Rabu, Ogos 18, 2021

Siapa PM kesembilan?

 

Dua ahli Parlimen iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Bera) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Port Dickson) masing-masing berpeluang cerah untuk mendapat kepercayaan Ahli Dewan Rakyat bagi menjadi Perdana Menteri kesembilan.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (​UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, Ismail Sabri kemungkinan dapat meraih sokongan menerusi status quo Perikatan Nasional (PN) manakala Anwar pula daripada Pakatan Harapan (PH) sendiri.

“Kedua-dua tokoh ini mempunyai peluang cerah menjadi Perdana Menteri berbanding nama-nama yang lain.

“Namun sesiapa yang mampu menarik sokongan parti-parti atau kelompok minoriti iaitu kem UMNO 15 Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Tun Dr Mahathir Mohamad (Pejuang), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Warisan) atau Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkemungkinan besar akan menjadi Perdana Menteri kesembilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mujibu menambah, tiada parti tunggal yang boleh membentuk kerajaan Persekutuan apatah lagi mempertaruhkan calon Perdana Menteri apabila tiada pihak dominan mampu menguasai Dewan Rakyat.

Katanya, rakyat kini sudah terbiasa dengan sistem dominan satu parti apabila Barisan Nasional (BN) secara tunggal mendominasi keputusan pilihan raya sehinggalah 2018 dengan parti itu sentiasa menang dengan majoriti selesa dan menjadikan tradisi melantik ketuanya sebagai Perdana Menteri.

“Dalam kes sekarang, keadaan itu sudah tidak berlaku. Tidak ada mana-mana parti yang mampu memonopoli keputusan pilihan raya. Ini bukanlah satu masalah. Malah bagus untuk proses pendemokrasian negara.

“Ada banyak cara untuk membentuk kerajaan walaupun tanpa majoriti. Masalahnya kita memerlukan pemimpin yang bersifat negarawan dan ini kita lihat tidak ada.

“Mengapa tiada? Lihat bagaimana penawaran rundingan penubuhan kerajaan perpaduan rentas parti antara blok kerajaan dan pembangkang tidak berjaya. Mengapa tidak berjaya? Itu kena tanya orang politik sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, Mujibu menjelaskan memandangkan demokrasi menekankan prinsip majoriti, maka angka menjadi asas kepada keabsahan mana-mana Perdana Menteri dan kerajaannya.

“Cuma nak dapat angka mudah membentuk majoriti tidaklah mudah. Kenapa? Sebab setiap parti ketika ini yang meletakkan kaveat masing-masing lantas menyukarkan ia berlaku iaitu ‘No Anwar, No DAP’ atau ‘No Kleptokrat’ iaitu antara kaveat yang popular,” katanya.

Mujibu menambah, melantik Perdana Menteri adalah berdasarkan siapa yang pada hemat Yang di-Pertuan Agong mungkin mendapat kepercayaan majoriti di Parlimen sekali gus ia adalah hak mutlak Seri Paduka dan bukannya keputusan mana-mana parti.

Sementara itu, beliau menimbulkan persoalan apakah akan berlaku jika Ismail Sabri diperkenan sebagai Perdana Menteri termasuklah membabitkan kes-kes mahkamah pemimpin UMNO.

“Selain itu, perkembangan UMNO yang bakal menghadapi pemilihan parti, apakah Ismail Sabri akan ‘langgar’ Presiden? Sebagai Perdana Menteri, beliau memiliki kelebihan dalam pertandingan seperti mana dalam sejarah pertandingan UMNO.

“Malah juga, timbul berkenaan masa depan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan PN, apakah masih wujud atau UMNO secara perlahan akan menelan Bersatu’ seperti mana Semangat 46? Dan apakah ‘grand coalition BN’ akan kembali segar semula setelah hampir pupus pasca Pilihan Raya Umum Ke-14?,” katanya. 

Sumber : Utusan

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts