Memaparkan catatan dengan label pkp 3.0. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pkp 3.0. Papar semua catatan

Jumaat, Jun 11, 2021

PKP 3.0 disambung hingga 28 Jun 2021

 

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi berkuat kuasa 15 Jun hingga 28 Jun ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membentang dan mencadangkan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini, supaya PKP 3.0 disambung.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira jumlah kes harian masih melebihi 5,000 sehari dengan purata kes baharu hingga semalam ialah 6,871.

"Senarai positif, negatif dan prosedur operasi standard (SOP) bagi setiap aktiviti perkilangan, perniagaan dan industri masih kekal seperti mana diumumkan sebelum ini," katanya dalam kenyataan 

"Saya tidak mahu rakyat terkesan dengan salah tafsiran berhubung SOP di lapangan oleh penguat kuasa," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di empat lokasi di Sabah dan Kedah.

Di Kedah, PKPD akan dilaksanakan di Kampus Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, selepas mendapati berlaku peningkatan kes apabila sebanyak 18 kes positif dilaporkan hasil ujian saringan ke atas 208 penghuni universiti itu dalam tempoh seminggu.

KKM juga mengesan berlaku penularan kes dalam kalangan pelajar dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti berkenaan. Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampus UUM, berkuat kuasa 13 Jun hingga 26 Jun 2021.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk menyekat pergerakan keluar masuk bagi memastikan tiada penyebaran jangkitan keluar ke kampus serta memudahkan KKM membuat pemantauan ke atas pelajar sedang menjalani kuarantin," katanya.

PKPD turut akan dilaksanakan di Kampung Kadazan, Tawau; dua perkampungan dalam daerah Kota Kinabalu dan Taman Villa Felca Nambazan, Penampang, Sabah.

KKM melaporkan berlaku peningkatan kes dalam tempoh seminggu di Kampung Kadazan, apabila senanyak 14 kes positif COVID-19 dilaporkan hasil daripada 45 ujian saringan dengan kadar positiviti 31.11 peratus.

Di Kota Kinabalu, pelaksanaan PKPD akan dibuat di Kampung Lobou 1 dan Kampung Bukit Permai selepas berlaku peningkatan ketara apabila sebanyak 15 kes dikesan hasil daripada 20 ujian saringan di kedua-dua perkampungan ini.

Turut berlaku peningkatan kes adalah di Taman Villa Felca Nambazan, Penampang yang merekodkan lapan kes positif dalam tempoh seminggu.

Semua pelaksanaan PKPD di tiga lokasi di Sabah ini akan dibuat bermula 13 Jun hingga 26 Jun 2021. 

Sumber : Berita Harian

 

Jumaat, Mei 21, 2021

PKP 3.0 akan diperketat libatkan sektor ekonomi, sosial

 

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang berkuat kuasa ketika ini akan diperketatkan lagi dengan penambahan sekatan yang lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial.

Keputusan itu dipersetujui sebulat suara dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, perincian mengenai sekatan tambahan itu akan diumumkan dalam sidang media Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok.

Kenyataan itu berkata, sidang khas hari ini meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan berhubung status terkini kes Covid-19 termasuk kadar kebolehjangkitan, kapasiti kesihatan setiap negeri dan cadangan tindakan bagi mengawal penularan jangkitan.

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi PKP 3.0 telah diperketatkan termasuk larangan rentas negeri dan daerah serta sekatan bagi aktiviti sosial, sukan dan rekreasi serta persidangan dan mesyuarat secara bersemuka.

“Bagaimanapun penularan dalam komuniti yang semakin meningkat dan kewujudan varian baharu yang lebih agresif dengan kadar kebolehjangkitan tinggi menyebabkan usaha untuk melandaikan lengkung jangkitan mengambil masa yang lebih panjang,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, satu sidang khas MKN melibatkan kerajaan negeri diadakan hari ini dengan melibatkan kehadiran Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri.

Ia bagi mengambil kira situasi semasa di negeri masing-masing serta pandangan mereka terhadap usaha untuk mengekang penularan Covid-19.

Perdana Menteri pada 11 Mei lalu mengumumkan, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP di seluruh negara dengan me­nguatkuasakan larangan rentas daerah dan rentas negeri kecuali untuk tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, janji temu vaksinasi dan pasangan jarak jauh.

Menerusi pelaksanaan PKP ini, Muhyiddin berkata, semua bentuk perhimpunan sosial termasuk kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis doa selamat dan tahlil, maj­lis makan malam, majlis sambutan hari jadi serta majlis-majlis rasmi kerajaan dan swasta adalah tidak dibenarkan.

Sumber : Kosmo!

Ahad, Mei 16, 2021

PKP: Semak SOP di laman sesawang MKN

 

Semua maklumat berkaitan prosedur operasi standard (SOP) untuk Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) boleh diperoleh melalui laman sesawang kementerian yang berkaitan serta laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kementerian juga akan mengaktifkan talian hotline untuk memberi penerangan lanjut mengenai SOP.

Mesyuarat Teknikal MKN hari ini telah memperincikan SOP PKP yang seragam untuk seluruh negara bagi kementerian, aktiviti yang dibenarkan di Kawasan PKP; kebenaran beroperasi dan pergerakan bagi Perkhidmatan Awam dan Swasta serta protokol kesihatan umum.

"Turut diperincikan aktiviti keagamaan, aktiviti sektor perikanan, perladangan, pertanian dan penternakan; aktiviti sukan dan riadah; industri kreatif; Pusat Asuhan Kanak-Kanak, Tabika, Taska, Tadika, Pusat Jagaan Harian dan Pusat Rehabilitasi bagi Orang Kurang Upaya (OKU) dan senarai aktiviti yang tidak dibenarkan," katanya.

Laman Web Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh dilayari di : https://www.mkn.gov.my

 

IPT laksana PdP sepanjang PKP

 

Semua institusi pendidikan tinggi (IPT) kelolaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dikehendaki meneruskan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini hingga 7 Jun depan.

Kementerian itu menjelaskan, keputusan itu dibuat melalui Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara semalam.

"Semua aktiviti PdP secara bersemuka tidak dibenarkan kecuali kepada enam kategori pelajar yang berkeperluan.

"Peperiksaan antarabangsa, badan profesional dan aktiviti penyelidikan yang memerlukan kemudahan makmal di IPT juga dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) IPT berkenaan.

"Pelajar IPT berkeperluan yang pulang sempena cuti Aidilfitri dibenarkan kembali semula ke kampus berdasarkan tarikh dan SOP yang diumumkan dengan menggunakan surat kebenaran pergerakan merentas negeri atau daerah dari IPT masing-masing," kata KPT dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, KPT menegaskan, pergerakan pensyarah atau tenaga pengajar bagi tujuan PdP juga dibenarkan dengan pengesahan daripada KPT atau IPT berkaitan. 

"Pelajar diingatkan sentiasa mematuhi SOP atau arahan dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa," kata KPT.

Sumber : Berita Harian

 

Recent Posts