Memaparkan catatan dengan label buka sekolah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label buka sekolah. Papar semua catatan

Rabu, Mac 08, 2023

Sesi persekolahan 2023/2024 tak tangguh, pelajar boleh belajar PdPR


 

Tiada penangguhan sesi persekolahan bagi kalendar akademik 2023/2024 yang dijadual pada 19 dan 20 Mac ini di negeri yang terjejas banjir, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, pelajar di sekolah terjejas diberi pilihan belajar melalui sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) jika kerosakan sekolah tidak dapat dipulihkan sebelum cuti sekolah berakhir dua minggu lagi.

"Terdapat 17 sekolah terjejas teruk akibat banjir di Johor dan Segamat yang juga adalah paling teruk iaitu 14 sekolah manakala daerah lain, tiga sekolah. Kita akan sedaya upaya akan melakukan kerja membaik pulih kerosakan dengan segera dalam tempoh dua minggu ini.

"Kita tidak akan menangguhkan sesi persekolahan tetapi kita bagi pilihan (jalani) PdPR supaya proses pembelajaran tetap berlangsung," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Seri Bali, Chaah.

Fadhlina berkata, berdasarkan laporan yang diterima daripada pihak teknikal dan jurutera yang menilai, sekolah terjejas bukan sahaja mengalami kerosakan, malah kemusnahan aset termasuk membabitkan meja guru dan perkakas perabot.

Sesi persekolahan bagi kalendar akademik 2023/2024, akan bermula pada 19 Mac bagi negeri Kumpulan A (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor), manakala 20 Mac bagi negeri Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Sementara itu, Fadhlina berkata, pihaknya menyedari keperitan mangsa banjir yang mengalami kerosakan barangan persekolahan termasuk pakaian, Kementerian Pendidikan akan memberi kelonggaran kepada pelajar yang terjejas datang ke sekolah dengan menggunakan pakaian biasa.

"Kami ada pertimbangan manusiawi dan keinsanan, jadi mereka boleh datang ke sekolah dengan pakaian apa sekalipun asalkan mereka tetap pergi ke sekolah dan memulakan sesi persekolahan seperti biasa," katanya.

Terdahulu, beliau turut melawat PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Chaah.

Sumber : Berita Harian

Ahad, Jun 06, 2021

PdPR selama 25 hari bermula 13, 14 Jun 2021

 

Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan selama 25 hari persekolahan bermula 13 dan 14 Jun mengikut kumpulan negeri masing-masing.

Pembukaan sekolah pada 13 Jun membabitkan negeri kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala pada 14 Jun pula membabitkan negeri kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, berkata ketetapan yang berkuat kuasa hari ini bukan saja merangkumi sekolah kerajaan, malah turut membabitkan sekolah swasta, sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat yang mendaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM).

Beliau berkata, sekolah berkenaan perlu melaksanakan PdPR sepanjang tempoh ditetapkan berdasarkan takwim masing-masing.

"Kita sedia maklum waktu ini sekolah dalam cuti pertengahan tahun dan sesi persekolahan berikutnya mengikut takwim akan bermula pada 13 Jun untuk negeri kumpulan A dan 14 Jun untuk negeri kumpulan B.

"Kemudian murid akan mengikuti PdPR selama 25 hari persekolahan sehingga cuti berikutnya iaitu cuti pertengahan penggal bermula pada 16 Julai bagi negeri kumpulan A dan 17 Julai bagi negeri kumpulan B.

"Dari tarikh itu bermula cuti pertengahan penggal sehingga 26 Julai untuk negeri kumpulan B dan 25 Julai untuk negeri kumpulan A.

"Jadi itulah takwim atau jadual penggal persekolahan yang ada dan berkuat kuasa pada hari ini," katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Radzi berkata, KPM akan membuat pengumuman lebih awal iaitu seminggu sebelum sesi persekolahan bermula bagi setiap cuti pertengahan penggal.

"Ramai yang akan bertanya apa akan berlaku selanjutnya selepas ini iaitu selepas berakhirnya sesi cuti pertengahan penggal itu.

"Jadi, KPM akan memaklumkan kepada ibu bapa dan murid sekurang-kurangnya seminggu sebelum persekolahan bermula mengenai pendekatan selanjutnya berdasarkan situasi pada waktu itu," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

Recent Posts