Memaparkan catatan dengan label astrazeneca. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label astrazeneca. Papar semua catatan

Khamis, Julai 22, 2021

Dua dos Pfizer, AstraZeneca berkesan terhadap varian Delta

 

Dua dos vaksin COVID-19 jenis Pfizer atau AstraZeneca hampir sama berkesan terhadap varian Delta yang sangat mudah menjangkiti, menurut satu kajian diterbitkan semalam.

Vaksin berkenaan dilaporkan sangat berkesan terhadap varian Delta yang dominan di seluruh dunia walaupun kajian menegaskan bahawa satu suntikan vaksin tidak cukup untuk memberikan perlindungan maksimum.

Kajian yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine itu sekali gus mengesahkan penemuan utama oleh Kesihatan Awam England (PHE) pada Mei mengenai keberkesanan vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech dan Oxford-AstraZeneca, berdasarkan data nyata.

Kajian mendapati keberkesanan dua dos vaksin Pfizer mencecah 88 peratus bagi jangkitan bergejala daripada varian Delta, berbanding 93.7 peratus terhadap varian Alpha, sama seperti dilaporkan sebelumnya.

Dua dos vaksin AstraZeneca pula berkesan sebanyak 67 peratus terhadap varian Delta, meningkat berbanding laporan sebelum ini, manakala 74.5 peratus berkesan terhadap varian Alpha, juga meningkat berbanding jangkaan keberkesanan 66 peratus.

"Hanya perbezaan sederhana dalam keberkesanan vaksin yang dicatat dengan varian Delta dibandingkan dengan varian Alpha selepas penerimaan dua dos vaksin," menurut catatan penyelidik PHE dalam kajian itu.

PHE sebelum ini mengatakan dos pertama daripada salah satu vaksin adalah sekitar 33 peratus berkesan terhadap jangkitan bergejala varian Delta.

Kajian penuh diterbitkan semalam mendapati satu dos suntikan Pfizer adalah 36 peratus berkesan, manakala 30 peratus berkesan bagi satu dos vaksin AstraZeneca. 

Sumber : AGENSI

 

Selasa, Jun 29, 2021

Kombinasi vaksin AstraZeneca dan Pfizer beri perlindungan lebih baik

 

Satu kajian mendapati gabungan vaksin AstraZeneca dan Pfizer mampu memberikan perlindungan lebih baik dalam bagi melawan jangkitan Covid-19, lapor portal berita MailOnline.

Kajian yang disokong kerajaan Britain itu turut mendapati individu yang menerima vaksin Pfizer sebagai suntikan kedua selepas dos AstraZeneca menghasilkan antibodi sembilan kali lebih banyak berbanding sekiranya menerima satu jenis vaksin sahaja.

Menerusi kajian terhadap 830 sukarelawan berumur 50 tahun ke atas itu, mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang menerima dua dos vaksin Pfizer, dua dos AstraZeneca dan kombinasi antara kedua-duanya.

Menurut Ketua Penyelidik kajian tersebut, Profesor Matthew Snape, beliau tidak mencadangkan bahawa lebih baik untuk menggabungkan dua vaksin tersebut kerana bimbang melambatkan kempen vaksinasi yang sedang berjalan.

“Pemberian satu jenis vaksin, sama ada Pfizer atau AstraZeneca ternyata berkesan untuk melindungi diri daripada jangkitan Covid-19 serta varian Delta.

“Jadi, adalah lebih baik untuk kerajaan Britain kekal kepada vaksinasi standard yang dilaksanakan pada ketika ini kerana ia terbukti berkesan dalam kes sebenar,” katanya.

Sumber : Agensi

 

Isnin, Mei 17, 2021

Tiada kesan sampingan serius vaksin AstraZeneca di Malaysia

 

Malaysia belum merekodkan sebarang kesan sampingan serius daripada pengambilan vaksin COVID-19 keluaran AstraZeneca, sejak suntikan imunisasi itu mula diberikan pada 5 Mei lalu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata pihaknya masih mengkaji maklumat daripada Indonesia yang menggantung sementara penggunaan vaksin itu susulan seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas menerima suntikan vaksin AstraZeneca.

Katanya, vaksin itu akan terus digunakan di Malaysia selepas mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) hari ini mengesahkan tiada isu serius berbangkit daripada vaksin berkenaan.

"Kita masih mengkaji maklumat daripada Indonesia. Namun di Malaysia, setelah kita mulakan penggunaan vaksin AstraZeneca, tiada kesan sampingan serius dilaporkan.

"Mesyuarat CITF hari ini mengesahkan tiada kesan sampingan serius di Malaysia setakat ini. Jadi, kita teruskan penggunaan vaksin AstraZeneca di Malaysia," katanya pada sidang media mingguan mengenai perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) secara maya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah Indonesia yang menggantung sementara waktu penggunaan kumpulan 450,000 dos vaksin AstraZeneca yang tiba ke negara itu bulan lalu.

Ia selepas seorang lelaki berusia 22 tahun, dilaporkan meninggal dunia sehari selepas menerima vaksin berkenaan di Jakarta, dengan penggantungan itu disifatkan sebagai usaha Kerajaan Indonesia bagi memastikan keselamatan vaksin itu.

Kumpulan yang digantung itu adalah sebahagian daripada lebih 3.85 juta dos vaksin AstraZeneca yang sudah diterima Indonesia menerusi fasiliti COVAX.

Malaysia mula mengagihkan vaksin AstraZeneca sejak 5 Mei lalu, tiga hari selepas selepas pengambilan 260,000 dos vaksin itu ditawarkan secara sukarela pada 2 Mei.

Vaksin AstraZeneca ditawarkan secara sukarela di Malaysia berbanding vaksin Pfizer dan Sinovac yang diberikan mengikut bekalan yang ada, dengan tarikh pengambilan bergantung kepada fasa dan kumpulan sasaran dalam PICK.

Tawaran secara sukarela itu berikutan kegusaran orang ramai terhadap tahap keselamatan vaksin AstraZeneca, yang dikaitkan dengan beberapa insiden darah beku yang jarang berlaku di beberapa negara.

Sumber : Berita Harian

 

Recent Posts