Memaparkan catatan dengan label anwar ibrahim. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label anwar ibrahim. Papar semua catatan

Selasa, Januari 31, 2023

Nurul Izzah dilantik penasihat kanan ekonomi, kewangan PM

 


Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, dilantik sebagai penasihat kanan bagi ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

FMT melaporkan, pelantikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bagi jawatan berkenaan berkuat kuasa 3 Januari lalu.

Anak Perdana Menteri itu berharap, pengalamannya sebagai Ahli Parlimen yang mana beliau mengendalikan isu kemiskinan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta perkhidmatannya dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan membantunya untuk bertugas dengan baik.

"Ini boleh dimanfaatkan dalam pembabitan saya bersama pakar dalam mengemudi tadbir urus ekonomi, kebertanggungjawaban dan dasar berasaskan bukti," lapor FMT memetik laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan.

Nurul Izzah berkata, salah satu matlamatnya adalah untuk menyalurkan dan memanfaatkan bakat terbaik dan cemerlang Malaysia, di dalam dan luar kerajaan, serta menambah nilai kepada usaha berterusan untuk memperbaiki keadaan ekonomi rakyat.

"Peranan baharu saya akan membolehkan saya memikul tanggungjawab baharu yang sudah pasti mencabar, berikutan masalah ekonomi yang kita hadapi.

"Bagaimanapun, saya yakin mampu menyumbang kepada evolusi Malaysia, yang bukan saja untuk pertumbuhan tetapi yang memartabatkan semua lapisan masyarakat dan menyediakan kesaksamaan dalam peluang," katanya.

Nurul Izzah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai selama dua penggal sejak 2008. Pada 2018 beliau menang di Parlimen Permatang Pauh, namun tewas di kerusi sama pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Sumber : Berita Harian


Jumaat, November 25, 2022

Bagaimana Anwar dapat sokongan 117 ahli Parlimen

 


Perdana Menteri yang baru dilantik, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoleh sokongan sekurang-kurangnya 117 ahli Parlimen yang memberikannya legitimasi menjadi Perdana Menteri ke-10.

Kiraan majoriti sokongan itu dicapai sebelum Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melanjutkan tempoh masa kepada parti politik untuk membentuk kerajaan sehingga jam 2 petang semalam.

Perkenan lanjutan itu sekali gus memberikan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) tambahan sekurang-kurangnya 24 jam untuk mempersembahkan jumlah sokongan masing-masing kepada Yang di-Pertuan Agong.

Difahamkan, selain 83 ahli Parlimennya sendiri, PH mendapat sokongan 28 ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional (BN). Dua berkecuali, tidak menyokong PH atau PN.

Seorang daripada mereka ialah ahli Majlis Tertinggi UMNO dalam lima pemimpin tertinggi UMNO .

Satu-satunya ahli Parlimen Parti Bangsa Malaysia (PBM) menambah satu undi dalam perebutan sokongan.

Dua ahli Parlimen Sarawak juga telah memberikan sokongan mereka kepada PH sejak Selasa lalu.

Mereka bertanding di bawah tiket Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Terdahulu Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Openg mengumumkan menyertai kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Anwar.

Katanya, gabungan itu 'akan menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan dengan mematuhi titah Yang Dipertuan Agong'.

Beliau berkata, menjadi hak Anwar untuk membentuk kerajaan.

Sejurus sebelum Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan sidang media untuk mempersoalkan jumlah sokongan Anwar.

Bekas Perdana Menteri itu meminta Anwar membuktikan memiliki majoriti sokongan Ahli Parlimen, selain mempersoalkan lanjutan tarikh akhir, yang sepatutnya berakhir jam 2 petang 21 Oktober (Isnin).

Isnin lalu, Muhyiddin menyatakan beliau sudah menyerahkan akuan berkanun (SD) daripada 115 Ahli Parlimen kepada istana.

Dilaporkan pada Selasa, sejurus sebelum masa tambahan yang diberikan oleh Yang Dipertuan Agong tamat, pemimpin BN menarik balik SD mereka.

Jumlah sokongan yang sepatutnya membawa PN ke Putrajaya sepatutnya diperoleh daripada BN, GPS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Sumber : Berita Harian

Biodata PM Malaysia Ke-10 DS Anwar Ibrahim

Anwar bin Ibrahim

Asal
Ceruk Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Tarikh lahir
10/8/1947
Pasangan
Wan Azizah Wan Ismail
Anak
Nurul Izzah Anwar, Nurul Nuha Anwar, Nurul Hana Anwar, Ehsan Anwar, Nurul Ilham Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Beliau merupakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

Anak jati Bukit Merajam Pulau Pinang ini adalah calon PH bagi kerusi Parlimen P63 Tambun pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, di mana beliau telah menang kerusi tersebut dengan majoriti undi 3,736.

Beliau dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia kesepuluh selepas berlaku siri drama politik susulan tiada parti dapat mengumpul minimum 112 kerusi parlimen mendorong penglibatan Yang Dipertuan Agong bagi membolehkan pembentukan kerajaan perpaduan antara PH selaku parti paling banyak kerusi dengan parti-parti lain.

Semasa kecil, beliau bersekolah rendah di Bukit Mertajam Boys School, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Kemudian, beliau meneruskan pengajian persekolahan menengahnya di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dari tahun 1960 hingga 1966. Semasa di MCKK, beliau aktif dalam Persatuan Bahasa Melayu dan menjadi wakil pemidato sekolahnya dan pernah dilantik sebagai ketua pengawas MCKK.

Selepas itu pada tahun 1967, beliau melanjutkan pelajaran tinggi di Universiti Malaya dalam pengajian Melayu (Sastera).

Bercerita mengenai perjalanan politik, beliau disebut-sebut sebagai 'anak didik' Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi kemudiannya tampil sebagai seorang pengkritik Tun Mahathir yang lantang bersuara.

Beliau pernah dilantik menjadi presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dari tahun 1968 hingga 1971.

Kemudian beliau merupakan pengasas bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada tahun 1971 dan dipilih sebagai Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).

Anwar kali pertama dipenjara di Kamunting, Perak selama 20 bulan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terlibat dalam gerakan pelajar pada tahun 1974 selepas mengetuai demostrasi pelajar terhadap kemiskinan dan kelaparan di kawasan luar bandar.

Selepas keluar dari tirai besi, Anwar mengambil keputusan mengejut menyertai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) diketuai Tun Mahathir selaku Perdana Menteri sejak 1981.

Terus melebarkan sayapnya dalam UMNO, kerjaya politiknya menjadi cemerlang dan setahun selepas sertai parti keramat itu, beliau dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada tahun 1983.

Pada tahun 1984, Anwar mengetuai Kementerian Pertanian Malaysia sebelum menjadi Menteri Pendidikan pada tahun 1986. Ketika itu, Anwar berkemungkinan besar akan dilantik Timbalan Perdana Menteri setelah memegang portfolio Menteri Pendidikan.

Ternyata ramalan menjadi realiti, pada tahun 1993, Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri selepas dipilih sebagai Naib Presiden UMNO untuk menewaskan Tun Ghafar Baba yang diramal sebagai pengganti Tun Mahathir.

Setelah menjadi orang kedua terpenting dalam negara, hubungan Anwar dan Tun Mahathir menjadi rapat ibarat isi dan kuku, hubungan anak dan bapa.

Beliau juga pernah dilantik sebagai perdana menteri sementara ketika Tun Mahathir memutuskan untuk mengambil cuti selama dua bulan pada 1997.

Namun setelah itu, hubungan Anwar dan Tun Mahathir merosot akibat perbezaan pandangan semasa mentadbir negara.

Anwar juga semakin lantang bersuara mengkritik budaya nepotisma dan kronisma dalam UMNO sebagai punca utama rasuah dan penyalahgunaan bajet negara.

Anwar dipecat daripada UMNO dan kehilangan jawatan Timbalan Perdana Menteri pada September 1998, peristiwa yang mendorong kelahiran gerakan Reformasi di ibu kota dan seluruh negara.

Beliau dipenjara pada tahun 1999 atas kesalahan rasuah namun menjadi pengaruh besar kepada Barisan Alternatif (BA) dan selepasnya Pakatan Rakyat (PR) yang dianggotai Parti Keadilan Nasional (KEADILAN), Parti Islam Se-Malaysia (Pas) dan DAP.

Selepas 10 tahun tidak ceburi politik, pada 29 November 2009, beliau kembali ke Parlimen sebagai tetamu menemani isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, wanita pertama mengetuai parti pembangkang.

Anwar menjadi anggota Parlimen selepas memenangi pilihan raya di Permatang Pauh pada Ogos 2008 selepas peletakan jawatan isterinya.

Anwar dipenjara sekali lagi pada 2015 selama lima tahun di Penjara Sungai Buloh atas kes pelakuan seks luar tabii.

Kemudian selepas menerima pengampunan diraja dari Sultan Muhammad V, beliau dibebaskan dari penjara pada 16 Mei 2018, selepas PH menang PRU14 pada 9 Mei 2018.

Beliau seterusnya bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson 2018 dan menang besar dengan majoriti 23,560 undi. Anwar menewaskan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad yang bertanding atas tiket Bebas memperoleh 4,230 undi, manakala bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan mendapat 82 undi.

Tiga lagi calon Bebas, Stevie Chan Keng Leong memperoleh 337 undi, manakala Lau Seck Yan (214 undi) dan Kan Chee Yuen (154 undi).

Dalam pada itu, Anwar merupakan satu-satunya warga Malaysia yang pernah tersenarai dalam 100 orang yang dikatakan paling berpengaruh di dunia oleh majalah Time iaitu pada 2008.

PENCAPAIAN
Kerjaya:
  • Perdana Menteri Malaysia
  • Ahli Parlimen Tambun (2022)
  • Ahli Parlimen Port Dickson (2018-2022)
  • Ahli Parlimen Permatang Pauh (2013)
  • Pemangku Perdana Menteri (1997)
  • Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (Mac- September 1998)
  • Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan Malaysia
  • Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia
  • Timbalan Perdana Menteri (1993 – 1998)
  • Menteri Kewangan (1990 - 1998)
  • Menteri Pendidikan 1986 - 1990
  • Menteri Pertanian (1985 - 1986)
  • Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1983 - 1985)
  • Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1982 - 1983)

Jawatan yang pernah disandang dalam parti:

  • Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR)
  • Pengerusi Pakatan Harapan (PH)
  • Timbalan Presiden UMNO
  • Naib Presiden UMNO
  • Ketua Pemuda UMNO
  • meninggalkan ABIM pada 29 Mac 1982 untuk menyertai UMNO
  • Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)
  • Penasihat Majlis Belia Bangsa-Bangsa Bersatu (1973)
  • Pemimpin Pengasas dan Presiden kedua sebuah pertubuhan Islam belia dipanggil Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) (1971)
Pendidikan:
  • Universiti Malaya dalam Pengajian Melayu (Sastera) (1967)
  • Dianugerahi ijazah Doktor Kehormat oleh Ateneo de Manila University
  • Anugerah Presiden oleh Georgetown University
  • Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) (1960-1966)
PENGLIBATAN POLITIK
Parti Gabungan: Pakatan Harapan
Parti: PKR
Pilihan Raya Umum Terbaru: PRU15

Kerusi Bertanding PARLIMEN:
  • PRU13- P44 PERMATANG PAUH
  • PRU14- P132 PORT DICKSON
  • PRU15- P63 TAMBUN

Kerusi Bertanding DUN: Tiada

Sumber : Sinar Harian

Khamis, November 24, 2022

Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10

 


Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, sebentar tadi.

"Setelah memperhalusi titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan untuk melantik Yang Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ahli Parlimen Tambun) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

"Selaras dengan kuasa baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan," demikian menurut kenyataan Istana Negara.

Sumber : Berita Harian

Rabu, September 23, 2020

Anwar Ibrahim dakwa dapat sokongan majoriti

 

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau telah memperoleh sokongan majoriti Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu.

Sehubungan itu, beliau yang juga pemimpin Pakatan Harapan (PH) mendakwa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah tumbang.

“Alhamdulillah saya sudah mendapat sokongan kukuh dan meyakinkan daripada Ahli Parlimen untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Untuk makluman semua, saya telah diperkenan mengadap Yang di-Pertuan Agong kelmarin, Selasa pada pukul 11 pagi, tetapi terpaksa ditangguh kerana Yang di-Pertuan Agong menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN),” katanya pada satu sidang akhbar tergempar di sini hari ini.

Anwar berkata, makluman dan langkah selanjutnya berhubung pembentukan kerajaan baharu akan beliau umumkan selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh terdekat.

 

Recent Posts