Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,
1. Izinkan saya memulakan bicara pada hari ini, dengan mengangkat
setinggi-tinggi pujian ke hadrat Allah Subhanahu wa Taala bahawa Dialah
Tuhan Yang Maha Berkuasa dan Yang Maha Mengetahui atas segala-galanya,
serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
2. Mengambil ibrah petikan doa yang sering diungkapkan dalam ayat ke-10, Surah al-Kahfi,
رَبَّÙ†َآ Ø¡َاتِÙ†َا Ù…ِÙ† Ù„َّدُنكَٓ رَØۡÙ…َØ© ÙˆَÙ‡َÙŠِّئٓۡ Ù„َÙ†َا Ù…ِÙ†ۡٓ Ø£َÙ…ۡرِÙ†َا رَØ´َ دا
"Sesungguhnya kami memohon rahmat dari sisi-Mu Ya Allah, kami memohon
dipermudahkan atas segala urusan dan kami memohon keselamatan atas
segalanya".
Saudara dan saudari rakyat Malaysia yang saya kasihi sekalian,
3. Pada 15 Jun yang lalu, saya telah mengumumkan Pelan Pemulihan
Negara atau PPN sebagai suatu panduan atau roadmap peralihan keluar
daripada Perintah Kawalan Pergerakan secara berfasa. Pelan ini
membolehkan saudara dan saudari membuat perancangan yang sejajar dengan
langkah-langkah Kerajaan untuk melawan COVID-19 dan memulihkan negara.
4. Peralihan secara berperingkat ini merangkumi empat fasa dan
bersandarkan kepada tiga indikator: pertamanya bilangan kes harian
COVID-19, kedua, kadar penggunaan katil di wad ICU, dan ketiga,
peratusan rakyat yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.
5. Sehingga kini, ketiga-tiga indikator ini masih belum mencapai
nilai ambang untuk kita beralih daripada fasa pertama ke fasa kedua. Kes
harian COVID-19 masih berada pada paras melebihi 4 ribu kes sehari atau
bersamaan dengan 12 kes bagi setiap 100 ribu penduduk.
6. Namun begitu, walaupun secara keseluruhan nilai ambang nasional
belum tercapai, pelaksanaan PPN fasa pertama telah menunjukkan beberapa
perkembangan positif. Bilangan kes harian COVID-19 telah berada di bawah
paras 12 kes bagi setiap 100 ribu penduduk di sembilan negeri dan
hampir semua negeri setakat ini lebih 10 peratus penduduknya telah
menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.
7. Mengambil kira situasi semasa terutamanya kemunculan varian baharu
yang lebih ganas, Kerajaan sedar bahawa kapasiti Program Imunisasi
COVID-19 Kebangsaan atau PICK perlu ditingkatkan supaya lebih ramai lagi
boleh divaksin dengan segera. Sementara itu agenda prihatin dan
keselamatan rakyat akan diteruskan, dan sektor perniagaan perlu terus
disokong.
8. Yang saya boleh janjikan hari ini, biarpun dalam ruang fiskal yang
amat terhad, Kerajaan Perikatan Nasional akan terus komited dalam
mengutamakan kesejahteraan saudara dan saudari semua. Saya tidak akan
berkompromi dalam soal memelihara kebajikan rakyat dan memerangi
COVID-19. Hari ini, saya ingin menyampaikan beberapa pengumuman penting
dan insha-Allah akan ada beberapa perkhabaran baik buat semua.
PAKEJ PERLINDUNGAN RAKYAT DAN PEMULIHAN EKONOMI - PEMULIH
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
9. Saya tahu dan saya faham bahawa ramai yang berhadapan dengan
masalah kewangan pada masa ini kerana kehilangan pekerjaan dan tidak
dapat berniaga atau bekerja seperti biasa. Pengusaha kedai makan dan
restoran menanggung rugi kerana ketiadaan pelanggan. Tukang rumah dan
pekerja kontrak hilang pendapatan kerana sektor pembinaan bukan kritikal
tidak dibenarkan beroperasi. Begitu juga pemilik kedai gunting rambut,
kedai pakaian, pusat cuci kereta, peniaga pasar malam dan lain-lain yang
tidak boleh menjalankan perniagaan. Banyak individu, syarikat dan
perniagaan yang terjejas kerana sektor mereka tidak dibenarkan
beroperasi.
10. Kerana itu, sejak pandemik COVID-19 melanda negara kita, Kerajaan
telah melaksanakan tujuh program bantuan dan pakej rangsangan dengan
nilai keseluruhan berjumlah 380 bilion ringgit. Setakat ini, sebanyak
lebih 200 bilion ringgit telah disalurkan dan memberi manfaat kepada
lebih 20 juta rakyat serta 2.4 juta perniagaan. Belanjawan 2021 pula
bernilai 322.5 bilion ringgit dan masih berbaki 100 bilion ringgit untuk
dibelanjakan sehingga hujung tahun ini.
11. Maka, pada hari ini pula, sukacita saya ingin umumkan pelaksanaan
Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi atau PEMULIH.
12. Nilai keseluruhan pakej PEMULIH berjumlah 150 bilion ringgit
merangkumi suntikan langsung fiskal Kerajaan sebanyak 10 bilion ringgit.
PEMULIH bertujuan untuk memberikan bantuan menyeluruh kepada rakyat dan
tertumpu kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin
Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.
FOKUS PERTAMA: MENERUSKAN AGENDA PRIHATIN RAKYAT
Saudara dan saudari yang dikasihi,
13. Selaras dengan komitmen Kerajaan untuk meneruskan agenda prihatin
rakyat, sukacita saya mengumumkan bahawa sehingga hujung tahun ini,
Kerajaan akan menyalurkan Bantuan Tunai langsung kepada rakyat berjumlah
10 bilion ringgit. Bantuan Tunai langsung ini merangkumi:
14. Pertama, Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR. Semasa pengumuman
PEMERKASA Tambahan yang lepas, Kerajaan bersetuju untuk memberi bayaran
tambahan bagi BPR sehingga 500 ringgit pada bulan Julai dan bayarannya
akan dibuat secara berperingkat mulai esok, 29 Jun. Manakala BPR fasa
ketiga dengan kadar bantuan antara 100 hingga 1,400 ringgit akan dibayar
pada bulan September nanti. Bulan September juga akan melibatkan
bayaran ke atas kes-kes lulus rayuan BPR. Secara keseluruhannya, nilai
BPR sehingga hujung tahun adalah 4.9 bilion ringgit.
15. Kedua, bagi memastikan rakyat mendapat bantuan pada bulan-bulan
mendatang sehingga akhir tahun 2021, sukacita saya umumkan, pemberian
Bantuan Khas COVID-19 atau BKC dengan kadar dan kategori seperti
berikut:
Pertama, isi rumah kategori miskin tegar bakal menerima bantuan
sebanyak 500 ringgit pada bulan Ogos, 500 ringgit pada bulan November,
dan 300 ringgit pada bulan Disember. Manakala individu bujang kategori
miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak 200 ringgit pada bulan Ogos
dan 300 ringgit pada bulan November;
Kedua, isi rumah kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak 500
ringgit pada bulan Ogos dan 300 ringgit pada bulan Disember. Manakala
bujang kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak 200 ringgit pada
bulan Ogos; dan Ketiga, isi rumah kategori M40 turut menikmati bantuan
sebanyak 250 ringgit, manakala bujang kategori M40 akan menerima 100
ringgit pada bulan Ogos nanti.
Secara keseluruhan, pemberian khas BKC ini dijangka memanfaatkan
lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan
peruntukan sebanyak 4.6 bilion ringgit.
16. Ketiganya ialah Bantuan Kehilangan Pendapatan. Pada bulan Oktober
nanti, sebanyak 500 ringgit akan disalurkan kepada pekerja yang
kehilangan pendapatan berdasarkan data KWSP atau PERKESO dalam tahun
2021. Bantuan ini dijangka memanfaatkan sehingga 1 juta ahli yang
melibatkan implikasi kewangan 500 juta ringgit.
17. Dengan ketiga-tiga bantuan tunai ini, bagi setiap bulan bermula
Jun sehingga Disember tahun ini, golongan yang memerlukan akan mendapat
bantuan yang sewajarnya. Saya berharap bantuan tunai ini dapat membantu
saudara dan saudari untuk meneruskan kelangsungan hidup pada bulan-bulan
mendatang, insya-Allah.
18. Saya sedar kehidupan ramai di kalangan saudara-saudari yang
terjejas teruk akibat lebih setahun berperang dengan pandemik COVID-19.
Walaupun berjuta rakyat Malaysia telah menerima manfaat bantuan tunai
dari Kerajaan sejak Mac 2020 dan ramai lagi menerima bantuan kerajaan
dalam bentuk yang pelbagai, saya faham bantuan perlu terus dipertingkat
selagi kemelut ini berlanjutan.
19. Ada yang terpaksa meminjam beras dari jiran, diusir dari rumah
sewa, makan sekali sehari mengikat perut. Ada yang meminjam wang dari
saudara mara dan sahabat yang lebih berkemampuan untuk membeli barangan
dapur. Semuanya untuk kelangsungan hidup diri dan keluarga. Kerajaan
mencuba sedaya upaya membantu meringankan beban yang dipikul
saudara-saudari sekalian dan tidak pernah putus terus membantu sedaya
mampu.
20. Seterusnya, Kerajaan juga akan memperluaskan Elaun Mencari
Pekerjaan kepada bukan pencarum PERKESO terutamanya graduan baharu,
lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal. Mereka bolehlah
mendaftar di bawah platform MYFutureJobs dan bakal menerima elaun
sekurang-kurangnya 300 ringgit.
21. Selain itu, Kerajaan akan memperuntukkan 125 juta ringgit melalui
HRD Corp untuk melaksanakan inisiatif Place and Train di bawah program
Janapreneur terutamanya kepada belia lepasan sekolah dan graduan.
Inisiatif ini dijangka membuka peluang kepada 30 ribu orang untuk
mengikuti program latihan kemahiran dengan jaminan pekerjaan setelah
tamat latihan. Pihak MDEC pula akan menambah baik program sedia ada
iaitu eRezeki dan GLOW bagi membantu lebih 20 ribu pencari pekerja dalam
ekonomi gig.
Saudara dan saudari,
22. Kerajaan sedar bahawa barangan keperluan asas amat penting bagi
golongan yang memerlukan. Maka, sebagai tambahan kepada program Bantuan
Bakul Makanan sedia ada, Kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak 300
ribu ringgit kepada setiap ahli Parlimen, termasuk Ahli Parlimen
Pembangkang, untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan
terjejas di kawasan masing-masing. Dalam soal menyampaikan bantuan
kepada rakyat, saya mengambil sikap untuk mengetepikan perbezaan
politik. Baik Ahli Parlimen Kerajaan atau Pembangkang, semuanya mestilah
memikul tanggungjawab bersama untuk membantu rakyat di kala ramai yang
sedang menanggung kesusahan. Gunalah peruntukan ini sebaik mungkin untuk
membantu rakyat yang memerlukan di kawasan parlimen masing-masing.
Selain itu, 10 juta ringgit juga diperuntukkan bagi tujuan melaksanakan
Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli.
23. Kerajaan komited untuk membantu rakyat meringankan beban kos sara
hidup. Kita akan meneruskan dasar pengawalan harga barang perlu.
Walaupun harga komoditi di peringkat global meningkat, Kerajaan akan
terus mengekalkan harga runcit bagi petrol RON95, diesel dan LPG yang
dijangka melibatkan subsidi melebihi enam bilion ringgit tahun ini.
Seterusnya, untuk menangani isu kenaikan harga minyak masak botol 1
kilogram hingga 5 kilogram, Kerajaan akan melaksanakan program Harga
Kawalan berasaskan nilai ambang Crude Palm Oil. Melalui program ini,
sebagai contoh, harga minyak masak botol 5 kilogram dapat dikawal supaya
tidak melebihi 30 ringgit sebotol.
24. Selain itu, dalam memastikan bekalan minyak masak pek polibeg 1
kilogram terjamin, Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan
sebanyak satu bilion ringgit. Melalui tambahan peruntukan ini, rakyat
masih dapat membeli minyak masak pek polibeg 1 kilogram pada harga
bersubsidi RM2.50.
25. Sejak dilanda pandemik ini, kita banyak mendengar mengenai
masalah sosial. Antaranya termasuklah masalah tekanan mental dan emosi.
Kerajaan akan memperluaskan sokongan psikososial melalui saluran seperti
talian kasih. Sebagai tambahan, Kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan
15 juta ringgit kepada badan-badan bukan Kerajaan atau NGO dalam
membantu Kerajaan menangani isu-isu sosial seperti kesihatan mental,
gelandangan, dan masalah sosial lain di peringkat komuniti.
Saudara dan saudari,
26. Bagi meringankan beban perbelanjaan bulanan rakyat, Kerajaan
bersetuju untuk memberikan diskaun bil elektrik antara 5 hingga 40
peratus mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 900
kilowatt jam sebulan. Antaranya, diskaun sebanyak 40 peratus akan
diberikan kepada penggunaan elektrik bawah 200 kilowatt jam sebulan dan
15 peratus bagi penggunaan antara 201 hingga 300 kilowatt jam sebulan.
Secara keseluruhan, rakyat akan mendapat diskaun berjumlah 346 juta
ringgit dan diskaun ini akan berkuat kuasa bagi tempoh tiga bulan mulai
bil bulan Julai 2021.
27. Selain itu, bagi sektor-sektor ekonomi yang terjejas khususnya
pengendali hotel, taman-taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah,
pejabat syarikat pelancongan tempatan serta agensi pengembaraan dan
pelancongan, dilanjutkan tiga bulan lagi diskaun bil elektrik sebanyak
10 peratus bagi bil bulan Oktober hingga Disember 2021. Dengan pemberian
diskaun elektrik kepada pengguna domestik dan bukan domestik ini,
Kerajaan akan menanggung kos tambahan sebanyak 1 bilion ringgit.
28. Selanjutnya berkaitan kesalinghubungan digital. Ketika ini
kemudahan internet boleh dianggap utiliti keperluan asas bagi hampir
semua aktiviti harian, termasuklah bagi pembelajaran, bekerja dari
rumah, pembelian barangan secara dalam talian dan perkhidmatan Kerajaan
serta swasta. Sehubungan itu, sukacita saya mengumumkan, syarikat
penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama negara telah bersetuju untuk
melanjutkan pemberian 1 gigabit data harian secara percuma sehingga 31
Disember 2021. Kemudahan ini yang dianggarkan bernilai 500 juta ringgit
bakal memanfaatkan 44 juta pelanggan berdaftar di seluruh negara.
29. Selain itu, perkhidmatan bank bergerak telah dilancarkan pada
bulan ini di Sarawak dan Bank Simpanan Nasional akan memulakan kemudahan
tersebut di Sabah pada bulan Julai. Bagi memudahkan lebih ramai rakyat
mendapatkan perkhidmatan perbankan, Kerajaan akan menawarkan peruntukan
sebanyak 18 juta ringgit untuk bank tempatan menyediakan kira-kira 30
unit Bank Bergerak di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, yang
bakal merangkumi 250 kawasan dan mukim di luar bandar. Melalui inisiatif
ini, saudara dan saudari boleh mengakses pelbagai perkhidmatan
perbankan termasuk pembukaan akaun; penyimpanan, pengeluaran dan
pemindahan wang; pembayaran bil serta perbankan digital.
FOKUS KEDUA: MENYOKONG PERNIAGAAN
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
30. Fokus kedua dalam pakej PEMULIH ini ialah Menyokong Perniagaan.
Kerajaan sedar, dalam fasa pertama dan kedua PPN, kebanyakan premis
perniagaan masih tidak dapat beroperasi sepenuhnya. Oleh itu, Kerajaan
akan menyalurkan beberapa bentuk bantuan demi menjamin kelangsungan
perniagaan dalam kedua-dua fasa-fasa ini. Melalui fokus kedua ini,
beberapa pendekatan akan ditambah baik antaranya mengurangkan kos
tanggungan majikan, menyokong usaha digitalisasi, memberikan kemudahan
bantuan kewangan dan insentif percukaian, menyediakan fasiliti
pembiayaan dan meneruskan insentif penggajian.
31. Pelaksanaan Geran Khas Prihatin atau GKP telah berjaya menyokong
kelangsungan perniagaan atau business survival dalam kalangan peniaga
kecil, terutamanya mereka yang masih tidak dibenarkan beroperasi. Secara
keseluruhan Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah 5.1 bilion ringgit
melalui inisiatif GKP. Terkini, di bawah PEMERKASA Tambahan, penerima
yang layak telahpun mendapat bayaran GKP 3.0 mereka sebanyak 1 ribu
ringgit kira-kira dua minggu lepas, dan bakal mendapat 500 ringgit lagi
pada pertengahan bulan Julai nanti.
32. Memahami kesukaran yang dihadapi oleh pengusaha PKS mikro pada
masa ini, sukacita saya ingin mengumumkan bahawa Kerajaan telah
bersetuju untuk menyediakan bayaran tambahan di bawah GKP 4.0 kepada
penerima yang layak iaitu sebanyak 500 ringgit akan dibayar pada bulan
September dan 500 ringgit lagi pada bulan November 2021.
33. Kerajaan berharap dengan bayaran GKP 4.0 ini, kira-kira 1 juta
usahawan PKS mikro khususnya pengusaha kedai gunting rambut, pemilik
workshop, kedai roti dan kek, pusat penjagaan kesihatan, dan lain-lain
dapat mengurangkan tanggungan bulanan dan membantu aliran tunai mereka,
Insya-Allah. Apa yang penting, kepada usahawan mikro yang masih belum
pernah mendapat bantuan ini, pendaftaran akan mula dibuka pada
pertengahan Julai nanti.
Saudara dan Saudari,
34. Sejak Program Subsidi Upah atau PSU diperkenalkan, Kerajaan
telahpun membelanjakan lebih 15 bilion ringgit bagi membantu majikan
membayar gaji kepada sekitar 2.7 juta pekerja. Memandangkan respon
positif berhubung program ini, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PSU
4.0 dengan peruntukan sebanyak 3.8 bilion ringgit yang dijangka
memanfaatkan lebih 2.5 juta pekerja.
35. Melalui inisiatif PSU 4.0, Kerajaan akan menampung sehingga 500
pekerja bagi setiap majikan dengan kadar sebanyak 600 ringgit setiap
pekerja selama tempoh empat bulan, iaitu dua bulan bagi semua sektor
dalam fasa kedua PPN, dan dua bulan seterusnya khusus bagi sektor-sektor
yang dikategorikan dalam senarai negatif semasa tempoh fasa ketiga
nanti.
36. Jika sebelum ini, pelaksanaan PSU disyaratkan dengan had gaji di
bawah 4 ribu ringgit, sukacita saya umumkan bahawa di bawah PSU 4.0,
tiada lagi syarat had gaji ditetapkan. Ini bermakna, majikan boleh
memohon PSU 4.0 bagi pekerjanya yang bergaji lebih 4 ribu ringgit.
37. Selanjutnya, pengecualian levi HRD Corp bagi tempoh dua bulan
akan diberi secara automatik kepada majikan yang tidak dapat beroperasi
semasa PKP. Selain itu, majikan daripada sektor-sektor yang baharu
dirangkumi ekoran peluasan Akta Perbadanan Sumber Manusia Berhad 2001
akan diberikan pelanjutan pengecualian levi sehingga 31 Disember 2021.
Inisiatif ini dianggarkan bernilai sebanyak 425 juta ringgit.
38. Seterusnya, saya ingin menyentuh mengenai penciptaan pekerjaan,
penawaran latihan dan peningkatan pendapatan pekerja. Dalam tempoh enam
bulan pertama tahun ini, lebih 243 ribu peluang pekerjaan berjaya
diwujudkan. Di bawah Majlis Pekerjaan Negara atau NEC, Kerajaan akan
mencipta peluang-peluang pekerjaan dan penempatan latihan kemahiran
melalui kerjasama strategik antara agensi Kerajaan dan pemain industri.
39. Melalui program PenjanaKerjaya oleh PERKESO, Kerajaan telah
menyediakan insentif kewangan kepada majikan yang menyediakan peluang
pekerjaan baharu. Sehingga kini, sebanyak 170 juta ringgit telah
disalurkan yang telah dimanfaatkan lebih 10,600 majikan dan 75,800
pekerja.
40. Memandangkan PenjanaKerjaya ini dijadual berakhir pada akhir Jun
ini, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan program ini dan dijenamakan
sebagai PenjanaKerjaya 3.0 dengan beberapa penambahbaikan. Ini antaranya
mengurangkan had kelayakan gaji daripada 1,500 ringgit kepada 1,200
ringgit untuk program Malaysianisation supaya memberi lebih dorongan
kepada majikan untuk mengganti pekerja asing dengan pekerja tempatan.
Selain itu, tempoh kontrak penggajian juga akan dilonggarkan daripada 12
bulan kepada 6 bulan bagi kategori pekerja berusia 50 tahun ke atas,
golongan OKU dan bekas banduan.
Saudara dan saudari,
41. Seterusnya, program Shop Malaysia Online yang diperkenalkan di
bawah pakej PENJANA tahun lalu telah berjaya membantu lebih 200 ribu
usahawan tempatan meningkatkan jualan mereka melalui platform e-Dagang
dengan nilai transaksi mencecah 1.8 bilion ringgit.
42. Sehubungan itu, bagi menyokong agenda digitalisasi dan
menggalakkan urusan transaksi tanpa tunai, Kerajaan telah membangunkan
Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil atau PUPUK sebagai
inisiatif menyeluruh dan bersetuju memperuntukkan 200 juta ringgit untuk
PMKS dan 100 juta ringgit untuk PKS.
Pertama: Meneruskan kempen Shop Malaysia Online dan Go-eCommerce
Onboarding dengan sasaran lebih 300 ribu peniaga mikro seperti peniaga
bazar, pasar tani, pasar malam dan warung serta pengusaha kraf tangan
untuk beralih ke perniagaan dalam talian dan menggunakan sistem e-tunai;
Kedua: Menambah peruntukan sebanyak 100 juta ringgit di bawah SME
Digitalisation Grant bagi membolehkan usahawan PKS mendapat geran
padanan sehingga 5 ribu ringgit untuk pembelian sistem atau langganan
platform digital;
Ketiga: Menggalakkan penyertaan PKS mikro menceburi platform e-dagang
melalui program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil yang diterajui
SKMM. Sehubungan itu, kerjasama strategik antara penyedia platform
digital, syarikat telekomunikasi serta Pusat Internet Komuniti akan
diperkasakan untuk membantu usahawan luar bandar terlibat dalam ekonomi
digital;
Keempat: Memperkasa usahawan tani khususnya di luar bandar untuk
menggunakan teknologi terkini di bawah Program Digitalisasi dan
Transformasi Sektor Pertanian. Program ini yang akan dilaksanakan
melalui kerjasama MDEC dan Pertubuhan Peladang Kawasan akan mengenal
pasti petani yang berpotensi untuk beralih ke platform teknologi baharu.
43. Saya juga mendengar keluhan golongan karyawan, artis, pemuzik,
pelakon, penggiat teater, penulis dan krew produksi yang turut terkesan
ekoran syarat PKP yang tidak membenarkan mereka terlibat dalam aktiviti
seni dan persembahan ketika ini.
44. Maka, bagi membantu lebih 8 ribu penggiat seni dan terus
menyokong industri seni dan kreatif tempatan, Kerajaan akan
memperuntukkan 100 juta ringgit dalam bentuk kemudahan pembiayaan dan
sokongan bantuan kewangan. Peruntukan ini antaranya meliputi insentif
penghasilan karya dan kandungan digital, peluang kerjaya, program
peningkatan kemahiran, caruman perlindungan di bawah PERKESO serta
perolehan produk bagi tujuan produksi di televisyen, radio dan
penciptaan lagu.
45. Di samping itu, Kerajaan telah menerima banyak permintaan supaya
bantuan kewangan yang diberikan kepada pusat asuhan anak-anak dan tadika
pada tahun lepas dapat diperkenalkan semula. Sehubungan itu, Kerajaan
akan memberikan Bantuan Khas Taska yang berjumlah 3 ribu ringgit kepada
lebih 4,400 pengusaha taska seliaan Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat serta lebih 8 ribu pengusaha tadika swasta
seliaan Kementerian Pendidikan.
46. Diharapkan dengan pemberian bantuan ini, ia dapatlah digunakan
antaranya untuk keperluan sanitasi dan pembelian peralatan nyahkuman
bagi memastikan kebersihan dan keselamatan anak-anak yang ditempatkan di
pusat asuhan dan tadika.
47. Kerajaan juga mendengar suara pengusaha kantin di sekolah yang
masih ditutup dan menyebabkan mereka hilang mata pencarian. Kerajaan
bersetuju bantuan kewangan sebanyak 1 ribu ringgit diberikan kepada
semua pengusaha kantin berdaftar.
48. Selanjutnya, Kerajaan sedar bahawa pengusaha industri sukan dan
operator arena sukan seperti gym, bowling, futsal dan sebagainya turut
terkesan dan mereka hanya boleh beroperasi semula seawal fasa ketiga PPN
nanti. Sehubungan itu, Kerajaan bersetuju untuk memberikan bantuan
one-off sebanyak 3 ribu ringgit kepada mereka.
49. Bagi membantu golongan kurang upaya yang telah kehilangan
pekerjaaan atau ketiadaan kerja, dan bukan penerima bantuan Elaun
Pekerja Cacat sedia ada, Kerajaan bersetuju untuk memberikan bantuan
kewangan 500 ringgit seorang untuk tempoh tiga bulan. Untuk itu, 30 juta
ringgit diperuntukkan bagi memanfaatkan seramai 20 ribu orang OKU.
50. Kerajaan juga akan melaksanakan Program Jaringan Inisiatif Umum
atau JITU bagi tujuan menyediakan bantuan asas modal perniagaan dan
membimbing golongan OKU dan gelandangan dalam perniagaan. Sejumlah 20
juta ringgit diperuntukkan untuk tujuan ini dan dijangka dapat memberi
manfaat kepada lebih 40 ribu individu.
Saudara dan Saudari,
51. Saya juga ingin memaklumkan di sini, Kerajaan akan memudah cara prosedur Perolehan Kerajaan seperti berikut:
Pertama: Membenarkan perubahan harga atau variation of price (VOP)
bagi projek kerja berikutan peningkatan ketara kos bahan binaan sehingga
31 Disember 2021;
Kedua: Membantu kontraktor G1 hingga G4 tempatan melaksanakan projek
kerja berskala kecil secara undian dan sebut harga, dengan penggunaan
jadual kadar kerja kejuruteraan awam dan bangunan yang baharu serta
jadual kadar kerja elektrik;
Ketiga: Membenarkan lanjutan masa atau extension of contract (EOT)
projek kerja atau lanjutan tempoh kontrak bagi kontrak bekalan dan
perkhidmatan yang terjejas ekoran pelaksanaan PKP tertakluk kepada
klausa kontrak.
52. Seterusnya kepada 9 ribu usahawan MARA yang turut terjejas akibat
COVID-19, Kerajaan bersetuju untuk membenarkan mereka membuat
permohonan penangguhan bayaran balik pembiayaan perniagaan MARA untuk
tempoh tiga bulan atau penjadualan semula bayaran balik pembiayaan
dengan memanjangkan tempoh pembiayaan sehingga 36 bulan.
53. MARA juga akan melanjutkan pemberian diskaun 30 peratus ke atas
sewaan premis perniagaan MARA bagi tempoh lima bulan lagi iaitu sehingga
Disember 2021. Lebih 5,700 penyewa dijangka memperoleh manfaat daripada
inisiatif ini. Saya menyarankan agar lebih banyak badan berkanun,
syarikat GLC dan PBT turut memberi kemudahan pengecualian dan menawarkan
diskaun sewa, lesen atau menangguhkan bayaran komitmen bulanan.
54. Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, pemilik-pemilik
bangunan dan ruang perniagaan yang menawarkan pengurangan sewa
sekurang-kurangnya 30 peratus kepada peniaga dalam tempoh sehingga 31
Disember 2021 layak mendapat potongan khas cukai.
Saudara – saudari yang dikasihi,
55. Sebagai langkah berterusan untuk membantu sektor PKS kekal
relevan dan berdaya saing, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad
atau SJPP telahpun meningkatkan had siling pembiayaan skim jaminan
kerajaan di bawah SJPP sebanyak 10 bilion ringgit bagi tahun 2021 kepada
36.5 bilion ringgit. Sehingga 24 Jun 2021, SJPP telah memberikan
jaminan bagi pembiayaan bernilai 33.4 bilion ringgit kepada lebih 45
ribu buah syarikat.
56. Bagi terus menyokong sektor PKS mendapat kemudahan pembiayaan dan
bangkit semula dalam fasa pemulihan, Kerajaan akan meningkatkan lagi
had siling jaminan di bawah SJPP sebanyak 20 bilion ringgit menjadikan
jumlah keseluruhan sebanyak 56.5 bilion ringgit.
57. Selain itu, Bank Negara Malaysia (BNM) juga komited dalam
menyediakan akses bantuan kewangan kepada usahawan PKS. Sehingga kini,
masih terdapat 6.6 bilion ringgit baki sedia ada daripada keseluruhan
25.1 bilion ringgit yang telah disediakan oleh BNM untuk manfaat pemohon
baharu. Melalui pakej PEMULIH hari ini, BNM bersetuju untuk menambah
dua bilion ringgit lagi menjadikan baki dana ini berjumlah 8.6 bilion
ringgit. Diharapkan dana ini dapatlah memenuhi pelbagai keperluan PKS
dan usahawan mikro dalam meredakan kekangan aliran tunai perniagaan
mereka.
58. Bagi terus menyokong perniagaan mikro, program pembiayaan
mikrokredit akan diteruskan dengan tambahan dana sehingga 1.1 bilion
ringgit. Pembiayaan mudah ini akan disediakan oleh AgroBank dan Bank
Simpanan Nasional masing-masing berjumlah 500 juta ringgit, dan TEKUN
sebanyak 100 juta ringgit. Ini bermakna, termasuk peruntukan sedia ada
untuk 2021 sebanyak 3 bilion ringgit dana mikrokredit masih tersedia
untuk usahawan mikro.
59. Institusi koperasi juga disokong dalam tempoh yang sukar ini
melalui peruntukan 20 juta ringgit bagi program Pembiayaan Intervensi
Pemulihan Ekonomi Koperasi. Program ini membolehkan usahawan menjalankan
aktiviti ekonomi secara berkumpulan melalui koperasi, termasuk
memasarkan produk melalui platform dalam talian serta menggalakkan
pembelian barangan di kedai koperasi.
60. Di samping itu, sektor pelancongan merupakan antara segmen yang
sangat terjejas dalam tempoh pandemik COVID-19 ini. Sebagai pendorong
atau kick-start, apabila negara beralih ke fasa ketiga PPN kelak,
Kerajaan akan menyediakan bantuan one-off sebanyak 3 ribu ringgit kepada
lebih 5,300 agensi pelancongan berdaftar.
61. Kerajaan juga telah bersetuju untuk menangguhkan pembayaran
ansuran cukai pendapatan bulanan kepada syarikat dan mengecualikan cukai
pelancongan dan cukai perkhidmatan kepada pengendali hotel sehingga
akhir tahun ini. Seterusnya, apabila negara beralih ke fasa keempat PPN,
Kerajaan akan mempertimbang peruntukan sewajarnya untuk memulih dan
mempergiatkan semula aktiviti pelancongan.
Pelaksanaan i-Citra and Moratorium Bayaran Balik Pinjaman Bank
Saudara dan saudari rakyat Malaysia yang dikasihi,
62. Kerajaan inilah yang mula-mula sekali mencadangkan pelaksanaan
program i-Lestari, i-Sinar dan moratorium automatik untuk membantu
rakyat dalam mendepani cabaran semasa pandemik COVID-19. Kita telah
menjadi antara negara terawal di dunia yang memperkenalkan inisiatif
seumpama ini. Alhamdulillah, ia memberi kesan positif dan amat membantu
aliran tunai rakyat sehingga kini.
63. Maka dengan itu, bagi meringankan beban kewangan ahli KWSP yang
terjejas akibat PKP, KWSP akan memperkenalkan kemudahan pengeluaran
baharu iaitu i-Citra. Menerusi i-Citra, seramai 12.6 juta ahli KWSP
boleh membuat pengeluaran sehingga 5 ribu ringgit dengan kadar bayaran
tetap 1 ribu ringgit sebulan untuk tempoh lima bulan, tertakluk kepada
jumlah simpanan KWSP ahli. Pelaksanaan i-Citra dijangka dapat
menyalurkan 30 bilion ringgit kepada rakyat untuk menampung keperluan
harian. Ahli boleh mula memohon kemudahan pengeluaran KWSP di portal
dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my mulai 15 Julai 2021, dengan
pembayaran pertama dijangka akan dikreditkan dalam akaun ahli pada bulan
Ogos 2021.
64. Hakikatnya ini merupakan keputusan sukar kerana Kerajaan sedar,
ini adalah simpanan hari tua rakyat, dan penyelesaian i-Citra mengambil
jalan tengah antara keperluan mendesak hari ini, dan pulangan yang wajar
bagi ahli-ahli KWSP yang tidak memerlukan pengeluaran.
65. Selanjutnya, saya ingin mengumumkan beberapa inisiatif berkaitan
penangguhan bayaran balik pinjaman yang boleh dimanfaatkan oleh semua
dalam tempoh yang sukar ini.
66. Bagi membantu para peminjam pendidikan, sukacita saya umumkan
bahawa beberapa agensi Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penangguhan
bayaran balik pinjaman pelajaran antaranya:
Pertama: memberikan moratorium bersasar selama tiga bulan kepada peminjam-peminjam PTPTN;
Kedua: menangguhkan bayaran balik Pinjaman Pelajaran Persekutuan di
bawah JPA dan bayaran tuntutan ganti rugi penerima Biasiswa Persekutuan
sehingga enam bulan;
Ketiga: menangguhkan bayaran balik Pinjaman Pelajaran MARA untuk
tempoh tiga bulan atau penjadualan semula bayaran balik pinjaman dengan
ansuran bulanan serendah 100 ringgit selama 12 bulan;
Keempat: menangguhkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) selama tiga bulan.
Nilai keseluruhan inisiatif ini dianggarkan berjumlah 400 juta ringgit dan akan memanfaatkan seramai 1.6 juta rakyat.
67. Selanjutnya, pemegang polisi insurans dan takaful yang terjejas
juga boleh memohon penangguhan pembayaran premium insurans dan sumbangan
takaful (secara opt-in) yang akan dilanjutkan sehingga 31 Disember
2021. Inisiatif ini merangkumi pemegang polisi dan sijil insurans hayat
dan takaful keluarga. Lebih 1 juta rakyat dijangka memperoleh manfaat
daripada pelanjutan ini. Jumlah keseluruhan nilai premium dan sumbangan
yang ditangguhkan dianggarkan sebanyak 2.6 bilion ringgit.
68. Akhir sekali, tentunya berhubung pelaksanaan moratorium bayaran
balik pinjaman bank. Semasa pengumuman pakej bantuan PEMERKASA Tambahan,
Kerajaan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia dan pihak bank telah
melaksanakan inisiatif bayaran balik pinjaman secara bersasar. Setakat
ini, lebih daripada 250 ribu peminjam yang layak telah mendapat
kelulusan secara automatik. Mereka hanya perlu memilih sama ada untuk
mendapatkan moratorium selama 3 bulan atau pengurangan bayaran ansuran
sebanyak 50 peratus selama 6 bulan.
69. Kerajaan faham keresahan rakyat pada masa ini. Ramai yang
terjejas dan ini bukanlah melibatkan golongan B40 sahaja. Saya banyak
mendengar dan membaca rintihan yang sama daripada golongan M40 dan T20
yang turut mengalami peningkatan tanggungan kerana mereka juga membantu
ahli keluarga atau saudara mara yang terjejas akibat COVID-19.
70. Oleh itu, sukacita saya umumkan, dengan kerjasama pihak bank,
moratorium enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam individu,
sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro. Tiada lagi
syarat seperti pengurangan pendapatan, tiada semakan sama ada anda
telah hilang pekerjaan dan tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan
untuk permohonan. Anda Cuma perlu memohon dan kelulusan akan diberikan
secara automatik. Kemudahan ini juga ditawarkan kepada pengusaha PKS
yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank.
Permohonan akan dibuka pada 7 Julai 2021. Peminjam hanya perlu memohon
dan menandatangani perjanjian pindaan syarat-syarat pinjaman yang
berkaitan.
71. Saya berharap inisiatif moratorium ini dapat sedikit sebanyak
membantu peminjam individu dan PKS dalam menguruskan aliran tunai mereka
semasa tempoh yang mencabar ini. Walau bagaimanapun, saya juga ingin
berpesan gunalah tawaran ini dengan sebaiknya dan jika tidak mendesak,
janganlah membuat tambahan komitmen kewangan lain.
FOKUS KETIGA: MENINGKATKAN VAKSINASI
Saudara-saudari yang dikasihi,
72. Fokus ketiga kerajaan ini mempercepatkan program vaksinasi.
Statistik sehingga 26 Jun 2021 menunjukkan, sejumlah 7 juta dos telah
berjaya dibekalkan kepada rakyat iaitu merangkumi 5 juta orang. Sebanyak
15.5 peratus telah menerima dos pertama dan hampir 2 juta orang atau 6
peratus telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.
73. Alhamdulillah, kita juga telah berjaya mengekalkan kadar
pemberian vaksin secara purata melebihi 200 ribu sehari dalam tempoh 7
hari lalu. Selain itu, seramai 16.3 juta orang telah berdaftar untuk
mendapatkan bekalan vaksin setakat ini.
74. Melihat kepada pencapaian ini, Kerajaan optimis bahawa segala
usaha yang dirancang berada di landasan yang tepat. Sehubungan itu, bagi
meningkatkan kapasiti dan mempercepat pemberian vaksin kepada rakyat,
Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan atau PICK akan terus diperkasa.
75. Justeru, sukacita saya umumkan beberapa inisiatif tambahan yang akan dilaksanakan seperti berikut:
76. Pertama: Bagi mempercepat jadual pelaksanaan PICK, sejumlah 400
juta ringgit diperuntukkan untuk menambah bekalan vaksin negara. Ini
bermakna, jumlah bekalan vaksin yang ditempah Kerajaan adalah cukup
untuk menampung 130 peratus populasi rakyat berbanding 120 peratus
sebelum ini.
77. Penambahan bekalan vaksin ini antara lainnya adalah sebagai stok
penimbal tambahan serta bertujuan memulakan proses vaksinasi bagi 6.4
juta remaja berumur 12 hingga 18 tahun. Anak-anak yang bakal menduduki
SPM tahun ini akan diutamakan.
78. Saya juga ingin tegaskan, Kerajaan sedang memantau rapat dan
membuat kawalan ketat berikutan penularan varian Delta Plus. Ia telah
menyebabkan beberapa buah negara kembali mencatatkan peningkatan
jangkitan dan terpaksa melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan.
79. Kedua: Sehingga hari ini, Kerajaan telah membuka sebanyak 341
Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara yang terdiri daripada 320
PPV Awam, 13 PPV Mega dan lapan (8) PPV IPT. Bagi meningkatkan kadar
pemberian vaksin harian, Kerajaan bersetuju untuk membuka 29 Pusat
Pemberian Vaksin (PPV) baharu, menaik taraf PPV sedia ada, melaksana PPV
secara pandu lalu, PPV Bergerak dan program Outreach Home-to-Home
dengan peruntukan keseluruhan berjumlah 200 juta ringgit.
80. Sebagai contoh, saya telah mengunjungi program MyMedic @ Wilayah
Mobile Vaccination di PPR Sri Johor, Kuala Lumpur yang menumpukan warga
emas dan gelandangan serta penggunaan beberapa unit bas bergerak ke
kawasan luar bandar yang melibatkan program imunisasi Orang Asli dan
beberapa PPV pandu-lalu di IPTA. Baru-baru ini, saya juga berkesempatan
mengunjungi PPV OKU-pandu lalu OKU Sentral di Ara Damansara, yang
pertama seumpanya di dalam negara
.
81. Ketiga: Beberapa hari yang lalu, saya telah umumkan kenaikan
bayaran sagu hati daripada 50 ringgit kepada 100 ringgit sehari bagi
sukarelawan kesihatan yang bertugas melebihi 12 jam sehari bermula Jun
2021. Selain itu, bayaran sagu hati ini turut diperluas kepada mereka
yang bertugas di lapangan selain PPV seperti di pusat kuarantin. Saya
juga telah meminta agar PPV beroperasi tujuh hari seminggu bagi
mempercepat pemberian vaksin kepada rakyat.
82. Sebagai tambahan, sukacita daya umumkan, Kerajaan bersetuju untuk
menyelaras kadar pembayaran elaun khas kepada 14 ribu barisan hadapan
kesihatan yang terlibat dalam PICK daripada 200 ringgit kepada 600 ratus
ringgit selama enam bulan bermula Julai 2021. Kedua-dua inisiatif ini
melibatkan peruntukan tambahan sebanyak 200 juta ringgit. Peruntukan ini
merupakan pengiktirafan berterusan kepada jasa dan sumbangan barisan
hadapan kesihatan kita yang masih terus berjuang demi bangsa negara yang
tercinta.
83. Keempat: MITI telah menyelaras Program Imunisasi Industri
COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta atau PIKAS sebagai galakan kepada
syarikat dan industri untuk menggunakan premis mereka sebagai PPV dan
menjalankan program imunisasi kepada pekerja. Kerajaan akan menyediakan
bekalan vaksin, manakala pihak syarikat atau kilang akan memudahcara
urusan logistik yang berkaitan. Kerjasama ini penting untuk membolehkan
kita mempertingkatkan kadar vaksinasi dengan segera supaya penularan
berterusan di tempat-tempat kerja dapat diputuskan dan dikawal dengan
lebih baik.
84. Sehubungan itu, bagi menggalakkan pelaksanaan PIKAS dan
mengurangkan tanggungan syarikat, sejumlah 150 juta ringgit akan
disediakan. Di bawah inisiatif ini, antara lainnya:
Kerajaan bersetuju majikan yang berdaftar di bawah Perbadanan
Sumber Manusia Berhad (atau HRD Corp), boleh menggunakan baki levi
semasa sehingga 10 peratus bagi kos pengurusan dan pembelian vaksin
COVID-19;
Kerajaan juga bersetuju untuk memberi potongan cukai ke atas
perbelanjaan merangkumi kos peralatan dan perkhidmatan penyediaan PPV
oleh majikan. Selain itu, potongan cukai ke atas sumbangan COVID-19
melalui projek komuniti atau amal juga diperluaskan meliputi sumbangan
kepada PPV; dan Kerajaan bersedia mempertimbangkan kebenaran kepada
syarikat untuk beroperasi pada kapasiti penuh sekiranya semua pekerja
telah lengkap dua dos vaksin.
85. Kelima: Bagi memastikan golongan rentan tidak terkecuali daripada
mendapatkan suntikan vaksin, beberapa program di peringkat komuniti
juga akan disegerakan. Antaranya, pendaftaran untuk vaksinasi serta
pemberian subsidi sehingga 30 ringgit atas kos tambang teksi dan
e-hailing untuk golongan OKU dan warga emas bagi memudahkan pergerakan
mendapatkan vaksin pada hari temu janji mereka.
86. Nilai keseluruhan bagi fokus ketiga ini berjumlah 1 bilion ringgit.
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
87. Saya amat memahami keresahan yang dirasai oleh saudara dan
saudari ketika ini. Saya dan rakan-rakan dalam Jemaah Menteri sentiasa
memikirkan keluh-kesah dan kesusahan yang dialami oleh anda semua dan
mencari jalan untuk mengatasinya.
88. Kerajaan tetap terus bergerak, berjuang dan berusaha keras setiap
masa, sekalipun dalam keterbatasan, untuk memastikan negara kekal
berada pada landasan pemulihan yang tepat dan nasib anda semua terus
terbela. Biarpun diuji setiap segi, Kerajaan berikrar akan terus cekal
memberikan khidmat terbaik buat anda semua.
89. Saya ingin tegaskan, Kerajaan sentiasa mendengar dan menerima
pandangan semua pihak dengan hati terbuka, memperbaiki sistem
penyampaian kerajaan, berusaha dan berikhtiar mencari jalan keluar dari
kemelut pandemik ini. Percayalah, kerajaan akan terus membantu sedaya
mampu supaya rakyat dan negara kita terus dilindungi.
90. Program vaksinasi akan menjadi kunci utama kejayaan kita melawan
COVID-19. Bagi mereka yang belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin,
segeralah menunaikan kewajipan anda untuk kebaikan kita bersama. Berilah
kerjasama penuh dan juga sedikit masa bagi pelaksanaan Program
Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, supaya Pelan Pemulihan ini berjaya
dilaksanakan. Lindung diri, lindung semua.
91. Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim. Kepada-Mu jualah kami memohon pertolongan dan Engkau lah sebaik-baik pelindung.
Sumber : Berita Harian