Memaparkan catatan dengan label Pilihanraya Kuala Terengganu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pilihanraya Kuala Terengganu. Papar semua catatan

Isnin, Januari 19, 2009

SPR yakin tutup isu pengundi hantu (PRK Kuala Terengganu)

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yakin tidak timbul lagi tuduhan wujudnya pengundi hantu berikutan kemenangan calon Pas pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu hari ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, segala tohmahan yang dilemparkan berkaitan pengundi hantu selama ini bertujuan memburuk-burukkan imej SPR semata-mata.

Beliau berkata, kemenangan yang berpihak kepada calon Pas turut membuktikan bahawa demokrasi masih subur di negara ini.

"Saya yakin tidak ada lagi isu pengundi hantu atau perkara-perkara lain yang dibangkitkan oleh pembangkang sebagaimana berlaku sebelum ini.

"Tak tahulah saya apabila mereka menang, apakah isu-isu sebegini akan dibangkitkan lagi,'' katanya kepada pemberita di pusat penjumlahan rasmi undi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu di Stadium Negeri di sini malam ini.

Calon Pas, Mohd. Abdul Wahid Endut memenangi Pilihan Raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dengan memperoleh 32,883 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang meraih 30,252 undi selepas kesemua 144 peti undi dikira.

Calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam pula memperoleh 193 undi.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, pihaknya berpuas hati dengan kempen dan proses pengundian pilihan raya kecil tersebut.

"Kempen berjalan secara teratur tanpa berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini,'' katanya.

Sementara itu Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustapha Ali berkata, kemenangan parti itu membuktikan kesepakatan dalam pembangkang masih utuh meskipun menghadapi pelbagai dugaan.

Katanya, kemenangan ini menjadi bukti Pas mampu mencapai kejayaan lebih besar dalam pilihan raya umum akan datang.

- Utusan

Ahad, Januari 18, 2009

Komentar - Pengundi atas pagar lebih terpengaruh cerita jajaan

Tiada sesiapapun harus mencemburui Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam menuju pilihan raya kecil kawasan Parlimen Kuala Terengganu, semalam.

Keadaannya seolah-olah jatuh atau bangunnya Barisan Nasional (BN) terpikul di bahunya sambil pertembungan tiga penjuru semalam, menyaksikan saingan paling sengit tanpa sesiapa berani membuat ramalan pasti.

Dilabel dari mula sebagai berstatus bangsawan, sombong dan memiliki personaliti dipersoalkan, calon BN bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu itu dilihat hanya memungkinkan kekalahan.

Harus terlintas di benaknya betapa masyarakat kadang-kadang begitu mudah terbuai dengan pelbagai prasangka - melemparkan tuduhan dan menjatuhkan hukuman tanpa banyak timbang tara dan timbang rasa.

Tidak terkecuali juga emosinya sudah jenuh terusik andainya BN ditakdirkan kehilangan kerusi Kuala Terengganu, maka segala-galanya juga akan dipersalahkan kepada perwatakan dan ketrampilannya.

Lokek senyum, kedekut budi-bahasa... itulah yang sering dibual dan dicanangkan di mana-mana hingga ia mewujudkan semacam kepercayaan bahawa ini bukanlah orangnya yang warga Kuala Terengganu harus berikan kepercayaan untuk mewakili mereka.

Sehingga pada hari terakhir tempoh berkempen 11 hari itu kelmarin, masih ada cerita atau dakwaan terbaru dibuat terhadapnya.

Tidak cukup dengan dakwaan berkaraoke sebelumnya yang dinafikan dan diperjelaskan beliau sebagai tidak seperti dibualkan orang, terbaru Wan Farid didakwa pula terbabit dengan skandal.

Tuduhan itu seolah-olah diatur sedemikian rupa untuk tidak meluangkan waktu bagi Wan Farid membuat sebarang penafian, dengan disasarkan untuk pengundi atas pagar meragui keperibadiannya.

Sekurang-kurangnya 20 peratus daripada 80,229 pengundi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu tergolong sebagai pengundi atas pagar - mereka yang tidak secara langsung memihak mana-mana parti, melainkan membuat pertimbangan terhadap calon dan isu yang ditonjolkan.

Harus ia berkesan kepada sebahagian seperti dibuktikan keputusan pilihan raya kecil semalam bahawa isu peribadi - sama ada benar atau sekadar rekaan - berupaya mempengaruhi pengundi dalam memutuskan siapa pilihan mereka.

Sememang dari awal, tiada pihak yang mendakwa akan mendapat laluan mudah.

BN, berbanding kelazimannya, memilih untuk menamakan calonnya dua minggu lebih awal - satu langkah yang jika direnung semula, banyak membantu dalam menepis pelbagai asakan peribadi terhadap Wan Farid.

Pas, sebaliknya, membiarkan penyokongnya sendiri banyak berteka-teki dengan hanya menamakan Mohd Abdul Wahid Endut menghampiri kepada hari penamaan calon 6 Januari lalu, bagi menutup kompromi dua pandangan yang bertelagah.

Penampilan Azharudin Mamat sebagai calon Bebas pada saat-saat akhir pula tidak dijangka mendatangkan banyak kesan dalam menambah atau mengurangi peluang kedua-dua calon BN dan Pas, yang lebih dilihat kepada pertembungan satu lawan satu.

Di sebalik serba sedikit isu nasional yang dibangkitkan sepanjang tempoh berkempen - BN antaranya menonjolkan bibit perpecahan dalam Pakatan Rakyat serta isu hudud dan qisas yang menjadi dendangan lagu lama Pas, manakala Pas pula mempersoalkan agihan royalti minyak yang didakwa tidak sampai kepada manfaat rakyat dan kehadiran sebegitu ramai anggota polis untuk menakut-nakutkan pengundi - selebihnya berkisar kepada isu tempatan dan calon.

Kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang dua kali turun padang untuk berkempen, sambil jentera BN dikepalai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dari mula hingga akhir, menyerlahkan kesungguhan untuk kerusi ini dipertahankan.

Harus tidak banyak cacat-celanya dengan jadual dan isi ceramah serta kunjungan dari rumah ke rumah yang dilaksanakan jentera BN. Segala-galanya sudah diperjelaskan untuk pertimbangan pengundi.

Dalam pada itu, pendekatan berbeza yang mesra rakyat turut menjadi tontonan - dimulai dengan bentuk poster yang lebih mendekatkan pemimpin dan calon BN dengan pengundi hingga kepada janji mengutamakan kepentingan rakyat dalam segala serba-serbi.

Namun, pengundi Kuala Terengganu harus sukar dibaca, seolah-olah mereka sudah pun terpahat dengan pendirian masing-masing kepada siapa undi mereka bakal diberikan, lama sebelum penamaan calon lagi.

Kerana itu, ia bukanlah sangat berkisar kepada jentera Pas atau Pakatan Rakyat lebih berkesan pada ketika pendekatan mereka tidak pun banyak berbeza daripada sebelumnya.

Kekurangan, jika boleh dianggap tidak ketara pada pihak mereka, ialah kurangnya cakap-cakap mengenai calonnya yang sudah berakar umbi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam selama lima penggal.

Tidak sukar untuk mengagak bahawa Pakatan Rakyat dan Pas akan terus mencanangkan tsunami politik pada Pilihan Raya Umum 8 Mac lalu, masih belum reda gelombangnya selepas berlanjutan ke Permatang Pauh, Ogos lalu, dan terbaru, melanda Kuala Terengganu.

Pas, terutamanya, akan bersorak dengan satu lagi kemenangan moral dalam meningkatkan sahamnya sebagai suara yang tidak harus diketepikan begitu saja dalam perbezaan pendapat pakatan pembangkang.

Cuma, laungan mereka kononnya ia harus menjadi penanda aras kepada penerimaan rakyat terhadap BN dan Umno selepas pilihan raya umum lalu, harus tersasar kerana di Kuala Terengganu, BN dan Umno hanya kalah, tetapi bukan dibelasah.

Tidak mungkin satu pilihan raya kecil, yang lazimnya sarat dengan isu setempat daripada membincangkan kepentingan nasional, boleh dirumuskan sebagai cerminan kepada aspirasi keseluruhan rakyat berbanding pilihan raya umum.

Bezanya buat BN ialah kehilangan satu lagi kerusi di Dewan Rakyat yang jauh daripada cukup untuk menggoyahkan Kerajaan Pusat yang ditubuhkannya untuk menggerakkan agenda pembangunan serta mendepani pelbagai cabaran mendatang.

Ia akan mengambil beberapa ketika untuk analisis menyeluruh dibuat - kiraan di setiap saluran dan peti undi harus diperhalusi dalam menyelami apakah sebab-sebabnya pengundi Kuala Terengganu berubah hati dalam tempoh hanya 10 bulan.

Sudah barang tentu Permatang Pauh dan Kuala Terengganu menghadirkan serba-sedikit sebab yang sama serta juga punca-punca yang sama sekali berbeza dalam pada BN mempersiapkan diri untuk ujian seterusnya.

Wan Farid sendiri harus sudah melakukan yang terbaik dalam ikhtiarnya menambat hati pengundi, didasarkan kepada 30,252 undi yang diperolehnya, berbanding Mohd Abdul Wahid yang meraih 32,883 untuk majoriti 2,631 undi. Azharudin pula hanya mendapat 193 undi dan hilang wang deposit.

Sejurus keputusan diumumkan malam tadi, sudah pun terdengar ada kecenderungan untuk menyalahkan pemilihannya, di sebalik beliau dikhabarkan menampilkan banyak perubahan untuk lebih mesra mendampingi rakyat pada hari-hari terakhir menjelang pengundian.

Tetapi Wan Farid juga harus mendapat sedikit sagu hati daripada rumusan beliau memenuhi secukupnya kriteria selaku timbalan menteri, senator dan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu untuk ditampilkan BN dan hanya kalah kepada tohmahan dan persepsi negatif untuk kesudahannya menjadi mangsa keadaan.

Apa pun, pengundi Kuala Terengganu sudah membuat keputusan mereka dan ia wajar dihormati.

Calon BN nafi beri wang (PRK Kuala Terengganu)

Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menafikan beliau terbabit memberikan wang kepada dua wartawan sebuah laman web di Pusat Media Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, petang kelmarin.

Beliau berkata, dalam tempoh pilihan raya kecil sekarang, pelbagai pihak akan mengambil kesempatan untuk memburukkan peribadinya.

“Saya tidak ada wang untuk ditawar kepada sesiapa...itu bukan saya punya.

“Anda tahu orang boleh buat apa saja, terutama pada pilihan raya kecil apabila anda menjadi perhatian.

“Yang pasti ia bukannya daripada BN ..saya boleh pastikan. Itu bukan wang saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Pusat Bukit Besar di sini, semalam.

Beliau yang ditemani isterinya, Toh Puan Intan Baizura Abdul Wahab kelihatan tenang dan sentiasa tersenyum ketika bertemu pengundi di sekolah berkenaan selepas mengundi pada jam 8.02 pagi.

Wan Ahmad berkata, beliau mahu menang pilihan raya kecil ini dengan cara adil tanpa bersubahat dengan sesiapa atau melakukan yang menyalahi undang-undang.

Kelmarin, dua wartawan laman web berbahasa Mandarin membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu kerana mendakwa diberikan satu sampul surat berisi wang ketika berada di pusat media berkenaan.

Sementara itu, Wan Ahmad Farid berkata, tempoh 11 hari berkempen dengan jadual program yang padat dari pagi sehingga lewat tengah malam menyebabkannya kehilangan berat badan sehingga membolehkannya memakai seluar yang digunakannya tujuh tahun lalu ketika keluar mengundi semalam.

Walaupun tempoh kempen 11 hari mungkin dianggap pendek sesetengah pihak lain, baginya ia tempoh yang panjang dan beliau memanfaatkannya untuk berjumpa dengan rakyat.

“Hari ini, saya memakai seluar yang pernah dipakai pada 2002, masa saya kurus dulu. Ia menunjukkan bahawa bukan saja berat badan dalam tempoh ini, tetapi ukuran pinggang badan menurun,” katanya.

Intan Baizura berkata, dia berdoa agar usaha kuat suami dan jentera parti selama berkempen akan mendapat hadiah kemenangan untuk BN bagi meneruskan usaha pembangunan kepada rakyat Terengganu.

- Berita Harian

BN akur keputusan rakyat - Najib (PRK Kuala Terengganu)

Barisan Nasional (BN) menerima keputusan rakyat yang memilih Pas sebagai wakil mereka pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, keputusan rakyat itu adalah melalui proses demokrasi dan harus diterima dengan hati terbuka.

"BN menerima keputusan yang dibuat pengundi. Dalam sistem demokrasi, suara rakyat adalah suara keramat.

"Kita mesti percaya kepada demokrasi dan kita harus akur dengan keputusan rakyat. Kita akan ambil iktibar dan akan terus berkhidmat kepada rakyat," katanya pada sidang media selepas pengumuman rasmi keputusan pilihan raya kecil itu di Kediaman Menteri Besar, Seri Iman di sini, malam tadi.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Ahmad Said; Setiausaha Agung Umno, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor dan calon BN Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Pada pertandingan tiga penjuru itu, calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut yang memperolehi 32,883 undi menang dengan majoriti 2,631 undi, Wan Ahmad Farid (30,252), manakala calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam hanya meraih 193 undi, sekali gus hilang wang pertaruhan.

Najib yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil BN berkata, BN akan terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan akan melaksanakan apa yang perlu bagi mengembalikan semula imej parti memulihkan keyakinan rakyat terhadap BN dalam menerajui negara.

"Saya yakin kesudahannya rakyat yakin kepada BN. Saya nyatakan dari mula lagi, ini pilihan raya kecil, (maka) banyak faktor yang menentukan keputusannya, termasuk soal perkhidmatan," katanya.

Ketika diminta mengulas faktor yang memungkinkan kekalahan BN, Najib berkata, masih terlalu awal untuk membuat sebarang penilaian. Bagaimanapun, BN akan mengkaji perkara itu bagi menentukan hala tuju dan kesannya kepada BN.

"Kita ambil keputusan ini untuk menentukan hala tuju Umno serta BN dan adalah terlalu awal untuk menentukan faktor kekalahan ini. Sampai masanya, kita akan akan tahu faktornya," katanya.

Bagaimanapun katanya, kekalahan pada pilihan raya itu tidak akan menjadi topik utama perbincangan pada Konvensyen BN yang akan berlangsung bulan depan dan berkeyakinan kekalahan yang berlaku bukan bermakna pengundi tidak yakin dengan kepemimpinannya untuk mengambil alih pentadbiran daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Mac depan.

"Ini pilihan raya kecil, walaupun kita kalah dulu, tetapi akhirnya kita akan berjaya. Saya tak fikir ini akan beri kesan kepada BN dalam menghadapi pilihan raya akan datang," katanya.

- Berita Harian

Wan Ahmad Farid terus berkhidmat


Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh bertekad untuk bekerja keras dan terus memberi khidmat kepada rakyat Kuala Terengganu walaupun tewas pada pilihan raya kecil Parlimen itu hari ini.

Katanya, beliau akan melakukan semua itu bagi memastikan pengundi menukar fikiran mereka untuk menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

''Saya ucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi BN. Walaupun tidak cukup untuk menang pilihan raya tapi saya akan bekerja keras supaya pengundi menukar fikiran pada pilihan raya umum akan datang," katanya ketika ditemui di sini malam ini.

Beliau seterusnya mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang baru dari parti Pas, Mohd. Abdul Wahid Endut kerana diberi kepercayaan oleh rakyat untuk mewakili mereka di Dewan Rakyat.

''Saya ucapkan selamat menjalankan tugas baru sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu," katanya.

Wan Ahmad Farid turut mengucapkan penghargaan kepada jentera BN yang membantunya sepanjang kempen pilihan raya kecil itu.

''Saya tahu mereka bekerja keras, namun akhirnya rakyat yang membuat keputusan," ujarnya.

- Utusan

BN tidak lemah semangat - Najib (PRK Kuala Terengganu)

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) menerima kekalahan parti itu pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu hari ini dengan hati terbuka.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sebagai sebuah parti yang percaya terhadap sistem demokrasi, kekalahan itu tidak melemahkan semangat BN sebaliknya ia akan dijadikan iltizam untuk meneruskan khidmat kepada rakyat.

Beliau menegaskan, BN akan terus melipatgandakan usaha bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap perjuangan parti itu dengan melakukan apa sahaja yang perlu untuk memulihkan imej.

"Kita pernah kalah dulu tetapi akhirnya berjaya semula. Dalam sistem demokrasi suara rakyat suara keramat. Kekalahan ini saya sifatkan sebagai pengajaran untuk menguatkan iltizam kita untuk mengorak langkah ke depan.

"Walaupun ini satu halangan kepada BN, kita kena ambil serius keputusan ini. Kita patut kaji sedalam-dalamnya hala tuju parti ini pada masa akan datang," katanya pada sidang akhbar di Seri Iman di sini malam ini.

Menurut Najib, masih terlalu awal bagi BN untuk menentukan faktor yang membawa kekalahan kepada parti.

Katanya, parti akan melakukan kajian sedalam-dalamnya dan bila sampai masanya akan menentukan arah tuju yang sepatutnya.

Beliau percaya keputusan tersebut tidak akan memberi kesan kepada BN pada pilihan raya umum akan datang.

"Ini adalah pilihan raya kecil. Banyak faktor yang menentukan keputusan seperti perkhidmatan dan sebagainya. Bukan semua boleh dibaca dan dibuat pertimbangan dalam politik," ujarnya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, UMNO Terengganu turut menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka dan akan meneruskan perjuangan yang terbaik untuk rakyat.

- Utusan

Tok Mun turut sama keluar mengundi (PRK Kuala Terengganu)

Bekas calon bebas Parlimen Kuala Terengganu bagi Pilihan Raya Umum ke-12, Maimun Yusof, 90, tidak melepaskan peluang untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu hari ini.

Warga emas yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Mun itu keluar membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1 kira-kira pukul 10.30 pagi.

Ketika ditemui Tok Mun berkata, beliau tetap menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi walaupun sedih kerana tidak dapat bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

"Apabila saya lihat ramai orang berkempen, hati saya masih teringin untuk bertanding.

"Bagaimanapun, Tok tak dapat bertanding kali ini kerana tidak ada orang yang mahu membantu menyediakan wang pertaruhan," katanya.

- Utusan

Calon PAS, Wahid Endut menang majoriti 2,631 (PRK Kuala Terengganu)


PAS telah berjaya memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu melalui calonnya, Abdul Wahid Endut, 51 dalam pilihan raya kecil yang diadakan pada 17 Januari 2009.

Kemenangan Abdul Wahid dalam persaingan sengit itu menyaksikan Adun Wakaf Mempelam itu mengalahkan BN yang diwakili oleh calon Umno, Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan calon bebas Azharuddin Mamat, seorang ahli perniagaan.

Ini bermakna jumlah ahli Parlimen Pakatan Rakyat bertambah menjadi 83 kerusi, sementara jumlah ahli Parlimen BN merosot kepada 137 orang apabila dua ahli Parlimen SAPP turut meninggalkan BN baru-baru ini.

PAS mendapat 32,883 undi manakala BN 30,252, sementara undi calon Bebas adalah 193 undi, di mana PAS mendapat kelebihan majoriti 2,631 undi.

Perkara itu diumumkan oleh Pengurus Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) Negeri di Stadium Negeri, Kuala Terengganu jam 9.30 malam.

Pengumuman kemenangan itu disambut gembira dengan laungan takbir dan sorakan oleh ribuan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat yang berada di pekarangan stadium terbabit.

Abdul Wahid, 51 tahun adalah ADUN sejak lima penggal, lulusan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dalam bidang perikanan dan sains marin. Beliau memiliki rekod yang cemerlang sebagai Adun selama lima penggal dan anngota Exco Kerajaan Negeri Terengganu sepanjang tempoh 1999-2004.

Parlimen Kuala Terengganu mempunyai 4 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana 3 daripadanya dimenangi oleh PAS manakala 1 DUN dimenangni BN (MCA)

DUN-DUN yang dimenangi oleh PAS ialah Wakaf Mempelam (Abdul Wahid Endut), Ladang (Tengku Hassan Tengku Omar), dan Batu Burok (Dr Syed Azman Ahmad Nawawi.

Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen P036 berikutan kematian mengejut penyandangnya, Allahyarham Dato' Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia pada 27 Oktober lalu.

Pada pilihan raya umum ke-12, 8 Mac 2008 lalu Razali menang tipis dengan majoriti 628 undi menewaskan calon PAS, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusuf hanya mendapat 685 undi. Jumlah pengundi berdaftar di Parlimen Kuala Terengganu ialah 80,229 orang termasuk 1,035 pengundi pos.

Sabtu, Januari 17, 2009

EDISI KHAS - PILIHANRAYA KECIL P036 PARLIMEN KUALA TERENGGANU


PENGENALAN
Daerah KUALA TERENGGANU mempunyai 2 kawasan Parlimen iaitu P035 - PARLIMEN KUALA NERUS yang meliputi KUALA TERENGGANU UTARA manakala P036 - PARLIMEN KUALA TERENGGANU pula merangkumi KUALA TERENGGANU SELATAN. Daerah ini terletak di bawah pentadbiran MAJLIS BANDARAYA KUALA TERENGGANU (MBKT).

STATISTIK
KELUASAN: 60.28 km persegi
JUMLAH PENDUDUK: 331,362
JUMLAH PENGUNDI: 80,229
WAKAF MEMPELAM: 20,629
BANDAR: 18,883
LADANG: 16,770
BATU BURUK: 23,987
PENGUNDI POS: 1,035

21-40 Tahun - 49%
41-60 Tahun - 37%
61 Tahun ke atas - 14%

PILIHANRAYA UMUM KE-11
-Razali Ismail (BN-UMNO) : 30,994
-Dr Syed Azman (PAS) : 29,061
Penyandang: BN-UMNO
(Majoriti: 1,055)

PILIHANRAYA UMUM KE-12
-Razali Ismail (BN-UMNO) : 32,562
-Mohamad Sabu (PR-PAS) : 31,934
-Maimun Yusuf (BEBAS) : 685
Penyandang: BN-UMNO
(Majoriti: 628)

N13 - WAKAF MEMPELAM
-A Wahid Endut (PR-PAS) : 9,645
-Othman Awang (BN-UMNO) : 7,452
Penyandang: PR-PAS
(Majoriti: 2,193)
Peti Undi - Pulau Rusa, Kampung Paluh, Losong Datok Amar, Losong Penglima Perang, Losong Hj Mat Shafie, Seberang Baruh, Wakaf Beruas, Merbau Patah, Durian Burung, Sungai Rengas, Wakaf Mempelam.

N14 - BANDAR
-Toh Chin Yow (BN-MCA) : 7,831
-Dr Abd Manaf (PR-PKR) : 6,689
Penyandang: BN-MCA
(Majoriti: 1,142)
Peti Undi - Tok Ku, Cabang Tiga, Hiliran Masjid, Losong Masjid, Pulau Kambing, Kampung Cina, Pejabat Bandaran, Paya Bunga, Pantai Terengganu.

N15 - LADANG
-Tengku Hassan (PR-PAS) : 6,723
-Wan Hisham (BN-UMNO) : 6,692
Penyandang: PR-PAS
(Majoriti: 31)
Peti Undi - Ladang, Mengadang Akar, Batas Baru, Gong Kapas, Pasir Panjang, Bukit Bayas, Bukit Besar.

N16 - BATU BURUK
-Dr Syed Azman (PR-PAS) : 10,672
-Nordiana (BN-UMNO) : 9,511
Penyandang: PR-PAS
(Majoriti: 1,161)
Peti Undi - Batu Buruk, Kampung Nibung, Gong Tok Nasek, Bukit Depu, Kampung Kuala Ibai, Cendering Pantai, Cendering, Taman Permint Jaya, Mengabang Tengah, Kampung Kolam, Kenanga.

KEPUTUSAN RASMI PILIHANRAYA KECIL 2009
-Wan A.Farid (BN-UMNO) : 30,252
-A Wahid Endut (PR-PAS) : 32,883
-Azharuddin Mamat (BEBAS) : 193
Undi Rosak : 665
Dimenangi oleh: PR-PAS
(Majoriti: 2,631)

KEPUTUSAN RASMI PILIHANRAYA KECIL P036 KUALA TERENGGANU


PERATUS KELUAR MENGUNDI:
77.76% (63,993)

KEPUTUSAN RASMI

HAJI MOHD ABD WAHID ENDUT
PR-PAS : 32,883

DATUK WAN AHMAD FARID WAN SALLEH
BN-UMNO : 30,252

AZHARUDIN MAMAT @ ADAM
BEBAS : 193

UNDI ROSAK : 665

PR-PAS MENANG DENGAN MAJORITI 2,631

* KEPUTUSAN RASMI PADA PUKUL 9.30 MALAM

SELAMAT MENGUNDI WARGA KUALA TERENGGANU!




N13 - WAKAF MEMPELAM
Peti Undi -
Pulau Rusa, Kampung Paluh, Losong Datok Amar, Losong Penglima Perang, Losong Hj Mat Shafie, Seberang Baruh, Wakaf Beruas, Merbau Patah, Durian Burung, Sungai Rengas, Wakaf Mempelam.

N14 - BANDAR
Peti Undi -
Tok Ku, Cabang Tiga, Hiliran Masjid, Losong Masjid, Pulau Kambing, Kampung Cina, Pejabat Bandaran, Paya Bunga, Pantai Terengganu.

N15 - LADANG
Peti Undi -
Ladang, Mengadang Akar, Batas Baru, Gong Kapas, Pasir Panjang, Bukit Bayas, Bukit Besar.

N16 - BATU BURUK
Peti Undi -
Batu Buruk, Kampung Nibung, Gong Tok Nasek, Bukit Depu, Kampung Kuala Ibai, Cendering Pantai, Cendering, Taman Permint Jaya, Mengabang Tengah, Kampung Kolam, Kenanga

Pengundi Kuala Terengganu mungkin ulangi kejutan (PRK Kuala Terengganu)

Sesiapa sahaja yang berhasrat membuat ramalan mengenai keputusan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu Sabtu ini boleh melakukannya daripada dua sudut.

Pertama sudut sejarah dan kedua daripada perspektif semasa.

Kalau dilihat daripada sudut sejarah, pilihan raya kecil ini, sama dengan PRK sebelumnya - kecuali Permatang Pauh Ogos lalu - memihak kepada Barisan Nasional.

Tetapi daripada perspektif semasa, PAS mempunyai harapan yang cukup cerah untuk merampas kerusi itu sekali lagi.

Kali terakhir PAS memenangi Kuala Terengganu adalah pada pilihan raya umum 1999 apabila calonnya, Dr Syed Azman Syed Ahmad, mengalahkan Allahyarham Abu Bakar Daud dengan kelebihan 14,132 undi.

Pada PRU itu juga BN kehilangan Negeri Terengganu kepada PAS. Penyingkiran Anwar Ibrahim dan protes terhadap Menteri Besar ketika itu, Wan Mokhtar Ahmad, adalah punca utama kekalahan BN.

Dalam enam PRU daripada PRU 1986, BN memenangi Kuala Terengganu sebanyak empat kali, PAS dan Parti Melayu Semangat 46 masing-masing sekali.

Populariti BN merudum antara PRU 2004 dan 2008. Dalam PRU 2004, Allahyarham Razali Ismail menang dengan kelebihan 1,933 undi. Dalam PRU 2008 dia menang dengan hanya 628 undi.

Sampai hari ini pun kemenangan Razali sering dikaitkan dengan personaliti beliau yang disenangi oleh pengundi.

Sekiranya BN gagal menyekat trend ini dan populariti calonnya, Wan Ahmad Farid Wan Salleh, tidak sehebat Razali atau calon PAS, Abdul Wahid Endut, maka harapannya mempertahankan Kuala Terengganu adalah tipis.

Jika hasil kajian pendapat oleh Merdeka Centre di kalangan 527 pemilih Kuala Terengganu antara 1 hingga 11 Januari boleh dijadikan panduan, maka BN terpaksa melakukan yang terbaik.

Dalam kajian itu, Merdeka Centre mendapati 46 peratus pemilih Melayu dan 56 peratus Cina bercadang mengundi pembangkang.

Walaupun "sampling" kajian itu kecil berbanding bilangan pemilih Kuala Terengganu seramai 80,000, namun ia memberi gambaran yang menarik mengenai kecenderungan pemilih, khasnya pemilih Cina.

Selama ini para pembesar Umno dan BN berulang kali menguar-uarkan pemilih Cina sebagai penentu kemenangan mereka. Dalam erti kata lain, BN mengharapkan majoriti pemilih Cina mengundinya.

Reaksi responden Cina itu cukup menarik kerana pemilih Cina lazimnya tidak menyatakan siapa atau parti mana yang akan mereka undi.

Hasil kajian Merdeka Centre itu juga mengesahkan tanggapan iaitu pemilih Melayu lebih mudah diyakinkan melalui kempen dan propaganda media massa daripada pemilih Cina, khasnya dalam isu ekonomi.

Manakala 70 peratus pemilih yang ditemu ramah oleh Merdeka Centre bersetuju bahawa keadaan di Terengganu dan di seluruh negara sedang bergerak ke arah yang betul, hanya 36 peratus pemulih Cina yang berpendapat begitu.

Ini tidak memeranjatkan kerana pemilih Cina yang tinggal dalam bandar dan terbabit dengan perniagaan umumnya lebih peka terhadap ekonomi dan kerana itu lebih kritikal di dalam membuat penilaian.

Apa pun, keputusan PRK Kuala Terengganu adalah cukup kritikal bagi BN dan PAS.

Bagi BN, khasnya Umno, kemenangan boleh dikira sebagai bukti keberkesanan proses pemulihannya dan sokongan (endorsement) kepada peralihan kuasa Mac ini.

Bagi PAS pula, kemenangan sekali gus mengesahkan bahawa ia boleh berjaya walaupun tanpa sokongan atau persetujuan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam isu-isu pokok seperti Negara Islam dan Hukum Hudud.

Malah pembabitan PKR dan DAP dalam PRK Kuala Terengganu dilihat sebagai membebankan PAS daripada membantunya.

Kesimpulannya, Kuala Terengganu boleh sekali lagi membuat kejutan kerana kejutan sudah sebati dengan pemilih kerusi Parlimen ini.

Mungkin tidak ramai tahu atau sudah lupa bahawa pemilih Kuala Terengganulah yang memberi kemenangan kepada Presiden Parti Negara, Allahyarham Datuk Onn Jaafar, dalam PRU 1959 dengan bantuan PAS.

Tinjauan Umum: Calon PAS mendahului (PRK Kuala Terengganu)

Menurut tinjauan yang dilakukan oleh akhbar Berita Harian bertarikh 14 Januari 2009 melalui laman webnya: http://www.bharian.com.my/klikkhas/kterengganu calon PAS mendahului sebagai calon pilihan di Kuala Terengganu.

Sehingga jam 12 tengah malam tadi, calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut mendapat undian sebanyak 73.3 peratus manakala Datuk Wan Ahmad Farid mendapat 23.3 peratus, dan Saudara Azharuddin Mamat @ Adam (bebas) sebanyak 3.3 peratus

Walaupun dari tinjauan ini rata-rata pengundinya bukannya pengundi sebenar dari Kuala Terengganu. Namun begitu, ia menggambarkan pilihan orang ramai terhadap calon yang bakal dipilih nanti.

Kebanyakkan pembaca laman web Berita Harian lebih yakin dengan calon PAS walaupun akhbar itu sendiri memberi gambaran berat sebelah terhadap beliau.

Berita Harian selaku media yang berpihak kepada kerajaan seharusnya akur dengan kehendak pembacanya sendiri dan sedar bahawa berita berat sebelah terhadap calon PAS sedikit pun tidak berjaya merubah kehendak orang ramai yang mahukan seorang pemimpin yang mempunyai rekod cemerlang sebagai wakil rakyat.

Terdahulu, undian yang sama telah dibuat oleh laman web terkenal Yahoo.com.my. Peratusannya juga mendapati pengundi lebih memihak kepada calon PAS iaitu sebanyak 58 peratus menyaingi calon BN dengan peratusan 22. Calon bebas pula mendapat dua peratus manakala lebih 19 peratus pembacanya tidak tahu atau tidak kisah perihal perjalanan pilihanraya kecil ini.

Undian di blog (myadha.com) ini pula mencatatkan 65 peratus memilih calon PAS sementara calon BN pula mendapat 35 peratus. Samaada undian ini benar-benar diterjemahkan di dalam pilihanraya kali ini, sama-sama kita tunggu malam 17 Januari nanti.

Abdullah Yakin BN Boleh Menang Di Kuala Terengganu (PRK Kuala Terengganu)

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yakin Barisan Nasional (BN) mampu memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu berasaskan perkembangan baik yang dilihatnya dalam lawatan kedua beliau ke sini hari ini.

"InsyaAllah kami (BN) boleh menang, tetapi kami perlu bekerja bersungguh-sungguh," kata Perdana Menteri kepada pemberita ketika ditanya tentang penilaiannya berhubung pilihan raya kecil Kuala Terengganu kali ini berbanding dengan lawatan pertamanya minggu kepas.

Abdullah berkata apa yang penting ialah BN mampu memberi penjelasan yang baik terhadap isu-isu yang dibangkitkan dan juga meyakinkan rakyat akan kemampuan parti itu untuk melaksanakan pembangunan.

Katanya jentera parti juga harus menggiatkan usaha meyakinkan masyarakat di sini akan keupayaan calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan itu.

"Saya kenal Wan Ahmad Farid kerana kebetulannya dia telah menjadi Setiausaha Politik kepada saya dan kemudian dilantik sebagai timbalan menteri dan itu adalah atas keyakinan saya yang dia mampu buat kerja dan buat kerja dengan baik," katanya.

Abdullah berkata kewibawaan Wan Ahmad Farid juga dibuktikan menerusi cadangan Umno Bahagian Kuala Terengganu yang meletakkan beliau sebagai satu-satunya nama untuk menjadi calon BN pada pilihan raya kecil itu.

"Yang pentingnya beliau mesti bekerja kuat," kata Abdullah.

Perdana Menteri turut mengulangi bahawa BN tidak pernah mengambil tindakan untuk membeli undi sebagaimana didakwa oleh pembangkang.

"Kami mempunyai kekuatan dan kami berada dalam dunia politik sejak dari awal, kami tahu cabaran, kesukaran yang kami perlu hadapi dalam pilihan raya. Kami ada jentera pilihan raya dan apa yang kami perlu pastikan adalah jentera kami bergerak, pekerja dan anggota parti melakukan kerja dan bekerja dengan baik," kata Abdullah.

- Bernama

Pengundi Kuala Terengganu bukan kecil untuk cipta sejarah (PRK Kuala Terengganu)

Jika kita meneliti keputusan pilihan raya Parlimen Kuala Terengganu sejak 1986 hingga 2008, ia memang suatu perkembangan yang menarik.

Kecenderungan mengundi penduduknya agak kompleks, mendekati teori pendulum apabila parti-parti yang menang bersilih ganti, membayangkan kematangan mereka untuk berpolitik. Malah dalam pilihan raya 1959, calon pembangkang yang mewakili Parti Negara, Dato' Onn Jaafar yang berasal dari Johor, menang di kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

(Dalam pilihan raya umum 1986 kemenangan memihak BN, diikuti Parti Semangat 46 pada 1990, BN pada 1995, PAS pada 1999, BN pada 2004 dan kekalahan tipis calon PAS kepada BN pada 2008)

Pilihan raya kali ini memang begitu penting dan cukup kritikal untuk kedua-dua parti, Umno dan PAS, juga gabungan dalam BN dan Pakatan Rakyat. Masa depan politik negara kita rasanya banyak ditentukan oleh pola pengundian di Kuala Terengganu, 17 Januari nanti.

Bertuahnya pengundi di sini kerana mereka berupaya untuk berperanan penting merubah lanskap politik negara melalui peti undi seminggu lagi. Jika PAS menang, ia bermakna momentum kejayaan KeADILan di Permatang Pauh dapat dilonjakkan ke paras yang boleh menggusarkan BN.

Sekiranya kalah, tentu banyak iktibar yang boleh dimanfaatkan, terutama untuk meneliti cabaran mendatang dalam pilihan raya ke-13.

Pengundi Kuala Terengganu sebenarnya bukan sekadar memilih ahli Parlimen menggantikan Almarhum Razali Ismail. Mereka boleh menyampaikan mesej protes secara terbuka terhadap kerajaan kerana gagal menunaikan tanggungjawab membela rakyat selepas 10 bulan mandat baru diperolehi.

Logiknya, biarpun jika Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh kalah, kedudukan BN dalam menguasai kerajaan memang tidak tergugat. Namun, ia sudah cukup untuk memberi peringatan jelas bahawa tsunami politik Mac 2008 boleh melanda Terengganu dan negeri-negeri lain yang dianggap selamat, seperti Pahang, Johor dan Melaka.

Dua faktor utama yang dipertimbangkan sebelum mengundi adalah faktor calon dan faktor parti. Jentera Umno-BN memang gabra dan dianggap kalah pada pusingan pertama jika dibandingkan calon PAS dan BN.

Sukar senyum, sifat 'kebangsawanan'

Hinggakan dakwaan Farid sukar senyum dan bersifat "kebangsawanan" pun terpaksa disanggah Dato' Seri Najib Razak berulang kali. Apabila Perdana Menteri sendiri terpaksa turun untuk membantu Wan Farid, ia seolah-olah membayangkan BN sedang menghadapi situasi sulit. Selalunya Presiden Umno menyerahkan tugas mengetuai kempen dalam mana-mana pilihan raya kecil kepada timbalannya.

Najib dikatakan membuat teguran secara terbuka terhadap pendekatan Wan Farid semasa menemui pengundi, termasuk kaedah dia bersalam dan kesukaran raut wajahnya menunjukkan senyum kemesraan.

Najib lebih tertekan memandangkan keputusan pilihan raya itu nanti seolah-olah menjadi kayu pengukur terhadap prestasinya sebagai bakal Perdana Menteri, Mac 2009.

Ia boleh dianggap referendum rakyat ke atas keupayaan BN menangani pelbagai konflik yang melanda negara.

Najib juga gusar dengan maklumat pihak risikan bahawa populariti PAS masih mendahului, walaupun dengan kelebihan yang kecil. Lebih memenangkan Najib apabila peruntukan untuk jentera kempen belum "mengalir ke bawah".

Seorang pimpinan tertinggi Umno Kuala Terengganu didakwa menyekat bajet itu daripada diagih-agihkan demi kepentingan peribadi. Walaupun Farid dilihat bukan orang Najib, jika ditakdirkan beliau kalah, wibawa Timbalan Perdana Menteri yang sedia terjejas dengan pelbagai isu - termasuk kes Altantuya Shaariibu - semakin merosot.

Sama ada dari sudut calon mahupun parti - Wan Farid mahupun Umno-BN - pilihan lebih mendekati calon PAS.

Pengalamannya selama lima penggal sebagai Adun Wakaf Mempelam cukup banyak membantunya untuk menghadam segala masalah masyarakat. Pendekatan mesranya dengan penduduk setempat tidak perlu dibuat-buat. Kehidupannya adalah bersama degup jantung masyarakat Kuala Terengganu.

Manakala dari segi parti, cukuplah dengan kritikan pedas Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas keburukan Umno, serta sindiran Tun Musa Hitam bahawa Umno kini ibarat orang yang sudah tua, yang banyak sakitnya.

Personaliti pemimpin bukan isu sampingan. Lihat saja penekanan al-Farabi dalam al-Madinah al-Fadilah tentang konsep ketua negara dan pemimpin idaman, yang harus memiliki 12 sifat.

Antaranya, sempurna anggota tubuh, baik kefahamannya, baik hafalan, bijaksana dan cerdik, suka terhadap ilmu, cintakan kebenaran bencikan pembohongan, berjiwa besar dan berhemah tinggi, tidak berminat mengumpulkan wang ringgit, bersikap prokeadilan dan antikezaliman, serta kuat azam dan tidak lemah semangat.

Pengundi Kuala Terengganu harus berani mendengar dan menuruti kata hati, yang mahu satu perubahan dilakukan melalui pilihan raya ini.

Mereka tidak perlu bimbang dengan ugutan atau terpukau dengan tawaran. Mereka sebenarnya tidak terlalu kecil untuk mencipta sejarah baru, sekurang-kurangnya untuk mengajar pemimpin yang angkuh dan lupa nasib rakyat.

- Harakah Daily