Rabu, Mei 19, 2021

Amalan mudah untuk jimat elektrik


TNB menyarankan pengguna kediaman agar mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah sepanjang tempoh cuaca panas ketika ini.

Penggunaan elektrik mungkin meningkat apabila orang ramai perlu mematuhi arahan duduk di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Amalan mudah untuk penjimatan elektrik adalah seperti berikut:

-Tidak membiarkan pendingin hawa, kipas dan lampu terpasang dalam bilik yang kosong serta mematikan suis peralatan elektrik seperti komputer selepas selesai digunakan.

-Memilih alat elektrik berlabel cekap tenaga 4 atau 5 bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) juga membantu menjimatkan penggunaan elektrik di kediaman.

-Menyenggara pendingin hawa dengan kerap membolehkan ia beroperasi pada tahap optimum serta lebih menjimatkan elektrik. Kotoran pada penapis menghalang pengedaran udara dan mengurangkan kecekapan pendingin hawa.

-Ketika cuaca panas terik, tindakan menutup tingkap dengan langsir yang tebal boleh menghalang haba daripada masuk dan membebankan pendingin hawa. Semakin kurang beban pada pendingin hawa untuk menyejukkan bilik, semakin rendah penggunaan elektrik.

-Pada waktu malam, cuma hidupkan kipas.

 

 

KPM perlu sedia rancangan jangka panjang pendidikan digital

 

Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menyediakan rancangan jangka panjang mengenai pendidikan digital memandangkan ia akan menjadi asas kepada sistem pendidikan pada masa depan.

Pakar Pendidik, Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata stigma ibu bapa serta masyarakat perlu diubah, bahawa sistem pembelajaran dalam talian atau digital ketika ini bukan lagi bersifat sementara.

"Signal itu kena tepat. Kita harus melihat sama ada COVID-19 ada atau tidak, pendigitalan dalam pendidikan pasti akan berlaku. Jika kita lihat di negara maju, mereka sudah bergerak ke arah pendigitalan pendidikan ini sangat pesat.

"Maknanya sekarang, kita tidak boleh anggap pelaksanaan pembelajaran dalam talian, hanya semata-mata disebabkan kita berdepan COVID-19, tetapi kita kena merancang dalam jangka panjang pendidikan digital ini akan menjadi asas kepada sistem pendidikan masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Bicara BH: PdPR dilaksana lagi, sudah bersediakah guru, murid? secara maya hari ini yang dihoskan Fazilah Hani Harun.

Turut diundang sebagai panel, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang.

Sejak tahun lalu, pelbagai bentuk dan kaedah pembelajaran baharu diperkenal KPM untuk memastikan PdPR berjalan lancar termasuk menambah siaran saluran TV pendidikan serta pengenalan Didik TV KPM, yang membolehkan akses PdP lebih mudah dicapai dan meluas.

Anuar berkata, sejak Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tamat dan sesi PdP bersemuka bermula Januari hingga April lalu, pendedahan kepada pendigitilan pendidikan seolah-oleh tidak lagi menjadi keutamaan termasuk oleh ibu bapa sendiri.

"Kita lupakan tentang pembelajaran dalam talian. Kita tidak bicara soal pembelajaran dalam talian. Itu satu kesilapan yang kita lakukan dengan seolah-olah tidak ada PdPR lagi.

"Ibu bapa anggap PdPR ini sementara, jadi mereka rasa tiada keperluan menyediakan keperluan wang untuk membeli peranti," katanya.

Beliau berkata, kaedah guru Malaysia melaksanakan PdPR sejak tahun lalu turut mendapat pujian universiti berprestij dunia termasuk Universiti Oxford sendiri.

Anuar berkata, tumpuan KPM dalam pelaksanaan PdPR sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini perlu mengambil kira penilaian terhadap tahap motivasi murid untuk belajar, dengan memastikan mereka kekal fokus dan bersemangat.

Katanya, perkara ini perlu diberi keutamaan bagi mengelak mutu pembelajaran mereka semakin merosot, sekali gus berdepan isu keciciran.

"Kita lihat trend pembelajaran menggunakan peranti semakin meningkat, namun ia tidak begitu berkesan untuk menarik fokus murid belajar.

"Sebaiknya ia perlu diselang seli dengan kaedah lain. Anak-anak kini berdepan motivasi untuk belajar yang semakin menurun, walaupun mereka hadir ke kelas dalam talian, tetapi ada kalanya tidak fokus dengan pembelajaran.

"Ada tugasan diberi tidak dihantar semula. Ini semua disebabkan masalah persekitaran yang dihadapi mereka sejak tahun lalu, masih tidak dapat diselesaikan seperti capaian internet yang lemah, masalah akses kepada gajet yang terhad serta komitmen ibu bapa yang tinggi terhadap kerjaya masing-masing," katanya.

Justeru, beliau berkata, KPM perlu meneliti dan menyemak setiap masa kaedah PdPR masa kini supaya ia mudah diakses dan menarik perhatian murid untuk belajar.

"Sekarang, graduan pendidikan yang menuntut di institut pengajian tinggi (IPT) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) tidak diberi pendedahan mengenai cybergogi, yang dilatih lebih kepada pembelajaran dalam kelas. Ini pun harus kita perkasakan lagi," katanya.

Sementara itu, Anuar juga mencadangkan insentif khas diberi kepada guru yang berjaya dan cemerlang dalam memperkenalkan modul PdP alaf baharu, yang mengadaptasikan penggunaan digital dalam menyampaikan pembelajaran kepada murid.

Sumber : Berita Harian

 

Selasa, Mei 18, 2021

Istilah baharu sesuai keadaan semasa

 


Bersesuaian dengan perkembangan semasa banyak istilah baharu diperkenalkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Ia merentasi pelbagai bidang yang ada sebahagiannya diambil daripada bahasa sukuan, manakala terdapat juga dipinjam daripada bahasa asing.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, istilah bermaksud perkataan atau rangkai kata yang menyatakan sesuatu dengan betul, tepat dan sesuai dalam sesuatu bidang ilmu pengetahuan, sementara peristilahan pula bermaksud yang berkaitan dengan istilah (pembentukan istilah dan sebagainya).

Ada kala istilah baharu yang diperkenalkan bagi menggantikan istilah dalam bahasa asing yang langsung tidak menunjukkan jati diri bahasa Melayu.

Justeru, istilah yang bersifat kemelayuan dan keindahan perlu terus dikekalkan untuk mengelakkan generasi akan datang terus terpesong daripada cara menuturkannya. Contohnya:

Fogging = Pengabutan

Posting = Hantaran

Dive site = Tapak selam

Viral = Tular

Flashmob = Aksi rasa kilas

Breaking News = Berita gempar

Hightlight = Imej tumpu

Post Mortem = Pasca nilai

Back Drop = Latar pentas

Bunting = Gegantung

Hotspot = Kawasan khas

Push Button = Butang tekan

Pick-up Line = Kata pikat

Trending = Sohor kini

Nap = Meridap

Ketika ini, pandemik COVID-19 melahirkan banyak istilah baharu. Kebanyakan istilah ini dalam bidang kesihatan awam dan berasal daripada bahasa Inggeris.

Dalam hal ini DBP bertindak pantas untuk mewujudkan istilah baharu untuk memperkayakan bahasa kebangsaan.

Sebelum membentuk istilah baharu, DBP dalam buku Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Malaysia (1975) menggariskan tujuh langkah dalam proses pembentukan istilah.

Terdapat empat syarat yang perlu dipatuhi dalam pembentukan istilah baharu iaitu, ungkapan yang dipilih mestilah ungkapan paling singkat, maknanya tidak menyimpang, tidak membawa pengertian buruk dan sedap didengar. Antaranya;

COVID-19 Assessment Centre (CAC) / Pusat Penilaian COVID-19 (CAC)

Merujuk pada tempat yang disediakan khas sebagai pusat rujukan bagi mengenal pasti, menilai, memantau, serta menguruskan pe sakit yang disahkan positif COVID-19.

R-naught/ nilai kebolehjangkitan

Nilai kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak dalam masyarakat.

Drive-through testing/ ujian pandu lalu

Kaedah ujian secara pandu lalu yang membolehkan pemandu atau pesakit menjalani ujian calitan

Twindemic/ pandemik berkembar

Nilai kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak dalam masyarakat.

Cycle threshold value (ct value)/ nilai ambang kitaran

Keadaan apabila nilai kitaran ambang dalam ujian pesakit positif COVID-19 adalah rendah, menunjukkan kadar kebolehjangkitan wabak adalah tinggi.

Travel bubble/ gelembung perjalanan

Perjanjian yang dipersetujui antara dua atau lebih negara untuk membuka sempadan tanpa mengenakan syarat kuarantin yang ketat kerana pemerintah saling mempercayai bahawa negara masing-masing sudah dapat menangani dan menguruskan virus dengan baik.

Sumber : Berita Harian

 

Permainan dalam talian suntik elemen ceria PdPR

 

oleh Dr Maslawati Mohamad

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Inovasi Pembelajaran dan Pengajaran Fakulti Pendidikan UKM

 

Pelaksanaan Pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) kembali lagi buat kali ketiga. Hal ini sebenarnya bukanlah di luar jangkaan jika kita melihat senario semasa pandemik COVID-19 di seluruh dunia.

Justeru apabila Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan bahawa PdPR yang dilaksanakan pada Januari lalu kini dimulakan kembali selepas Aidilfitri selama 10 hari, ia bukanlah terlalu mengejutkan.

Persoalannya, adakah guru dan murid sudah bersedia? Berdasarkan pengalaman sebelum ini, terlalu banyak rungutan mengenai kaedah pembelajaran PdPR.

Bosan, tertekan, malah ada murid yang tidak hadir ke kelas kerana pelbagai masalah termasuk ketiadaan gajet atau tiada liputan perkhidmatan telekomunikasi.

Bagaimanapun, dari satu sudut yang lain guru seharusnya sudah bersedia kali ini untuk berhadapan PdPR. Kaedah mengajar membosankan atau statik seperti yang menjadi rungutan sebelum ini seharusnya sudah tiada.

Guru seharusnya sedar murid masa kini adalah generasi digital. Ini bermakna, mereka lebih berminat dengan penggunaan teknologi berbanding kaedah pengajaran dan pembelajaran seperti generasi terdahulu.

Justeru, satu daripada kaedah yang boleh diusahakan guru untuk menjayakan PdPR adalah dengan menggunakan kaedah permainan dalam talian atau disebut juga sebagai gamifikasi.

Permainan dalam talian mempunyai pelbagai ciri-ciri menarik yang boleh disesuaikan dengan gaya pembelajaran murid, meningkatkan motivasi dan penyertaan mereka dalam proses pembelajaran.

Kaedah ini dari satu segi, berupaya mengurangkan beban guru dalam penyediaan soalan serta penandaan jawapan.

Sebagai contoh, Kahoot! dan Quizizz adalah antara dua program permainan dalam talian yang boleh memperkukuhkan pembelajaran murid.

Terdapat dua kebaikan utama yang boleh dicapai oleh guru dan murid apabila mereka mengintegrasikan permainan dalam talian dalam proses PdPR.

Pertamanya, permainan dalam talian dapat meningkatkan tahap motivasi pembelajaran murid dan mengekalkannya. Kedua, ia dapat mengurangkan beban kerja guru. Misalnya, menerusi permainan dalam talian membolehkan guru terus memberikan jawapan bagi setiap soalan diberikan selepas murid selesai menjawabnya.

Apabila murid menggunakan permainan dalam talian itu, guru mendapat maklum balas secara automatik. Pada semua tahap, jawapan yang betul bagi setiap soalan akan disediakan.

Murid juga boleh melihat jawapan mereka dan menilai semula jika ia salah. Hal ini boleh terjadi dalam tempoh singkat, serta-merta, malah dalam persekitaran yang sama. Jawapan kepada soalan juga akan segera tertera. Mereka berpeluang membuat pembetulan dan pengubahsuaian terhadap teknik belajar dan cara mereka berfikir.

Keadaan ini membolehkan mereka belajar daripada kesilapan malah saling berlumba untuk menjadi murid yang menjawab paling betul dengan banyak.

Strategi permainan dalam talian yang baik membolehkan murid menjadi lebih bermotivasi untuk meneruskan pembelajaran dan meningkatkan tahap pengekalan tumpuan mereka.

Secara tidak langsung ia dapat memupuk dan mempraktik teknik penyelesaian masalah menerusi pelbagai tahap yang berbeza apabila menggunakan permainan dalam talian. Murid juga boleh bermain mengikut masa dan tempat yang mereka mahu.

Selain itu, paparan skrin yang menarik, pilihan warna serta latar belakang muzik turut membantu mengekalkan minat murid dalam bermain permainan dalam talian.

Ada kala mereka akan diberi kata-kata pujian seperti hebat, bagus selain disertakan animasi, bunyi tepuk tangan atau visual yang menarik. Ini akan menaikkan lagi semangat murid untuk mencuba dan menjadi bangga dengan pencapaian mereka.

Selain itu terdapat juga perisian permainan dalam talian ini membenarkan pemain melanjutkan masa atau tempoh permainan apabila mereka berjaya mencapai sesuatu tahap pencapaian. Adakalanya penerangan dalam bentuk 'flag' disediakan bagi soalan yang salah. Ini membantu murid belajar secara berdikari.

Bagi meningkatkan emosi dan hubungan sosial murid pula, mereka patut diberi pujian selepas berjaya menamatkan permainan atau mendapat markah tinggi. Amalan ini adalah sebahagian usaha untuk menggalakkan murid supaya mengambil bahagian yang aktif di dalam proses pembelajaran.

Satu lagi kebaikan pengajaran secara permainan dalam talian ialah guru boleh membina soalan ujian dan peperiksaan serta menanda kertas jawapan di dalam ruang perisian itu.

Apabila terdapat ramai murid dalam kelas, maka beban kerja guru juga bertambah. Kini banyak soalan ujian merangkumi pelbagai topik dan bidang sudah disediakan secara percuma atau dengan caj bayaran yang minima di dalam talian.

Satu lagi keistimewaannya, penggunaan permainan dalam talian membolehkan guru membina bank soalan dan perisian itu yang akan menyusunnya.

Oleh itu, setiap murid akan mendapat set soalan yang berbeza. Ini membantu guru dalam mengurangkan tahap meniru murid sekiranya ujian itu dijalankan dalam kelas. Murid tidak boleh bertanya jawapan daripada rakan lain kerana turutan soalan yang berbeza.

Apabila soalan ujian diletakkan dalam sistem pengurusan pembelajaran dalam talian, pendidik boleh mengakses soalan berkenaan di mana sahaja mereka berada asalkan mereka mempunyai capaian internet.

Sebenarnya dalam pelaksanaan PdPR, guru berperanan untuk memastikan pelajar terbabit secara aktif, memahami peraturan, menjaga emosi dan mengawasi hubungan sosial. Kelebihan yang terdapat di dalam penggunaan aplikasi seperti ini di dalam tempoh pelaksanaan PdPR diyakini akan dapat mengekalkan motivasi pembelajaran murid.

Sumber : Berita Harian

 

 

Isnin, Mei 17, 2021

Tiada kesan sampingan serius vaksin AstraZeneca di Malaysia

 

Malaysia belum merekodkan sebarang kesan sampingan serius daripada pengambilan vaksin COVID-19 keluaran AstraZeneca, sejak suntikan imunisasi itu mula diberikan pada 5 Mei lalu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata pihaknya masih mengkaji maklumat daripada Indonesia yang menggantung sementara penggunaan vaksin itu susulan seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas menerima suntikan vaksin AstraZeneca.

Katanya, vaksin itu akan terus digunakan di Malaysia selepas mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) hari ini mengesahkan tiada isu serius berbangkit daripada vaksin berkenaan.

"Kita masih mengkaji maklumat daripada Indonesia. Namun di Malaysia, setelah kita mulakan penggunaan vaksin AstraZeneca, tiada kesan sampingan serius dilaporkan.

"Mesyuarat CITF hari ini mengesahkan tiada kesan sampingan serius di Malaysia setakat ini. Jadi, kita teruskan penggunaan vaksin AstraZeneca di Malaysia," katanya pada sidang media mingguan mengenai perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) secara maya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah Indonesia yang menggantung sementara waktu penggunaan kumpulan 450,000 dos vaksin AstraZeneca yang tiba ke negara itu bulan lalu.

Ia selepas seorang lelaki berusia 22 tahun, dilaporkan meninggal dunia sehari selepas menerima vaksin berkenaan di Jakarta, dengan penggantungan itu disifatkan sebagai usaha Kerajaan Indonesia bagi memastikan keselamatan vaksin itu.

Kumpulan yang digantung itu adalah sebahagian daripada lebih 3.85 juta dos vaksin AstraZeneca yang sudah diterima Indonesia menerusi fasiliti COVAX.

Malaysia mula mengagihkan vaksin AstraZeneca sejak 5 Mei lalu, tiga hari selepas selepas pengambilan 260,000 dos vaksin itu ditawarkan secara sukarela pada 2 Mei.

Vaksin AstraZeneca ditawarkan secara sukarela di Malaysia berbanding vaksin Pfizer dan Sinovac yang diberikan mengikut bekalan yang ada, dengan tarikh pengambilan bergantung kepada fasa dan kumpulan sasaran dalam PICK.

Tawaran secara sukarela itu berikutan kegusaran orang ramai terhadap tahap keselamatan vaksin AstraZeneca, yang dikaitkan dengan beberapa insiden darah beku yang jarang berlaku di beberapa negara.

Sumber : Berita Harian

 

Ibu hamil, menyusu hanya disyor vaksin Pfizer

 

Ibu mengandung dan menyusukan anak hanya disaran mengambil vaksin COVID-19 keluaran Pfizer, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata, kedua-dua kumpulan itu tidak disarankan untuk menerima vaksin Sinovac dan AstraZeneca kerana data keberkesanan dan kesan sampingan membabitkan dua vaksin itu kepada kumpulan terbabit tidak mencukupi.

Sehubungan itu, katanya, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) sudah diarah untuk mengatur dan menyelaras dengan hospital serta pusat pakar perubatan ibu dan kanak-kanak untuk mengutamakan pengagihan vaksin Pfizer kepada ibu mengandung.

"Berdasarkan nasihat pakar Kementerian Kesihatan (KKM), vaksin Pfizer sesuai untuk ibu mengandung dengan usia kandungan antara 14 hingga 33 minggu, atau disyorkan ditangguh sehingga selepas kehamilan.

"Bagi ibu menyusu juga sesuai untuk mengambil vaksin Pfizer. Vaksin Sinovac dan AstraZeneca tidak disyorkan untuk ibu mengandung dan yang menyusukan anak kerana data keselamatan mereka adalah terhad.

"Bagi mereka yang ada keraguan perlu mendapatkan nasihat daripada doktor masing-masing," katanya pada sidang media mingguan berhubung perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) secara maya.

Sumber : Berita Harian

 

Cahaya berwarna bendera Palestin di drawbridge

 

Selepas Menara Kuala Lumpur dan Alor Setar, malam ini mercu tanda ikonik Terengganu, jambatan angkat atau drawbridge pula dilimpahi cahaya lampu berwarna bendera Palestin.

Pengerusi TI Properties Sdn. Bhd., Maliaman Kassim berkata, inisiatif itu sebagai tanda solidariti dan sokongan kerajaan negeri dan seluruh rakyat terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Katanya, pemasangan lampu berkenaan bermula dari pukul 7 malam hingga 12 tengah malam selama seminggu dan berakhir Ahad ini.

“Sepanjang tempoh itu, cahaya lampu di jambatan angkat dihiasi warna merah, hijau, hitam dan putih sebagai simbolik kepada bendera Palestin.

“Ini sebagai tanda kebersamaan Terengganu terhadap denyut nadi rakyat Palestin yang ditindas rejim zionis Israel,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sabtu lalu, Menara Kuala Lumpur dan Menara Alor Setar menarik perhatian ramai kerana dilimpahi cahaya berwarna bendera Palestin.

Jambatan angkat sepanjang 638 meter dengan bahagian tengahnya (bascule) yang boleh diangkat untuk laluan kapal itu baru-baru ini diiktiraf sebagai ikon pelancongan baharu terbaik Malaysia pada Anugerah Kecemerlangan Pelancongan Dunia 2020. 

Sumber : Kosmo!

Sektor kekosongan jawatan suku pertama 2021

 

Sektor ekonomi merekodkan 177,900 kekosongan jawatan pada suku pertama (S1) tahun ini, peningkatan 7.2 peratus berbanding 166,000 yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lepas, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin ber­kata, statistik tersebut diterbitkan dalam laporan Statistik Guna Tenaga, S1 2021 berdasarkan Survei Guna Tenaga yang dilaksanakan ke atas perniagaan berdaftar sektor swasta.

“Peningkatan kekosongan jawatan ini adalah selari dengan prestasi ekonomi yang lebih baik.

“Bagaimanapun, bilangan kekosongan jawatan masih belum mencapai paras normal seperti sebelum krisis, yang merekodkan secara purata 200,000 kekosongan­ jawatan,” katanya dalam satu ke­nyataan akhbar di sini semalam.

Mohd. Uzir berkata, lebih separuh daripada kekosongan jawatan pada S1 2021 adalah dalam ka­tegori separuh mahir dengan 55.5 peratus atau 98,700 kekosongan, diikuti kategori mahir 23.5 peratus (41,800) dan berkemahiran rendah 21 peratus (37,400).

Katanya, mengikut sektor ekonomi, kebanyakan kekoso­ngan jawatan adalah di sektor pembuatan dengan 100,900 kekosongan, terutama di subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal (30,600) diikuti oleh subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik (18,700).

“Kekosongan jawatan di sektor pertanian merangkumi 28,500 kekosongan dengan sebahagian besar di subsektor tanaman dan ternakan, manakala terdapat 26,800 kekosongan jawatan di sektor perkhidmatan terutama aktiviti perdagangan borong dan runcit,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai kedudukan keseluruhan jawatan, Mohd. Uzir berkata, bila­ngan jawatan di sektor ekonomi berkurang secara berterusan sejak empat suku tahun yang lepas kepada 8.44 juta jawatan, penurunan sebanyak 1.5 peratus tahun ke tahun.

“Statistik ini menunjukkan bilangan jawatan masih rendah berbanding sebelum krisis walau­pun bilangan kekosongan jawatan meningkat.

“Kadar pengisian jawatan suku tahun ini kekal pada 97.9 peratus, bersamaan dengan 8.260 juta jawatan diisi,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Uzir berkata, terdapat sejumlah 17,400 jawatan diwujudkan pada S1 2021, meningkat empat peratus berbanding 16,700 pada suku tahun sebelumnya.

Sumber : Kosmo!

e-Belia dibuka 1 Jun 2021 dengan tawaran kredit RM150

 

Inisiatif kredit e-tunai dikenali sebagai e-Belia bernilai RM300 juta akan dibuka kepada kira-kira dua juta belia warganegara Malaysia yang layak bermula 1 Jun depan.

Kementerian Kewangan berkata, e-Belia akan ditawarkan melalui empat penyedia perkhidmatan e-tunai iaitu BigPay, Boost, ShopeePay and Touch ‘n Go eWallet yang secara keseluruhan mempunyai 30 juta  pengguna aktif dengan jaringan lebih 1 juta  peniaga di dalam dan luar talian.

Katanya, pemohon yang layak boleh menuntut RM150 dalam bentuk kredit e-tunai daripada salah satu penyedia perkhidmatan e-tunai tersebut.

“Ia akan disertakan dengan insentif tambahan dalam bentuk pulangan tunai (cash back), baucar, mata terkumpul atau coins oleh penyedia perkhidmatan e-tunai yang dipilih sepanjang tempoh kempen,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kementerian Kewangan berkata, e-Belia dibuka kepada warganegara Malaysia yang mencapai umur 18 ke 20 tahun pada tahun ini (lahir pada tahun 2001 hingga 2003).

“Permohon juga terbuka kepada pelajar sepenuh masa di peringkat diploma, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap empat dan ke atas di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan berdaftar.

“Data belia akan disemak silang dengan IPT tempatan yang berdaftar dan pangkalan data kerajaan yang berkenaan,” jelasnya.

Tambahnya, tempoh tuntutan kredit tersebut adalah dari 1 Jun hingga 22 Julai depan dan kredit tersebut boleh dibelanjakan sehingga 31 Julai depan.

“Mereka yang layak digalakkan untuk mengemas kini akaun di aplikasi e-tunai masing-masing atau memuat turun aplikasi e-tunai tersebut sebelum 1 Jun ini,” ujarnya.

Sumber : Kosmo!

Ahad, Mei 16, 2021

PKP: Semak SOP di laman sesawang MKN

 

Semua maklumat berkaitan prosedur operasi standard (SOP) untuk Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) boleh diperoleh melalui laman sesawang kementerian yang berkaitan serta laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kementerian juga akan mengaktifkan talian hotline untuk memberi penerangan lanjut mengenai SOP.

Mesyuarat Teknikal MKN hari ini telah memperincikan SOP PKP yang seragam untuk seluruh negara bagi kementerian, aktiviti yang dibenarkan di Kawasan PKP; kebenaran beroperasi dan pergerakan bagi Perkhidmatan Awam dan Swasta serta protokol kesihatan umum.

"Turut diperincikan aktiviti keagamaan, aktiviti sektor perikanan, perladangan, pertanian dan penternakan; aktiviti sukan dan riadah; industri kreatif; Pusat Asuhan Kanak-Kanak, Tabika, Taska, Tadika, Pusat Jagaan Harian dan Pusat Rehabilitasi bagi Orang Kurang Upaya (OKU) dan senarai aktiviti yang tidak dibenarkan," katanya.

Laman Web Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh dilayari di : https://www.mkn.gov.my

 

IPT laksana PdP sepanjang PKP

 

Semua institusi pendidikan tinggi (IPT) kelolaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dikehendaki meneruskan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini hingga 7 Jun depan.

Kementerian itu menjelaskan, keputusan itu dibuat melalui Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara semalam.

"Semua aktiviti PdP secara bersemuka tidak dibenarkan kecuali kepada enam kategori pelajar yang berkeperluan.

"Peperiksaan antarabangsa, badan profesional dan aktiviti penyelidikan yang memerlukan kemudahan makmal di IPT juga dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) IPT berkenaan.

"Pelajar IPT berkeperluan yang pulang sempena cuti Aidilfitri dibenarkan kembali semula ke kampus berdasarkan tarikh dan SOP yang diumumkan dengan menggunakan surat kebenaran pergerakan merentas negeri atau daerah dari IPT masing-masing," kata KPT dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, KPT menegaskan, pergerakan pensyarah atau tenaga pengajar bagi tujuan PdP juga dibenarkan dengan pengesahan daripada KPT atau IPT berkaitan. 

"Pelajar diingatkan sentiasa mematuhi SOP atau arahan dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa," kata KPT.

Sumber : Berita Harian