Memaparkan catatan dengan label dsai. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label dsai. Papar semua catatan

Sabtu, Disember 10, 2022

Anwar akhirnya ke Putrajaya selepas 24 tahun

 


Foto BH


Pengumuman pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 bukan sekadar menamatkan kemelut pembentukan kerajaan Persekutuan, malah menoktahkan penantian 24 tahun Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu untuk bergelar Perdana Menteri.

Bukan sekali dua anak kelahiran Kampung Cherok Tok Kun di Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu terlepas peluang untuk menduduki jawatan nombor satu negara itu baik ketika masih bersama UMNO ataupun selepas menerajui PKR dan Pakatan Harapan (PH).

Yang pasti, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melalui kenyataan media selepas Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara hari ini, berkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

Anwar yang dilahirkan pada 10 Ogos 1947 bukanlah nama asing dalam sejarah politik negara, malah rekod beliau turut diketahui ramai sehingga ke luar negara.

Berkongsi hidup dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mereka dikurniakan enam anak termasuk Nurul Izzah yang turut terjun ke kancah politik tatkala bapanya berdepan tuduhan salah guna kuasa dan liwat pada 1998.

Bagi yang lahir sebelum 1980-an, Anwar yang kini berusia 75 tahun pastinya pernah dikenali sebagai bintang atau 'rising star' dalam UMNO sehinggalah dipalit kontroversi ketika namanya disebut-sebut bakal menjadi pengganti kepada Mahathir yang juga mentor politiknya ketika menjadi Perdana Menteri keempat.

Kerjaya politik bermula sejak zaman universiti

Berpendidikan awal di Bukit Mertajam Boys School, Anwar pernah belajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) selaku antara sekolah menengah terkemuka negara antara 1960 hingga 1966. Beliau kemudian diterima masuk ke Universiti Malaya, untuk mengikuti Pengajian Melayu dengan pengkhususan Sastera pada 1967.

Kerjaya politik Anwar boleh dikatakan bermula sejak zaman universitinya apabila menjadi Presiden Kesatuan Pelajar Islam Malaysia antara 1968 hingga 1971. Malah, Anwar dipilih Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada 1971 sebelum menjadi Presiden kedua pertubuhan itu pada 1974.

Pada tahun sama ketika memprotes kemiskinan dalam kalangan masyarakat di Baling, Kedah, Anwar pertama kali ditahan tanpa bicara selama 20 bulan di Pusat Tahanan Kamunting kerana melanggar peruntukan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sebagai pemimpin pelajar, Anwar juga pernah menjadi Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).

Dari segi politik, Anwar pada 1981 menyertai UMNO dan kerjaya politiknya terus memecut apabila menyertai Kabinet Mahathir sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada 1983.

Setahun kemudian, Anwar bertukar portfolio menjadi Menteri Pertanian sebelum diberi tanggungjawab sebagai Menteri Pendidikan pada 1986.

Kira-kira sedekad Anwar dalam Kabinet Mahathir, nama beliau disebut-sebut bakal menjadi pengganti Perdana Menteri. Tidak salah andainya ada membuat andaian bahawa Anwar sudah pun dilatih untuk mentadbir negara apabila Mahathir melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Ia diperkukuhkan lagi apabila Anwar dipilih memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO mengalahkan Tun Abdul Ghafar Baba melalui pemilihan UMNO pada 1993. Kekalahan Abdul Ghafar itu juga menyaksikan rombakan Kabinet dengan Anwar diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Pada masa itu, Anwar sudah menjadi Menteri Kewangan dan beliau memegang jawatan kedua tertinggi negara sehingga pemecatannya pada 1998 susulan dakwaan rasuah dan menghalang siasatan terhadap tuduhan meliwat.

Pemecatan Anwar cetus gerakan reformasi

Pemecatan Anwar tatkala beliau dilihat hampir menjadi Perdana Menteri mencetus gerakan reformasi apabila ramai melihat beliau dianiaya Mahathir.

Apabila Anwar dihukum penjara selama enam tahun pada 1999 selain hukuman penjara selama sembilan tahun bagi kesalahan seks luar tabii (liwat), lahirlah Parti Keadilan Nasional (kemudian bertukar nama kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas penggabungannya dengan Parti Rakyat Malaysia pada 2003.

Bagaimanapun, setahun kemudian Mahkamah Persekutuan Malaysia menggugurkan sabitan kesalahan liwat terhadap Anwar, membebaskan beliau daripada hukuman penjara yang dijalaninya ketika itu.

Selepas pembebasannya, Anwar berusaha membersihkan nama baiknya termasuk mencabar keputusan Mahathir memecatnya daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri, namun Mahkamah Persekutuan pada 2010 mendapati ia adalah sah dan berlandaskan Perlembagaan.

Berikutan itu Anwar perlu menunggu selama lima tahun selepas menjalani hukuman penjara disebabkan sabitan terhadap kesalahan rasuah, sebelum boleh bertanding dalam mana-mana pilihan raya sama ada untuk kerusi Parlimen, mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN). Beliau tidak dapat terus kembali ke arena politik negara sebagai sebahagian daripada wakil rakyat yang dipilih melalui proses pilihan raya.

Sepanjang menunggu tempoh larangan bertanding itu tamat pada 14 April 2008, Anwar mengajar dan dipanggil sebagai pensyarah jemputan di beberapa institusi pengajian tinggi terkemuka dunia termasuk di Oxford, United Kingdom (UK) dan di John Hopkins University di Washington, Amerika Syarikat (AS).

Dinamakan antara 100 individu terpenting dunia

Beliau juga pernah dinamakan antara 100 individu terpenting di dunia oleh Majalah Times pada 2008.

Pada 2006, Anwar mengumumkan beliau berhasrat bertanding pada PRU12 pada 2008 iaitu selepas larangan terhadapnya berakhir, namun hasratnya itu tidak kesampaian apabila Parlimen dibubarkan lebih awal dan PRU12 diadakan pada 8 Mac.

Namun, buat pertama kalinya parti pimpinan Anwar itu yang bergabung di bawah Pakatan Rakyat, berjaya menawan tiga negeri termasuk Selangor dengan DAP menang besar dan membentuk kerajaan di Pulau Pinang.

Berikutan Anwar tidak dapat bertanding, apabila tampuk pentadbiran Selangor diterajui Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, beliau dilantik menjadi penasihat ekonomi.

Seperti dijanjikan Wan Azizah apabila PRU12 diadakan lebih awal daripada tarikh larangan bertanding terhadap suaminya berakhir, beliau yang ketika itu Ahli Parlimen Permatang Pauh, mengosongkan kerusi berkenaan bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding sekali gus kembali ke Parlimen.

Pada 26 Ogos 2008, Anwar kembali ke Parlimen selepas memenangi kerusi Permatang Pauh dan dipilih menjadi Ketua Pembangkang.

Namun, beliau sekali lagi terpalit dakwaan liwat, kali ini membabitkan pembantunya, Mohd Saiful Bukhari. Namun tuduhan itu dibatalkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2012 kerana hakim memutuskan bukti asid deoksiribonukleik (DNA) dalam kes itu diragui kesahihannya.

Anwar peroleh pengampunan diraja

Keputusan itu bagaimanapun dirayu pihak pendakwaan dan pada 7 Mac 2014, dengan Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana bersalah meliwat Mohd Saiful.

Beliau bagaimanapun mendapat penangguhan kes sementara menunggu proses rayuan selesai.

Sabitan dan hukuman itu mengakibatkan Anwar tidak dapat mengemukakan borang penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Kajang pada 10 Mac tahun sama.

Beliau kemudian dijatuhkan hukuman penjara lima tahun di penjara Sungai Buloh pada 2015.

Apabila PRU14 diadakan pada Mei 2018, PH memperoleh kemenangan besar yang menyaksikan pertukaran pentadbiran negara daripada Barisan Nasional (BN) kepada PH dengan Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Seperti dipersetujui, kedudukan Mahathir itu bersifat sementara sehingga pengampunan terhadap Anwar selesai dan beliau dibebaskan dari penjara.

Pada 16 Mei 2018 , Anwar memperoleh pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V.

Bagi membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, melepaskan kerusi berkenaan, memberi laluan kepada Anwar bertanding pada 13 Oktober 2018 sebelum menang dengan majoriti 23,560 undi.

Pun begitu, beliau tidak segera menjadi Perdana Menteri.

Pada Februari 2020, hasrat melihat Anwar menjadi Perdana Menteri Malaysia kelapan terkubur selepas BERSATU bersama-sama sekumpulan ahli Parlimen PKR bertindak keluar parti menyebabkan Mahathir melepaskan jawatan dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik menerajui negara.

Anwar kembali bertanding dalam PRU15 di Tambun melawan penyandang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, sebelum disahkan menang dengan majoriti undi 3,736.

Sumber : Berita Harian


Khamis, November 24, 2022

Recent Posts