Memaparkan catatan dengan label maybank. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label maybank. Papar semua catatan

Sabtu, Julai 08, 2023

Suri rumah kecewa tidak boleh buka akaun bank

 


Seorang suri rumah meluahkan kekecewaannya apabila tidak boleh membuka akaun di sebuah bank selepas dua kali datang ke premis terbabit.

Menurut satu klip video di TikTok hari ini, suri rumah tersebut yang menggunakan akaun Ana_Nokcili menjelaskan, dirinya begitu kecewa apabila menunggu lebih dua jam di bank tersebut namun pihak bank memaklumkan ‘suri rumah’ tidak boleh membuka akaun.

Jelas wanita itu lagi, kehadirannya ke bank itu adalah kali kedua selepas pihak bank sebelum ini meminta untuk menyediakan beberapa dokumen bagi membolehkannya untuk membuka akaun di bank tersebut.

Paling kecewa jelasnya, ketika kali pertama bertandang ke bank tersebut, dia telah bertanya dan menjelaskan mengenai statusnya sebagai suri rumah dan pihak bank hanya menjelaskan wanita itu perlu menyediakan beberapa dukomen sahaja.

“Saya datang kali kedua dengan menyediakan dokumen yang diminta kemudian mereka kata tidak boleh dengan alasan status saya sebagai seorang suri rumah.

“Kali pertama saya sudah tanya di kaunter, kenapa daripada awal pihak bank tidak cakap yang memang suri rumah tidak boleh buka akaun bank. Ini adalah kali kedua saya datang, maksudnya saya boleh buka akaun,” jelasnya.

Tambahnya, pihak bank sepatutnya menjelaskan terlebih dahulu keadaan bahawa suri rumah sepertinya tidak boleh buka akaun bank.

“Saya tidak pernah rasa kecewa begini, saya sudah sediakan penyata gaji suami dan bil telefon. Sepatutnya dari awal lagi pihak bank jelaskan yang suri rumah memang tidak boleh buka akaun bank,” katanya.

“Saya tunggu dua jam, sampai sahaja giliran saya pihak bank kata tidak boleh. Kenapa sebelum ini tidak diberitahu memang tidak boleh membuka akaun.

Sumber : Kosmo!

Video Tik Tok : https://www.tiktok.com/@farhanah_said/video/7251884865556155649?is_from_webapp=1&sender_device=pc&web_id=7087720626164860418


Khamis, Mei 11, 2023

Jawatan Kosong Malayan Banking Berhad (Maybank)

 


Jawatan Kosong Malayan Banking Berhad (Maybank)

Telesales Executive
PERSONAL FINANCIAL ADVISOR - SELURUH NEGARA
Team Leader, Telesales, Maybank Group Customer Care
Marketing Executive - Hire Purchase 
Analyst / Senior Analyst, Financial Planning & Business Reporting, Cards Strategy
ASB Consultant - Federal Territory
Mortgage Consultant - Penang
Executive, Finance and Performance Reporting
Mortgage Consultant - Selangor
Mortgage Consultant - Federal Territory
Technical Analyst - L2 Support, Digital Banking
Technical Lead, Digital Banking
Driver for Senior Management
Java Developer, Digital Banking (Strut)
EXECUTIVE, ADVANCED ANALYTICS
CMS Developer and Support 

Iklan Jawatan Kosong:

Lokasi : PELBAGAI NEGERI
Tarikh Tutup : 02 JUN 2023

Selasa, April 26, 2022

Kad debit Maybank, aplikasi M2U terganggu

 


Urus niaga Maybank menerusi web Maybank2u, Aplikasi M2U, Aplikasi MAE dan penggunaan kad Debit mengalami gangguan dan perlahan mulai jam 9.00 pagi 25 April 2022.

Bank terbesar Malaysia itu dalam kenyataan berkata, gangguan itu adalah susulan volum trafik tinggi yang belum pernah berlaku sebelum ini di seluruh platformnya.

"Maybank ingin memohon maaf kepada pelanggan yang mengalami gangguan perkhidmatan di web Maybank2u, M2U App, MAE App dan penggunaan kad Debit hari ini.

"Kami sedang berusaha untuk menyelesaikan dan memulihkan perkhidmatan sebaik mungkin. Kami jamin baki dan butiran akaun anda akan kekal utuh dan selamat dengan kami," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Maybank memohon maaf kepada semua pelanggan yang terjejas atas kesulitan yang disebabkan oleh gangguan itu.

"Kami menghargai sikap bertimbang rasa dan kesabaran pelanggan kami dan akan terus memaklumkan kepada mereka secara berkala melalui media sosial rasmi Maybank dan platform M2U," kata kenyataan itu.

Untuk bantuan dan kemas kini lanjut, pelanggan boleh menghubungi Khidmat Pelanggan Kumpulan Maybank di talian 1-300-88-6688 (Malaysia) atau +60378443696 (Luar Negara) atau mengikuti/berkomunikasi dengan bank melalui platform media sosialnya.

Ramai pelanggan Maybank hari ini mendakwa terkejut apabila jumlah wang simpanan mereka menunjukkan angka kosong ketika menyemak akaun masing-masing melalui aplikasi dalam talian bank itu pada pagi Isnin.

Keresahan pelanggan mengenai perkara itu diluahkan mereka di ruangan komen media sosial Maybank.

"Saya rasa panik dan risau. Hampir pengsan sebentar tadi bila semak baki akaun tinggal RM0.00," kata Catherine Alek di Facebook.

Sumber Berita Harian

Ahad, Januari 30, 2022

Perbankan Islam tiru perbankan konvensional?

 


Penulis : DR. AKHTARZAITE ABDUL AZIZ, Ahli Jawatankuasa Syariah Maybank Islamic Berhad, juga Penolong Professor Jabatan Fiqh dan Usul Al-Fiqh di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Dari sudut sejarah, perbankan konvensional bermula seawal kurun ke-14 Masihi lagi sebelum kemunculan perbankan Islam yang mula diasaskan pada kurun ke-20.

Di Malaysia, bank Islam pertama iaitu Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) ditubuhkan pada tahun 1983.

Sejak itu, perbankan Islam telah berkembang pesat dari segi bilangan bank, perkhidmatan dan produk yang ditawarkan sehingga menjadi pilihan bukan sahaja dalam kalangan umat Islam, malah golongan bukan Islam di negara ini.

Pada asasnya, jenis perkhidmatan dan produk yang ditawarkan oleh perbankan Islam dan konvensional tidak banyak berbeza.

Ini kerana dari segi fungsi, kedua-duanya berfungsi untuk menjana deposit daripada pihak yang mempunyai lebihan dana dan menawarkan pembiyaan kepada yang memerlukan dana.

Kedua-dua sistem perbankan merupakan pengantara kewangan kepada kedua belah pihak dan memenuhi keperluan masing-masing melalui produk-produk yang ditawarkan.

Dari sudut pengawal-seliaan pula, kedua-duanya tertakluk kepada perundangan dan garis panduan yang sama.

Walau bagaimanapun, perbankan Islam tertakluk kepada perundangan tambahan tertentu bagi memastikan kepatuhan Syariah.

Persamaan dari segi fungsi, jenis perkhidmatan, produk keperluan peraturan dan perundangan telah sering kali menimbulkan persoalan di kalangan masyarakat, adakah perbankan Islam adalah semata-mata meniru kepada perbankan konvensional yang telah lama bertapak?

Asas perbezaan

Asas perbezaan utama di antara keduanya adalah syarat kepatuhan kepada kehendak Syariah yang merupakan tunggak kepada perbankan Islam.

Perbankan Islam bertunjangkan undang-undang dan prinsip-prinsip Syariah dalam setiap aktiviti perbankan yang ditawarkan.

Sebarang perlanggaran hukum Syariah boleh menyebabkan perkhidmatan atau produk yang ditawarkan tidak sah.

Malaysia bertuah kerana kita mempunyai Rangka Kerja Tadbir Urus Syariah yang komprehensif dan lengkap (diperkenalkan pada 2011 dan disemak dengan penambahbaikan pada 2019) untuk memastikan kepatuhan Syariah secara menyeluruh.

Di antara perkara penting yang ditekankan adalah syarat perlesenan perbankan Islam mestilah menubuhkan Jawatankuasa Syariah peringkat institusi untuk menasihati bank dalam perkara berkaitan dengan Syariah.

Fungsi kawalan termasuk Semakan Syariah (Shariah Review) dan Audit Syariah (Shariah Audit) juga disyaratkan sebagai kawalan peringkat kedua dan ketiga dalam memastikan kepatuhan Syariah.

Telus & adil

Elemen ketelusan dan keadilan di antara pihak berkontrak serta pengharaman riba dan ketidaktentuan (uncertainty) adalah diantara syarat utama/asas dalam semua bentuk kontrak Islam.

Elemen-elemen ini direalisasikan dalam kontrak-kontrak yang diguna-pakai dalam menstruktur kesemua perkhidmatan dan produk perbankan Islam.

Kesemua kontrak ini mempunyai kriteria dan syarat-syarat tertentu bagi menjamin kepentingan pihak berkontrak dan kepatuhan kepada kehendak Syariah.

Kontrak berasaskan pembiayaan misalnya, mensyaratkan harga barang ditetapkan semasa memeterai kontrak.

Apabila sudah dipersetujui bersama pihak berkontrak, harga tersebut tidak boleh dinaikkan walaupun kadar keuntungan yang digunakan dalam pengiraan harga mungkin meningkat kemudian.

Ini berbeza dengan bank konvensional yang mana kebanyakan produk adalah pinjaman berasaskan faedah, yang mana kadar faedah tersebut boleh meningkat tanpa sebarang had yang ditetapkan.

Manakala di Malaysia, Bank Negara Malaysia (BNM) membenarkan perbankan Islam mengenakan ganti rugi lambat bayar dengan kadar dan syarat-syarat tertentu.

Ini bertujuan semata-mata untuk menampung kos sebenar yang ditanggung pihak perbankan Islam ke atas kos sebenar yang ditanggung sahaja.

Sebarang jumlah yang terkumpul melebihi kos sebenar akan diberikan kepada kebajikan dan pihak perbankan Islam tidak dibenarkan untuk mengiktiraf jumlah tersebut sebagai pendapatan mereka.

Namun, amalan tersebut adalah tidak terpakai untuk konvensional.

Secara ringkasnya, jelas dari perbincangan di atas bahawa memang ada persamaan di antara perbankan Islam dan konvensional dari aspek perkhidmatan dan produk yang ditawarkan, serta sebahagian impak kewangan kepada pelanggan.

Walau bagaimanapun, perbezaan di antara keduanya adalah jelas dari sudut prinsip dan falsafah yang mendasari perkhidmatan dan produk-produk perbankan.

Sebagai institusi yang menawarkan perkhidmatan yang sama, kehendak dan hajat pelanggan yang sama serta penyelia operasi yang sama, persamaan luaran mungkin tidak dapat dielakkan.

Analogi kedai makan

Sebagai perbandingan, kita lihat analogi dua buah gerai dalam medan selera di bawah pengurusan yang sama, gerai A menawarkan makanan yang disahkan halal, manakala gerai B tidak disahkan halal.

Kedua-dua gerai makanan mempunyai kelompok pelanggan yang sama, dengan latar belakang dan selera yang lebih kurang sama.

Untuk gerai A, sijil halal yang dipaparkan bermaksud ada peraturan tambahan yang perlu dipatuhi.

Sekiranya gerai A dan B menawarkan jenis makanan dan masakan yang sama, menggunakan warna pinggan dan peralatan yang sama, saiz dan reka bentuk kerusi-meja yang sama serta harga dan rasa makanan yang sama, tidak bermaksud gerai A meniru gerai B!

Sumber dari Kosmo!

 

 

 

 

 

Sabtu, Januari 29, 2022

Maybank sangkal dakwaan berdepan masalah kewangan

 

Malayan Banking Bhd (Maybank) menegaskan bahawa dakwaan yang ia akan menghadapi masalah kewangan besar disebabkan pendedahan kepada Genting Hong Kong adalah sesuatu yang tidak berasas.

Maybank menjelaskan, pihaknya tidak mengulas mengenai pendedahan kepada pelanggan atau pelanggan yang didakwa atas obligasi kerahsiaan.

"Kami ingin menekankan bahawa Maybank amat menitikberatkan perakaunan yang ketat berkaitan peruntukan dan susut nilai pinjaman, mengikut keperluan Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa (IFRS) dan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS). Perakaunan ini juga tertakluk kepada semakan oleh juruaudit luaran kami dan pihak pengawal selia," menurut Maybank dalam kenyataan pada Isnin.

Kenyataan itu bertujuan menjawab pertanyaan Bernama mengenai laporan akhbar baru-baru ini bahawa Maybank adalah antara tiga bank Malaysia yang akan berdepan masalah kewangan besar susulan pendedahan kepada Genting Hong Kong.

Maybank menambah, pihaknya mengamalkan proses pemantauan kualiti aset yang ketat, di mana peminjam rentan dikenal pasti dan diuruskan sewajarnya daripada bermulanya sebarang potensi kelemahan kualiti aset.

"Justeru, peruntukan pinjaman akan dilaksanakan secara proaktif daripada bermulanya sebarang kelemahan kualiti aset berasaskan penarafan risiko pinjaman dengan bank.

"Oleh yang demikian, Maybank menegaskan bahawa caj kredit bersih semasa kami bagi panduan untuk peruntukan pinjaman adalah kekal tidak berubah dan kami boleh mengesahkan bahawa kedudukan kewangan kami kekal kukuh," jelasnya.

Media melaporkan keuntungan tiga bank Malaysia termasuk Maybank, dijangka terjejas berikutan masalah yang dihadapi pengendali kapal persiaran, Genting Hong Kong firma korporat Asia yang amat terkesan ekoran pandemik COVID-19.

Dua bank lain ialah CIMB dan RHB Bank Bhd.

Straits Times Singapura melaporkan, ketiga-tiga bank ini adalah antara beberapa pemuitang tidak bercagar utama bagi Genting Hong Kong, dengan gabungan pendedahan berjumlah AS$600 juta (RM2.5 bilion).

Pemfailan pembubaran Genting Hong Kong dibuat seminggu selepas anak syarikatnya bagi pembuatan kapal di Jerman, MV Werften, mengalami situasi ketakmampuan bayar.

Ia satu perkembangan yang mencetuskan kemungkiran silang bagi pelbagai pengaturan pembiayaan keseluruhan syarikat itu bernilai lebih AS$2.7 bilion, lapornya.

- BERNAMA

 

Rabu, Julai 07, 2021

Tawaran moratorium Maybank

 

Maybank menawarkan bantuan kewangan meliputi moratorium, bantuan pembayaran balik (RA) dan kemudahan sokongan kewangan kad kredit bermula hari ini.

Maybank dalam satu kenyataan, berkata bagi moratorium, institusi perbankan itu menawarkan penangguhan bayaran selama enam bulan, manakala bagi RA pinjaman/pembiayaan pula merangkumi pengurangan ansuran 50 peratus untuk tempoh setengah tahun.

Bagi kad kredit pula (tidak termasuk caj kad), bank itu akan menawarkan kemudahan menukar baki hutang kepada pinjaman berjangka tiga tahun dengan kadar faedah dikurangkan sehingga peminjam dapat menguruskan kewajipan kewangan lebih baik ketika tempoh mencabar ini.

Moratorium/pelan RA Maybank merangkumi semua pinjaman/ pembiayaan (tidak termasuk kad kredit) dan boleh dimohon oleh semua individu (termasuk semua peminjam/pelanggan B40, M40 dan T20); semua syarikat mikro; serta semua perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat COVID-19.

"Pelanggan boleh memohon moratorium dan RA menerusi laman Maybank2u Covid-19 di www.maybank2u.com.my/covid19.

"Pelanggan boleh mengklik pada butan 'kirim e-mel' (bagi pelanggan individu/PKS) dan melengkapkan maklumat yang diperlukan sebelum mengirim e-mel terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Maybank berkata, pelan moratorium dan RA tertakluk untuk pinjaman/pembiayaan sebelum atau pada 30 Jun 2021 dan tiada tunggakan lebih daripada 90 hari pada tarikh permohonan diserahkan kepada bank.

"Persetujuan akan diberikan secara automatik kepada semua pelanggan yang layak dan Maybank akan memastikan proses permohonan mudah tanpa dokumen sokongan bagi tujuan kelulusan.

"Rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam yang memilih moratorium/RA tidak akan terjejas dan tidak perlu bimbang kesannya kepada profil kredit mereka.

"Pelanggan dinasihati untuk berhati-hati dengan sebarang penipuan dan hanya memilih moratorium/RA menerusi saluran rasmi bank," katanya.

Maybank turut mengulangi, pelanggan tidak perlu berurusan dengan pihak ketiga yang mengaku sebagai ejen atau wakil bank membabitkan moratorium/RA kerana Maybak tidak melantik atau membabitkan pihak ketiga atau ejen untuk urusan berkenaan.

"Selain saluran yang dinyatakan, pelanggan yang perlu berbincang dengan pegawai cawangan/pengurus perhubungan boleh mengunjungi cawangan terdekat, Pusat PKS atau Auto Finance Centre (yang mana relevan).

"Namun, kami ingin mengingatkan pelanggan bahawa operasi cawangan adalah berdasarkan janji temu, manakala beberapa cawangan mungkin ditutup," katanya.

Pelanggan yang ingin membuat janji temu boleh melakukannya secara dalam talian menerusi Maybank EzyQ di aplikasi MAE dan laman web Maybank2u di www.maybank2u.com.my/ezyq, 15 hari lebih awal dari tarikh yang diinginkan.

Pelanggan yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai moratorium/RA Maybank selaras dengan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), boleh melayari www.maybank2u.com.my/covid19 atau menghubungi Talian Hotline Penjagaan Pelanggan Maybank: 1-300-88-6688 (Malaysia) atau 03 -78443696 (luar negeri) dan tekan *1 untuk 'Bantuan Pembayaran Balik'.

Sumber : Berita Harian

 

 

Sabtu, Jun 05, 2021

Sumbangan kepada Akaun Amanah Bencana dapat potongan cukai

 

Individu dan syarikat korporat yang menyumbang kepada Akaun Amanah Bencana layak mendapat potongan cukai.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan berkata, potongan cukai itu diberikan dengan syarat sumbangan disokong oleh resit rasmi kerajaan (Kew. 38) atau dokumen pengesahan/resit transaksi bagi sumbangan yang dikreditkan melalui saluran sistem perbankan rasmi.

"Akaun Amanah Bencana ini ditadbir oleh Jawatankuasa Akaun Amanah yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan dianggotai oleh wakil-wakil dari Kementerian Kewangan, Jabatan Akauntan Negara, Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

"Pengoperasian akaun ini juga tertakluk kepada undang-undang dan garis panduan rasmi, termasuk pengauditan berkala, yang ditetapkan bagi akaun akaun amanah Kerajaan," menurut kenyataan itu.

Akaun itu ditubuhkan untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa bencana, mengurangkan risiko bencana serta pengurusan mangsa bencana termasuk bencana penularan COVID-19 yang sedang melanda negara dan seluruh dunia.

Pada 31 Mei lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan menteri dan timbalan menteri tidak mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun bagi membolehkan ia disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana bagi membiayai perbelanjaan berkaitan COVID-19.

Pada 1 Jun lalu pula Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali juga mengumumkan bahawa potongan sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) ataupun Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) penjawat awam selama tiga bulan dilaksanakan mulai Jun bagi tujuan sama.

MOF juga menyatakan sebagai tanda manifestasi solidariti bagi membantu kerajaan dengan mengambil kira situasi semasa, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta Badan Berkanun Persekutuan juga digalakkan mempertimbangkan pemotongan gaji dan ganjaran kakitangan secara sukarela bagi disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana.

Kementerian itu juga menyatakan pihak awam dan sektor swasta boleh menyumbang ke dalam Akaun Amanah Bencana itu.

Sumbangan boleh dibuat ke dalam Akaun Amanah Bencana melalui akaun Maybank Islamic Berhad dengan nombor 5660 1065 0930

 

 

 

 

Khamis, Mei 06, 2021

Ledakan digital: Maybank tidak bercadang kurangkan cawangan

 

 

Malayan Banking Bhd (Maybank) tidak berhasrat untuk menutup cawangan sedia ada pada masa hadapan, di sebalik ledakan teknologi yang menyaksikan kesan ketara transformasi ke arah perbankan digital.

Sebaliknya, bank terbesar dari segi aset itu berkata, ia akan memperbaiki serta meningkatkan mutu perkhidmatan cawangannya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias, berkata pihaknya melihat pentingnya mempunyai cawangan bank sebagai saluran penting bagi kumpulan perbankan terbesar di Malaysia itu dari segi aset itu berhubung dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya.

Malah, katanya, pihaknya melihat kepentingan untuk meningkatkan cawangan pada masa depan mengikut keperluan semasa.

"Kita akan membuat banyak perubahan termasuk dari segi reka bentuk dan jenis perkhidmatan ditawarkan, tetapi akan mengambil masa beberapa tahun, bergantung kepada struktur ekonomi dan lokasi cawangan berkenaan.

"Mungkin jumlah cawangan akan ditingkatkan dan bukannya ditutup. Perkhidmatan juga akan diperbaiki dan pekerja dilatih semula bagi memenuhi keperluan semasa," katanya pada sidang media secara maya sempena Mesyuarat Agung Tahunan Maybank ke-61.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kajian yang dijalankan Roland Berger yang menjangkakan hampir 600 cawangan perbankan runcit di Malaysia akan ditutup dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Menurut kajian syarikat perunding terkemuka Eropah bertajuk Branching out - The future of retail banking networks, pengecilan operasi perbankan itu selaras dengan ledakan teknologi kewangan (fintech) yang menyaksikan pelanggan beralih kepada perkhidmatan digital.

Ia menjangkakan 18 peratus atau lebih 11,000 cawangan bank ditutup di Asia Tenggara dalam tempoh 10 tahun akan datang dan penutupan cawangan perbankan runcit itu dijangka berlaku di enam pasaran termasuk Malaysia.

"Thailand, Malaysia, Indonesia dan Filipina mengalami fasa pertumbuhan selama 10 tahun terakhir, namun jumlah cawangan dijangka mulai menurun atau terus mengecil di negara yang sudah menyaksikan trajektori penurunan.

"Indonesia, Thailand dan Malaysia akan memperlihatkan penggabungan cawangan yang ketara ketika ekonomi terus berkembang, selain dipacu insentif dan peraturan kerajaan yang menyokong lebih banyak aktiviti perbankan digital," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Isnin, Mei 03, 2021

Pembayaran Zakat Melalui Maybank

 

Malayan Banking Bhd (Maybank) menjangkakan kira-kira 200,000 transaksi zakat dalam talian bernilai RM30 juta melalui aplikasi MAE dan laman sesawang Maybank2u pada Ramadan ini.

Menurut institusi perbankan itu, pihaknya sudah meningkatkan ciri-ciri zakat dalam talian baru-baru ini bagi dua platform digital itu untuk memberi pelanggan pengalaman lancar dan mudah ketika membayar zakat.

"Pelanggan Maybank boleh membuat pembayaran zakat kepada semua pusat zakat negeri di Malaysia.

"Buat masa ini 11 pusat zakat boleh menerima pembayaran dalam talian untuk zakat fitrah iaitu Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Melaka, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan," menurutnya dalam kenyataan.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti, Maybank Malaysia, Datuk Hamirullah Boorhan berkata, menerusi pembayaran zakat secara dalam talian, pelanggan dapat menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah dengan mudah dan selamat terutama dalam persekitaran semasa dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dikuatkuasakan di beberapa tempat di dalam negara.

Beliau berkata, susulan peningkatan dengan ciri baharu, nilai zakat fitrah yang perlu dijelaskan dikira secara automatik apabila pelanggan memilih pusat zakat, jenis beras yang dimakan serta jumlah ahli keluarga.

"Pelanggan tidak perlu mencari harga beras yang dikenakan setiap pusat zakat negeri kerana ia sudah tersedia melalui aplikasi ini.

"Mereka juga tidak perlu mengisi butir-butir peribadi kerana proses ini dibuat secara automatik. Akad zakat juga turut dipaparkan pada halaman pengesahan pembayaran menjadikan sistem zakat dalam talian kami yang paling lengkap di negara ini pada masa ini," katanya.

Selain bayaran zakat dalam talian, Maybank juga menawarkan perkhidmatan eDuit Raya melalui aplikasi MAE untuk membolehkan pelanggan meneruskan tradisi pemberian duit raya dan sentiasa selamat.

Hamirullah berkata, pihaknya menjangkakan transaksi eDuit Raya tahun ini meningkat 30 peratus dan mengunjurkan 1.5 juta transaksi eDuit Raya bernilai sehingga RM115 juta dihantar oleh pelanggan Maybank.

"Susulan penambahan ucapan e-Raya yang menarik dan permainan MAE-ga Raya, kami berharap dapat memberi kegembiraan kepada keluarga yang menyambut secara berjauhan dan memeriahkan lagi perayaan mereka," katanya.

Layari www.maybank2u.com.my/mae. untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai aplikasi dalam talian bayaran zakat, eDuit Raya serta kempen MAE-ga Boleh Raya.

 

 

Rabu, Disember 09, 2020

Maybank Islamic perkenal akaun pelaburan baharu

 

Maybank Islamic Bhd melancarkan akaun pelaburan tertutup Multi-Asset Investment-i (MAIA) dengan sasaran meraih pelaburan RM250 juta menerusi produk yang julung kali seumpamanya ditawarkan bank komersial.

MAIA ditawarkan kepada pelanggan yang bermatlamat memaksimumkan pulangan dengan pelaburan dalam portfolio pelbagai aset pembiayaan bank dan pasaran sekuriti patuh Syariah.

Sebanyak 50 peratus pelaburan MAIA akan dibuat ke dalam aset pembiayaan Maybank Islamic yang menguntungkan dan stabil seperti gadai janji, sewa beli serta pembiayaan unit amanah.

MAIA memberi peluang kepada pelabur yang ingin meneroka peluang pelaburan pada jangka masa sederhana hingga panjang yang baharu dan akaun ini terbuka kepada individu serta pelabur institusi dengan pelaburan minimum sebanyak RM10,000.

Maybank Islamic Asset Management (MIAM) dilantik sebagai Pengurus Pelaburan Luar akan melaburkan baki 50 peratus dalam ekuiti patuh Syariah dan Amanah Pelaburan Hartanah (REITs).

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican, berkata bank menyasarkan potensi pulangan yang lebih tinggi sebanyak 4.25 peratus setahun untuk penempatan selama tiga tahun, menjadikan MAIA satu pelaburan yang menarik memandangkan persekitaran kadar faedah agak rendah sekarang.

"Kami percaya MAIA dapat memenuhi keperluan pelabur yang mencari pilihan pelaburan patuh Syariah yang bertujuan untuk mengekalkan modal sambil menghasilkan pulangan yang stabil dan

relatif lebih tinggi," katanya.

Mohamed Rafique berkata, pelancaran MAIA adalah tonggak bagi Maybank Islamic yang menjadi institusi perbankan Islam pertama mewujudkan produk pelaburan yang menawarkan peluang kepada pelabur untuk melabur bukan hanya pada aset pembiayaan bank yang kukuh, tetapi juga sekuriti patuh Syariah.

"Dengan ketidaktentuan ekonomi semasa akibat penyebaran COVID-19, Maybank Islamic menyasarkan untuk membantu pelanggannya untuk mengembangkan pelaburan mereka.

"Ia terutama yang mencari pulangan pendapatan berpotensi dan pertumbuhan modal dengan melabur dalam portfolio pembiayaan bank Islam terbesar di Malaysia serta dana yang terdiri daripada portfolio sekuriti patuh Syariah," katanya.

Di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSA) 2013, institusi kewangan Islam dibenarkan menjadi perantara pelaburan.

Maybank Islamic adalah yang pertama merealisasikannya dengan pelancaran produk Akaun Pelaburannya (IA) pada tahun 2015.

Di bawah produk IA, MAIA adalah inovasi kedua produk pelaburan untuk bank.

Sumber : Berita Harian

 

Selasa, Oktober 20, 2020

Maybank lulus 99 peratus permohonan bantuan pembayaran semula

 

Malayan Banking Bhd (Maybank) meluluskan lebih 99 peratus daripada 81,000 permohonan oleh individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk bantuan pembayaran semula pada 15 Oktober 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan Kewangan Komuniti) Maybank, Datuk John Chong, berkata kira-kira 38 peratus permohonan yang diluluskan telah mendapat lanjutan moratorium terhadap pembayaran balik pinjaman/pembiayaan mereka.

"Kami masih memproses permohonan tambahan memandangkan terdapat permohonan dibuat pada saat-saat akhir yang diterima selepas 1 Oktober," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Maybank sentiasa bersedia untuk terus membantu pelanggannya dan mereka yang memerlukan bantuan masih boleh menghubungi bank untuk membincangkan pakej pembayaran semula bagi memenuhi keperluan kewangan mereka ketika ini.

Chong berkata, lebih 85 peratus pangkalan pelanggan runcit Maybank meneruskan pembayaran pinjaman/pembiayaan seperti biasa mulai 1 Oktober, 2020.

"Kami akan terus berhubung dengan mereka yang menghadapi kesukaran, Maybank akan membantu mereka dengan penyelesaian yang sesuai," katanya.

Selain bantuan pembayaran balik, beliau berkata, Maybank akan terus menawarkan penyelesaian pembiayaan kepada pelbagai segmen pelanggannya, termasuk PKS dan dan PKS mikro yang mahu mengembangkan perniagaan mereka.

"Kami mempunyai pelbagai pilihan pembiayaan yang tersedia, Pembiayaan Digital PKS adalah pilihan terbaharu dilancarkan, penyelesaian pembiayaan digital dengan tempoh kelulusan pantas selama 10 minit saja," katanya.

Beliau berkata, PKS melalui penyelesaian itu dapat memohon pembiayaan secara dalam talian melalui platform Maybank2U atau Maybank2U Biz yang dibuka selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu tanpa perlu mengunjungi cawangan dan proses permohonannya selesa dengan hanya memerlukan maklumat minimum dan tiada dokumen diperlukan untuk pelanggan sedia ada.

Chong berkata, memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di beberapa wilayah di seluruh negara, Maybank menggalakkan pelanggan yang ingin memohon bantuan pembayaran semula untuk melakukannya melalui Maybank2u atau e-mel ke weassist@maybank.com atau SMErelief@maybank.com.

"Saluran ini memberikan pilihan mudah kepada pelanggan kami kerana mereka juga tidak perlu keluar rumah mereka untuk datang ke cawangan Maybank untuk menghantar permohonan pakej bantuan berkenaan," katanya.

Mereka yang perlu mengunjungi cawangan Maybank untuk tujuan tertentu akan disediakan dengan kemudahan tambahan untuk menggunakan sistem pengurusan janji temu dalam talian Maybank EzyQ yang baru dilancarkan untuk menetapkan tarikh lawatan mereka, kata Chong.

Pakej Bantuan Pembayaran Semula itu merangkumi penangguhan pembayaran pinjaman atau pembiayaan tambahan bagi mereka yang diberhentikan kerja dan menganggur akibat pandemik COVID-19 serta pengurangan pembayaran pinjaman atau pembiayaan bagi mereka yang berpendapatan rendah.

Pelanggan yang mahu maklumat lanjut mengenai Bantuan Pembayaran Balik Maybank boleh melayari www.maybank2u.com.my/covid19 atau menghubungi Maybank di 1- 300-88-6688 dan tekan * 1 untuk "Bantuan Pembayaran Semula". 

Sumber : BERNAMA

Recent Posts