Memaparkan catatan dengan label pdp. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pdp. Papar semua catatan

Jumaat, Julai 30, 2021

PdP pelajar asasi, diploma mulai Ogos 2021

 

 

Aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) pelajar baharu program asasi dan diploma sesi akademik 2021/2022 akan dijalankan sepenuhnya secara dalam talian bermula Ogos ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan di sini hari ini.

KPT berkata, universiti awam (UA) boleh mempertimbangkan kemasukan pelajar asasi dan diploma ke kampus secara fizikal bermula Oktober depan.

“Kemasukan pelajar tersebut juga boleh dipertimbangkan pada semester berikutnya bergantung kepada kesediaan dan ketetapan universiti masing-masing,” katanya.

Bagi sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkara ini, para pelajar dan ibu bapa boleh menghubungi bilik gerakan Covid-19 KPT yang dibuka 24 jam di talian 03-8870 6777.

Orang ramai juga boleh berbuat demikian dengan melayari laman web IPT atau terus menghubungi Pegawai Penyelaras di IPT masing-masing.

 

 

Ahad, Mei 16, 2021

IPT laksana PdP sepanjang PKP

 

Semua institusi pendidikan tinggi (IPT) kelolaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dikehendaki meneruskan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini hingga 7 Jun depan.

Kementerian itu menjelaskan, keputusan itu dibuat melalui Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara semalam.

"Semua aktiviti PdP secara bersemuka tidak dibenarkan kecuali kepada enam kategori pelajar yang berkeperluan.

"Peperiksaan antarabangsa, badan profesional dan aktiviti penyelidikan yang memerlukan kemudahan makmal di IPT juga dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) IPT berkenaan.

"Pelajar IPT berkeperluan yang pulang sempena cuti Aidilfitri dibenarkan kembali semula ke kampus berdasarkan tarikh dan SOP yang diumumkan dengan menggunakan surat kebenaran pergerakan merentas negeri atau daerah dari IPT masing-masing," kata KPT dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, KPT menegaskan, pergerakan pensyarah atau tenaga pengajar bagi tujuan PdP juga dibenarkan dengan pengesahan daripada KPT atau IPT berkaitan. 

"Pelajar diingatkan sentiasa mematuhi SOP atau arahan dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa," kata KPT.

Sumber : Berita Harian

 

Rabu, Julai 01, 2020

Pengajaran dalam talian kurang berkesan



Kementerian Pendidikan mendapati pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dan belajar dari rumah kurang berkesan, berbanding secara bersemuka.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, berkata kementerian juga sedar terdapat kelemahan dalam pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian.

"Kaedah 'home-based learning' sesuatu yang baharu dalam kalangan guru, murid dan ibu bapa.

"Selain itu, ramai dalam kalangan murid tidak dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian kerana akses kepada teknologi komunikasi yang terhad.

"Ini menyebabkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan 'home-based learning' agak terhad jika dibandingkan dengan kaedah secara bersemuka," katanya dalam sidang media khas di sini, hari ini.

Mohd Radzi berkata, jika situasi itu berterusan, murid akan menghadapi kesukaran untuk mencapai tahap penguasaan minimum dalam setiap mata pelajaran yang diikuti.

"Ini akan memberi kesan kepada minat dan motivasi murid untuk terus mengikuti pengajaran dan pembelajaran.

"Hubungan murid dengan sekolah juga akan terkesan kerana mereka terasing dari suasana persekolahan untuk satu tempoh yang panjang," katanya.

Beliau berkata, kementerian yakin murid, ibu bapa dan guru menyedari betapa perlunya sekolah dibuka semula bagi membolehkan pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dapat dilaksanakan dalam keadaan selamat.

Recent Posts