Memaparkan catatan dengan label perdana menteri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label perdana menteri. Papar semua catatan

Rabu, Ogos 23, 2023

Srettha Thavisin Perdana Menteri baharu Thailand

 


Wakil parti Pheu Thai, Srettha Thavisin, hari ini disahkan sebagai Perdana Menteri Thailand yang ke-30 selepas berjaya mendapatkan sokongan majoriti ahli Parlimen dan Senat negara itu.

Srettha, seorang jutawan hartanah yang dianggap muka baharu dalam politik selepas mula berkecimpung hanya beberapa bulan sebelum pilihan raya umum (PRU) Mei lalu, melepasi 375 undi yang diperlukan bagi menjadi Perdana Menteri dan membentuk kerajaan.Kebuntuan selama tiga bulan itu berakhir pada hari yang sama bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, pulang daripada buangan.

Srettha, bekas presiden syarikat pembangunan hartanah Sansiri, kini bertanggungjawab membentuk kerajaan merangkumi gabungan pelbagai parti yang rapuh termasuk parti penyokong Raja dan tentera, yang sebelum ini menggulingkan kerajaan pimpinan Pheu Thai melalui rampasan kuasa pada 2006 dan 2014.

Antara yang menjadi mangsa ialah Thaksin, yang juga bekas hartawan telekomunikasi dan pemilik kelab bola sepak Liga Premier, yang melarikan diri dan hidup dalam buangan kendiri sebelum dihukum penjara pada 2008 kerana salah guna kuasa.

Kerajaan ditadbir adiknya, Yingluck Shinawatra, selaku Perdana Menteri turut menerima nasib sama akibat rampasan kuasa tentera pada 2014.

Thaksin, 74, menerima sambutan meriah sejurus tiba di lapangan terbang Bangkok hari ini sebelum ditahan polis untuk dibawa ke Mahkamah Agung dan kemudian ke penjara bagi menjalani hukuman penjara lapan tahun.

Kepulangannya, yang secara kebetulan bersamaan dengan pelantikan Srettha mencetuskan spekulasi Thaksin mungkin terbabit dalam rundingan dengan seteru lamanya dalam kalangan pemimpin tentera bagi memastikan hukumannya dipendekkan.

Bagaimanapun, Thaksin dan Pheu Thai menafikan andaian itu.

Perkembangan hari ini adalah yang terbaru dalam episod hampir dua dekad perebutan kuasa antara Pheu Thai, yang memenangi lima PRU, dan gandingan parti konservatif, jeneral tentera serta golongan elit Thailand yang sudah lama menguasai politik dan ekonomi negara itu.

Srettha diisytiharkan sebagai calon Perdana Menteri Pheu Thai, bersama anak bongsu Thaksin, Paetongtarn Shinawatra, selepas PRU 14 Mei lalu, yang mana parti itu muncul sebagai pemenang kedua terbesar.

Usaha awal Pheu Thai membentuk pakatan dengan pemenang terbesar PRU, Parti Move Forward (MFP) dan lapan parti lain gagal selepas mendapat tentangan hebat parti konservatif dan anggota Senat yang dikuasai tentera.

Sumber : AGENSI

Khamis, November 24, 2022

Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10

 


Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, sebentar tadi.

"Setelah memperhalusi titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan untuk melantik Yang Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ahli Parlimen Tambun) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

"Selaras dengan kuasa baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan," demikian menurut kenyataan Istana Negara.

Sumber : Berita Harian

Rabu, November 23, 2022

Agong rujuk Majlis Raja-Raja proses buat keputusan lantikan PM

 


Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, melaksanakan tugas baginda sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan negara apabila mengadakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara esok berkaitan pembentukan Kerajaan Persekutuan dan pelantikan Perdana Menteri ke-10.

Penganalisis politik merangkap pengamal undang-undang, Datuk Shamsuddin Nawawi, berkata Al-Sultan Abdullah melaksanakan tugas baginda bagi tujuan pelantikan Perdana Menteri mengikut kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, berdasarkan peruntukan mengikut Perkara 43(2)(a) menetapkan dua syarat lantikan Perdana Menteri.

"Pertama, seseorang itu hendaklah ahli Dewan Rakyat, maksudnya seseorang itu memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU).

"Kedua, seseorang itu hendaklah pada hemat Yang di-Pertuan Agong mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

"Dengan kata lain, Yang di-Pertuan Agong perlu berkeyakinan dalam keputusan baginda bahawa seseorang itu mempunyai 'kepercayaan' majoriti Ahli Dewan Rakyat," katanya.

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu akan diadakan esok di Istana Negara sebagai usaha Al-Sultan Abdullah merungkai kemelut pembentukan kerajaan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin, berkata perbincangan khas itu bertujuan membolehkan Al-Sultan Abdullah mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu dalam membuat keputusan mengenai pelantikan Perdana Menteri ke-10.

Katanya, perbincangan dengan Raja-Raja Melayu itu diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong menerima menghadap wakil pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pagi tadi.

Shamsuddin berkata, urusan perbincangan Majlis Raja-Raja itu supaya baginda mendapat pandangan semua pihak dalam pertimbangannya berhubung pelantikan Perdana Menteri.

"Perlu diingat ketika ini tiada Perdana Menteri dan Kabinet yang dapat menasihatkan baginda, maka Yang di-Pertuan Agong perlukan nasihat orang yang berwibawa termasuk Majlis Raja-Raja supaya baginda menjalankan tugas mengikut ketetapan dan berperlembagaan.

"Satu perkara yang kita kena ingat, baginda adalah sebahagian daripada Majlis Raja-raja," katanya.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong perlu mendapatkan sebanyak maklumat sebelum membuat keputusan atas budi bicara baginda.

Sementara itu, pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, perbincangan khas dengan Majlis Raja-Raja adalah sebahagian proses membuat keputusan bagi pelantikan Perdana Menteri.

Katanya, keputusan Yang di-Pertuan Agong bukan tertakluk kepada keputusan Majlis Raja-Raja kerana dalam memilih dan melantik Perdana Menteri, perkara itu adalah tugas baginda seperti termaktub dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

"Ini kerana keputusan Yang di-Pertuan Agong itu mencerminkan kehendak dan aspirasi Majlis Raja-Raja kerana baginda pada asalnya daripada Majlis Raja-Raja itu.

"Keputusan baginda akan refleksi kepada kehendak Raja-raja Melayu keseluruhan, Majlis Raja-Raja sememangnya mempunyai pengaruh besar, sebab itu baginda merujuk untuk mendapat maklum balas dan supaya mendapat satu bentuk ilham dalam membuat keputusan yang besar.

"Ini bukan satu yang pelik, kerana sememangnya menjadi amalan dan selalu dipraktikkan baginda termasuk dalam pengisytiharan darurat ketika COVID-16 yang juga merujuk kepada pandangan Majlis Raja-raja Melayu," katanya.

Sumber : Berita Harian

Rabu, September 28, 2022

Raja Salman rombak Kabinet, Putera Mahkota dilantik Perdana Menteri Arab Saudi

 


Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud semalam mengeluarkan Dekri Diraja bagi melantik Putera Mahkota Mohammed Salman sebagai Perdana Menteri Arab Saudi.

Bagaimanapun menurut satu Dekri Diraja, mesyuarat mingguan Kabinet yang dihadiri Raja Salman, akan dipengerusikan oleh baginda, menurut laporan Saudi Gazette.

Pelantikan Putera Mahkota itu dilaksanakan dengan membuat pengecualian terhadap peruntukan Perkara 56 Undang-Undang Asas Pentadbiran Arab Saudi dan peruntukan berkaitan dalam Undang-Undang Majlis Menteri. 

Dalam satu lagi Dekri Diraja, Raja Salman merombak Majlis Menteri dengan diketuai oleh Putera Mahkota.

Baginda turut mengeluarkan dekri bagi melantik Timbalan Menteri Pertahanan, Putera Khalid Salman, sebagai Menteri Pertahanan.

Selain itu, Yousef Abdullah Al-Benyan dilantik sebagai Menteri Pendidikan yang baharu, manakala Talal Abdullah Al-Otaibi dilantik sebagai Pembantu Menteri Pertahanan.

Senarai menteri yang mengekalkan portfolio masing-masing selepas rombakan itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Putera Mansour Miteb; Menteri Tenaga, Putera Abdulaziz Salman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Putera Turki Muhammad Fahd; Menteri Sukan, Putera Abdulaziz Turki Faisal; Menteri Dalam Negeri, Putera Abdulaziz Saud Naif; dan Menteri Pengawal Nasional, Putera Abdullah Bandar.

Seterusnya Menteri Hal Ehwal Luar, Putera Faisal Farhan Abdullah; Menteri Kebudayaan, Putera Badr Abdullah Farhan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Sheikh Saleh Abdulaziz Al-Sheikh; Menteri Hal Ehwal Agama, Seruan dan Bimbingan, Dr Abdullatif Al-Sheikh; Menteri Keadilan, Dr Waleed Al-Samaani; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Muttalib Al-Nafisah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Musaed Muhammad Al-Aiban; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Ibrahim Al-Assaf; Menteri Haji dan Umrah, Dr Tawfiq Al-Rabiah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk Hal Ehwal Majlis Syura, Dr Essam Saad Saeed; serta Menteri Perdagangan dan Pemangku Menteri Media, Dr Majed Al-Qasabi.

Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Muhammad Al-Sheikh; Menteri Alam Sekitar, Air dan Pertanian, Abdul Rahman Al-Fadhli; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Khalid Al-Issa; Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Luar, Adel Al-Jubeir; Menteri Perbandaran dan Hal Ehwal Luar Bandar dan Perumahan, Majed Al-Hogail; Menteri Kewangan, Muhammad Al-Jadaan.

Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat, Abdullah Al-Sawaha; Menteri Sumber Manusia dan Pembangunan Sosial, Ahmed Al-Rajhi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Hamad Al-Sheikh; Menteri Perindustrian dan Sumber Mineral, Bandar Alkhorayef; Menteri Pengangkutan dan Logistik, Saleh Al-Jasser; Menteri Pelancongan, Ahmed Al-Khateeb; Menteri Pelaburan, Khalid Al-Falih; Menteri Ekonomi dan Perancangan, Faisal Al-Ibrahim; serta Menteri Kesihatan, Fahd Al-Jalajel. 

Sumber : AGENSI


Rabu, Ogos 18, 2021

Siapa PM kesembilan?

 

Dua ahli Parlimen iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Bera) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Port Dickson) masing-masing berpeluang cerah untuk mendapat kepercayaan Ahli Dewan Rakyat bagi menjadi Perdana Menteri kesembilan.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (​UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, Ismail Sabri kemungkinan dapat meraih sokongan menerusi status quo Perikatan Nasional (PN) manakala Anwar pula daripada Pakatan Harapan (PH) sendiri.

“Kedua-dua tokoh ini mempunyai peluang cerah menjadi Perdana Menteri berbanding nama-nama yang lain.

“Namun sesiapa yang mampu menarik sokongan parti-parti atau kelompok minoriti iaitu kem UMNO 15 Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Tun Dr Mahathir Mohamad (Pejuang), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Warisan) atau Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkemungkinan besar akan menjadi Perdana Menteri kesembilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mujibu menambah, tiada parti tunggal yang boleh membentuk kerajaan Persekutuan apatah lagi mempertaruhkan calon Perdana Menteri apabila tiada pihak dominan mampu menguasai Dewan Rakyat.

Katanya, rakyat kini sudah terbiasa dengan sistem dominan satu parti apabila Barisan Nasional (BN) secara tunggal mendominasi keputusan pilihan raya sehinggalah 2018 dengan parti itu sentiasa menang dengan majoriti selesa dan menjadikan tradisi melantik ketuanya sebagai Perdana Menteri.

“Dalam kes sekarang, keadaan itu sudah tidak berlaku. Tidak ada mana-mana parti yang mampu memonopoli keputusan pilihan raya. Ini bukanlah satu masalah. Malah bagus untuk proses pendemokrasian negara.

“Ada banyak cara untuk membentuk kerajaan walaupun tanpa majoriti. Masalahnya kita memerlukan pemimpin yang bersifat negarawan dan ini kita lihat tidak ada.

“Mengapa tiada? Lihat bagaimana penawaran rundingan penubuhan kerajaan perpaduan rentas parti antara blok kerajaan dan pembangkang tidak berjaya. Mengapa tidak berjaya? Itu kena tanya orang politik sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, Mujibu menjelaskan memandangkan demokrasi menekankan prinsip majoriti, maka angka menjadi asas kepada keabsahan mana-mana Perdana Menteri dan kerajaannya.

“Cuma nak dapat angka mudah membentuk majoriti tidaklah mudah. Kenapa? Sebab setiap parti ketika ini yang meletakkan kaveat masing-masing lantas menyukarkan ia berlaku iaitu ‘No Anwar, No DAP’ atau ‘No Kleptokrat’ iaitu antara kaveat yang popular,” katanya.

Mujibu menambah, melantik Perdana Menteri adalah berdasarkan siapa yang pada hemat Yang di-Pertuan Agong mungkin mendapat kepercayaan majoriti di Parlimen sekali gus ia adalah hak mutlak Seri Paduka dan bukannya keputusan mana-mana parti.

Sementara itu, beliau menimbulkan persoalan apakah akan berlaku jika Ismail Sabri diperkenan sebagai Perdana Menteri termasuklah membabitkan kes-kes mahkamah pemimpin UMNO.

“Selain itu, perkembangan UMNO yang bakal menghadapi pemilihan parti, apakah Ismail Sabri akan ‘langgar’ Presiden? Sebagai Perdana Menteri, beliau memiliki kelebihan dalam pertandingan seperti mana dalam sejarah pertandingan UMNO.

“Malah juga, timbul berkenaan masa depan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan PN, apakah masih wujud atau UMNO secara perlahan akan menelan Bersatu’ seperti mana Semangat 46? Dan apakah ‘grand coalition BN’ akan kembali segar semula setelah hampir pupus pasca Pilihan Raya Umum Ke-14?,” katanya. 

Sumber : Utusan

Ahad, Ogos 15, 2021

Agong tak perlu temui semua Ahli Parlimen untuk lantik Perdana Menteri baharu

 

Yang di-Pertuan Agong boleh melantik mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mempunyai sokongan majoriti, tanpa perlu menemui kesemuanya secara peribadi bagi mengetahui calon Perdana Menteri yang menjadi pilihan masing-masing.

Perkara itu termaktub dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, yang mana baginda mempunyai kuasa prerogatif bagi menentukan kaedah pemilihan bagi lantikan jawatan itu, selagi syarat dalam peruntukan berkenaan dipenuhi.

Pakar Perlembagaan, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, berkata Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan kebijaksanaan dan budi bicara baginda dalam proses untuk membuat lantikan itu, selagi kaedah yang ditentukan baginda tidak dibataskan dalam Perlembagaan.

"Baginda boleh memilih mana-mana ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin boleh mendapat majoriti. Undi majoriti itu pula hanya perlu dibuktikan selepas lantikan sebagai Perdana Menteri, bukan sebelumnya. 

"Bagaimana cara untuk baginda menentukannya, itu terserah kepada kebijaksanaan baginda kerana kuasa baginda di bawah perlembagaan luas selagi tidak dibataskan, tidak terhad seperti pelaksana fungsi kuasa eksekutif baginda, iaitu Perdana Menteri, ahli Kabinet dan lain-lain penjawat.

"Mungkin Yang di-Pertuan Agong boleh memanggil setiap Ahli Dewan Rakyat untuk bertanya mengenai sokongan mereka seperti yang berlaku sebelum ini, tapi itu juga tidak menjadi satu syarat buat baginda sebenarnya.

"Mungkin juga baginda boleh menemuramah calon bagi mengetahui perancangan calon itu jika dipilih sebagai Perdana Menteri, bagaimana beliau akan mengemudi negara sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) atau dasarnya yang boleh mengukuhkan kedudukan kerajaan selepas ini.

"Apa yang penting, Yang di-Pertuan Agong akan bertindak berdasarkan kebijaksanaan baginda, terutama dalam situasi yang sedang dihadapi rakyat dan negara ketika ini," katanya kepada BH, hari ini.

Wan Ahmad Fauzi mengulas sama ada pelantikan Perdana Menteri baharu oleh Yang di-Pertuan Agong memerlukan sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Rakyat sebagai syarat, susulan kemelut politik yang melanda negara ketika ini.

Muhyiddin dijangka akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah esok, dipercayai berhubung kedudukannya sebagai Perdana Menteri, selepas dipercayai hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Ketika kemelut politik susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pada Februari tahun lalu, semua Ahli Dewan Rakyat kecuali Dr Mahathir yang ketika itu dilantik sebagai Perdana Menteri interim dipanggil untuk menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara.

Semua Ahli Dewan Rakyat itu dititah untuk menzahirkan calon Perdana Menteri pilihan mereka kepada Al-Sultan Abdullah dalam sesi temubual secara peribadi.

Menjelaskan sama ada keabsahan Perdana Menteri baharu itu kelak perlu dibuktikan melalui undi percaya di Dewan Rakyat, Wan Ahmad Fauzi berkata, ia juga boleh dilakukan tapi bukan satu keperluan.

"Semua itu boleh dilihat melalui proses selepas itu, contohnya melalui sokongan kepada belanjawan di Dewan Rakyat. Sebelum ini pun, Tan Sri Muhyiddin juga tidak membawa sebarang usul undi percaya bagi membuktikan sokongan kepadanya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.

"Bagi langkah seterusnya, terserah kepada Perdana Menteri untuk mencorak Kabinetnya atau membuat kerjasama politik yang difikirkan boleh menjamin kestabilan sekurang-kurangnya sehingga PRU, seperti mahu membentuk kerajaan perpaduan atau apa saja," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Isnin, Jun 28, 2021

Kerajaan umum PEMULIH bantu rakyat

 

Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion, bertujuan memberi bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam berdepan penularan wabak COVID-19.

Perdana Menteri ketika membentangkan PEMULIH berkata, pakej itu merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion.

PEMULIH menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.

Walaupun dalam ruang fiskal yang amat terhad, Muhyiddin menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus komited dalam mengutamakan kesejahteraan rakyat.

"Saya tidak akan berkompromi dalam soal memelihara kebajikan rakyat dan memerangi COVID-19," katanya dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen tempatan, hari ini.

Menerusi PEMULIH, kerajaan memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu i-Citra, dengan pengeluaran sehingga RM5,000, yang akan memberi manfaat kepada 12.6 juta ahli KWSP.

Pelaksanaan i-Citra akan menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian, yang mana permohonannya akan dibuka pada 15 Julai ini, dengan pembayaran pertama dijangka dikreditkan dalam akaun ahli pada Ogos ini.

Selain itu, moratorium automatik selama enam bulan akan turut diberikan kepada semua peminjam individu, sama ada daripada golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro, yang mana permohonan akan dibuka pada 7 Julai ini.

Permohonan moratorium berkenaan tidak mengenakan syarat seperti pemohon mesti mengalami pengurangan pendapatan, semakan sama ada hilang pekerjaan dan mengemukakan dokumentasi untuk permohonan.

Melalui fokus Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, kerajaan antara lain akan menyalurkan bantuan tunai langsung kepada rakyat berjumlah RM10 bilion sehingga hujung tahun ini, merangkumi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas COVID-19 (BKC) danBantuan Kehilangan Pendapatan.

Kerajaan juga akan memperuntukkan RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen termasuk pembangkang untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing.

Selain itu, sebanyak RM15 juta akan diperuntukkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu kerajaan menangani isu sosial seperti kesihatan mental, gelandangan, dan masalah sosial lain di peringkat komuniti.

Di bawah fokus Menyokong Perniagaan, beberapa pendekatan akan ditambah baik termasuk mengurangkan kos tanggungan majikan, menyokong usaha digitalisasi, memberikan kemudahan bantuan kewangan dan insentif percukaian, menyediakan fasiliti pembiayaan dan meneruskan insentif penggajian.

Kerajaan akan menyediakan bayaran tambahan di bawah Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0, membabitkan bayaran RM500 kepada penerima yang layak, masing-masing pada September dan November ini yang diharap akan memanfaatkan satu juta usahawan perindustrian kecil dan sederhana (PKS) mikro.

Selain itu, Program Subsidi Upah (PSU) 4.0 akan dilaksanakan dengan peruntukan RM3.8 bilion, yang dijangka memanfaatkan lebih 2.5 juta pekerja.

Melalui inisiatif PSU 4.0, kerajaan akan menampung sehingga 500 pekerja bagi setiap majikan dengan kadar RM600 setiap pekerja selama empat bulan tanpa syarat had gaji ditetapkan.

Di bawah fokus Meningkatkan Vaksinasi, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan terus diperkasa, antara lain melalui tambahan bekalan vaksin dengan peruntukan RM400 juta bagi menampung 130 peratus populasi rakyat, berbanding 120 peratus sebelum ini.

Kerajaan juga akan membuka 29 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu, tambahan kepada 341 PPV sedia ada, melaksana PPV secara pandu lalu, PPV Bergerak dan program Outreach Home-toHome dengan peruntukan keseluruhan RM200 juta.

Sumber : Berita Harian

 

 

Recent Posts