Memaparkan catatan dengan label pelan pemulihan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pelan pemulihan. Papar semua catatan

Isnin, Jun 28, 2021

PEMULIH: Bantuan tunai untuk miskin tegar

 

Isi rumah miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak RM500 tiga bulan berturut bermula Ogos ini, dalam pemberian khas Bantuan Khas COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata mereka akan menerima bantuan RM500 pada Ogos, RM500 pada November, dan RM300 pada Disember.

"Individu bujang kategori miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada Ogos dan RM300 pada November.

"Isi rumah kategori B40 (kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah) pula akan menerima bantuan sebanyak RM500 pada Ogos dan RM300 pada Disember, manakala bujang kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada Ogos.

"Isi rumah kategori M40 (kumpulan berpendapatan 40 peratus pertengahan) turut menikmati bantuan sebanyak RM250, manakala bujang kategori M40 akan menerima RM100 pada bulan Ogos nanti," katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), hari ini.

Muhyiddin berkata, bantuan itu dijangka memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak 4.6 bilion ringgit.

Sumber : Berita Harian

 

Kerajaan umum PEMULIH bantu rakyat

 

Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion, bertujuan memberi bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam berdepan penularan wabak COVID-19.

Perdana Menteri ketika membentangkan PEMULIH berkata, pakej itu merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion.

PEMULIH menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.

Walaupun dalam ruang fiskal yang amat terhad, Muhyiddin menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus komited dalam mengutamakan kesejahteraan rakyat.

"Saya tidak akan berkompromi dalam soal memelihara kebajikan rakyat dan memerangi COVID-19," katanya dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen tempatan, hari ini.

Menerusi PEMULIH, kerajaan memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu i-Citra, dengan pengeluaran sehingga RM5,000, yang akan memberi manfaat kepada 12.6 juta ahli KWSP.

Pelaksanaan i-Citra akan menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian, yang mana permohonannya akan dibuka pada 15 Julai ini, dengan pembayaran pertama dijangka dikreditkan dalam akaun ahli pada Ogos ini.

Selain itu, moratorium automatik selama enam bulan akan turut diberikan kepada semua peminjam individu, sama ada daripada golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro, yang mana permohonan akan dibuka pada 7 Julai ini.

Permohonan moratorium berkenaan tidak mengenakan syarat seperti pemohon mesti mengalami pengurangan pendapatan, semakan sama ada hilang pekerjaan dan mengemukakan dokumentasi untuk permohonan.

Melalui fokus Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, kerajaan antara lain akan menyalurkan bantuan tunai langsung kepada rakyat berjumlah RM10 bilion sehingga hujung tahun ini, merangkumi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas COVID-19 (BKC) danBantuan Kehilangan Pendapatan.

Kerajaan juga akan memperuntukkan RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen termasuk pembangkang untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing.

Selain itu, sebanyak RM15 juta akan diperuntukkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu kerajaan menangani isu sosial seperti kesihatan mental, gelandangan, dan masalah sosial lain di peringkat komuniti.

Di bawah fokus Menyokong Perniagaan, beberapa pendekatan akan ditambah baik termasuk mengurangkan kos tanggungan majikan, menyokong usaha digitalisasi, memberikan kemudahan bantuan kewangan dan insentif percukaian, menyediakan fasiliti pembiayaan dan meneruskan insentif penggajian.

Kerajaan akan menyediakan bayaran tambahan di bawah Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0, membabitkan bayaran RM500 kepada penerima yang layak, masing-masing pada September dan November ini yang diharap akan memanfaatkan satu juta usahawan perindustrian kecil dan sederhana (PKS) mikro.

Selain itu, Program Subsidi Upah (PSU) 4.0 akan dilaksanakan dengan peruntukan RM3.8 bilion, yang dijangka memanfaatkan lebih 2.5 juta pekerja.

Melalui inisiatif PSU 4.0, kerajaan akan menampung sehingga 500 pekerja bagi setiap majikan dengan kadar RM600 setiap pekerja selama empat bulan tanpa syarat had gaji ditetapkan.

Di bawah fokus Meningkatkan Vaksinasi, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan terus diperkasa, antara lain melalui tambahan bekalan vaksin dengan peruntukan RM400 juta bagi menampung 130 peratus populasi rakyat, berbanding 120 peratus sebelum ini.

Kerajaan juga akan membuka 29 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu, tambahan kepada 341 PPV sedia ada, melaksana PPV secara pandu lalu, PPV Bergerak dan program Outreach Home-toHome dengan peruntukan keseluruhan RM200 juta.

Sumber : Berita Harian

 

 

Rabu, Jun 16, 2021

Pelan pemulihan negara bolehkan kerajaan laksana perancangan lebih tersusun

 

Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam bertepatan dalam memastikan kerajaan dapat melaksanakan perancangan yang lebih tersusun mendepani pandemik COVID-19.

Pensyarah Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata pelan berkenaan amat jelas dan boleh dijadikan sandaran kerajaan untuk mencapai pemulihan dari cabaran pandemik itu.

Bagaimanapun, katanya, kejayaan pelan itu amat bergantung kepada kerjasama rakyat dalam mematuhi peraturan yang ditetapkan, selain faktor sampingan seperti varian baharu COVID-19 serta tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) orang ramai.

Muhyiddin berkata, pelan itu diyakini dapat mengembalikan penghidupan harian biasa menjelang akhir tahun termasuk mengadakan semula sesi persidangan Parlimen pada September atau Oktober.

Perdana Menteri berkata, pelan itu adalah satu strategi peralihan keluar dari kemelut pandemik COVID-19 merangkumi empat fasa yang akan membabitkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Sementara itu, Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri pula melihat sasaran pelan pemulihan berkenaan yang membabitkan pembukaan penuh semua sektor pada jangkaan seawal November atau Disember amat bersesuaian dengan situasi semasa negara. 

Bagaimanapun, katanya, tempoh empat bulan mendatang iaitu dari Julai hingga Oktober akan menentukan sama ada pelan itu mampu mengembalikan atau tidak kehidupan normal rakyat atau sekurang-kurangnya dengan kelonggaran pelbagai SOP.

"Pelan yang dirangka ini adalah sesuai dengan jangka masa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang menyasarkan kita mencapai imuniti kelompok namun saya rasa ia boleh ditambah baik dengan penyelarasan pelbagai program bantuan kewangan untuk rakyat terjejas," katanya.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha, berpendapat empat fasa dalam Pelan Pemulihan Negara sangat penting untuk negara memandangkan terdapat banyak perkara yang perlu diselesaikan secara teratur.

"Pandangan saya, pentingnya fasa ini kerana perkara yang hendak diselesaikan ini perkara besar, secara logiknya perlu bertahap untuk tempoh pemulihan.

"Untuk mencapai imuniti berkelompok sehingga 80 peratus memerlukan masa namun perlu diakui proses vaksinasi perlu disegerakan dan soal pemulihan ekonomi juga perlu dipercepatkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, berkata pelan itu akan banyak membantu dalam melaksanakan langkah pemulihan kerajaan negeri itu.

Dalam kenyataan malam tadi, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan Sabah akan memberikan kerjasama penuh bagi memastikan pelan itu dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Sumber : BERNAMA

 

 

Recent Posts