Komentar - Pengundi atas pagar lebih terpengaruh cerita jajaan

Tiada sesiapapun harus mencemburui Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam menuju pilihan raya kecil kawasan Parlimen Kuala Terengganu, semalam.

Keadaannya seolah-olah jatuh atau bangunnya Barisan Nasional (BN) terpikul di bahunya sambil pertembungan tiga penjuru semalam, menyaksikan saingan paling sengit tanpa sesiapa berani membuat ramalan pasti.

Dilabel dari mula sebagai berstatus bangsawan, sombong dan memiliki personaliti dipersoalkan, calon BN bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu itu dilihat hanya memungkinkan kekalahan.

Harus terlintas di benaknya betapa masyarakat kadang-kadang begitu mudah terbuai dengan pelbagai prasangka - melemparkan tuduhan dan menjatuhkan hukuman tanpa banyak timbang tara dan timbang rasa.

Tidak terkecuali juga emosinya sudah jenuh terusik andainya BN ditakdirkan kehilangan kerusi Kuala Terengganu, maka segala-galanya juga akan dipersalahkan kepada perwatakan dan ketrampilannya.

Lokek senyum, kedekut budi-bahasa... itulah yang sering dibual dan dicanangkan di mana-mana hingga ia mewujudkan semacam kepercayaan bahawa ini bukanlah orangnya yang warga Kuala Terengganu harus berikan kepercayaan untuk mewakili mereka.

Sehingga pada hari terakhir tempoh berkempen 11 hari itu kelmarin, masih ada cerita atau dakwaan terbaru dibuat terhadapnya.

Tidak cukup dengan dakwaan berkaraoke sebelumnya yang dinafikan dan diperjelaskan beliau sebagai tidak seperti dibualkan orang, terbaru Wan Farid didakwa pula terbabit dengan skandal.

Tuduhan itu seolah-olah diatur sedemikian rupa untuk tidak meluangkan waktu bagi Wan Farid membuat sebarang penafian, dengan disasarkan untuk pengundi atas pagar meragui keperibadiannya.

Sekurang-kurangnya 20 peratus daripada 80,229 pengundi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu tergolong sebagai pengundi atas pagar - mereka yang tidak secara langsung memihak mana-mana parti, melainkan membuat pertimbangan terhadap calon dan isu yang ditonjolkan.

Harus ia berkesan kepada sebahagian seperti dibuktikan keputusan pilihan raya kecil semalam bahawa isu peribadi - sama ada benar atau sekadar rekaan - berupaya mempengaruhi pengundi dalam memutuskan siapa pilihan mereka.

Sememang dari awal, tiada pihak yang mendakwa akan mendapat laluan mudah.

BN, berbanding kelazimannya, memilih untuk menamakan calonnya dua minggu lebih awal - satu langkah yang jika direnung semula, banyak membantu dalam menepis pelbagai asakan peribadi terhadap Wan Farid.

Pas, sebaliknya, membiarkan penyokongnya sendiri banyak berteka-teki dengan hanya menamakan Mohd Abdul Wahid Endut menghampiri kepada hari penamaan calon 6 Januari lalu, bagi menutup kompromi dua pandangan yang bertelagah.

Penampilan Azharudin Mamat sebagai calon Bebas pada saat-saat akhir pula tidak dijangka mendatangkan banyak kesan dalam menambah atau mengurangi peluang kedua-dua calon BN dan Pas, yang lebih dilihat kepada pertembungan satu lawan satu.

Di sebalik serba sedikit isu nasional yang dibangkitkan sepanjang tempoh berkempen - BN antaranya menonjolkan bibit perpecahan dalam Pakatan Rakyat serta isu hudud dan qisas yang menjadi dendangan lagu lama Pas, manakala Pas pula mempersoalkan agihan royalti minyak yang didakwa tidak sampai kepada manfaat rakyat dan kehadiran sebegitu ramai anggota polis untuk menakut-nakutkan pengundi - selebihnya berkisar kepada isu tempatan dan calon.

Kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang dua kali turun padang untuk berkempen, sambil jentera BN dikepalai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dari mula hingga akhir, menyerlahkan kesungguhan untuk kerusi ini dipertahankan.

Harus tidak banyak cacat-celanya dengan jadual dan isi ceramah serta kunjungan dari rumah ke rumah yang dilaksanakan jentera BN. Segala-galanya sudah diperjelaskan untuk pertimbangan pengundi.

Dalam pada itu, pendekatan berbeza yang mesra rakyat turut menjadi tontonan - dimulai dengan bentuk poster yang lebih mendekatkan pemimpin dan calon BN dengan pengundi hingga kepada janji mengutamakan kepentingan rakyat dalam segala serba-serbi.

Namun, pengundi Kuala Terengganu harus sukar dibaca, seolah-olah mereka sudah pun terpahat dengan pendirian masing-masing kepada siapa undi mereka bakal diberikan, lama sebelum penamaan calon lagi.

Kerana itu, ia bukanlah sangat berkisar kepada jentera Pas atau Pakatan Rakyat lebih berkesan pada ketika pendekatan mereka tidak pun banyak berbeza daripada sebelumnya.

Kekurangan, jika boleh dianggap tidak ketara pada pihak mereka, ialah kurangnya cakap-cakap mengenai calonnya yang sudah berakar umbi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam selama lima penggal.

Tidak sukar untuk mengagak bahawa Pakatan Rakyat dan Pas akan terus mencanangkan tsunami politik pada Pilihan Raya Umum 8 Mac lalu, masih belum reda gelombangnya selepas berlanjutan ke Permatang Pauh, Ogos lalu, dan terbaru, melanda Kuala Terengganu.

Pas, terutamanya, akan bersorak dengan satu lagi kemenangan moral dalam meningkatkan sahamnya sebagai suara yang tidak harus diketepikan begitu saja dalam perbezaan pendapat pakatan pembangkang.

Cuma, laungan mereka kononnya ia harus menjadi penanda aras kepada penerimaan rakyat terhadap BN dan Umno selepas pilihan raya umum lalu, harus tersasar kerana di Kuala Terengganu, BN dan Umno hanya kalah, tetapi bukan dibelasah.

Tidak mungkin satu pilihan raya kecil, yang lazimnya sarat dengan isu setempat daripada membincangkan kepentingan nasional, boleh dirumuskan sebagai cerminan kepada aspirasi keseluruhan rakyat berbanding pilihan raya umum.

Bezanya buat BN ialah kehilangan satu lagi kerusi di Dewan Rakyat yang jauh daripada cukup untuk menggoyahkan Kerajaan Pusat yang ditubuhkannya untuk menggerakkan agenda pembangunan serta mendepani pelbagai cabaran mendatang.

Ia akan mengambil beberapa ketika untuk analisis menyeluruh dibuat - kiraan di setiap saluran dan peti undi harus diperhalusi dalam menyelami apakah sebab-sebabnya pengundi Kuala Terengganu berubah hati dalam tempoh hanya 10 bulan.

Sudah barang tentu Permatang Pauh dan Kuala Terengganu menghadirkan serba-sedikit sebab yang sama serta juga punca-punca yang sama sekali berbeza dalam pada BN mempersiapkan diri untuk ujian seterusnya.

Wan Farid sendiri harus sudah melakukan yang terbaik dalam ikhtiarnya menambat hati pengundi, didasarkan kepada 30,252 undi yang diperolehnya, berbanding Mohd Abdul Wahid yang meraih 32,883 untuk majoriti 2,631 undi. Azharudin pula hanya mendapat 193 undi dan hilang wang deposit.

Sejurus keputusan diumumkan malam tadi, sudah pun terdengar ada kecenderungan untuk menyalahkan pemilihannya, di sebalik beliau dikhabarkan menampilkan banyak perubahan untuk lebih mesra mendampingi rakyat pada hari-hari terakhir menjelang pengundian.

Tetapi Wan Farid juga harus mendapat sedikit sagu hati daripada rumusan beliau memenuhi secukupnya kriteria selaku timbalan menteri, senator dan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu untuk ditampilkan BN dan hanya kalah kepada tohmahan dan persepsi negatif untuk kesudahannya menjadi mangsa keadaan.

Apa pun, pengundi Kuala Terengganu sudah membuat keputusan mereka dan ia wajar dihormati. Komentar - Pengundi atas pagar lebih terpengaruh cerita jajaan

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.