuatan produk getah seperti sarung tangan, surat pengesahkan akan dikeluarkan MITI," katanya.

Acryl Sani berkata, surat pengesahan dikeluarkan KKMM adalah bagi perkhidmatan telekomunikasi, media, pos, kurier dan penyiaran.

Katanya, surat pengesahan dikeluarkan agensi di bawah KDN seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) diterima pakai untuk kebenaran pergerakan.

Bagi operasi firma guaman dengan kakitangan 20 peratus, katanya, surat pengesahan akan dikeluarkan oleh BHEU JPM.

Katanya, pengamal undang-undang yang perlu ke mahkamah mewakili anak guam dalam kes baharu seperti reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah, perlu menunjukkan dokumen bercetak atau surat firma guaman di sekatan jalan raya.

"Semua surat pengesahan itu mesti bertarikh 1 Jun 2021 dan mereka yang tiada surat pengesahan atau sudah tamat tempoh (sebelum 1 Jun) akan diarah berpatah balik.

"PDRM akan mengeluarkan permit pergerakan bagi mereka yang layak mengikut peraturan rentas sempadan iaitu untuk ziarah kematian, kecemasan dan bekerja sendiri," katanya.

Acryl Sani berkata, mereka yang bekerja sendiri seperti tukang paip, penyelenggaraan dan penjaja tepi jalan tanpa majikan boleh memohon kebenaran bergerak PDRM secara 'one off' (1 Jun-14 Jun).

Bagi pekerja di sektor tidak dibenarkan beroperasi tetapi perlu ke tempat kerja bagi tujuan khusus seperti penyediaan dokumen atau invois pembayaran gaji, katanya, kebenaran akan diberi secara 'one off' bagi tempoh dua hingga tiga hari.

"Bagaimanapun, kita memerlukan surat pengesahan majikan sebagai bukti," katanya.

Katanya, mereka yang mengemukakan surat pengesahan palsu akan dikenakan tindakan tegas mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Orang ramai diminta untuk bersama-sama memainkan peranan dalam usaha melandaikan lengkuk penularan wabak Covid-19 dan sekiranya terdapat aduan mengenai pematuhan dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) PKP, salurkan melalui Malaysian Goverment Call Centre (MyGCC) di talian 03-8000 8000 atau menerusi emel ke 80008000@myggcc.gov.my serta aduan.pematuhan@mkn.gov.my

 

Tiada bukti UFO pesawat makhluk asing – Pentagon

 

 
 
Pegawai-pegawai agensi perisikan Amerika Syarikat (AS) tidak dapat menjelaskan tentang penampakan misteri yang dikesan baru-baru ini, namun menurut laporan Pentagon, tiada bukti menunjukkan objek yang dilihat adalah kapal angkasa makhluk asing, lapor akhbar The Sun kelmarin.

Mereka berkata, majoriti daripada 120 kes penampakan objek terbang tidak dikenali (UFO) itu oleh tentera laut sepanjang tempoh satu dekad lalu disahkan bukan pesawat tentera atau memiliki teknologi AS.

Penemuan tersebut yang dibentangkan kepada Kongres pada bulan ini, turut menafikan UFO yang dilihat adalah pesawat rahsia milik kerajaan AS.

Pegawai-pegawai agensi pe­risikan tersebut bagaimanapun tidak menolak kemungkinan UFO yang dikesan adalah pesawat milik negara seteru seperti Rusia atau China. Ia susulan kebimbangan bahawa Moscow mungkin sedang melakukan eksperimen teknologi pesawat hipersonik.

Anggota Kongres, Senator Marco Rubio berkata, laporan kerajaan seharusnya menjadi permulaan kepada usaha AS untuk mengesan dan mengenal pasti objek misteri yang berterbangan itu.

“Lelaki dan perempuan yang telah ditugaskan untuk menjaga pertahanan negara telah melihat pesawat tidak dikenal pasti yang memiliki keupayaan hebat.

“Kita tidak boleh membiar­kan stigma terhadap UFO meng­halang kita daripada menyiasat perkara ini,” katanya.

Seorang pegawai kanan pe­risikan yang memaklumkan tentang penemuan itu berkata, memandangkan laporan tersebut tidak konklusif, kerajaan AS tidak boleh menyingkirkan teori bahawa UFO tersebut adalah pesawat makhluk asing.

Bekas Presiden AS, Barack Obama menerusi satu wawancara dalam rancangan bual bi­cara Late Show With James Cor­den pada bulan lalu membe­ritahu bahawa terdapat rakaman objek di langit yang tidak dapat dikenal pasti.

Obama juga berkata, satu kepercayaan baharu akan muncul sekiranya kewujudan makhluk asing dapat disahkan.

Sebilangan besar daripada 120 insiden penampakan UFO tersebut dilaporkan oleh anggota tentera laut AS.

Ketua Angkatan Laut AS yang telah bersara, Sean Cahil baru-baru ini memberi amaran bahawa UFO mungkin mempunyai teknologi yang tidak dapat ditandingi oleh AS. – Agensi

 

Putera Harry dan Meghan sambut anak kedua

 

Pasangan Duke dan Duchess of Sussex menyambut kelahiran anak kedua mereka iaitu seorang bayi perempuan bernama Lilibet ‘Lili’ Diana Mountbatten-Windsor, lapor portal berita Sky News pagi ini.

Putera Harry dan isteri, Meghan mengumumkan bahawa bayi tersebut dilahirkan pada Jumaat lalu di California. 

Lili dinamakan sempena nama moyangnya, Ratu Elizabeth II  dan neneknya, mendiang Puteri Diana. Nama panggilan manja Ratu Elizabeth II dalam kalangan kerabat diraja Britain ialah Lilibet.

Lili ialah cicit Ratu Elizabeth II pertama dilahirkan di luar Britain.

“Putera Harry dan Meghan iaitu Duke dan Duchess of Sussex menyambut kelahiran anak perempuan mereka  Lilibet “Lili” Diana Mountbatten-Windsor ke dunia ini.

“Lili dilahirkan pada pukul 11. 40 pagi (waktu tempatan), 4 Jun (Jumaat) di Hospital Kotej Santa Barbara di Santa Barbara, California.

“Lili dilahirkan dengan berat 3.5 kilogram. Kedua-dua ibu dan anak berada dalam keadaan sihat dan baik dan sedang berehat di rumah,” kata pasangan suami isteri tersebut dalam satu kenyataan.

Lili ialah anak kedua pasangan diraja  itu yang turut mempunyai seorang anak lelaki berumur dua tahun bernama Archie Harrison Mountbatten-Windsor. 

Sumber : Agensi

Ahad, Jun 06, 2021

PdPR selama 25 hari bermula 13, 14 Jun 2021

 

Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan selama 25 hari persekolahan bermula 13 dan 14 Jun mengikut kumpulan negeri masing-masing.

Pembukaan sekolah pada 13 Jun membabitkan negeri kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala pada 14 Jun pula membabitkan negeri kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, berkata ketetapan yang berkuat kuasa hari ini bukan saja merangkumi sekolah kerajaan, malah turut membabitkan sekolah swasta, sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat yang mendaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM).

Beliau berkata, sekolah berkenaan perlu melaksanakan PdPR sepanjang tempoh ditetapkan berdasarkan takwim masing-masing.

"Kita sedia maklum waktu ini sekolah dalam cuti pertengahan tahun dan sesi persekolahan berikutnya mengikut takwim akan bermula pada 13 Jun untuk negeri kumpulan A dan 14 Jun untuk negeri kumpulan B.

"Kemudian murid akan mengikuti PdPR selama 25 hari persekolahan sehingga cuti berikutnya iaitu cuti pertengahan penggal bermula pada 16 Julai bagi negeri kumpulan A dan 17 Julai bagi negeri kumpulan B.

"Dari tarikh itu bermula cuti pertengahan penggal sehingga 26 Julai untuk negeri kumpulan B dan 25 Julai untuk negeri kumpulan A.

"Jadi itulah takwim atau jadual penggal persekolahan yang ada dan berkuat kuasa pada hari ini," katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Radzi berkata, KPM akan membuat pengumuman lebih awal iaitu seminggu sebelum sesi persekolahan bermula bagi setiap cuti pertengahan penggal.

"Ramai yang akan bertanya apa akan berlaku selanjutnya selepas ini iaitu selepas berakhirnya sesi cuti pertengahan penggal itu.

"Jadi, KPM akan memaklumkan kepada ibu bapa dan murid sekurang-kurangnya seminggu sebelum persekolahan bermula mengenai pendekatan selanjutnya berdasarkan situasi pada waktu itu," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

Jadual Perlawanan Bolasepak EURO 2020

 

Berikut adalah senarai jadual perlawanan untuk kesemua perlawanan, mengikut waktu Malaysia.

Peringkat Kumpulan

Sabtu 12 Jun

Kumpulan A: Turki VS Itali (3 Pagi, Rome)

Sabtu 12 Jun

Kumpulan A: Wales VS Switzerland (9 Malam, Baku)

Kumpulan B: Denmark VS Finland (12 Tengah Malam, Copenhagen)

Ahad 13 Jun

Kumpulan B: Belgium VS Russia (3 Pagi, St Petersburg)

Kumpulan D: England VS Croatia (9 Malam, London)

Kumpulan C: Austria VS Macedonia Utara (12 Tengah Malam, Bucharest)

Isnin 14 Jun

Kumpulan C: Belanda VS Ukraine (3 Pagi, Amsterdam)

Kumpulan D: Scotland VS Czech Republic (9 Malam, Glasgow)

Kumpulan E: Poland VS Slovakia (12 Tengah Malam, St Petersburg)

Selasa 15 Jun

Kumpulan E: Sepanyol VS Sweden (3 Pagi, Seville)

Kumpulan F: Hungary VS Portugal (12 Tengah Malam, Budapest)

Rabu 16 Jun

Kumpulan F: Perancis VS Jerman (3 Pagi, Munich)

Kumpulan B: Finland VS Russia (9 Malam, St Petersburg)

Kumpulan A: Turki VS Wales (12 Tengah Malam, Baku)

Khamis 17 Jun

Kumpulan A: Itali VS Switzerland (3 Pagi, Rome)

Kumpulan C: Ukraine VS Macedonia Utara (9 Malam, Bucharest)

Kumpulan B: Denmark VS Belgium (12 Tengah Malam, Copenhagen)

Jumaat 18 Jun

Kumpulan C: Belanda VS Austria (3 Pagi, Amsterdam)

Kumpulan E: Sweden VS Slovakia (9 Malam, St Petersburg)

Kumpulan D: Croatia VS Czech Republic (12 Tengah Malam, Glasgow)

Sabtu 19 Jun

Kumpulan D: England VS Scotland (3 Pagi, London)

Kumpulan F: Hungary VS Perancis (9 Malam, Budapest)

Kumpulan F: Portugal VS Jerman (12 Tengah Malam, Munich)

Ahad 20 Jun

Kumpulan E: Sepanyol VS Poland (3 Pagi, Seville)

Kumpulan A: Itali VS Wales (12 Tengah Malam, Rome)

Kumpulan A: Switzerland VS Turki (12 Tengah Malam, Baku)

Isnin 21 Jun

Kumpulan C: Macedonia Utara VS Belanda (12 Tengah Malam, Amsterdam)

Kumpulan C: Ukraine VS Austria (12 Tengah Malam, Bucharest)

Selasa 22 Jun

Kumpulan B: Russia VS Denmark (3 Pagi, Copenhagen)

Kumpulan B: Finland VS Belgium (3 Pagi, St Petersburg)

Rabu 23 Jun

Kumpulan D: Czech Republic VS England (3 Pagi, London)

Kumpulan D: Croatia VS Scotland (3 Pagi, Glasgow)

Kumpulan E: Slovakia VS Sepanyol (12 Tengah Malam, Seville)

Kumpulan E: Sweden VS Poland (12 Tengah Malam, St Petersburg)

Khamis 24 Jun

Kumpulan F: Jerman VS Hungary (3 Pagi, Munich)

Kumpulan F: Portugal V Perancis (3 Pagi, Budapest)

Peringat Kalah Mati

Pusingan 16 Pasukan

Sabtu 26 Jun

1: 2a VS 2b (12 Tengah Malam, Amsterdam)

Ahad 27 Jun

2: 1A VS 2C (3 Pagi, London)

3: 1C VS 3D/E/F (12 Tengah Malam, Budapest)

Isnin 28 Jun

4: 1B VS 3A/D/E/F (3 Pagi, Seville)

5: 2D VS 2E (12 Tengah Malam, Copenhagen)

Selasa 29 Jun

6: 1F VS 3A/B/C (3 Pagi, Bucharest)

7: 1D VS 2F (12 Tengah Malam, London)

Rabu 30 Jun

8: 1E VS 3A/B/C/D (3 Pagi, Glasgow)

Suku-Akhir

Jumaat 2 Julai

Suku Akhir 1: Pemenang 6 VS Pemenang 5 (12 Tengah Malam, St Petersburg)

Sabtu 3 Julai

Suku Akhir 2: Pemenang 4 VS Pemenang 2 (3 Pagi, Munich)

Suku Akhir 3: Pemenang 3 VS Pemenang 1 (12 Tengah Malam, Baku)

Ahad 3 Julai

Suku Akhir 4: Pemenang 8 VS Pemenang 7 (3 Pagi, Rome)

Separuh Akhir

Rabu 7 Julai

Separuh Akhir 1: Pemenang Suku Akhir 2 VS Pemenang Suku Akhir 1 (3 Pagi, London)

Khamis 8 Julai

Separuh Akhir 2: Pemenang Suku Akhir 4 VS Pemenang Suku Akhir 3 (3 Pagi, London)

Akhir

Isnin 12 Julai

Pemenang Separuh Akhir 1 VS Pemenang Separuh Akhir 2 (3 Pagi, London)

Kesemua perlawanan akan disiarkan di Astro SuperSport. Bagi mereka yang tidak melanggan Astro, masih boleh menonton perlawanan ini di Radio Televisyen Malaysia(RTM) menerusi saluran TV1, Okey dan juga Sukan RTM.

 

ePharmacy tawar perkhidmatan menghantar ubat ke rumah

 

 

DOC2US me­lancarkan perkhidmatan ePharmacy untuk memudahkan akses orang ramai mendapatkan ubat dalam masa dua jam sahaja di kawasan Lembah Klang.

Perkhidmatan tersebut telah dijayakan bersama rakan penghantaran, pandago dan Lala­move.

Ketua Pegawai Eksekutif DOC2US, Dr. Raymond Choy berkata, melihat kepada pandemik Covid-19 yang semakin serius, syarikat melihat perlunya diba­ngunkan satu perkhidmatan ke­sihatan profesional yang mudah diakses oleh orang ramai.

“Sehubungan itu, kami menawarkan konsultasi talian profesional untuk penyakit ringan seperti selesema, batuk, jangkitan salur pernafasan atas, jangkitan telinga, asma, ruam kulit, masalah e-preskripsi dan penghantaran ubat yang diperlukan ke rumah.

“Semuanya dilakukan dengan mudah dan pengguna tidak perlu meninggalkan rumah mereka ketika mereka rasa tidak sihat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

DOC2US adalah penyedia te­le­perubatan preskripsi elektronik (e-preskripsi) pertama dan satu- satunya di negara yang mematuhi peraturan Kementerian Ke­sihatan Malaysia.

Syarikat menyediakan aplikasi yang menawarkan perkhidmatan perubatan jarak jauh yang berskala dan lancar untuk pengguna, pesakit, pelanggan korporat, penyedia perkhidmatan kesihatan serta perkhidmatan kesihatan lain seperti klinik dan farmasi.

Selain itu, melalui ePharmacy, pengguna akan bertemu dengan doktor secara digital dan jika diperlukan, e-preskripsi akan diisi seterusnya diberi oleh rangkai­an farmasi, Alpro Pharmacy. Kemudian, ubat itu akan dihantar dalam masa dua jam ke rumah pelanggan di Lembah Klang.

Tambah beliau, pihaknya berkeyakinan akan dapat membantu masyarakat khususnya yang berusia lebih 65 tahun dan memerlukan ubat jangka panjang bagi penyakit seperti kolesterol, darah tinggi dan diabetes.

“Ini kerana melalui ePharmacy, ia dapat mengurangkan mereka mengunjungi tempat berisiko tinggi seperti hospital, klinik dan farmasi atau bergantung pada anak-anak atau cucu membelikan ubat bagi pihak mereka,” ujarnya.

Lebih menarik, ePharmacy boleh dilakukan melalui sembang teks, nota suara dan panggilan di Facebook Messenger untuk membantu mereka memastikan preskripsi mereka diisi dan dihantar dengan selamat.

Sehingga kini, terdapat lebih 6,300 pesakit telah menggunakan ePharmacy DOC2US.

Sumber : Kosmo!

 

Henti guna produk PS 21 Capsule

 

 

Orang ramai diingatkan supaya tidak membeli dan menggunakan produk tradisional jenama PS 21 Capsule kerana dikesan mengandungi racun berjadual simvastatin yang boleh memudaratkan kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pendaftaran produk itu dibatalkan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) berikutan pengesanan racun berjadual berkenaan, yang tidak dibenarkan dalam formulasi produk tradisional.

"Simvastatin ialah sejenis ubat yang digunakan untuk mengurangkan paras kolesterol dalam darah.

"Pengambilan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti gangguan pencernaan, lemah, sakit kepala, gangguan pada fungsi normal hati, otot terasa sakit apabila disentuh atau lemah otot.

"Penjual dan pengedar produk ini perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta kerana ia melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, individu yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.

Beliau berkata, syarikat yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Mereka yang sedang menggunakan produk itu juga dinasihat menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan 'advers'.

Orang awam juga digalakkan menyemak status pendaftaran bagi sesuatu produk dengan melayari laman sesawang rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) www.npra.gov.my atau melalui aplikasi 'NPRA Product Status' yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store. 

Sumber : Berita Harian

 

 

 

 

Sabtu, Jun 05, 2021

Helpdesk MySejahtera bantu pengguna jawab masalah vaksinasi

 

Pengguna aplikasi MySejahtera kini boleh mendapatkan jawapan berkenaan janji temu vaksinasi melalui Helpdesk.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) berkata, ciri Helpdesk itu menjadi tambahan kepada pautan sedia ada.

Kemudahan itu membolehkan pengguna mendapatkan bantuan bagi 12 kriteria pertanyaan termasuk yang lain-lain.

"Ia merangkumi pertanyaan janji temu vaksinasi, individu 60 tahun ke atas tetapi belum menerima janji temu (Fasa 2) dan mengenai halaman profil 'muat turun' yang tidak memaparkan masa serta tarikh baharu.

"Helpdesk itu juga memberi panduan kepada pengguna yang mahu mengemas kini nama, nombor kad pengenalan atau pasport, ID pengguna atau mahu memadamkan akaun MySejahtera mereka," katanya dalam hantaran Twitter, hari ini.

Fungsi Helpdesk itu boleh membantu pengguna mendapatkan maklumat status penilaian yang belum dikemas kini selepas mereka tamat tempoh kuarantin, janji temu Fasa 2 vaksinasi serta lain-lain pertanyaan.

JKJAV juga turut memberikan tutorial visual di akaun Twitternya menggunakan pilihan itu.

Sebagai contoh, bagi bantuan pertanyaan 'Janji Temu Vaksinasi', pengguna akan diberikan tiga pilihan kemungkinan senario iaitu mereka belum menerima tarikh walaupun mendapat paparan 'Terima Kasih' selepas menghantar tempahan slot janji temu untuk pendaftaran AstraZeneca.

Selain itu, ia turut memperincikan cara membatalkan janji temu AstraZeneca dan pertanyaan bagi pengguna yang sudah mengesahkan temu janji tetapi mahu menukarkan kepada tarikh lain.

Pada pilihan itu, perubahan temu janji adalah selain AstraZeneca, yang antaranya memaparkan pengguna tidak sihat, menukar fikiran tidak mahu divaksin, masalah pengangkutan serta lain-lain.

Minggu lalu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, ciri baharu akan ditambahkan di MySejahtera.

Ia bagi membolehkan pengguna mendapat bantuan mengenai janji temu mereka dan menerima maklum balas serta penyelesaian segera.

Sumber : Berita Harian

 

 

Sumbangan kepada Akaun Amanah Bencana dapat potongan cukai

 

Individu dan syarikat korporat yang menyumbang kepada Akaun Amanah Bencana layak mendapat potongan cukai.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan berkata, potongan cukai itu diberikan dengan syarat sumbangan disokong oleh resit rasmi kerajaan (Kew. 38) atau dokumen pengesahan/resit transaksi bagi sumbangan yang dikreditkan melalui saluran sistem perbankan rasmi.

"Akaun Amanah Bencana ini ditadbir oleh Jawatankuasa Akaun Amanah yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan dianggotai oleh wakil-wakil dari Kementerian Kewangan, Jabatan Akauntan Negara, Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

"Pengoperasian akaun ini juga tertakluk kepada undang-undang dan garis panduan rasmi, termasuk pengauditan berkala, yang ditetapkan bagi akaun akaun amanah Kerajaan," menurut kenyataan itu.

Akaun itu ditubuhkan untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa bencana, mengurangkan risiko bencana serta pengurusan mangsa bencana termasuk bencana penularan COVID-19 yang sedang melanda negara dan seluruh dunia.

Pada 31 Mei lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan menteri dan timbalan menteri tidak mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun bagi membolehkan ia disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana bagi membiayai perbelanjaan berkaitan COVID-19.

Pada 1 Jun lalu pula Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali juga mengumumkan bahawa potongan sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) ataupun Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) penjawat awam selama tiga bulan dilaksanakan mulai Jun bagi tujuan sama.

MOF juga menyatakan sebagai tanda manifestasi solidariti bagi membantu kerajaan dengan mengambil kira situasi semasa, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta Badan Berkanun Persekutuan juga digalakkan mempertimbangkan pemotongan gaji dan ganjaran kakitangan secara sukarela bagi disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana.

Kementerian itu juga menyatakan pihak awam dan sektor swasta boleh menyumbang ke dalam Akaun Amanah Bencana itu.

Sumbangan boleh dibuat ke dalam Akaun Amanah Bencana melalui akaun Maybank Islamic Berhad dengan nombor 5660 1065 0930