Memaparkan catatan dengan label Pak Lah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pak Lah. Papar semua catatan

Ahad, Mei 23, 2010

Kerajaan perlu dengar suara rakyat - Pak Lah

KEPALA BATAS 22 Mei - Kerajaan perlu mendengar pandangan rakyat berhubung keputusan meluluskan lesen perjudian bola untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung awal bulan depan.

Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berkata, rakyat berhak menyuarakan pandangan dan kerajaan juga perlu mendengar pandangan mereka.

"Pihak yang telah meluluskan lesen itu perlu mempertimbangkan sebaik-baiknya pandangan yang telah disuarakan.

"Bagi orang Islam, judi tak dapat diterima dan bukan sahaja orang Islam, agama lain tak suka juga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mai... Riuh di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chor Chee Heung sebelum ini dilaporkan berkata, Kementerian Kewangan telah memberi lesen kepada sebuah syarikat tempatan untuk menjalankan kegiatan pertaruhan bola sepak pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010.

Bagaimanapun, pelbagai pihak mahu kerajaan menarik balik kelulusan itu yang dikhuatiri mengundang gejala negatif di kalangan masyarakat.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai cubaan menghidupkan semula kumpulan Al-Arqam, Abdullah berkata, perkara itu perlu dibendung.

"Saya harap tak ada orang yang ikut dan percaya dengan kata-kata bekas pengikut kumpulan itu," katanya.

Sebelum ini, terdapat laporan yang menyatakan bekas pengikut kumpulan itu mendakwa pemimpin mereka, Ashaari Muhammad atau Abuya, yang meninggal dunia pada 13 Mei lepas, kononnya cuma ghaib dan akan pulang semula dalam masa terdekat.

- BERNAMA

Sabtu, Julai 18, 2009

Tun Abdullah mahu ISA dimansuh


Keselamatan Dalam Negeri (ISA) wajar dimansuh dan diganti dengan perundangan baru yang membenarkan penahanan pencegahan terhadap tertuduh.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, undang-undang baru itu mampu menjamin hak asasi rakyat apatah lagi ISA sering dikaitkan dengan persepsi negatif.

Beliau berkata, ISA memberi skop kuasa yang terlalu besar kepada pihak berkuasa untuk menentukan apa yang boleh dianggap sebagai ancaman keselamatan.

"Oleh itu, akta baru boleh dihadkan khusus untuk mencegah kegiatan keganasan sahaja dan mengurangkan kemungkinan penyalahgunaan kuasa demi matlamat politik," katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam ucapan selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Demokrasi di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyempurnakan penganugerahan berkenaan.

Menurut Abdullah, untuk benar-benar melakukan pembaharuan, kerajaan perlu berani melangkaui kerangka lama dan membuka lembaran baru.

"Saya percaya kerajaan perlu berani melakukan perubahan seumpama itu sebagai satu petanda komitmen kepada agenda pembaharuan demokrasi negara," ujarnya.

Jelas beliau, ia merupakan transformasi yang rakyat harapkan kerana tindakan pencegahan itu seharusnya tidak mengorbankan kebebasan hak asasi manusia atau disalahgunakan untuk tujuan politik.

Sementara itu, Abdullah menyifatkan anugerah yang diterimanya hari ini sebagai pengiktirafan kepada wawasan, pendekatan dan kaedah kepimpinan beliau dalam kerajaan.

"Falsafah demokrasi mencerminkan pengiktirafan kepada aliran falsafah yang amat dekat dengan pendirian dan prinsip kepimpinan yang telah saya pelopori.

"Sejak kecil saya telah diasuh untuk mencari kejernihan, menjalinkan silaturahim menyatakan kebaikan serta membina persahabatan," ujarnya.

- UTUSAN

Jumaat, Julai 10, 2009

Mansuh PPSMI bukan desakan - Tun Abdullah

Keputusan kerajaan mengembalikan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu bukan kerana desakan pihak tertentu sebaliknya ia hasil keputusan analisis pelaksanaan dasar itu selama enam tahun.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan tidak boleh dengan serta-merta menukar dasar yang dilaksanakan tanpa membuat pertimbangan sewajarnya walaupun wujud desakan kuat supaya ia dimansuhkan.

Beliau yang bersetuju dengan langkah kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2012 berkata, keputusan itu dibuat setelah dianalisis keberkesanan pelaksanaan dasar itu sejak 2003.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima berhubung keberkesanan dasar itu, menunjukkan ia gagal.

Kerajaan jelas beliau, harus menjalankan kajian terlebih dahulu untuk memastikan keputusan yang dibuat lebih adil kepada semua pihak.

"Sebelum ini kita banyak mendapat memorandum meminta untuk mengkaji semula, maka kita menetapkan supaya satu kajian dibuat mengikut tempoh pelaksanaan dasar itu iaitu selama enam tahun (2003 hingga 2009).

"Dan semalam keputusan telah dicapai menerusi kajian selama enam tahun itu. Itu membuktikan keputusan semalam dibuat bukan kerana desakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Masjid di Jerman di Muzium Kesenian Islam di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan kerajaan memansuhkan dasar PPSMI dengan Sains dan Matematik kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012.

Perubahan pelaksanaan dasar tersebut diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Abdullah berkata, sejak PPSMI dilaksanakan Kementerian Pelajaran telah dari awal bersedia untuk melihat semula dasar tersebut sama ada ia wajar diteruskan atau tidak.

Katanya, desakan mengenai PPSMI dan permintaan untuk dikaji semula berlaku ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri pada 2004.

Jelasnya, setelah berbincang dengan Menteri Pelajaran pada masa itu (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein), kerajaan memutuskan supaya dasar tersebut diberi kesempatan untuk dilaksanakan dari 2003 hingga 2009.

Kerajaan jelas beliau, terpaksa meneruskan dasar itu berikutan tidak mahu pelajar terganggu dan seterusnya menjejaskan pembelajaran pelajar.

Abdullah berkata, selain memartabatkan bahasa Melayu, penggunaan bahasa Inggeris hendaklah ditingkatkan lagi dan rakyat harus menguasai kedua-dua bahasa itu.

"Saya yakin, dasar baru ini akan memantapkan lagi pembelajaran para pelajar dan mereka juga akan lebih mudah menguasai kedua-dua bahasa itu tanpa ada sebarang masalah pada masa depan terutama untuk ke universiti," katanya.

Sementara itu, ditanya pandangannya mengenai pencapaian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selama 100 hari memimpin negara, Abdullah berkata, beliau berjaya mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.

Beliau juga yakin segala dasar yang dilaksanakan Najib termasuk berkaitan ekonomi akan diterima oleh rakyat.

"Najib merupakan individu yang saya pilih untuk memimpin negara, beliau mampu dan dapat menjalankan tugasnya dengan baik. Beliau semakin menjadi perhatian rakyat," katanya.

- UTUSAN

Ahad, Julai 05, 2009

Liberalisasi: Abdullah puji langkah Najib

Tun Abdullah Ahmad Badawi memuji tindakan berani Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan dasar liberalisasi ekonomi bagi membawa kebaikan kepada negara.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, apa yang paling penting, pendekatan tersebut tidak mengorbankan matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) iaitu meneruskan perjuangan membasmi kemiskinan.

''Selain itu, penyusunan masyarakat mesti terus dijadikan matlamat kerana niat dan tujuan di sebaliknya ialah untuk mengimbangi kedudukan dan kemajuan semua kaum yang ada dalam negara kita supaya tidak ada kaum yang diketepi dan dilupakan.

''Kita mahu apa juga tindakan yang kita ambil mesti adil dan saksama. Kita mahu pembangunan yang dibawa kerajaan mesti dinikmati semua rakyat tanpa mengira kaum.

''Sama ada di bandar atau di desa, berada atau pun kurang berada, semuanya berhak untuk menikmati apa jua peluang yang telah diberikan," katanya semasa berucap pada majlis 'Jasamu Dikenang' anjuran Parlimen Pasir Salak di Pulau Datuk Sagor di Kampung Gajah dekat sini hari ini.

Perak merupakan negeri pertama mengadakan majlis bagi menghargai jasa Perdana Menteri kelima itu dalam membangunkan negara.

Hadir sama, isteri Abdullah, Tun Jeanne Abdullah; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abd. Rahman dan dua bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dan Tan Sri Ramli Ngah Talib.

Abdullah berkata, kerajaan negeri Perak adalah kerajaan negeri yang sah kerana mempunyai majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun pelbagai pandangan dilaporkan dalam media.

Oleh itu katanya, Zambry tidak perlu membuang masa melayan kerenah pembangkang yang sentiasa mencetuskan pelbagai peristiwa dan tuduhan untuk mengheret kerajaan negeri dalam persengketaan.

''Menteri Besar ada kuasa dan peranan. Rakyat bukan hendak tengok bagaimana beliau berbalah dan bersilat dengan pembangkang tetapi dengan kedudukannya, Menteri Besar perlu buktikan kerajaan negeri mampu bawa pembangunan kepada negeri ini.

''Utamakan kepentingan rakyat dan jangan buang masa berbalah bersengketa dengan pembangkang, apatah lagi sesama parti," katanya.

Program tersebut turut dimeriahkan dengan jamuan rakyat dan persembahan raja pop negara, Jamal Abdillah yang mendendangkan tiga buah lagi termasuk 'Seroja' yang ditujukan khas kepada bekas Perdana Menteri itu.

- UTUSAN

Ahad, Jun 28, 2009

Lebih baik berbincang daripada berdebat - Tun Abdullah

Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini menasihatkan Pas dan Umno supaya menyelesaikan kemelut antara dua parti itu secara perbincangan dan bukan berdebat secara terbuka.

Beliau berkata, pendekatan berdebat itu tidak akan membawa keduadua parti itu ke manamana jika isu atau masalah pokok yang dihadapi masyarakat Melayu dan Islam tidak diselesaikan.

"Tak perlulah pendekatan seperti itu (debat terbuka). Adalah lebih baik keduadua parti itu duduk dan berbincang apa yang menjadi masalah sehingga menimbulkan keadaan tidak senang hati di kalangan orang Melayu.

"Apakah masalah itu ada kaitan dengan agama yang menyebabkan perselisihan faham dan menyebabkan Umno dan Pas bercanggah pendapat dan pendirian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung MCA bahagian Kepala Batas, di sini hari ini.

Menurutnya, orang Melayu boleh bergaduh dan berpecah belah kerana agama dan adalah lebih baik keduadua pihak mewujudkan persefahaman dan tidak berbalah tentang perkara itu lagi supaya keadaan dalam masyarakat Melayu lebih tenang.

Abdullah, yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas, keduadua parti itu perlu menyelesaikan bersama isu penting tentang Melayu dan Islam segera supaya mereka tidak bertelagah lagi mengenainya pada masa akan datang.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengajak Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengadakan debat secara terbuka untuk menyelesaikan kemelut politik antara keduadua parti itu.

Nik Aziz dilapor akan menghantar surat mengenai perkara itu kepada Najib.

Abdulah berkata, Pas dan Umno harus mewujudkan perpaduan demi masa depan Melayu dan agama Islam tetapi ini tidak bermakna mereka tidak boleh berbeza pendapat dan pandangan.

"Apa yang penting ialah mencari jalan penyelesaian berhubung isu Melayu dan agama Islam dan tidak bergaduh tentang perkara ini lagi," katanya.

Ketika ditanya sama ada idea kerajaan perpaduan antara Pas dan Umno perlu diteruskan pada masa akan datang, Abdullah berkata, terpulang kepada Pas dan Umno untuk menentukannya tetapi baginya apa yang penting ialah menangani isu yang wujud di kalangan orang Melayu.

Beliau juga meminta Nik Aziz supaya tidak membuat pelbagai tuduhan yang mengaitkan Umno dengan komunis dan sebagainya kerana ia adalah perbuatan yang tidak baik.

"Dia terlajak cakap tu... tak elok buat tuduhan seumpama itu," katanya.

Di ALOR SETAR, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata perdebatan antara UMNO dan PAS tidak akan membawa sebarang faedah malah beliau menganggapnya sebagai hiburan semata-mata.

Dr Mahathir berkata debat di Malaysia tidak sama dengan debat pemilihan presiden Amerika Syarikat yang banyak memberi faedah kepada rakyat dan negara.

"Di sini, apabila berdebat kita masuk belah kita, dia masuk belah dia walaupun ia salah," katanya kepada pemberita semasa diminta mengulas hasrat Nik Aziz.

Dr Mahathir ditemui selepas menyampaikan ucaptama dan merasmikan mesyuarat agung Persatuan Bekas Wakil Rakyat Kedah (MUBARAK) di sini.

"Perdebatan itu hanya membuang masa dan sebagai hiburan sematamata," katanya dan sambil menambah wakil rakyat dipilih bukan untuk menghiburkan rakyat dengan perdebatan yang tidak memberi makna. Mengenai pilihan raya kecil Manik Urai Julai ini, Dr Mahathir berkata beliau akan turun membantu BN jika diminta oleh parti.

Penamaan calon Dewan Undangan Negeri Manik Urai dijadualkan pada 6 Julai ini dan sekiranya terdapat pertandingan, pembuangan undi ditetapkan pada 14 Julai. "Sekarang siapa sahaja boleh jadi calon. Posmenpun boleh," katanya ketika diminta mengulas pemilihan seorang pemborong ikan oleh PAS sebagai calon parti itu untuk bertanding di Manik Urai.

Ketika menjawab soalan pemberita mengenai cara untuk mengatasi masalah ekonomi sekarang, beliau berkata kerajaan perlu menubuhkan satu badan khas terdiri daripada pakarpakar bidang tertentu termasuk Perdana Menteri yang memberi tumpuan sepenuhnya untuk menyelesaikannya.

"Saya tidak ada jawapan bagi masalah yang melanda sekarang tetapi pada masa krisis kewangan (1997 semasa beliau menjadi Perdana Menteri), saya bermesyuarat setiap hari dan memberikan tumpuan sepenuhnya untuk mengatasi masalah tersebut tetapi sekarang keadaan lebih teruk," katanya.

- BERNAMA

Khamis, Mei 07, 2009

Pak Lah penasihat pembangunan koridor

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pelantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai penasihat pembangunan koridor negara.

Najib mengumumkan demikian dalam ucapan beliau sempena majlis Jasamu Dikenang bagi meraikan persaraan Abdullah sebagai Perdana Menteri kelima di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini malam ini.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah turut berangkat menghadiri majlis itu.

Turut diraikan, isteri Abdullah, Tun Jeanne Abdullah.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Sementara itu, Abdullah dalam ucapannya menyatakan komitmen memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Najib di samping sedia berbakti kepada negara sehingga akhir hayatnya.

"Kerja saya selama ini kepada negara selama 45 tahun, sebagai pegawai kerajaan dan pemimpin adalah ibadah.

"Mana mungkin kerja ibadah perlu dihentikan, sebaliknya ia perlu diteruskan sehingga akhir hayat, walaupun dah tidak pegang jawatan dalam kerajaan," katanya.

Abdullah pada akhir ucapannya juga meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia sekiranya semasa memimpin negara beliau telah melakukan kesilapan.

"Saya minta maaf sekiranya saya telah melakukan kesalahan, saya akui ia adalah kesilapan saya.

"Tetapi percayalah saya langsung tiada niat lain, saya jujur dan ikhlas berkhidmat demi kebaikan agama, negara, bangsa dan rakyat," katanya.

- UTUSAN

Jumaat, April 03, 2009

Dr Asri: Pak Lah pemerintah yang lunak kepada rakyatnya

Terima kasih Pak Lah daripada Dr Mohd Asri

BEKAS Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin dalam kiriman emelnya semalam dari Lampeter, United Kingdom menyifatkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai seorang pemimpin yang berhemah dan banyak menabur jasa sepanjang menjadi Perdana Menteri Malaysia.

"Saya sebagai rakyat Malaysia ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang telah berjasa dalam tempoh beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia.

"Saya mempunyai hubungan baik dengan beliau. Demikian saya juga mempunyai hubungan yang amat baik dengan Tun Mahathir. Tuan Guru Datuk Nik Aziz dan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga agak dekat," kata Dr Asri.

Di sini sebagai seorang muslim yang diperintahkan Allah dan RasulNya agar adil dalam setiap perkara, saya ingin merumuskan beberapa hakikat berikut:

1. Pak Lah semasa menjadi Perdana Menteri banyak dinilai daripada kacamata musuh politiknya yang senantiasa melihat keburukan dan permusuhan. Itulah juga yang pernah berlaku pada Tun Mahathir. Mungkin apabila Pak Lah turun kita akan mendengar yang menghinanya habis-habisan akan menyebut kebaikannya.

Jika kita masih ingat dahulu ketika awal beliau memerintah, beliau dituduh sebagai boneka Tun Mahathir Apabila beliau bercanggah dengan Tun Mahathir beliau dikutuk kerana dikatakan tidak mahu mendengar nasihat orang yang lebih berpengalaman.

Itulah politik Malaysia yang menjadikan permusuhan tonggak kepada kritikan.

2.Pak Lah bukanlah seorang pemerintah yang cukup teguh di sudut nilai al-quwwah yang diperlukan oleh seorang pemimpin di negara seperti Malaysia.

Ketangkasan yang pernah ditunjukkan oleh Tun Mahathir dahulu menjadikan Pak Lah kelihatan jauh ditinggalkan. Namun, kita hendaklah akur Pak Lah adalah seorang pemerintah yang lunak kepada rakyatnya.

Ada nilaian agama dalam jiwanya. Memberi banyak ruang dan nafas kebebasan kepada rakyat, berbudi bahasa dan tidak sukakan permusuhan. Hakikat ini janganlah dilupai.

Pak Lah sebenarnya BAPA PERUBAHAN MALAYSIA kerana banyak perubahan berlaku pada zamannya, samada disengajakan atau tidak.

3. Pak Lah gagal untuk mengubat penyakit partinya yang parah terutama soal politik wang dan rasuah. Beliau bukan tidak mencuba, tetapi tidak cukup berwibawa dan masalah itu begitu tegar.

Kita harapkan usaha-usahanya akan ditingkatkan oleh orang selepasnya jika ada kejujuran.

4. Allah Maha Mengetahui kebaikan dan keburukan seseorang. Di akhirat ditimbang amalan baik dan jahat setiap insan. Sesiapa yang kebaikannya mengatasi-kejahatannya maka dia selamat.

Begitulah sebaliknya. Belum tentu yang memaki hamun itu, lebih baik daripada yang dimaki.

Kita tahu tiada pemimpin yang maksum, namun kita sebagai rakyat mengharapkan agar seseorang pemimpin itu hendaklah unsur kebaikan mendominasi kehidupannya, bukan kejahatan yang menguasainya. Allah lebih mengetahui tentang hamba-hambaNYa.

Akhirnya, terima kasih Paklah, maaf`jika ada bicara dan kritikan yang melampau selama ini..

- MSTAR

Komen tentang Pak Lah

Pak Lah tidak ada dua karakter – Jeanne

Kali pertama bertemu Datin Seri Jeanne Abdullah ialah kira-kira dua tahun lalu. Waktu itu baru lebih kurang lima bulan beliau menjadi suri hati Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sekali gus menggalas gelaran wanita pertama negara.

Dan petang 25 Mac lalu sekali lagi ‘tertulis’ bahawa kami dipertemukan semula. Berbanding ketika pertemuan pertama dulu di mana beliau anggun dengan kurung batik rona biru firus, kali ini kemunculannya santai dengan seluar coklat lembut dan blaus merah jambu polos serta selendang rona senada.

Penampilannya begitu sederhana dengan solekan nipis menyerlahkan kecantikan semula jadinya dan tanpa sarat aksesori sekadar sepasang subang mutiara terlindung di sebalik selendang.

Apa yang pasti wanita yang berada di depan penulis sekarang ini tidak ada bezanya dengan yang penulis temui dua tahun lalu. Senyuman dan tutur katanya tetap manis dan lembut seperti dulu. Penuh dengan naluri keibuan dan nampak ada keikhlasan yang mendalam pada setiap butir kata-katanya.

Kalau ada yang berbeza pun penulis lihat beliau nampak semakin yakin dengan setiap lontaran kata-katanya berbanding dulu masih agak kekok dan malu-malu mungkin kerana belum biasa.

Lagipun pertemuan kali ini lebih privasi dengan kehadiran cuma lima wartawan dari akhbar Utusan Malaysia, Kosmo dan Majalah Harmoni, selain seorang dari News Straits Times.

Suasana dalam bilik tetamu di kediaman Perdana Menteri sepanjang temuramah berlangsung juga cukup santai dan relak sebagaimana yang dimahukan sendiri oleh Jeanne.

Walaupun menyedari kami ghairah untuk bertanyakan tentang kehidupannya di sisi Perdana Menteri dan perasaannya menjelang hari-hari terakhir sebagai wanita pertama, beliau lebih senang memulakan perbualan dengan menjawab soalan tentang Kebun Ramuannya.

Kebun yang ‘dihuni’ lebih 130 spesies herba dan ulam-ulaman yang terletak hanya beberapa meter dari pintu masuk kediaman Perdana Menteri dalam perkarangan Sri Perdana itu, menjadi ‘lokasi’ terbaru pasangan suami isteri itu menghabiskan masa bersama apabila ada waktu senggang.

Kini sebut saja kegunaan atau khasiat tanaman-tanaman di situ semuanya diketahui termasuk spesis yang mungkin jarang diketahui. Misalnya, ulam Jaruh Tujuh Bilah yang menurut Jeanne amat berkhasiat untuk merawat kanser, manakala Jeanne mengakui kedudukan sebagai wanita pertama membuka peluang kepadanya untuk melakukan semua itu.

“Tapi kalau bukan bergelar wanita pertama pun saya tetap melakukan perkara yang sama tetapi mungkin pada skala yang lebih kecil. Saya akan sentiasa mencari masa untuk menanam pokok walaupun ruangnya hanya sebesar meja,” katanya. Bahkan, daripada minat bercucuk-tanam telah mencambahkan idea kepada Jeanne untuk memperkenalkan projek Hutan Kita di Bukit Kiara. Projek menanam semula pokok itu bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya memelihara kehijauan.

Abang saya patuh dan penyabar - Ibrahim

Kesempatan bertemu Datuk Ibrahim Ahmad Badawi tidak lama dulu mengingatkan kepada jenaka adik Perdana Menteri kelima itu dengan salah seorang adiknya ketika di bangku sekolah.

Menurut Ibrahim, beliau berkata pada abangnya: ''Saya hendak menjadi jurutera," dan lantas dijawab oleh Abdullah:

"Kalau engkau membuat jalan, saya akan buka (merasmikan) jalan tersebut."

Ibrahim, sentiasa mengingati saat itu kerana untuk tempoh lima tahun Abdullah merealisasikan kata-katanya dengan merasmikan banyak projek pembangunan negara.

Ibrahim juga tidak akan melupakan tindakan abangnya itu yang sering menjadi pelindung kepada beliau.

"Semasa kecil, beliau (Abdullah) sangat aktif dalam pengakap. Satu ketika saya dan beberapa rakan bermain-main bersamanya di sungai.

"Tiba-tiba salah seorang rakan cuba membenamkan kepala saya ke dalam sungai dan apabila diketahui oleh beliau mengenai kejadian itu, abang saya menyergah rakan tersebut," kata Ibrahim.

Bagaimanapun, dua sifat penting yang paling berharga dalam diri abangnya ialah patuh kepada cakap ibu mereka dan penyabar.

Menurut Ibrahim, abangnya pernah satu ketika ditegah oleh ibu mereka keluar rumah menunggang basikal kerana hari telah petang.

Abdullah tetap degil dan mengayuh basikal pada waktu itu. Malangnya, Abdullah terlibat dengan kemalangan apabila kakinya tersangkut pada brek basikal, menyebabkannya cedera.

"Selepas itu abang saya cukup patuh kepada cakap ibu," katanya.

Abdullah merupakan anak sulung daripada empat beradik. Selain Ibrahim, dua lagi adiknya ialah Aminah dan Mohd. Tahir.

"Abang saya cukup penyayang," kata Ibrahim sambil menambah sifat itu masih ada pada abangnya sehingga ke hari ini.

Kepatuhan Abdullah mengikut setiap cakap ibu mereka sebenarnya telah menjadi prinsip hidupnya.

Ini kerana ibu mereka selalu berpesan supaya tidak menyusahkan orang lain.

Pegangan agama yang kuat di kalangan mereka juga menjadi penyebab mengapa Abdullah dianggap 'Mr. Clean'.

Ini mungkin mengikut jejak bapa mereka, Ahmad Badawi yang walaupun rapat dengan Allahyarham Tun Sardon Jubir (bekas Gabenor Pulau Pinang), tetapi tidak pernah mengambil kesempatan memohon sesuatu untuk kepen-tingan diri.

Seperkara lagi ialah Abdullah, menurut Ibrahim akan bertanya mengenai kelayakan seorang, sekiranya mereka memohon sesuatu dari kerajaan.

Ini bagi memastikan orang layak benar-benar diberikan kelulusan apa yang mereka minta.

Sifat penyabar Abdullah juga terserlah semasa beliau tidak berada dalam Kabinet selepas peristiwa hitam UMNO diharamkan pada 1988. Ketika itu, ramai rakan Abdullah juga tersingkir dan terpencil.

"Beliau sangat sabar. Lihat sahaja ketika orang lain mengata benda tidak baik mengenai dirinya, beliau tidak bertindak balas," katanya.

Abdullah punyai pekerti mulia - Rakan sekolah

Kunjungan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam (HSBM) baru-baru ini mengimbau kembali kenangan dua rakannya yang pernah belajar di dalam kelas yang sama dengan Perdana Menteri.

Menurut rakan sekelas Perdana Menteri, G. Rethinasamy, 70, perwatakan Abdullah tidak pernah berubah walaupun selepas sekian lama meninggalkan bangku sekolah dan bergelar Perdana Menteri.

"Abdullah tidak pernah berubah. Beliau sentiasa merendah diri dan hatinya begitu mulia. Saya belajar di dalam kelas yang sama dengan Perdana Menteri sejak tahun 1953 sehingga 1957 di HSBM.

"Apabila tamat tingkatan lima, kami sama-sama menyambung pelajaran ke tingkatan enam di Sekolah Menengah Lelaki Methodist Pulau Pinang," katanya.

Bagi menguatkan lagi pengalaman peribadinya sebagai rakan Perdana Menteri, Rethinasamy menceritakan sikap Abdullah yang menghargai rakan-rakan lamanya.

Menurutnya, jika Abdullah sedang bermesyuarat dan ternampak dia melintas, beliau akan mengangkat tangan sambil memberi isyarat supaya menunggunya selesai bermesyuarat.

Kata Rethinasamy, kenangan manis ketika beliau bersama Perdana Menteri adalah ketika sama-sama menaiki bas untuk ke sekolah.

Bekas peguam itu berkata, Abdullah akan menaiki bas awam dari Kepala Batas, manakala beliau pula dari Tasek Gelugor dan kedua-dua mereka akan bertemu di Simpang Keling.

"Saban hari kami akan menaiki bas yang sama dan bertemu di Simpang Keling.

"Waktu sukar yang pernah kami lalui sepanjang menimba ilmu di sekolah ialah apabila kami daripada jurusan sastera tidak menjadi pelajar kesukaan guru berbanding pelajar jurusan sains," katanya sambil ketawa.

Namun begitu, katanya, sikap Abdullah yang tidak banyak bercakap tetapi tekun dalam pelajaran menjadikannya seorang pelajar yang sentiasa akur dengan peraturan sekolah.

Secara peribadi, Rethinasamy berkata, Abdullah adalah seorang insan yang terlalu baik untuk memasuki politik kerana 'dunia politik bukanlah semulia' yang digambarkan.

Seorang lagi rakan sekolah Perdana Menteri, Datuk M. Kuppan berkata, mereka mula berkawan sejak darjah satu iaitu ketika masing-masing berusia tujuh tahun.

"Jika ditoleh kembali zaman kanak-kanak kami, perjalanannya amat panjang. Sejak darjah satu, kami belajar dalam kelas yang sama sehinggalah menamatkan tingkatan lima kami di HSBM pada tahun 1957," katanya.

Beliau berkata, apabila Abdullah menceburi politik, dia tidak begitu menyenanginya kerana Perdana Menteri adalah seorang yang amat baik, kuat pegangan agama dan ikhlas dalam setiap apa yang dilakukannya.

Justeru, beliau sedih apabila segala usaha yang dilakukan oleh Perdana Menteri untuk membangunkan rakyat dan negara mendapat kecaman daripada orang politik.

"Abdullah telah berjasa kepada negara sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri dan itu tidak boleh disangkal.

"Oleh itu, apabila beliau membuat sesuatu keputusan politik, ia adalah untuk kepentingan rakyat Malaysia," katanya.

Menurut Kuppan, ketika di zaman persekolahan, rakannya itu sangat berdisiplin, seorang pelajar yang bagus dan kebanyakan guru di sekolah amat menyayangi Abdullah.

Beliau menyifatkan Abdullah sebagai seorang insan yang akan menyelesaikan masalah dan menyedari dalam dunia politik, tidak ada 'rakan' ataupun 'musuh' yang kekal.

- UTUSAN

Menghargai legasi Pak Lah


Oleh ZIN MAHMUD

Ketika duduk berdepan dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sementara menunggu sidang akhbarnya bermula di Jakarta sempena Forum Ekonomi Islam (WIFE) pada 3 Mac lalu, tiba-tiba perasaan penulis berasa sayu kerana menyedari bahawa beliau akan mengakhiri jawatannya sebagai Presiden UMNO, Pengerusi Barisan Nasional dan Perdana Menteri dalam masa tiga minggu lagi.

Pak Lah ketika itu berwajah serius merenung pemberita yang hadir dan ketika beliau melirik pada penulis, terdetik dalam benak betapa pada tahun 2004, Perdana Menteri inilah yang memperoleh sokongan terbesar rakyat Malaysia dalam sejarah dengan harapan tinggi supaya membawa negara mencapai cemerlang, gemilang dan terbilang.

Walaupun ketika slogan 'Cemerlang, Gemilang dan Terbilang' diisytiharkan menjelang pilihan raya ke-11, penulis berasa gementar di hati betapa perkataan-perkataan ini terlalu besar untuk digunakan sebagai laungan perjuangan dan bimbang akhirnya ia akan mengecewakan orang ramai.

Tentunya sebagai wartawan Utusan Malaysia, penulis turut terlibat dengan kempen pilihan raya umum itu selaku Pengarang Rencana untuk membantu kemenangan BN pimpinan Pak Lah.

Kejatuhan kerajaan Pas Terengganu serta juga hampir tumbangnya kerajaan Pas Kelantan Baru, dan lebih penting lagi melumpuhkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hingga membawa perpecahan dalaman parti itu adalah ekoran pilihan raya 2004.

Tetapi bukan itu saja, penulis juga mempertahankan dan berusaha untuk meyakinkan rakyat terhadap polisi-polisi kerajaan BN dari tahun 1999 hingga 2007. iaitu satu tempoh di mana Pak Lah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri.

Walaupun dari tahun 1999 hingga 2003, Malaysia masih berada dalam era Tun Dr. Mahathir Mohamad, tetapi ia merupakan tahun-tahun akhir pentadbirannya dan dari sisi lain, ia merupakan tempoh persediaan bagi Malaysia untuk memasuki era pasca-Mahathir di bawah kepimpinan Pak lah.

Sebelum beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998, penulis percaya tidak ada sesiapa pun di kalangan penganalisis politik yang meramalkan bahawa Abdullah Ahmad Badawi akan menjadi Perdana Menteri kelima, dan bukannya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tetapi begitu juga, selepas lima tahun memegang jawatan paling berkuasa di Malaysia, adalah juga tidak disangka beliau akan mengakhiri kerjaya politiknya yang menjangkau 30 tahun. Kerjaya politik beliau bermula pada tahun 1977 apabila beliau mengetuai Bahagian UMNO Kepala batas dan Seberang Perai menggantikan bapanya, Ahmad Badawi yang meninggal dunia.

Pertama kali penulis berjumpa dengan Pak Lah ialah pada tahun 1981, ketika itu beliau adalah Timbalan Menteri di Kementerian Wilayah Persekutuan. Sebagai aktivis Angkatan Mahasiswa Dinamik (AMD) berpeluang menghadiri satu majlis berbuka puasa dan dialog dengan Dr Mahathir di kediamannya, ketika itu masih Timbalan Perdana Menteri. Selain Pak Lah, yang turut hadir ialah Datuk Seri Sanusi Junid.

Ia merupakan zaman di mana Dr. Mahathir bersama pasukannya yang terdiri daripada Tun Musa Hitam, Pak Lah dan Sanusi sedang bersiap sedia untuk mentadbir negara bagi menggantikan generasi Tun Hussein Onn.

Selepas daripada itu, perjumpaan dengan Pak Lah berlaku lagi tetapi melalui kursus Biro Tata Negara (BTN) dan beliau menyemai fahaman dan kesedaran berhubung perjuangan membela nasib bangsa dan peranan anak-anak Melayu untuk berjaya dalam bidang pendidikan, kerjaya dan politik.

Maka selepas menjadi pemberita Utusan Malaysia bermula tahun 1982, lebih keraplah penulis dapat bertemu Pak Lah yang ketika itu menjadi Menteri Pelajaran. Dalam siding-sidang akhbarnya tumpuan beliau adalah kepada soal pendidikan dalam bentuk nasional, lebih-lebih lagi ketika itu isu Universiti Merdeka sedang hangat dibincangkan dengan tuntutan untuk membina institusi pengajian tinggi swasta berbahasa Mandarin. Sikap Pak Lah dalam isu ini adalah tegas mempertahankan aspirasi pendidikan nasional.

Seperkara lagi, apa yang penulis ingat semasa beliau menjadi Menteri Pelajaran ialah perasmian Pesta Buku yang pertama diadakan di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya dan selanjutnya penggubalan Dasar Buku Negara.

Ketika Dr. Mahathir berdepan dengan cabaran Tengku Razaleigh dalam politik, pasukan beliau adalah jelas, Musa, Sanusi dan Pak Lah adalah sealiran. Tetapi perpecahan pasukan ini mula kelihatan apabila Musa meletakkan jawatan dan munculnya apa yang disebut sebagai 'orang Mahathir' dan 'orang Musa'. Pak Lah didapati berada di pihak 'orang Musa'.

Maka ketika berlaku kemelut ini, sememangnya Pak Lah juga menjadi tumpuan para pemberita untuk mendapatkan komennya mengenai politik UMNO. Ketika masih menjadi Menteri Pelajaran, beliau bagaimanapun mengelak sebarang komen politik. Katanya kepada pemberita, beliau mahu tumpukan perhatian kepada soal pendidikan dan tidak mahu isu politik parti mengganggu perhatiannya.

Pak Lah kemudian ditukarkan ke Kementerian Pertahanan dengan hanya setahun memegang portfolio itu iaitu dari tahun 1986 hingga 1987. Beliau terus menjalankan tugas seperti biasa. Tetapi tempoh beliau sebagai Menteri Pertahanan adalah lagi pendek, tidak sampai setahun. Pada satu hari ketika penulis diminta menemuinya di pejabatnya di Mindef, Jalan Padang Tembak, setelah menunggu beberapa jam, penulis diminta pulang saja kerana rupa-rupanya pada hari itu beliau digugurkan daripada Kabinet.

Selama tiga tahun beliau tidak memegang jawatan Kabinet. Namun penulis dapat tahu di luar terdapat penyokong-penyokongnya. Antaranya ada yang bersuaha untuk menerbitkan akhbar bagi menampung suara Pak lah. Antaranya Mingguan Nasional yang hanya dapat terbit untuk beberapa bulan. Begitu juga dengan Mingguan Ekspres, untuk beberapa minggu. Tetapi yang agak lama ialah Harian Watan yang pada awalnya diterbitkan semula dengan wajah baru dikatakan bertujuan untuk menyokong Pak Lah.

Usaha penyokong-penyokong Pak Lah itu gagal apabila beliau kalah untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 1993.

Namun begitu, Dr. Mahathir tetap melantik beliau sebagai Menteri Luar yang dipegang sejak tahun 1990 ekoran kemenangannya sebagai Naib Presiden. Beliau menjadi Menteri Luar selama sembilan tahun dengan berjaya kembali memperoleh jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 1996.

Maka ketika berlaku krisis Dr. Mahathir dan Anwar, Pak Lah sudah bersedia untuk dipilih oleh Perdana Menteri bagi menjadi timbalannya. Sebagai timbalan, beliau berperanan setia dan baik hinggakan peralihan kuasa daripada Dr. Mahathir ke Pak Lah bukan saja berjalan lancar tetapi disambut baik oleh rakyat.

Ini terbukti dengan kemenangan besar BN pada tahun 2004 dan antara gambar yang dijadikan bahan publisit di papan tanda ialah penyerahan jawatan oleh Dr. Mahathir kepada Pak Lah.

Tetapi permulaan pentadbiran Pak lah pula ditandai dengan usaha perpaduan di kalangan kumpulan-kumpulan dalam UMNO. Melihat Kabinet besar Pak Lah, dapat disaksikan betapa beliau berusaha untuk mengajak lebih banyak aliran menyertai dan mendokong pentadbirannya.

''Mari bekerja bersama saya," adalah laungan yang bijaksana. Bukan saja gaya kepimpinannya berbeza daripada Dr. Mahathir, tetapi pendekatannya merupakan satu pembaharuan, ia bersifat terbuka, kesepakatan dan tidak konfrontasional.

Falsafah hidupnya boleh dirumuskan kepada puisi ''Mencari Damai Abadi'', maknanya kepentingannya hanya terletak pada sesuatu jauh lebih tinggi daripada soal kebendaan atau kemasyhuran peribadi.

Sememangnya itu yang diharapkan banyak orang selepas melalui zaman yang penuh bergelora selama 22 tahun pentadbiran Dr. Mahathir.

Namun begitu, dari segi legasi Pak Lah, ada empat perkara yang wajar dihargai dan telah memberi isi kepada Malaysia pasca Mahathir.

Pertama, proses pembaharuan politik; Kedua, Islam Hadhari: Ketiga, pertanian berteknologi dan keempat, koridor pembangunan. Banyak pihak yang mengulas sinis terhadap legasi ini, baik di kalangan pembangkang mahupun penyokong kerajaan yang tidak menyukai Pak Lah.

Keterbukaan politik yang diperkenalkan oleh Pak Lah ini dapat disaksikan melalui pembaharuan yang dilakukan baik terhadap badan kehakiman, polis, keterbukaan media (dalam perkara-perkara tertentu), penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri dengan cara berbeza, walaupun masih ada ruang untuk diperbaiki tetapi telah dimulakan sebagai perintis.

Maka Pak Lah sudah merintis jalan ke arah pembaharuan politik yang pasti terus bergerak pada masa-masa depan. Walaupun ia belum sempurna kerana tempoh pentadbiran yang singkat, tetapi ia menyediakan tapak kepada perubahan-perubahan yang akan berlaku.

- UTUSAN

Khamis, April 02, 2009

5 tahun 5 bulan penuh cabaran


Berakhirnya bulan Mac 2009 menyaksikan detik peralihan kuasa di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak. Sepanjang tempoh pemerintahan Abdullah dari 31 Oktober 2003 sehingga 2 April 2009, apakah kenangan manis dan pahit yang dilalui oleh beliau yang lebih popular dipanggil Pak Lah? Ikuti laporan ini.

Sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelima, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah melakar jejak sejarah tersendiri sepanjang tempoh lima tahun, lima bulan dan tiga hari memimpin negara. Meniti kehidupan berpolitik beliau yang penuh ranjau, onak dan duri termasuk meratapi detik kehilangan isteri kesayangan, Datin Seri Endon Mahmood pada 20 Oktober 2005, era kegemilangan dan kegoyahan Abdullah telah tertulis dalam takdir hidupnya sebagai Perdana Menteri.

Sejak menyandang jawatan No. 1 negara pada 31 Oktober 2003, Abdullah atau Pak Lah telah menyaksikan dan melaksanakan pelbagai misi dan polisi yang mencorakkan sebuah negara yang berdaya saing. Beliau yang sering kali disifatkan sebagai seorang yang berwatak sederhana dan berjiwa rakyat pernah menegaskan dalam ucapan sulungnya pada 3 November 2003. Katanya dalam ucapan itu: "Segala dasar yang dipelopori oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysia keempat akan diteruskan. Tidak satu pun akan dibuang atau diubah."

Katanya, Wawasan 2020 akan terus menjadi inspirasi memacu pembangunan secara komprehensif bagi mencapai tahap negara maju.

Biarpun visi Wawasan 2020 masih lagi jauh di kaki langit, beberapa tindakan dan keputusan yang diambil Pak Lah didapati tidak selari dengan komitmennya kepada dasar Dr. Mahathir.

Namun begitu, tidak adil sekiranya Abdullah dipersalahkan sepenuhnya terhadap segala rentetan peristiwa yang berlaku sepanjang tempoh pemerintahannya. Perubahan dasar ekonomi negara, kekalutan politik dan keperluan untuk membawa perubahan semasa bagi manfaat penduduk sedikit sebanyak mempengaruhi era pemerintahannya.

Ia tidak dapat dielakkan kerana politik dan pemerintahan adalah dinamik sifatnya dan Pak Lah ialah seorang yang pragmatik.

Kenangan manis

Bagaimanapun, Abdullah mempunyai kenangan yang paling manis dalam tempoh lima tahun lalu. Kenangan itu ialah kemenangan terbesar Barisan Nasional yang dipimpinnya dalam pilihan raya umum ke-11 pada tahun 2004. Dilabelkan sebagai kemenangan 'durian runtuh', komponen parti pimpinannya, Barisan Nasional (BN), berjaya memperoleh 198 kerusi Parlimen daripada 220 kerusi yang dipertandingkan.

Malah, di bawah kuasa politik Abdullah juga, negeri Terengganu yang jatuh ke tangan kerajaan pimpinan parti pembangkang Pas pada pilihan raya ke-10 pada tahun 1999, berjaya dikembalikan semula kepada kerajaan negeri pimpinan UMNO. Begitu juga di Kelantan. Walaupun gagal membentuk kerajaan negeri, namun kejayaan tipis parti pembangkang dalam pilihan raya itu memberi tamparan hebat kepada Pas Kelantan.

Di bawah pimpinan Abdullah, sektor pertanian yang sekian lama dilupakan mula diberi perhatian serius. Sebagai seorang anak kampung, Abdullah menyedari sektor itu perlu menerima suntikan baru memandangkan Malaysia mempunyai keluasan tanah yang mencukupi untuk menggerakkan pertanian moden yang bernilai komersial.

Justeru, pada tahun 2005, Abdullah meluluskan rangka pelan tindakan tahun 2006 untuk industri kecil dan sederhana (IKS). Pelan itu mengandungi peruntukan sebanyak RM3.2 bilion bagi melaksanakan program-program meningkatkan keupayaan pengusaha IKS. Mengikut statistik, sebanyak 15 peratus daripada jumlah tenaga kerja di Malaysia terdiri daripada pengusaha IKS yang menyumbang 38 peratus kepada pembangunan ekonomi negara. Pastinya ini juga akan menjadi kenangan berharga buat Abdullah kerana di bawah pimpinannya, sektor pertanian mula bangkit menjana ekonomi negara.

Sebagai sebuah negara yang pesat membangun di dunia, masalah rasuah tetap wujud dan lebih menakutkan apabila Malaysia disenaraikan di tangga ke-37 daripada 133 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah Ketelusan Antarabangsa pada tahun 2003. Sebaik sahaja memegang tampuk kuasa, Abdullah berusaha membanteras rasuah dan hasilnya, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM17 juta untuk menubuhkan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia. Akademi yang pertama di rantau ini beroperasi selama kira-kira tiga tahun sebelum dilancarkan secara rasmi pada 12 April 2007. Buah tangan Abdullah ini diharap dapat meningkatkan kepakaran dan kemahiran rakyat Malaysia dalam bidang penyiasatan rasuah.

Azam Perdana Menteri untuk memerangi rasuah secara lebih efektif dan penuh komitmen yang jitu dibuktikan lagi melalui penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 1 Januari lalu. SPRM beroperasi bagi menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang berusia 41 tahun. Selain itu, Abdullah turut memperkasa pasukan polis dengan menubuhkan suruhanjaya membaik pulih imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Isu transparensi dan kebebasan badan kehakiman negara menerima sesuatu yang tidak disangka di bawah pemerintahan Abdullah. Beliau menambah baik sistem pelantikan hakim-hakim. Salah satu pendekatan terbesar yang diambilnya adalah membayar ex-gratia kepada enam bekas hakim yang dipecat daripada jawatan kira-kira 20 tahun lalu kerana terlibat dalam krisis badan kehakiman. Mungkin bagi sesetengah orang, pendekatan itu tidak perlu tetapi ia hakikatnya membuktikan bahawa Pak Lah berusaha memulihkan imej badan kehakiman negara yang terjejas ekoran daripada beberapa peristiwa yang berlaku dalam tempoh tersebut.

Apa yang pasti, pembebasan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara sedikit sebanyak mengukuhkan kedudukan Abdullah yang dipuji kerana tidak mengawal dan mengongkong badan kehakiman. Anwar dibebaskan pada 2 September 2004 setelah Mahkamah Persekutuan yang menimbang rayuannya, membatalkan sabitan dan hukuman berhubung kes liwat. Anwar bagaimanapun kemudian menjadi seteru politik Abdullah sebelum kembali ke Parlimen sebagai Ketua Pembangkang pada Ogos 2008.

Kenangan pahit

Tentu sahaja kekalahan teruk kerajaan pimpinan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac 2008 sehingga kehilangan empat negeri (Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor) menjadi kenangan paling pahit dalam sejarah pimpinan Abdullah.

Natijah daripada kekalahan itu, kredibiliti Abdullah sebagai pemimpin No 1. negara mula dipersoalkan. Antara tamparan hebat yang terpaksa ditelannya adalah munculnya suara-suara yang tidak berpuas hati dengan gaya kepimpinannya yang dikatakan tidak tegas dan mengikut telunjuk pihak tertentu.

Tuduhan yang diterima itu merupakan cabaran terhebat dalam kerjaya politik Abdullah. Pelbagai tuduhan tidak berasas terpaksa dihadapinya.

Abdullah merupakan seorang yang percaya kepada tradisi politik. Seperti juga Perdana Menteri Malaysia sebelum beliau daripada Tunku Abdul Rahman, Hussein Onn dan Dr. Mahathir, Pak Lah akhirnya mencontohi bekas pemimpin sebelumnya itu untuk menyediakan negara suatu peralihan kuasa yang licin.

Beliau memilih untuk melepaskan kuasa sebagai Perdana Menteri kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan anak sulung kepada mentornya dalam politik, iaitu Allahyarham Tun Razak, Perdana Menteri kedua.

- KOSMO!

Isnin, Mac 30, 2009

Mahathir-Abdullah berdamai...


Perhimpunan agung Umno kali ini merakam sejarah apabila Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersalaman di atas pentas.

Sebelum itu, Dr Mahathir membuat kejutan apabila muncul di dewan persidangan pada jam 12.29 tengahari tadi ketika majlis penggulungan ucapan sedang berlangsung.

Ketibaan Dr Mahathir dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali disambut tepukan gemuruh para perwakilan yang turut bangun memberi hormat kepada kedua-dua tokoh tersebut.

Timbalan Presiden Umno yang baru, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang ketika itu sedang menyampai ucapan penggulungannya, berkata kehadiran Dr Mahathir itu menandakan mantan perdana menteri mengiktiraf kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Manakala Abdullah pula, dalam ucapan penggulungannya berkata, beliau telah memaafkan semua pihak yang tidak senang dengannya.

Katanya, beliau juga memaafkan Muhyiddin jika menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu beranggapan telah melakukan perkara tidak baik.

Walaupun tidak menyebut nama-nama yang lain, Dr Mahathir memang diketahui amat lantang mengkritik pentadbiran Abdullah selama ini.

Naik ke pentas

Manakala Najib dalam ucapan menerima jawatan presiden Umno, menyuarakan hasrat ahli parti untuk melihat kedua-dua tokoh tersebut berbaik-baik dan menjadi teladan kepada mereka.

Selepas selesai majlis penggulungan tersebut, Dr Mahathir kemudian berjumpa dan berpelukan dengan Najib sebelum melangkah naik ke pentas dan menemui Abdullah.

Kedua-duanya kemudian bersalaman di atas pentas di tengah-tengah tempukan gemuruh pada perwakilan.

Dr Mahathir juga kemudiannya mengesahkan kepada pemberita bahawa beliau akan menyertai Umno semula.

Sebelum itu, Najib berharap dapat bersama kedua-dua negarawan tersebut demi kepentingan negara dan parti itu.

"Harapan saya agar dapat bersama dua negarawan tersebut - Abdullah dan Dr Mahathir - bagi membincangkan masalah serta masa depan parti dan negara.

"Walaupun pertemuan pertama mungkin kekok sedikit, tetapi lama-lama kemesraan akan terjalin.

Rapatkan barisan

"Yang penting bukan kepentingan diri, yang penting Umno dan negara kita. Insya Allah, jika negarawan kita menunjukkan teladan yang baik, kita akan berjaya merapatkan barisan kita.

"Yang di bawah ini akan ikut bersama. Mereka akan mendapat inspirasi daripada negarawan kita," katanya dalam ucapan lantang dan berapi-api.

Beliau juga menyeru kedua-dua pihak jangan mengkritik secara terbuka, sebaliknya menyelesaikan sesuatu perkara secara dalaman.

"Apabila ahli setia kepada pemimpin, pemimpin yang bersara juga perlu setia kepada parti yang pernah berjasa kepada kita. Ini merupakan kehendak perwakilan Umno," katanya yang mendapat sorakan dan tepukan daripada perwakilan.

"Hari ini Tun Dr Mahathir hadir bersama-sama kita. Saya cuba tafsir kehadiran beliau. Saya percaya dalam hati kecil beliau, darah beliau adalah darah Umno," katanya.

- MALAYSIAKINI

Jumaat, Mac 27, 2009

Komentar - Amanat Abdullah mengingatkan hidup mati UMNO

Ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang bertajuk "Masa Depan dan Survival Parti" boleh dianggap amanat terakhir beliau sebelum berundur daripada kepimpinan UMNO.

Amanat itu bukan sahaja patut menginsafkan diri Abdullah tetapi juga lebih 3.46 juta ahli UMNO.

UMNO yang akan menyambut usia 63 tahun pada Mei depan sedang berhadapan dengan persepsi dan keyakinan rakyat yang sudah berubah.

Masalah salah tafsir dan persepsi negatif ini ditokok tambah dengan taktik pakatan pembangkang yang melonggokkan kesalahan dan beban masalah rakyat ke atas bahu UMNO.

Kritikan dan pendedahan mengenai kelemahan parti orang Melayu ini juga bagaikan diberi bola tanggung oleh sikap segelintir pemimpin UMNO sendiri untuk dilibas atau dihentam habis-habisan oleh rakyat.

Teguran Abdullah mengenai semangat berkorban, semangat berjuang, semangat berkhidmat untuk bangsa dan negara dalam kalangan orang UMNO semakin tipis dan lemah, ada kebenarannya.

Semua kesan tindak-tanduk itu dapat dilihat terhadap pentadbiran Abdullah dan prestasi UMNO pada Pilihan Raya Umum 2008 dan juga pada dua pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.

Hakikatnya sebelum menyerahkan tampuk kuasa kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, Abdullah mengulas sebab-sebab terhakisnya kepercayaan rakyat terhadap UMNO.

Terdapat lima kelemahan dalam parti itu. Faktor dalaman itu ialah pemimpin UMNO tidak lagi akrab dengan rakyat, kurang memberi tumpuan membantu masyarakat luar bandar yang mana mojoritinya Bumiputera, program politik mendekati generasi muda kurang berkesan, perbalahan merebut jawatan hingga meruntuhkan semangat kekeluargaan UMNO dan sifat mengutamakan kebendaan telah melabelkan UMNO parti korup.

Jika kelemahan tersebut tidak diperbetulkan, kesannya kepada UMNO cukup besar. Sebab itu kesempatan yang ada sekarang sehingga Pilihan Raya Umum Ke-13 iaitu tiga atau empat tahun lagi, UMNO perlu bermuhasabah dan memperbaiki kesilapan sejak akhir-akhir ini.

UMNO patut kembali mengkaji sumbersumber kekuatannya sehingga berjaya memikat hati dan sokongan rakyat sejak pilihan raya 1955 hingga 2004.

UMNO mesti peka dengan masalah dan aspirasi bangsa Melayu, menguatkan kerjasama antara kaum dan mengiktiraf peranan dan hak mereka di negara ini, di samping menyesuaikan diri dengan perubahan sosial dan politik.

Sesungguhnya, UMNO perlu pulihkan imejnya daripada golongan yang menyertai parti semata-mata mengharapkan jawatan dan projek.

Jangan kita cuba mengatakan Presiden UMNO tidak menegur kelemahan parti ini. Abdullah sudah mengingatkan dan menasihatkan pemimpin dan perwakilan bahawa di luar Dewan Merdeka itu, ramai yang berpandangan bahawa jika UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak berubah, maka Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008 merupakan kemenangan terakhir kepada BN menubuhkan kerajaan.

Hakikatnya, mulai sekarang UMNO wajib melakukan perubahan. Abdullah mahu ahli UMNO mulakan tekad dan iltizam menyatakan "Aku akan berubah". Ikrar itu mesti diikuti dengan langkah berani ahli-ahli UMNO sendiri untuk melakukan perubahan dari dalam diri masing-masing.

Ingatlah amanat Abdullah selaku Presiden UMNO keenam. UMNO kini menghadapi persoalan hidup atau mati parti tersebut. Terserah kepada barisan kepimpinan dan juga ahli-ahli UMNO sendiri sama ada mahu berubah atau rakyat akan mengubah parti yang memerintah negara ini.

- UTUSAN

Teks ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Perhimpunan Agung UMNO 2008

TEKS ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-59 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Alhamdulillah, diangkatkan pujian setinggi-tingginya ke hadrat Allah SWT, kerana dengan rahmat-Nya juga, Perhimpunan Agung UMNO kali ke-59 dapat berlangsung. UMNO insya-Allah akan mencapai usia 63 tahun pada bulan Mei 2009. Jika Allah juga terus meminjamkan usia kepada Abdullah Ahmad Badawi, insya-Allah saya juga akan mencapai usia 70 tahun pada 26 November nanti.

Ketika UMNO ditubuhkan saya adalah seorang anak di sekolah rendah. Keluarga saya, terutama nenda saya, Haji Abdullah Fahim (Allahyarham), ayahanda saya Haji Ahmad Badawi (Allahyarham) dan bonda saya Hajah Khailan binti Hassan (Allahyarhamah) dan ramai lagi ahli keluarga saya terlibat aktif dalam gerakan menubuhkan UMNO.

Saya berpeluang menyaksikan pelbagai pertemuan dan rundingan diadakan, meskipun ketika itu, biji butir perkara yang dibincangkan kurang saya fahami. Begitu banyak sekali pertemuan dan perjumpaan diadakan di rumah nenda saya dan juga di Madrasah Daeratul Maarif al-Wataniah, Kepala Batas.

Saya mewarisi darah daging, barisan pelopor UMNO. Saya berpeluang terdedah dengan perjuangan UMNO sejak dari usia begitu muda, lalu jiwa saya ini diselimutkan dengan ketebalan semangat perjuangan UMNO. Selanjutnya saya memilih menyertai UMNO kerana yakin dengan gagasan suci dan matlamat murni perjuangannya.

Semangat kental yang tertanam di jiwa saya, menghindarkan saya daripada bersifat derhaka kepada UMNO. Menjauhkan saya dari bersifat gunting dalam lipatan kepada UMNO. UMNO tidak pernah saya hina. UMNO tidak pernah saya cerca; jauh sekali daripada meninggalkannya meskipun saya tidak sepi melalui pengalaman pahit, pernah dihina oleh segelintir ahli-ahli UMNO. Bahawa ujian kesetiaan adalah ketika kita menghadapi dugaan, ketika kita melalui era yang payah dan laluan yang susah, ketika kita tidak berjawatan, ketika kita tiada kedudukan.

Saya menyaksikan perjuangan nenda saya, perjuangan ayahanda saya, penglibatan dan pengorbanan bonda saya, serta perjuangan, penglibatan dan pengorbanan barisan seangkatan dengan mereka. Saya menyaksikan ribuan pejuang yang membina ribuan saf perjuangan di dalam UMNO.

Sepanjang penyaksian tersebut, saya dapati kekuatan UMNO itu didukung dan dijulang oleh wira-wira yang tidak bernama dan tidak berjawatan. Mereka yang tulus – mereka yang ikhlas dalam perjuangan. Mereka yang tidak pernah berpeluang sampai ke Dewan Merdeka ini. Mereka yang tidak pernah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Majlis Tertinggi parti.

Mereka yang tidak pernah meminta malah sebaliknya senantiasa memberi. Mereka yang tidak melihat UMNO sebagai saluran untuk memenuhi kepentingan diri dan keuntungan peribadi. Merekalah yang mendukung dan menyokong perjuangan suci. Perjuangan murni UMNO.

Mereka adalah wira-wira bangsa yang yakin akan ketulusan, keikhlasan, kesungguhan dan ketegasan UMNO membela nasib bangsa. Memperjuangkan kemerdekaan tanah air, mengimarahkan Islam, mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu serta memastikan martabat bahasa Melayu dan kebudayaan Melayu. Itulah mereka, wira-wira pejuang UMNO. Merekalah yang terus menyalakan obor perjuangan UMNO, obor perjuangan bangsa.

UMNO telah saya kenali sejak berusia tujuh tahun sehingga saya menjadi seorang muda dan seorang dewasa. UMNO telah saya hayati dan saya pilih sebagai organisasi politik untuk saya sertai dengan sumpah setia, kekal taat kepada perjuangannya; kerana saya kekal dan cekal yakin bahawa UMNO adalah wadah perjuangan yang diasaskan dengan niat suci dan matlamat murni.

UMNO itu berpohonkan perjuangan yang murni, berakarkan perjuangan yang suci. Walau apa pun persepsi dan pendapat pelbagai pihak terhadap UMNO pada hari ini, tidak siapa dapat menafikan bahawa sejak ditubuhkan pada tahun 1946, UMNO telah menabur jasa yang bukan sedikit terhadap negara dan warga Malaysia di pelbagai bidang, merangkumi agama Islam dan ketamadunan bangsa, politik dan keamanan, sosial dan ekonomi. Itulah UMNO parti kesayangan kita.

Dalam 63 tahun usianya, UMNO telah berjaya. UMNO telah berjasa menyatupadukan bangsa, menyalakan semangat nasionalisme Melayu. Mengimarahkan Islam, mengembalikan kedaulatan Raja-Raja Melayu, menjalin persefahaman dan kerjasama antara kaum, merundingkan dan akhirnya mencapai kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan mengembangkannya menjadi Persekutuan Malaysia.

Memelihara keamanan dan ketenteraman negara, menjayakan pembangunan sosial dan ekonomi negara, memakmurkan Malaysia, mewujudkan kelas menengah Melayu, membasmi kemiskinan, merintis pelbagai bentuk kerjasama dalam kalangan negara ASEAN dan memainkan peranan aktif dalam usaha mewujudkan persefahaman dan kesetiakawanan dalam kalangan negara-negara Islam di seluruh dunia.

Untuk sekian lama, jasa dan kejayaan UMNO itu, disedari dan diakui oleh warga di negara ini dan diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. Untuk itu, setiap kali diadakan pilihan raya, sebahagian besar warga, tetap dan terus memberi kepercayaan kepada UMNO, begitu juga kepada parti-parti rakan dalam Barisan Nasional. Di peringkat antarabangsa, kisahkisah kejayaan kita sering dirujuk, dijadikan contoh, dijadikan teladan.

Dalam tempoh 50 tahun lalu, Malaysia telah berjaya berhijrah daripada antara negara termiskin di dunia kepada negara yang diiktiraf sebagai negara yang mencapai taraf pembangunan insan yang tinggi oleh UNDP.

Tenaga kerja asing turut melihat Malaysia sebagai (dengan izin) land of opportunity, tanah bertuah di mana peluang dan rezeki melimpah ruah.

Namun kita juga wajib menyedari bahawa kisah-kisah ceria tentang kejayaan, cerita kegemilangan UMNO, sejak akhir-akhir ini mulai muram. Keputusan pilihan raya umum ke-12 adalah satu peringatan cukup besar. Hari ini, apa yang UMNO lakukan mula dilihat tidak lagi betul. Apa yang UMNO perkatakan tidak lagi dianggap benar.

Malah UMNO, juga Barisan Nasional dijadikan tempat meletakkan kesalahan atau dipersalahkan. Dilabel sebagai punca kepada apa juga kepincangan dan kekecohan, serta sebagai pencetus kepada perbuatan salah moral dan salah laku meskipun berlaku di kalangan anggota parti-parti politik yang menentang UMNO.

Begitu mudah hidup menjadi anggota di dalam pakatan pembangkang. Bagaikan mempunyai lesen besar, bebas melakukan apa juga perbuatan. Bebas menggunakan lidah secara celupar, kerana setiap yang buruk dilonggokkan kesalahannya di atas bahu UMNO untuk memikul bebannya. Saya tidak mengatakan bahawa kesemua ahli UMNO adalah sejernih air di kolam syurga. Saya juga tidak riak untuk mendakwa bahawa setiap ahli UMNO adalah sebersih kain putih dan tidak mempunyai kelemahan.

Namun ahli UMNO juga bukan kotak sampah untuk dilemparkan segala fitnah yang berpunca daripada perbuatan tidak betul dan salah laku orang lain. Tidak munasabah bahawa ahli-ahli dan penyokong parti-parti politik yang menentang kita terdiri daripada orang-orang yang bersih daripada dosa, bebas daripada kesilapan. Tidak mungkin kesemua mereka berjiwa wali bersifat malaikat.

Namun UMNO kini menghadapi ujian kredibiliti yang cukup berat. Mengapakah kita dipersalahkan sampai ke tahap seburuk ini? Mengapakah kita dinilai bagaikan tidak langsung mempunyai kebaikan lagi? Kita menghadapi keadaan terhakis kepercayaan ini disebabkan antaranya oleh beberapa faktor dalaman:

Pertama: Setelah selesa kerana lama berada di tampuk kuasa, sebahagian pemimpin UMNO tidak seakrab dahulu dengan rakyat jelata yang selama hari ini menjadi akar kekuatan UMNO.

Kedua: Tumpuan yang kurang seimbang kepada masyarakat luar bandar dalam keghairahan dan hasrat untuk mencapai status negara maju di peringkat global.

Ketiga: Program-program politik UMNO yang kurang berkesan mendampingi generasi muda, selain daripada apa yang dilaksanakan oleh pelbagai institusi kerajaan.

Keempat: Perbalahan berpanjangan sesama sendiri terutama ketika berebut jawatan di dalam parti telah meruntuhkan semangat kekeluargaan di kalangan ahli.

Kelima: Sifat mengutamakan kebendaan hingga menjadikan sebahagian ahli bersifat tamak, bersifat haloba, lalu memberikan persepsi negatif bahawa UMNO adalah parti yang korup.

Faktor-faktor dalaman tersebut telah memberikan modal besar kepada musuh-musuh UMNO untuk memburukkan UMNO. Ditambah pula dengan sikap dan gelagat watak-watak Melayu tertentu yang mengangkat bola tanggung sehingga memberi ruang seluas-luasnya untuk orang-orang Melayu dan Bumiputera boleh dilibas atau dicerca sewenang-wenangnya.

Akhirnya susulan daripada gerakan tersusun menyerang dan mencalarkan UMNO secara berterusan, minda warga berjaya diracun. Hingga sampai ke tahap warga pada hari ini, tanpa penilaian rasional dan objektif begitu mudah mempercayai dan menerima setiap fitnah yang dilemparkan kepada UMNO.

Sesungguhnya kita wajib mengambil iktibar dari loceng amaran yang berdering kuat, yang menuntut kita untuk bertanya “apa yang tersilap?” atau “kenapa dan bagaimana kita tersilap?” Jawapan spontan saya terhadap persoalan tersebut ialah “Kita telah gagal mengurus kejayaan kita sendiri”. Bahawa, kita terlalu mabuk dilambung ombak kejayaan. Bahawa kita menjadi leka kerana diulit gurindam kejayaan. Bahawa kita merasakan diri kita sudah menjadi terlalu kuat. Bahawa kita lebih mementingkan kedudukan kita di dalam UMNO daripada memikirkan kedudukan UMNO di kalangan warga dan di dalam negara.

Keadaan ini memerlukan kita bermuhasabah. Melihat ke dalam diri, meninjau kembali sumber kekuatan kita selama ini dan memeriksa kelemahan dan kesilapan kita sejak akhir-akhir ini.

Dalam hubungan ini, eloklah kita mengimbas kembali sumber-sumber kekuatan UMNO sejak UMNO ditubuhkan pada tahun 1946. Secara ringkas sumber-sumber kekuatan UMNO itu boleh kita rumuskan seperti berikut:

Pertama: Kepekaan UMNO memahami dan menangani masalah dan aspirasi bangsa Melayu.

Kedua: Keupayaan dan kejayaan UMNO menjalin kerjasama antara kaum serta keterbukaan UMNO mengiktiraf peranan dan kepentingan mereka di negara ini.

Ketiga: Keupayaan UMNO menyelaraskan unsur-unsur tuntutan yang bercanggah.

Keempat: Keupayaan UMNO menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan sosial dan politik.

Kelima: Keupayaan UMNO menyerap tenaga-tenaga sosial dan politik yang baru muncul.

Keenam: Keupayaan UMNO mencari keseimbangan antara yang lama dengan yang baru, antara tradisi dan moderniti, antara lokal dan global. Pada pandangan saya, inilah kekuatan yang ada pada UMNO yang menjadikan parti ini kuat dan terus ada sehingga hari ini. Kita mesti menjadikan UMNO lebih kuat kerana apabila kita kuat, kita akan terus maju.

Bermula dengan slogan “Hidup Melayu”, berpindah kepada “Merdeka”, beralih kepada “Pembangunan” berkisar kepada “Perpaduan” melonjak untuk “Mencapai status negara maju” diperkukuhkan dengan “Misi Nasional”. Begitulah dinamiknya UMNO menyesuaikan perjuangan dengan tuntutan waktu, mengorientasikan haluan dengan peredaran masa.

Keistimewaan luar biasa kita yang menjadi tunjang kekuatan UMNO adalah kejayaan merintis dan mewujudkan formula kerjasama antara kaum yang benar-benar bermakna. Bermula dengan kerjasama UMNO-MCA, diikuti dengan MIC untuk menubuhkan Perikatan yang kemudiannya dikembangkan menjadi Barisan Nasional. Percubaan mewujudkan kerjasama antara kaum seperti yang diolah oleh UMNO turut cuba dilaksanakan melalui Independence of Malaysia Parti (IMP) tetapi gagal. Kemudiannya usaha Parti Negara juga menghadapi kegagalan; diusahakan oleh Malaysian Convention Party, turut menemui kegagalan. Demikian juga kegagalan usaha percantuman Parti Rakyat dan Parti Buruh dengan nama Front Sosialis.

Hari ini peniruan formula kerjasama hak cipta kejayaan UMNO atau salinan foto yang paling hampir adalah usaha yang sedang ditiru oleh pakatan pembangkang, yang masih dalam suasana berbulan madu. Tetapi jiran-jiran memberitahu, sudah pun terdengar bibit-bibit perselisihan.

Bolehlah disimpulkan bahawa rahsia kekuatan dan kejayaan UMNO selama ini adalah kepekaan terhadap perubahan zaman dan kepekaan melakukan adaptasi kepada tuntutan tenaga-tenaga sosial yang baru. Setiap satunya dihadapi dan ditangani oleh UMNO dengan sikap sederhana, melakukan perubahan tanpa melupakan kesinambungan.

Ini telah mewujudkan satu keadaan perseimbangan dinamik yang sekali gus mewujudkan suasana stabil lagi aman, membolehkan negara dan warga berkembang maju. Rahsia kejayaan inilah yang telah dijadikan sasaran serangan bertubi-tubi oleh pihak lawan. Rahsia kejayaan ini yang perlu kita gilap dan kita perbaharui; juga kita perlu bina dimensi baru lalu kita manfaatkan dengan penuh bijaksana.

Jika terlajak ke hilir berkayuh perahu,

Kembalilah kita mudik ke hulu.

Jika terbuntu di hujung jalan,

Kembalilah kita ke pangkal jalan.

Bahawa sebagai insan yang berpegang kepada kalimah tauhid, berpegang kepada Rukun Islam dan Rukun Iman, maka sewajarnyalah kita menghadapi setiap berita gembira, begitu juga ketika menghadapi setiap peristiwa hiba dengan penuh keredaan, dan mentafsirkannya sebagai satu ujian Ilahi untuk memberikan peringatan kepada umat-Nya agar mengambil pengajaran dan mencari kebenaran.

Bahawa terkandung di dalam kitab suci al-Quran, begitu banyak ayat yang mengandungi peringatan Ilahi kepada manusia untuk dijadikan pedoman.

Ayat al-Quran yang bermaksud: “Dan mengapa mereka tidak melihat bahawa Allah meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dia juga yang menyempitkannya. Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan yang membuktikan kekuasaan Allah bagi orang yang beriman.” Surah Ar-Ruum ayat 37.

UMNO itu lahir daripada gabungan badan-badan sukarela bukan kerajaan, (dengan izin, UMNO graduated from the NGOs). UMNO kuat, ketika UMNO mengekalkan hubungan akrab dengan masyarakat. Pemimpin UMNO dikenali sebagai pemimpin yang sentiasa berdamping dan mendekati masyarakat di peringkat akar umbi.

UMNO telah berjaya menggabungkan dan merangkaikan hubungan antara umat di desa dengan di kota. Antara petani dan nelayan, pekerja dan pegawai atasan, rakyat jelata dan kumpulan aristokrat. Dalam satu persaudaraan, mendukung satu perjuangan dengan mengutamakan kepentingan rakyat. UMNO yang satu masa dahulu dipimpin oleh ramai guru Melayu diakui benar-benar mewakili rakyat dan menjadi pemimpin rakyat dalam erti kata sebenar.

Hari ini kita bersyukur, hari ini kita berbangga kerana UMNO telah dipimpin dan diwakili oleh lebih ramai barisan profesional, oleh para teknokrat dan oleh tokoh korporat. Yang diperlukan adalah menghidupkan semangat berkhidmat, semangat mendampingi rakyat sebagai pelengkap kepada kelulusan profesional yang telah berjaya dimiliki, supaya UMNO terus seiring dengan kehendak dan aspirasi rakyat; supaya UMNO benar-benar memahami denyut hati dan denyut nadi rakyat; supaya ahli-ahli UMNO benar-benar memanifestasikan moto “Bersatu, Bersetia, Berkhidmat”.

Kita juga perlu mendalami formula yang telah diguna pakai buat sekian lamanya yang membolehkan kita berkongsi kuasa dengan jayanya mengurus negara bersama rakanrakan di dalam Barisan Nasional.

Kebelakangan ini, orang Melayu mula terasa terancam dengan apa yang dianggap sebagai permintaan melampau dan tidak munasabah dari orang-orang bukan Melayu yang mempelopori semangat “Malaysian-Malaysia” yang begitu lantang dijaguhkan oleh pakatan pembangkang.

Ada di kalangan pemimpin pakatan pembangkang yang secara tidak bersopan lagi biadab mempersendakan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Secara terbuka menghina orang Melayu, dan secara biadap mencerca pertubuhan Melayu dengan kata-kata paling kesat.

Pada masa yang sama, orang bukan Melayu, termasuk di kalangan rakan-rakan dalam Barisan Nasional terasa terpanggil untuk bersuara dengan lebih lantang. Lantaran merasakan diri mereka seakan dipinggirkan dan disisihkan kerana berlakunya kegelinciran pelaksanaan dasar-dasar tertentu kerajaan.

Kelihatan kedua-dua pihak bersuara dengan nada kebimbangan. Kedua-dua pihak mencerminkan terdapat perasaan syak wasangka.

Keadaan ini jika dibiarkan berlarutan, pastinya akan menghakis semangat kerjasama dan meruntuhkan jambatan perpaduan yang telah berjaya kita bina selama lebih 50 tahun lalu. Prinsip asas yang menjadi tunjang kekuatan kerjasama kita, tidak boleh sama sekali kita izin untuk dilemahkan.

Kita harus dengan hati terbuka, secara ikhlas mencari kembali teras prinsip kerjasama serta gagasan persefahaman yang menjadi asas perpaduan warga, demi menyediakan masa hadapan negara yang aman, stabil dan makmur kepada generasi muka.

Masa hadapan negara tidak boleh digadaikan kepada kumpulan yang licik memasang pukat di pergentingan; menangguk di air keruh, golongan oportunis yang mendapat sokongan kerana kejayaan mereka mencetuskan kebencian warga kepada kita.

Saya ingin menyatakan UMNO menghargai semua sahabat dalam Barisan Nasional. Kita tidak pernah membelakangkan mereka.

Selepas lima bulan saya dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, ketika saya berdiri di pentas ini, pada 17 Jun 1999, untuk pertama kalinya saya diamanah menyampaikan ucapan perasmian di Perhimpunan Agung Tahunan Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, saya telah memetik firman Allah yang terkandung dalam ayat 68 dari Surah Al-Qasas:

“Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dialah juga yang memilih (satu-satu daripada makhluk-Nya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); Tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapa pun memilih (selain daripada Allah), Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaannya daripada apa yang mereka sekutukannya.”

Demikianlah kuasa Allah SWT menentukan segala sesuatu hingga memungkinkan saya mendapat kepercayaan memimpin UMNO dan memimpin negara di peringkat tertinggi. Saya merupakan insan terakhir bagi generasi saya yang masih berkhidmat sebagai anggota Jemaah Menteri. Saya telah mengambil ketetapan memilih mengundur diri selepas Perhimpunan Agung ini dan pimpinan negara juga akan beralih kepada generasi selepas saya.

Ketika saya memilih menyertai UMNO 45 tahun lalu, saya mempunyai satu niat dan satu tekad, untuk menawarkan perkhidmatan kepada parti yang telah begitu berjasa kepada bangsa dan kepada negara saya. Saya melihat UMNO sebagai sebuah parti yang mendokong perjuangan yang suci serta memiliki idealisme yang murni.

Ketika mendaftar diri menjadi ahli UMNO, saya tidak terfikir untuk mendapat faedah kebendaan, tidak juga mengharapkan sebarang imbuhan. Semangat sedemikian bukan hanya terdapat pada diri saya, malah ia adalah satu norma di kalangan ribuan ahli yang seangkatan dengan saya yang menyertai UMNO ketika itu.

Kami semua bertekad untuk meneruskan perjuangan bagi memartabatkan bangsa dan berkhidmat untuk negara Malaysia tercinta ini.

Ketika merasmikan perhimpunan Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita UMNO pada tahun 1999, tajuk Meneruskan Perjuangan – Memartabatkan Bangsa telah saya jadikan tema ucapan sulung saya itu.

Hari ini generasi seangkatan dengan saya bukan sahaja sudah semakin kecil bilangannya, tetapi yang lebih membimbangkan semangat yang dimiliki oleh generasi seangkatan dengan saya, ketara semakin tipis di kalangan generasi semasa.

Semakin ramai yang menyertai UMNO bukan kerana apa yang dapat mereka sumbangkan kepada UMNO tetapi lebih mirip kepada apa yang bakal mereka harap untuk memperolehinya. Mereka mengharapkan jawatan, mereka mengharapkan projek.

Mereka mengharapkan gelaran dan mereka mengharapkan kepuasan duniawi. Semangat berkorban, semangat berjuang, semangat berkhidmat untuk bangsa dan negara semakin tipis dan semakin lemah.

Sedarilah! Di luar Dewan Merdeka ini, ramai yang berpandangan bahawa jika UMNO, dan jika Barisan Nasional tidak berubah, maka Pilihan Raya Ke-12 pada 8 Mac 2008 merupakan kemenangan terakhir kepada Barisan Nasional menubuhkan kerajaan. Selepas ini, rakyat di luar Dewan ini, tidak akan mengundi kita lagi. Di peringkat negeri, Barisan Nasional turut menghadapi cabaran yang sama.

Di kalangan kita juga, malah di kalangan yang duduk di atas pentas ini, turut menyuarakan bahawa “UMNO wajib melakukan perubahan”. Apa yang saya ingin dengar, adalah suara yang menyatakan “Aku akan berubah” lalu disusuli dengan langkah berani melakukan perubahan itu dalam diri sendiri. Betapa malangnya UMNO jika ramai yang gagal memahami bahawa UMNO itu adalah kita, selagi kita tidak berubah, UMNO tidak mungkin dapat berubah.

UMNO kini berada di persimpangan jalan. Laluan yang kita pilih akan menentukan sama ada kita kekal relevan sepanjang masa atau akan hanya menjadi satu sejarah masa lalu. Ada juga yang masih berpendirian bahawa kita tidak perlu melakukan perubahan.

Mereka mempercayai bahawa UMNO akan kembali mencapai kemenangan jika kita kembali kepada cara lama, kepada order lama, dengan menyekat kebebasan warga, dengan menghalang warga daripada menyuarakan kritikan. Mereka berpandangan bahawa UMNO itu boleh terus berkuasa dan kekal kuat dengan kaedah menjaga kepentingan beberapa individu tertentu dan memenuhi tuntutantuntutan kumpulan tertentu.

Masih terdapat di kalangan kita yang lebih tertarik dengan cerita-cerita yang menyeronokkan hingga kita menjadi leka, lena dalam ulitan mimpi yang bahagia.

Jika laluan lama itu yang dipilih, saya berpandangan bahawa kita telah memilih laluan yang salah; laluan yang membawa kita ke belakang. Saya bimbang laluan tersebut akan lebih mempercepatkan berakhirnya talian hayat UMNO.

Jika kita tidak melakukan perubahan berani, selaras dengan transformasi masyarakat yang begitu dinamik dan perkembangan global yang begitu radikal, kita akan menyaksikan hari-hari berakhirnya parti UMNO yang kita kasihi ini.

Jika kita terus bertanding begitu hebat, bermati-matian untuk merebut jawatan, tetapi apakah ertinya jawatan tersebut kepada UMNO yang telah tinggal rangka yang terbujur di kuburan.

Barang dijauhkan Allah, UMNO ditimpa nasib hiba yang sedemikian. Atas kesedaran tersebut, atas rasa cinta kepada UMNO, atas rasa tanggungjawab terhadap UMNO dan bangsa Melayu, saya memilih untuk menunjukkan teladan, dengan tidak mempertahankan jawatan Presiden parti.

Ia bertujuan memberi laluan kepada pemimpin yang lebih muda walaupun masih terdapat ramai daripada ahli-ahli parti dan rakanrakan baik di dalam ataupun di luar kerajaan meminta saya untuk terus mempertahankan jawatan.

Saya menghargai keputusan rakan-rakan yang turut memilih langkah yang sama. Baik di peringkat bahagian mahupun cawangan. Baik di peringkat Pemuda, Wanita dan Puteri. Bahawa jawatan dan kedudukan bukannya milik peribadi; sedangkan harta milik peribadi juga tidak akan dapat dibawa sampai ke mati.

Untuk terus relevan, UMNO perlu berusaha mencantumkan kekuatan lama yang kita telah hilang dengan elemen baru yang harus kita terokai. Kekuatan lama yang telah hilang adalah semangat asal dan komitmen asal kita kepada perjuangan bangsa dan perjuangan parti.

Hidupkanlah kembali semangat berkorban, semangat dedikasi, semangat kesederhanaan, semangat berkhidmat, semangat kemanusiaan dan pamerkanlah integriti yang tinggi lagi dihormati.

Gugurkanlah sifat angkuh yang merasakan diri kita sahaja yang betul, yang merasakan diri kita sahaja yang pandai. Jauhilah amalan rasuah, imbangkan perhatian di kalangan warga keseluruhannya baik yang Melayu dan bukan Melayu, demikian juga kepada ahli-ahli parti baik yang menyokong kita atau saingan kita.

Di peringkat kerajaan, saya telah berusaha memperkenalkan beberapa mekanisme dalam hasrat memperkukuhkan instrumen pentadbiran yang lebih telus, cekap, adil dan berintegriti, di samping dapat meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Usaha-usaha mengembalikan integriti kehakiman telah dilaksanakan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah ditubuhkan, Institut Integriti Nasional diwujudkan, PEMUDAH telah diperkenalkan, dalam usaha berterusan untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam, pembangunan modal insan diutamakan dan Islam dibangunkan secara progresif melalui pendekatan Islam Hadhari.

Menyedari sumber baru kekayaan negara perlu diterokai dan agihan peluang ekonomi berkualiti secara lebih seimbang dan saksama dapat dilaksanakan, program pembangunan ekonomi secara wilayah telah diperkenalkan.

Di peringkat UMNO, mungkin telah tiba masanya untuk parti diperkukuhkan dengan memperkenalkan peraturan dan tata cara yang membolehkan parti diurus tadbir dengan cara yang lebih berdisiplin dan terkawal.

Mungkin parti memerlukan mekanisme yang lebih memberikan kesaksamaan kepada ahli dan menggugurkan amalan-amalan yang tidak memberikan keadilan kepada majoriti ahli terutama di kalangan mereka yang tidak mempunyai jawatan dan tidak mempunyai kekayaan material.

Mungkin masanya telah sampai untuk UMNO juga meletakkan syarat tempoh maksimum memegang jawatan di dalam parti.

Mungkin UMNO juga wajar memberikan hak memilih ketua terutama bagi jawatan-jawatan utama di dalam parti kepada semua ahli untuk mengatasi amalan politik wang.

UMNO tidak harus lari daripada tanggungjawab membela nasib bangsa Melayu dan Bumiputera. Namun UMNO, jangan sekali-kali mengamalkan fahaman ekstremis kaum, ekstremis agama.

UMNO jangan sekali-kali mengamalkan diskriminasi hingga dianggap bersifat rasis kepada warga Malaysia yang bukan Melayu.

Hak semua warga negara hendaklah senantiasa diberikan jaminan dan dihormati, dilindungi dan dipelihara selaras dengan semangat Perlembagaan dan Rukun Negara. Ketaatsetiaan setiap warga Malaysia tanpa mengira kaum harus dihargai dalam semangat perkongsian kuasa dan setia kawan.

Bahawa kita telah pun lama dahulu bersetuju menyuburkan semangat yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing; hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.

Berusahalah! Berusahalah! Berusahalah! mencari titik pertemuan sesama kita, menyemarakkan nilai persamaan. Jauhilah! Jauhilah! Jauhilah! daripada mengungkit perbezaan dan membesarkan kelainan.

Saya amat menghargai peranan warga Malaysia membantu menjamin keamanan negara dan berusaha memakmurkan negara. Selama hampir 52 tahun kita merdeka, kita telah menghadapi pelbagai cabaran dan kita cekal bersatu menghadapi setiap cabaran hingga menjadikan negara kita sebagai negara merdeka yang berdaulat dan makmur.

Negara kini sedang menghadapi ancaman ekonomi yang paling menakutkan sejak kita mencapai kemerdekaan. Dunia sedang dilanda kemelut ekonomi yang amat dahsyat dan kerajaan sedang menghadapi tanggungjawab sangat berat untuk meringankan rakyat daripada menghadapi kesusahan.

Selama lima tahun setengah menjadi Perdana Menteri, saya amat yakin akan potensi dan kekuatan yang kita miliki. Begitu juga rahmat yang telah dilimpahkan oleh Ilahi kepada negara ini. Kita mempunyai modal insan muda yang berpotensi besar untuk kita bangunkan menjadi produktif.

Kita mempunyai daya tahan. Kita memiliki daya kekuatan untuk menghadapi cabaran kegawatan ekonomi dunia yang sedang melanda asalkan kita terus bersatu dan memberi fokus menghadapi ancaman ekonomi ini.

Kita harus mengurangkan berpolitik, kita harus menghapuskan budaya suka bercakaran sesama sendiri. Sebaliknya kita perlu tekun bekerja, menjadi lebih produktif dan menggabungkan kekuatan.

Sama-samalah kita insafi bahawa persoalan yang UMNO hadapi kini ialah persoalan hidup mati, persoalan masa depan dan survival parti. Ia amat bergantung kepada sikap setiap ahli dan peranan barisan kepimpinan yang akan terus memperjuangkan nasib bangsa, agama dan negara.

Ahli-ahli UMNO dan barisan kepimpinan memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan sama ada perkembangan di hari muka berupaya terus mencerminkan kebanggaan tradisi kita.

Setiap daripada kita sememangnya sedar bahawa pucuk kepimpinan UMNO menentukan pucuk kepimpinan tanah air tercinta. Inilah keistimewaan serta beban tanggung jawab parti keramat kita, dengan izin Allah SWT. Setiap daripada kita sememangnya arif tentang ciri-ciri serta sifat-sifat mulia seperti “siddiq, amanah, tabligh dan fatanah” yang wajib dipegang oleh para pemimpin kita.

Ingatlah! Bahawa undi seorang insan yang beriman dan bertakwa tidak boleh dijual beli. Semoga pemilihan barisan kepimpinan parti pada kali ini berjalan dengan lancar dan mencerminkan aspirasi mereka yang kita wakili.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, mengapa kamu memperkatakan sesuatu yang tidak kamu melakukannya? Amat besar kebenciannya di sisi Allah bahawa kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” Surah As-Saff Ayat 2 dan 3.

Tanggungjawab saya sebagai Presiden parti akan berakhir pada penghujung perhimpunan ini. Seterusnya tanggungjawab saya sebagai Perdana Menteri kepada warga dan negara yang saya cintai ini juga akan berakhir.

Saya mengucapkan terima kasih atas dedikasi, pengorbanan, sokongan dan bantuan yang telah diberikan kepada saya oleh kawankawan yang telah sama-sama bekerja bersama saya sepanjang tempoh lebih 45 tahun saya diberikan peluang untuk berkhidmat dengan kerajaan.

Bermula dari seorang pegawai awam dan kemudiannya memberanikan diri mengambil tanggungjawab politik, sejak tahun 1978. Saya menghargai sokongan Datuk Seri Najib kepada saya atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri. Membawa ingatan nostalgia saya kepada bimbingan dan kepercayaan yang pernah diberikan kepada saya oleh ayahandanya, Tun Abdul Razak (Allahyarham) sejak 1969 apabila saya bertugas di urus setia Mageran.

Saya berterima kasih kepada Tun Hussein Onn (Allahyarham) kerana memberi peluang kepada saya untuk menjadi calon di kawasan Parlimen Kepala Batas pada tahun 1978 dan memberi jawatan kepada saya di dalam kerajaan.

Saya berterima kasih kepada Tun Dr. Mahathir kerana melantik saya menganggotai Jemaah Menteri, melantik saya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan akhirnya memberikan laluan kepada saya menggantikan beliau sebagai Perdana Menteri. Terima kasih Tun.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Ketua-Ketua Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri, Ahli-Ahli Majlis Tertinggi, Ketua-Ketua Perhubungan Negeri demikian juga Ketua Bahagian dan Ketua Cawangan UMNO dan seluruh ahli-ahli UMNO di seluruh negara.

Saya amat percaya, saya menyerahkan tanggungjawab negara kepada nakhoda lebih muda yang memiliki kematangan dan pengalaman untuk mengemudikan bahtera negara. Saya menyeru supaya beliau diberikan sokongan yang padu untuk membolehkan beliau membawa negara ke mercu kejayaan yang lebih gemilang.

Saya sendiri berikrar untuk memberikan sokongan padu kepada Presiden UMNO yang baru, kepada Perdana Menteri Malaysia yang baru.

Berasaskan pengalaman, sebagai Presiden parti dan sebagai Perdana Menteri, tugas dan amanah ini amatlah berat. Adakalanya keputusan yang dibuat boleh mencetuskan kontroversi. Ada keputusan yang tidak mendapat persetujuan 100 peratus.

Tanggungjawab utama seorang pemimpin adalah untuk menentukan sesuatu yang terbaik untuk warga, untuk negara meskipun ada keputusan yang tidak akan disenangi. Namun pemimpin itu perlu diberikan keyakinan dan kestabilan minda supaya terus bersikap rasional, bersifat objektif.

Jika kita tidak memberikan sokongan dan kepercayaan kepadanya, jika kita pula memilih untuk menyerang dan mempersendakan peribadinya, kita sebenarnya bertanggungjawab melemahkan parti kita.

Kita juga bertanggungjawab menjatuhkan pemimpin UMNO di kerusi Perdana Menteri. Kita sebenarnya menghakis sistem yang telah kita bina. Sistem yang telah memberi kekuatan kepada kita selama ini.

Betapa beratnya amanah yang wajib dipikul oleh Perdana Menteri negara ini, memenuhi tanggungjawab sebagai pemimpin parti, pemimpin bangsa, pemimpin negara. Di bahu beliaulah harapan semua, tanggungjawab menentu nasib kita bersama.

Sepanjang tempoh perkhidmatan saya, saya mengakui bahawa saya tidak sepi daripada melakukan kesilapan. Saya juga mungkin tidak dapat memenuhi semua perkara yang pernah saya janjikan.

Walau apa pun kesilapan, walau apa pun kekurangan saya yang telah berlaku, adalah menjadi tekad saya untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada warga dan negara ini.

Apa juga usaha yang dilakukan untuk mengekalkan kejayaan yang telah dicapai oleh pemimpin terdahulu, di samping merintis usaha-usaha baru untuk meningkatkan kejayaan lebih gemilang, dapat saya laksanakan kerana adanya sokongan yang diberikan oleh saudara-saudari, sokongan daripada rakan-rakan pimpinan parti di dalam UMNO dan di dalam Barisan Nasional, daripada rakan-rakan pentadbiran dan kakitangan pentadbiran dan daripada setiap warga Malaysia termasuk rakyat biasa baik di desa mahupun di bandar. Siapalah saya ini tanpa sokongan semua.

Bahawa kesempurnaan itu hanyalah sifat milik Ilahi. Segala kekurangan adalah kelemahan saya sendiri sebagai insan yang tidak sempurna.

Saya memohon maaf atas kelemahan saya itu. Apa yang saya terus usahakan adalah amalan keikhlasan dan kejujuran.

Saya bersyukur ke hadrat Ilahi yang telah mengangkat saya berada di kedudukan semulia ini. Pada usia selanjutnya, saya memohon kepada Ilahi semoga mata hati saya senantiasa menemui kejernihan.

Semoga Allah SWT terus melimpahkan rahmat, memberikan petunjuk kepada parti dan pimpinan parti, begitu juga kepada warga dan negara Malaysia. Barang dijauhkan Allah daripada kita dilanda bencana dan malapetaka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah dia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allahlah naiknya segala perkataan yang baik dan amal yang soleh pula diangkat-Nya naik.

Sebaliknya, orang yang merancang kejahatan (untuk mendapat kemuliaan) akan beroleh azab yang berat. Rancangan jahat mereka akan rosak binasa.” Surah Al-Fatir ayat 10.

Semoga pimpinan dan masa hadapan UMNO, begitu juga warga dan negara Malaysia terus berada di tangan mereka yang berjiwa ikhlas. Barang dijauhkan UMNO dan negara daripada jatuh ke tangan orang-orang yang akan membawa kerosakan. Semoga usaha kita mendapat keredaan Ilahi.

Bersatu! Bersetia! Berkhidmat.

Hidup Melayu! Hidup Melayu!

Hidup Melayu!

- UTUSAN

Khamis, Mac 26, 2009

PM beri khidmat terbaik - Jeanne


Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah percaya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah memberikan khidmat yang terbaik sepanjang memimpin negara sejak 2004.

Sambil mengakui Perdana Menteri menghadapi pelbagai ujian ketika memimpin negara, katanya, sebagai seorang isteri beliau sentiasa tabah ketika melihat suaminya menghadapi pelbagai cabaran.

‘‘Saya tidak fikir Abdullah akan menyesal dengan apa yang sudah dilakukan ketika memimpin negara selama ini.

‘‘Saya juga tidak pernah menyesal mengahwini seorang lelaki sehebat Perdana Menteri kerana setiap kejadian ada hikmahnya dan apa yang terjadi sudah memang ditetapkan untuk terjadi,’’ katanya.

Jeanne berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran buku biografinya bertajuk Srikandi Berbudi, Luhur Berbakti, Cekal Diuji - Jeanne Abdullah yang ditulis oleh Noraini Nordin di Muzium Kesenian Islam hari ini.

Jelas Jeanne, sebagai manusia biasa semua orang mempunyai masalah masing-masing.

‘‘Saya bercakap sebagai isteri kepada Abdullah dan bukan sebagai Wanita Pertama Malaysia atau seorang isteri Perdana Menteri.

‘‘Apabila kita rasa sesuatu tindakan itu adalah terbaik untuk dilakukan maka kita akan bertindak sedemikian,’’ jelasnya.

Ditanya mengenai perancangannya selepas Perdana Menteri menyerahkan kepimpinan negara, Jeanne menyatakan hasrat untuk bergiat dalam program menggalakkan masyarakat prihatin dan penyayang selepas ini.

‘‘Masyarakat negara ini hidup dalam keadaan gembira dan aman. Namun kini kita tidak begitu prihatin.

‘‘Kita terlampau sibuk sehingga tidak mempedulikan apa yang berlaku di sekeliling kita lagi,’’ katanya.

Ditanya sama ada beliau bercadang untuk berbulan madu semula bersama Perdana Menteri, Jeanne menjawab, selepas ini beliau akan mempunyai pelbagai urusan lain.

- UTUSAN

Sabtu, Mac 21, 2009

PM serah kuasa 2 April?


Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka menyerahkan kuasa pada 2 April - lima hari selepas perhimpunan agung Umno.

Difahamkan, Abdullah akan memaklumkan mengenai perkara itu kepada kabinet dalam mesyuarat mingguannya hari ini, dan beliau akan menemui Yang di-Pertuan Agong pada 3 April depan.

Manakala, bakal presiden Umno, Datuk Seri Najib pula dijangka mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia yang keenam pada 4 April.

Perhimpunan agung Umno yang turut menyaksi pemilihan pucuk pimpinan parti itu akan berlangsung mulai Selasa depan sehingga 28 Mac.

Najib merupakan calon tunggal bagi jawatan presiden dan secara rasmi akan memimpin Umno selepas mendapat mandat rasmi dalam pemilihan parti.

Penyerahan kuasa itu akan berlaku sebelum berlangsungnya tiga pilihanraya kecil yang dianggap sangat penting iaitu parlimen Bukit Gantang di Perak, DUN Bukit Selambau di Kedah dan DUN Batang Air di Sarawak - kesemuanya pada 7 April.

- MALAYSIAKINI

Rabu, Mac 18, 2009

Abdullah akan dilihat sebagai negarawan jika berjaya sekat Najib - Mahfuz

Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar meminta kekuatan dan ketegasan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi agar bertindak segera menghalang Dato' Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri.

"Saya percaya bahawa Abdullah tahu semua pihak majoriti masyarakat Melayu, bukan Melayu dan dalaman Umno tak gembira dengan peralihan kuasa ini dan kemunculan Najib ambil alih jawatan,

"Sepatutntya Abdullah kena lakukan sesuatu untuk kepentingan negara bukan kepentingan umno.Abdullah kena buat sesuatu supaya proses peralihan kuasa tidak berlaku atau berlakupun bukan kepada Najib kerana pandangan dalaman negara dan luaran juga sudah negatif kepada Najib," katanya.

Walaupun tidak nafi kepimpinan Abdullah ada masalah tetapi segmen masyarakat melihat bahawa lebih buruk jika kepimpinan diserah kepada Najib, katanya.

Ini kerana rakyat melihat negara akan hadapi krisis lebih buruk dan negara akan kehilangan kekayaan apabila Najib ambil alih pemerintahan, ujar Mahfuz.

Najib sendiri terlalu banyak dikaitkan dengan pelbagai skandal yang membuatkan kepercayaan rakyat dan negara luar kepadanya kini semakin berkurang, katanya.

Sebab itu bagi ahi Parlimen Pokok Sena itu dalam tempoh beberapa minggu ini (sebelum pemilihan Umno), Abdullah dan ahli Umno perlu buat sesuatu supaya halang Najib .

Jika tindakan menghalang Najib berjaya dilakukan, rakyat akan menyanjung Abdullah sebagai negarawan, katanya.

"Masyarakat akan sanjung Abdullah kerana menghalang negara daripada diurus oleh orang yang tidak boleh diberi kepercayaan, maknanya dia akan dilihat oleh seorang negarawan dan walaupun dia buat itu ada personal interests tetapi masyarakat akan lihat ini satu kepentingan semua pihak," katanya.

- HARAKAH
www.harakahdaily.net

Khamis, Mac 12, 2009

Pertemuan bersama Anwar tiada agenda politik - Pak Lah


Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menafikan laporan kononnya beliau mengadakan perbincangan dengan penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menghadiri satu majlis keagamaan di Hulu Langat semalam.

Abdullah yang juga Menteri Pertahanan berkata beliau menghadiri majlis itu atas undangan seorang tokoh agama Syeikh Mahmud al-Majzub sempena sambutan ke-40 "Ritual Building Strength".

"Saya dijemput dan saya pergilah, dan semasa kami sedang makan tengah hari, Datuk Seri Anwar Ibrahim datang. Beliau dijemput duduk dan menikmati hidangan. Itu saja.

"Tidak ada perbincangan. Syeikh Mahmud ada memberi pandangan kepada saya mengenai pelbagai masalah yang berlaku di dunia sekarang dan menekankan keperluan pemimpin negara ini untuk bersikap adil dan memastikan keamanan. Dia (Syeikh Mahmud) cakap dengan saya, dia tak cakap dengan Anwar. Tidak lebih daripada itu," katanya kepada pemberita semasa melawat pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Sepanggar dekat sini.

Ketika ditanya sama ada laporan portal berita Malaysiakini cuba menimbulkan spekulasi mengenai perkara itu, beliau menjawab, "Dia (Malaysiakini) agak-agak aje".

Abdullah turut ditanya mengenai laporan Malaysian Insider yang mendakwa bahawa beliau telah menyatakan kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak tarikh peralihan kuasa.

"Saya perlu membuat pengumuman rasmi mengenai perkara itu. Kami berbincang tentang banyak perkara," katanya.

Ditanya sama ada beliau sudah mempunyai satu tarikh tertentu, Abdullah berkata: "Kita mesti ada tarikh".

Ditanya mengenai tindakan wakil rakyat pembangkang yang tidak berada dalam Dewan Rakyat ketika Najib, yang juga Menteri Kewangan membentangkan mini bajet semalam, Abdullah berkata ini membuktikan bahawa mereka tidak berminat untuk mengetahui apa yang kerajaan hendak lakukan dalam mini bajet itu.

"Mereka tak kisah. Boleh jadi mereka hanya bermain politik semata-mata, padahal mereka mengatakan perkara yang berkaitan ekonomi penting, mereka nak tahu apa yang kerajaan nak buat, namun bila kerajaan umumkan di Parlimen, mereka tak nak dengar.

"Pada saya, ini satu sikap yang tidak gentleman, saya percaya rakyat yang tahu tidak senang hati dengan kelakuan seperti ini. Mereka terus bermain politik padahal kerajaan sungguhsungguh dan serius dengan wang yang diperuntukkan, memberi perhatian sepenuhnya untuk merancang ekonomi supaya ekonomi kita tidak merosot dan tidak berlaku kemelesetan, sebab itu kita peruntukkan wang yang besar untuk merangsang ekonomi kita," katanya.

- BERNAMA

Rabu, Mac 11, 2009

Abdullah dan Anwar Berunding di Hulu Langat?


Oleh MSO MELAYU

Tiga jam sebelum Menteri Kewangan, Mohd Najib Razak membentangkan bajet mininya di Parlimen jam 4:00 petang ini, berlangsung satu peristiwa diluar jangka yang penuh tandatanya, iaini Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi duduk serumah dan makan tengah hari bersama Anwar Ibrahim.

Peristiwa bersejarah ini berlaku di Madrasah Nurul Iman, Hulu Langat, Selangor. Abdullah dan Anwar sama-sama hadir pada majlis sambutan Maulid Rasul dan Sambutan Tamat Latihan Kerohanian 40 tahun Syeikh Mahmud Al-Majzub, dan menjadi tetamu kehormat mundir madrasah berkenaan.

Kehadiran Anwar hari ini memang dinanti-nantikan oleh kira-kira 1,000 hadirin dan para jemputan termasuk para ulama dari Asia Tenggara, sebaliknya kedatangan Abdullah secara tiba-tiba itu benar-benar mengejutkan dan di luar jangka.

Abdullah dijangka hadir ke madrasah berkenaan esok untuk merasmi persidangan dan pertemuan para ulama. Kehadiran Abdullah lewat tengah hari ini menjadi tanda tanya sebab pada waktu sama jemputan khasnya ialah Anwar Ibrahim.


Abdullah tiba lebih awal dari Anwar, iaitu jam 12:18 tengah hari manakala Anwar bersama isterinya, Wan Azizah Ismail tiba kira-kira 20 minit kemudian.


Kedua mereka dibawa naik ke rumah Syeikh Mahmud untuk makan tengah hari sama-sama.
Abdullah dan Anwar berada di dalam rumah berkenaan lebih 1 jam setengah. Mereka keluar dari rumah berkenaan untuk mendirikan solat Zohor bersama jam 1:40 petang.

Difahamkan semasa di dalam rumah Syeikh Mahmud, pertemuan enam biji mata berlangsung antara Abdullah, Anwar dan Syeikh Mahmud. Satu perundingan juga dikatakan berlaku dengan Syeikh Mahmud menjadi perantaranya!

Semasa mendirikan solat Zohor kedua mereka duduk di saf pertama di mana Abdullah berada di sebelah kanan, Syeikh Mahmud manakala Anwar berada di sebelah kiri Syeikh Mahmud.

Selepas solat Zohor, Abdullah diminta memberi ucapan ringkas begitu juga Anwar bagaimana pun Anwar tidak berucap. Dalam ucapannya Abdullah menjelaskan sesuatu yang baik itu kalau didoakan ia akan menjadi kenyataan. Selepas selesai solat Zohor dan ucapan ringkas kelihatan Abdullah dan Anwar bersalaman dan masing-masing melemparkan senyum.

Pertemuan dan gelagat kedua pemimpin itu benar-benar mengejutkan para hadirin dan jemaah. Masing-masing tertanya-tanya dengan peristiwa berkenaan kerana ianya dikatakan bukan dirancang oleh sesiapa tetapi mempamerkan keadaan yang sungguh menyenangkan orang ramai.
Orang ramai begitu bangga dan puas dengan pertemuan kedua mereka yang dlihat sebagai bermusuhan selama ini dan diharap dapat berdamai untuk kebaikan negara, bangsa dan agama.

“Apa yang berlaku hari ini adalah sejarah, dan kita harap ianya jadi!” begitulah komen salah seorang ahli jawatankuasa madrasah berkenaan enggan menjawab apakah kedatangan kedua mereka sudah dirancang dan apakah yang dimaksudkan 'jadi' itu?

Abdullah meninggalkan madrasah berkenaan kira-kira jam 2:15 minit petang manakala Anwar jam 2:50 petang kedua-duanya dijangka menuju ke Parlimen untuk mendengar pembentangan bajet mini oleh Najib.

- MSO MELAYU

Recent Posts