Memaparkan catatan dengan label pesawat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pesawat. Papar semua catatan

Isnin, Jun 07, 2021

Tiada bukti UFO pesawat makhluk asing – Pentagon

 

 
 
Pegawai-pegawai agensi perisikan Amerika Syarikat (AS) tidak dapat menjelaskan tentang penampakan misteri yang dikesan baru-baru ini, namun menurut laporan Pentagon, tiada bukti menunjukkan objek yang dilihat adalah kapal angkasa makhluk asing, lapor akhbar The Sun kelmarin.

Mereka berkata, majoriti daripada 120 kes penampakan objek terbang tidak dikenali (UFO) itu oleh tentera laut sepanjang tempoh satu dekad lalu disahkan bukan pesawat tentera atau memiliki teknologi AS.

Penemuan tersebut yang dibentangkan kepada Kongres pada bulan ini, turut menafikan UFO yang dilihat adalah pesawat rahsia milik kerajaan AS.

Pegawai-pegawai agensi pe­risikan tersebut bagaimanapun tidak menolak kemungkinan UFO yang dikesan adalah pesawat milik negara seteru seperti Rusia atau China. Ia susulan kebimbangan bahawa Moscow mungkin sedang melakukan eksperimen teknologi pesawat hipersonik.

Anggota Kongres, Senator Marco Rubio berkata, laporan kerajaan seharusnya menjadi permulaan kepada usaha AS untuk mengesan dan mengenal pasti objek misteri yang berterbangan itu.

“Lelaki dan perempuan yang telah ditugaskan untuk menjaga pertahanan negara telah melihat pesawat tidak dikenal pasti yang memiliki keupayaan hebat.

“Kita tidak boleh membiar­kan stigma terhadap UFO meng­halang kita daripada menyiasat perkara ini,” katanya.

Seorang pegawai kanan pe­risikan yang memaklumkan tentang penemuan itu berkata, memandangkan laporan tersebut tidak konklusif, kerajaan AS tidak boleh menyingkirkan teori bahawa UFO tersebut adalah pesawat makhluk asing.

Bekas Presiden AS, Barack Obama menerusi satu wawancara dalam rancangan bual bi­cara Late Show With James Cor­den pada bulan lalu membe­ritahu bahawa terdapat rakaman objek di langit yang tidak dapat dikenal pasti.

Obama juga berkata, satu kepercayaan baharu akan muncul sekiranya kewujudan makhluk asing dapat disahkan.

Sebilangan besar daripada 120 insiden penampakan UFO tersebut dilaporkan oleh anggota tentera laut AS.

Ketua Angkatan Laut AS yang telah bersara, Sean Cahil baru-baru ini memberi amaran bahawa UFO mungkin mempunyai teknologi yang tidak dapat ditandingi oleh AS. – Agensi

 

Selasa, Jun 01, 2021

16 pesawat China masuk Zon Maritim Malaysia

 


Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesan penerbangan mencurigakan sebanyak 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), Kota Kinabalu FIR dan menghampiri ruang udara nasional semalam.

Panglima Tentera Udara (PTU) Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad, berkata penerbangan pesawat PLAAF itu dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi.

Pesawat bekenaan dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika antara satu sama lain.

"Formasi panjang itu juga terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar. 

"Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ackbal berkata, pesawat itu dikesan terbang pada ketinggian antara 23,000 kaki hingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapore FIR sebelum memasuki ruang udara ZMM, Kota Kinabalu FIR dan seterusnya terbang menghala menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara. 

"Pihak TUDM meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan di dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM.

"Pemantauan menerusi radar pertahanan udara diteruskan ke atas pesawat itu di samping beberapa percubaan untuk mengarahkan mereka menghubungi kawalan trafik udara KK FIR," katanya.

Apabila arahan tidak dipatuhi dan didapati melangkaui persempadanan Kota Kinabalu FIR menghala ke ruang udara nasional, TUDM melancarkan pesawat pemintas pada jam 1.33 tengah hari untuk melakukan identifikasi visual.

"Hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, TUDM mengenal pasti pesawat itu adalah daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20.

"Pesawat jenis ini adalah pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi," katanya.

Menurut Ackbal, insiden ini adalah perkara yang serius terhadap ancaman kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan berdasarkan kepadatan trafik udara di dalam laluan penerbangan (Airways) di dalam KK FIR.

"Insiden ini dikendalikan oleh TUDM khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya berlandaskan undang-undang dan peraturan penerbangan antarabangsa International Civil Aviation Organization (ICAO) serta Strategi Pertahanan Udara Nasional (SPUN).

"Kementerian Luar Negeri telah mengambil maklum tentang perkara ini melalui Kementerian Pertahanan," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Recent Posts