Isnin, Jun 07, 2021

PDRM hanya terima surat 7 kementerian, 3 agensi untuk melepasi SJR

 

Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya menerima pakai surat pengesahan pekerja yang dikeluarkan tujuh kementerian dan tiga agensi kerajaan sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata tujuh kementerian itu merangkumi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC).

Katanya, surat pengesahan dikeluarkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga diterima, selain Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk pengamal perundangan.

"PDRM turut menerima pakai surat pengesahan dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi sektor kewangan dan insurans, Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang berkaitan sektor urus niaga saham.

"Turut diterima pakai, surat pengesahan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi sektor peniaga kecil dan penjaja gerai makanan serta kenderaan saji.

"Bagi pengeluaran lesen berniaga pengurusan sisa pepejal dan sanitasi, surat pengesahan akan dikeluarkan MITI melalui Sistem Pengurusan Pintar COVID-19 (CIMS​) 3.0," katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi sekatan jalan raya Plaza Tol Jalan Duta, malam ini.

Surat pengesahan berkenaan adalah bukti yang membolehkan pekerja melepasi sekatan jalan raya bagi pergerakan dari kediaman ke tempat kerja membabitkan sektor yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh dua minggu fasa pertama sekatan pergerakan penuh hingga 14 Jun.

Acryl Sani berkata, pihaknya menerima surat pengesahan dikeluarkan MITI bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan, dan MOT bagi sektor pengangkutan awam serta barangan keperluan.

"Surat pengesahan MAFI adalah untuk sektor pertanian, perikanan, penternakan, perladangan dan komoditi.

"MAFI mengeluarkan surat pengesahan menerusi CIMS 3.0 kepada pekebun kecil yang mempunyai lesen di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)," katanya.

Beliau berkata, surat pengesahan MPIC adalah bagi sektor perladangan dan pengeluaran komoditi seperti kelapa sawit, getah dan sebagainya.

"Pemegang permit dan lesen Lembaga Getah Malaysia (LGM) seperti pekebun kecil, estet, nurseri, peniaga getah, pedagang dan pengilang getah boleh menggunakan surat pengesahan dikeluarkan MPIC atau LGM.

"Bagi pengilang pembuatan produk getah seperti sarung tangan, surat pengesahkan akan dikeluarkan MITI," katanya.

Acryl Sani berkata, surat pengesahan dikeluarkan KKMM adalah bagi perkhidmatan telekomunikasi, media, pos, kurier dan penyiaran.

Katanya, surat pengesahan dikeluarkan agensi di bawah KDN seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) diterima pakai untuk kebenaran pergerakan.

Bagi operasi firma guaman dengan kakitangan 20 peratus, katanya, surat pengesahan akan dikeluarkan oleh BHEU JPM.

Katanya, pengamal undang-undang yang perlu ke mahkamah mewakili anak guam dalam kes baharu seperti reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah, perlu menunjukkan dokumen bercetak atau surat firma guaman di sekatan jalan raya.

"Semua surat pengesahan itu mesti bertarikh 1 Jun 2021 dan mereka yang tiada surat pengesahan atau sudah tamat tempoh (sebelum 1 Jun) akan diarah berpatah balik.

"PDRM akan mengeluarkan permit pergerakan bagi mereka yang layak mengikut peraturan rentas sempadan iaitu untuk ziarah kematian, kecemasan dan bekerja sendiri," katanya.

Acryl Sani berkata, mereka yang bekerja sendiri seperti tukang paip, penyelenggaraan dan penjaja tepi jalan tanpa majikan boleh memohon kebenaran bergerak PDRM secara 'one off' (1 Jun-14 Jun).

Bagi pekerja di sektor tidak dibenarkan beroperasi tetapi perlu ke tempat kerja bagi tujuan khusus seperti penyediaan dokumen atau invois pembayaran gaji, katanya, kebenaran akan diberi secara 'one off' bagi tempoh dua hingga tiga hari.

"Bagaimanapun, kita memerlukan surat pengesahan majikan sebagai bukti," katanya.

Katanya, mereka yang mengemukakan surat pengesahan palsu akan dikenakan tindakan tegas mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Orang ramai diminta untuk bersama-sama memainkan peranan dalam usaha melandaikan lengkuk penularan wabak Covid-19 dan sekiranya terdapat aduan mengenai pematuhan dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) PKP, salurkan melalui Malaysian Goverment Call Centre (MyGCC) di talian 03-8000 8000 atau menerusi emel ke 80008000@myggcc.gov.my serta aduan.pematuhan@mkn.gov.my

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts