Isnin, Jun 07, 2021

MR DIY jual produk kesihatan, penjagaan diri

 

Peruncit barangan rumah, MR DIY Group (M) Bhd (MR DIY) mempelbagaikan lagi pilihan barangannya dengan menambah produk kesihatan dan penjagaan diri.

Naib Presiden Pemasaran MR DIY, Andy Chin, berkata penambahbahan produk itu seiring dengan usaha berterusan kumpulan menjadikan produk mampu milik lebih mudah diakses oleh pengguna.

Beliau berkata, MR DIY kini membawa masuk 69 produk dari pelbagai jenama kesihatan dan penjagaan diri termasuk vitamin, makanan tambahan, produk kebersihan, penjagaan kebersihan diri dan mulut.

Katanya, pandemik COVID-19 meningkatkan keperluan memiliki produk kesihatan dan penjagaan diri dikalangan pengguna.

"Penambahan produk di semua rangkaian MR DIY ini memperkukuhkan lagi peranan kami sebagai pusat sehenti untuk keperluan harian bagi semua rakyat.

"Ia juga seiring dengan keperluan serta kehendak pengguna dengan harga yang rendah. Pengguna kini sentiasa mencari produk berkualiti dengan harga rendah dan MR DIY sentiasa memberikan yang terbaik kepada pengguna," katanya dalam satu kenyataan.

Chin berkata, MR DIY juga menjalin kerjasama erat dengan pembekal bagi menguruskan secara menyeluruh barisan produk kesihatan dan penjagaan diri yang paling sesuai untuk memenuhi keperluan seisi keluarga.

Rangkaian produk baharu itu, katanya, boleh didapati dengan harga rendah di lebih daripada 350 cawangan MR DIY kedai seluruh negara bermula 1 Jun sebelum ditambah ke kesemua rangkaiannya dalam masa terdekat.

Beliau menambah, pelanggan juga boleh membeli produk ini secara dalam talian di www.mrdiy.com.my.

"Sempena dengan pelancaran ini juga, MR DIY memberikan 15 peratus diskaun kepada lebih 35 produk," katanya.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts