Memaparkan catatan dengan label Pilihanraya Kuala Terengganu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pilihanraya Kuala Terengganu. Papar semua catatan

Jumaat, Februari 20, 2009

PDRM belanja RM15j pada pilihan raya Kuala Terengganu

Polis Diraja Malaysia (PDRM) membelanjakan RM15 juta pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari lalu untuk menjamin keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung, berkata perbelanjaan itu termasuk kos perjalanan dan sara hidup sebanyak RM2.7 juta, perhubungan dan utiliti (RM50,000), sewaan kanopi (RM6 juta), pembekalan makanan kering dan minuman (RM65,000), pembekalan bahan api dan alat ganti (RM698,000), pembekalan bahan mentah dan lain-lain (RM310,000), penyelenggaraan dan pembaikan kecil (RM830,000) dan pembekalan makanan dan penginapan (RM4.5 juta).

"Penugasan membabitkan seramai 3,376 pegawai dan anggota daripada Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Simpanan Persekutuan, Trafik, Unit Udara Polis dan Tugas Am," katanya ketika menjawab soalan Amran Ab Ghani (PKR-Tanah Merah) yang ingin mengetahui perbelanjaan keseluruhan PDRM dalam pilihan raya kecil berkenaan.

Chor berkata, polis juga menggunakan kelengkapan termasuk dua helikopter, kereta perisai (satu), kereta peronda (68), motosikal berkuasa tinggi (238) dan motosikal ringan (58) , 3,376 unit senjata api.

Katanya, hasil kawalan keselamatan yang dijalankan polis dan kerjasama orang awam, tiada sebarang rusuhan atau kejadian yang tidak diingini berlaku sepanjang pilihan raya kecil itu.

Menjawab soalan tambahan Amran, Chor berkata, daripada 3,376 anggota polis, hanya 433 anggota daripada Cawangan Khas.

"Analisis yang diadakan sebelum dan selepas pilihan kecil Kuala Terengganu menunjukkan kehadiran ramai anggota polis akan menjamin satu keadaan yang selesa supaya pemilih dapat keluar beramai-ramai untuk mengundi.

"Kita rasa walaupun RM15 juta dibelanjakan tetapi ia berbaloi kerana kita mewujudkan suasana tidak tegang langsung dan menyebabkan pilihan raya Kuala Terengganu berjalan lancar dan selamat," katanya.

- BERITA HARIAN

Jumaat, Februari 13, 2009

Yang Di Pertuan Agong bangga kejayaan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berbangga dengan perjalanan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari lepas yang disifatkan semua pihak sebagai yang terbaik di negara ini.

Tuanku Mizan melahirkan perasaan bangga itu kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof semasa beliau menghadap baginda untuk mempersembahkan prestasi pilihan raya kecil itu baru-baru ini.

Abdul Aziz berkata, Tuanku Mizan bangga kerana pilihan raya kecil itu dapat dilaksanakan dengan baiknya oleh petugas-petugas di Terengganu.

Jelasnya, Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu akan dijadikan penanda aras untuk diteladani oleh Pejabat Pilihan Raya negeri yang lain selepas ini.

''Selepas pilihan raya kecil P36, saya dapat banyak pujian mengatakan ia adalah pilihan raya yang terbaik.

''Daripada orang biasa sehinggalah pegawai kerajaan, menteri besar dan menteri Kabinet menyatakan kebanggaan mereka terhadap perkara ini," ujarnya ketika berucap pada majlis penghargaan dan penyampaian sijil kepada petugas-petugas Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, di sini malam tadi.

Sebelum itu, beliau turut menghadiri sesi bedah siasat pilihan raya kecil berkenaan di sini.

Menurut Abdul Aziz, parti pembangkang turut tidak terkecuali menyatakan pujian mereka terhadap perjalanan pilihan raya kecil itu.

''Saya tidak tahulah sama ada mereka puji kerana mereka sudah menang tapi saya difahamkan ini pertama kali pembangkang puji SPR dan polis," ujarnya.

- UTUSAN

Ahad, Februari 01, 2009

Khamis, Januari 22, 2009

Rabu, Januari 21, 2009

Komentar - Faktor tempatan punca BN tewas (PRK Kuala Terengganu)


Pelbagai analisis dibuat mengenai keputusan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang berakhir dengan calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam dengan majoriti 2,631 undi 17 Januari lalu.

Sementara ramai juga, yang sejak selepas penamaan calon lagi, menjangkakan BN sukar mempertahankan kerusi yang silih bertukar tangan antara BN dengan pembangkang itu, majoriti agak besar diperoleh Pas kali ini agak mengejutkan, termasuk di kalangan pimpinan BN dan Pas sendiri.

Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Mohd Abdul Wahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam memperoleh 32,883 undi, Wan Ahmad Farid (30,252 undi), manakala Azharudin, bertanding menggunakan lambang buku hanya meraih 193 undi, sekali gus hilang wang pertaruhan. Seramai 63,993 atau 79.9 peratus daripada 80,229 pemilih mengundi pada pilihan raya kecil yang diadakan berikutan kematian bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Allahyarham Datuk Razali Ismail itu.

Pada pilihan raya umum Mac tahun lalu, BN menerusi Razali menguasai kerusi Parlimen dengan majoriti 628 undi, tetapi tiga daripada empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Wakaf Mempelam, Batu Buruk dan Ladang dikuasai Pas. Hanya DUN Bandar dimenangi BN menerusi calon MCA. Kawasan Parlimen Kuala Terengganu mempunyai 8,744 pengundi Cina dan 480 pengundi India. Kerana itu, BN dan Pas sejak awal lagi menganggap peluang masing-masing untuk merebut kerusi ini adalah 50-50 dengan pengundi atas pagar menjadi faktor penentu.

Seramai 63,993 pengundi atau 79.09 peratus keluar mengundi, merosot berbanding 65,808 atau 81.92 peratus pada pilihan raya umum lalu. Apakah kemerosotan keluar mengundi itu sebagai bantahan kepada calon dan BN atau kerana ramai pemilih berdaftar yang bekerja di luar Terengganu tidak pulang mengundi pada pilihan raya kecil ini seperti dinyatakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Atau mungkinkah pengundi atas pagar, kebanyakan golongan guru yang dulunya mengundi Allahyarham Razali, bekas pendidik, berdasarkan sentimen kerjaya perguruan mereka, kali ini mengubah selera? Apakah pengundi Cina, yang pada pilihan raya umum lalu dikatakan memberikan undi mereka kepada BN pada peringkat DUN, tetapi memilih pembangkang pada peringkat Parlimen sehingga Razali menang tipis, meneruskan trend itu kelmarin sehingga BN gagal mempertahankan kerusi berkenaan?

Sejarah pilihan raya lalu menunjukkan pengundi Kuala Terengganu selaku penghuni bandar dan mempunyai taraf hidup lebih baik berbanding penduduk di kawasan luar bandar, memang agak kritikal. Dalam kata lain, jika pengundi di kawasan lain lebih mengutamakan parti daripada calon, pengundi di Kuala Terengganu turut memberi keutamaan kepada calon dan isu yang dimainkan sepanjang kempen berjalan.

Sebab itulah sejak Pilihan Raya Umum 1986, Parlimen Kuala Terengganu dimenangi silih berganti antara BN dan pembangkang dengan faktor calon serta isu-isu semasa ketika itu mempengaruhi keputusan. Misalnya, wakil BN, Datuk Zuber Embong yang menang pada 1986 tewas kepada calon Parti Semangat 46, Datuk Manan Othman pada 1990 selepas berlaku krisis dalam Umno ketika itu.

Pada Pilihan Raya Umum 1995, kerusi itu dirampas semula BN menerusi calonnya, Allahyarham Datuk Abu Bakar Daud, tetapi berikutan krisis dalaman Umno pada 1998, calon Pas, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi menang kerusi itu pada 1999. Kerusi itu kembali ke tangan BN menerusi Razali pada 2004, yang berjaya mempertahankannya sekali lagi pada Mac 2008.

Jika pada Pilihan Raya Umum 2008, BN menang di tiga kawasan DUN, kali ini semua kerusi DUN, termasuk Bandar memihak kepada pembangkang. Keputusan pengundian menunjukkan BN bukan saja gagal menambah sokongan di peti undi dikuasai Pas, tetapi turut kalah di peti undi yang dimenanginya tahun lalu.

BN hanya menang satu daripada 11 peti undi di DUN Wakaf Mempelam, kawasan kubu kuat Pas yang diwakili Mohd Abdul Wahid sejak lima penggal lalu; empat daripada sembilan peti undi di DUN Batu Buruk; tiga daripada 11 peti undi di DUN Ladang; dan tiga daripada tujuh peti undi di DUN Bandar. Kecuali di peti undi Kampung Tiong dalam DUN Bandar dan peti undi Losong Datuk Amar di DUN Wakaf Mempelam, jumlah undi yang diperoleh BN semuanya merosot. Begitu pun, BN menang undi pos dengan memperoleh 1,039 dan Pas cuma dapat 86 undi. Jumlah undi pos ialah 1,302.

Bagaimanapun, adalah tidak adil untuk menjadikan calon sebagai faktor tunggal kekalahan BN di Kuala Terengganu, walaupun tindakan menyebarkan pelbagai fitnah terhadap peribadi Wan Ahmad Farid, termasuk pada saat akhir menjelang hari mengundi, sedikit sebanyak mempengaruhi pengundi.

Kekalahan BN kelmarin juga, kali kedua selepas Parlimen Permatang Pauh sejak Pilihan Raya Umum Ke-12, bukan juga petanda rakyat menolak BN. Seperti kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, walaupun keputusan itu satu tamparan kepada BN, ia hanyalah pilihan raya kecil yang keputusannya banyak dipengaruhi faktor tempatan.

"Ini pilihan raya kecil... banyak faktor yang boleh tentukan keputusan dan faktor tempatan tidak boleh dibaca sebagai pertimbangan politik peringkat nasional. Kita akan terus berkhidmat kepada rakyat dan tidak akan tawar hati dengan keputusan ini. Kita akan meneruskan komitmen untuk berkhidmat kepada rakyat dengan lebih baik lagi serta membangun dan memajukan negara sehingga mencapai tahap kejayaan yang lebih tinggi, insya-Allah," katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar sejurus selepas keputusan rasmi diumumkan malam kelmarin.

Berdasarkan kenyataan Najib itu, kajian terperinci BN dan Umno terhadap kekalahan ini tidak lama lagi perlu dibuat secara jujur untuk mencari punca sebenar, walaupun pahit bagi memastikan ia tidak berulang pada pilihan raya kecil selepas ini. Memang majoriti agak besar yang diperoleh pembangkang agak mengejutkan, termasuk di kalangan Pas dan Pakatan Rakyat, apa lagi kerana mereka juga mempunyai masalah dalaman, terutama berhubung pemilihan calon kali ini.

Malah, pada peringkat Pakatan Rakyat pun percanggahan berlaku dalam tempoh beberapa hari selepas penamaan calon sehingga kelompok tertentu dalam pimpinan Pas negeri dikatakan tidak mahu pemimpin luar bukan daripada parti itu datang berkempen. Apabila ceramah Pas oleh pemimpin tempatan dilihat kurang sambutan, barulah mereka bersetuju dengan kehadiran pemimpin Pusat.

Pada pihak BN pula, kehadiran hampir semua pemimpin kanan parti dan perhubungan Umno/BN negeri lain berkampung di Kuala Terengganu lebih kepada berganding bahu dengan pemimpin tempatan menjaga kawasan peti undi, daripada menonjolkan diri masing-masing seperti berlaku pada pilihan raya kecil sebelum ini. Walaupun ada yang mengambil kesempatan berkempen untuk pemilihan Umno, ia dilakukan secara senyap oleh -ejen mereka di lobi hotel penginapan selepas ceramah.

Justeru, kehadiran orang luar tidak boleh dijadikan faktor kekalahan, apa lagi pemimpin dan penyokong pembangkang, termasuk daripada DAP sendiri turut berkampung di Kuala Terengganu sejak dua minggu lalu. Barangkali bezanya ialah jentera pilihan raya Pas pada peringkat cawangan lebih kemas dan ikhlas berbanding jentera Umno, yang hingga pada saat akhir dilaporkan masih mempunyai masalah sehingga memaksa pemimpin peringkat negeri turun menyelesaikannya.

Salah satu punca masalah ini ialah rasa tidak puas hati pengundi, termasuk ahli Umno sendiri terhadap kebanyakan ketua cawangan yang juga pengerusi jawatankuasa kemajuan kampung, terutama yang terlalu lama memegang jawatan itu. Disebabkan mereka ini tidak dapat dikalahkan sewaktu pemilihan parti pada peringkat cawangan, ahli parti melahirkan protes melalui peti ini.

"Faktor ada ahli Umno sendiri dan pengundi atas pagar membalas dendam terhadap pemimpin akar umbi yang dilihat tidak menjaga kepentingan mereka atau tidak mesra rakyat tidak harus dipandang ringan. Jika tidak kenapa banyak peti undi yang BN kuasai dulu jatuh ke tangan pembangkang dan peratus keluar mengundi agak rendah," kata seorang petugas Umno negeri ketika ditanya pandangannya mengenai keputusan itu.

Jika benar pandangan itu, yang turut disuarakan oleh beberapa pemimpin Umno luar yang bertandang di kampung-kampung di kawasan Parlimen Kuala Terengganu sejak dua minggu lalu, BN dan Umno perlu memberi perhatian kerana ia juga mungkin berlaku di tempat lain, terutama kawasan luar bandar yang penduduknya amat bergantung kepada pemimpin akar umbi dalam menyelesaikan masalah dan menjaga kepentingan mereka. Pilihan Raya Umum Ke-13 akan tiba kira-kira empat tahun lagi dan jika masalah tempatan seperti ini berlaku di banyak kawasan, tidak mustahil ia boleh mencorakkan landskap politik nasional.

Komentar - Kegagalan sayap BN di PRK Kuala Terengganu

Jika Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu dijadikan ukuran berhubung sambutan generasi muda terhadap UMNO adalah jelas parti berkenaan terpaksa mengakui bahawa mereka gagal menarik golongan itu.

Ini kerana berdasarkan jumlah undi yang diperolehi oleh calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, kesemua saluran undi yang melibatkan generasi muda menyaksikan BN tewas. Ia juga bermakna selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu yang mencatatkan BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen, generasi muda semakin menjauhi UMNO dan BN.

Sebaliknya, tumpuan mereka lebih kepada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) manakala bukan Melayu pula lebih cenderung menyokong DAP. Trend ini seharusnya tidak dibiarkan oleh UMNO dan BN kerana dalam pilihan raya umum akan datang 49 peratus daripada keseluruhan pengundi adalah terdiri daripada pengundi muda.

Oleh itu, kegagalan di Kuala Terengganu seharusnya benar-benar memberikan pengajaran kepada BN terutamanya UMNO supaya melakukan langkah yang lebih agresif untuk memastikan pengundi muda tidak terus meninggalkan mereka.

Sebenarnya, di Kuala Terengganu, sejak dari awal lagi penulis sudah merasakan golongan berkenaan tidak akan menyebelahi BN. Ia bukan sahaja berdasarkan kepada gelagat golongan muda yang begitu megah mengibarkan bendera pembangkang di jalan-jalan raya, malah program-program yang diatur oleh Pemuda atau Puteri juga dilihat sebagai pendekatan yang sudah ditelan zaman.

Dalam soal ini, pemimpin dari luar yang datang termasuklah Ketua Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Puteri, Datuk Noraini Ahmad tidak boleh dipersalahkan kerana mereka hanyalah datang membantu.

Apa juga yang mereka lakukan tidak akan berkesan seandainya sejak awal lagi Pemuda dan Puteri UMNO di peringkat negeri sememangnya tidak popular di kalangan generasi muda. Ia jelas apabila program-program Pemuda khususnya hanya dihadiri oleh mereka yang sudah lama berada dalam Pemuda dan bukannya pengundi-pengundi baru rakyat tempatan.

Lebih malang lagi, menurut sumber, Pemuda UMNO negeri terutamanya, masih dilihat berimej elit sehingga ia menyukarkan usaha untuk menarik golongan muda bersama-sama dengan parti itu.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila jentera Pemuda yang datang dari luar termasuk mereka yang sesetengahnya bertaraf pemimpin masih belum mahu belajar budaya tempatan.

Selain bermegah dengan menaiki kereta-kereta mewah, mereka masih kekal berkumpul di coffee house dan lobi-lobi hotel, bukannya keluar membantu berkempen.

Penulis melihat sendiri bagaimana ketika hari pengundian di sebuah hotel terkenal di Kuala Terengganu, berpuluh-puluh ahli Pemuda berkumpul dan berbual sesama mereka, sedangkan ketika itu jam menunjukkan pusat-pusat pengundian mula dibuka.

Suasana ini berbeza dengan ahli-ahli Pemuda Pas yang sanggup semalaman berada di pondok-pondok panas dan terus bekerja apabila fajar menyingsing bagi meraih undi.

Kesudahannya menurut satu sumber BN, ketika Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melawat pondok-pondok panas tertentu, tiada seorang pun anggota Pemuda yang berada di situ. Semua ini menimbulkan pertanyaan apakah motif sebenar ribuan anggota Pemuda datang ke Kuala Terengganu? Apakah mereka benar-benar datang untuk berkempen bagi memenangkan calon BN atau datang dengan niat berkempen sempena pemilihan UMNO Mac nanti?

Seperkara lagi, beberapa pihak yang berada di Kuala Terengganu sepanjang pilihan raya berlangsung, turut menyifatkan segala program yang dilaksanakan oleh Pemuda boleh dianggap sudah lapuk dan tidak sesuai digunakan lagi.

Ini termasuklah bengkel memperbaiki motosikal yang pada pandangan penulis hanya membuang masa kerana ia tidak memberi keuntungan politik jangka panjang.

Mungkin ramai yang hadir tetapi persoalannya adakah mereka yang datang itu menyelami perjuangan UMNO atau lebih tepat lagi akan memangkah BN?

Justeru tidak keterlaluan jika dikatakan sepanjang pilihan raya Kuala Terengganu, jentera Pemuda dianggap tidak sehebat Dewan Pemuda Pas yang dikatakan memainkan peranan penting dalam usaha memastikan kemenangan calon mereka.

Semua ini terjadi kerana Pemuda UMNO negeri ibarat hidup segan mati tidak mahu dan hanya akan bergerak jika ada pemimpin negeri datang atau ketika musim pilihan raya sahaja. Kegagalan mereka berfungsi sekali gus membawa bencana kepada BN.

Kita tidak boleh mempersalahkan sangat jentera Pemuda dari luar kerana mereka bergantung kepada jentera tempatan. Ini termasuklah dalam mengatur perang saraf - salah satu senjata Pas yang paling berkesan menyerang BN ketika pilihan raya berlangsung.

Penulis difahamkan Pemuda UMNO sememangnya sudah mengatur team untuk tujuan itu, tetapi entah di mana silapnya sehingga ke hari pengundian hanya beberapa helai risalah sahaja yang dikeluarkan.

Bagi Puteri pula, mereka kini bukanlah lagi sebuah pasukan yang digeruni oleh pembangkang. Jika dalam pilihan raya kecil sebelum tahun 2004 dulu Puteri UMNO dianggap salah satu senjata ampuh berikutan keberanian mereka meredah setiap kawasan bagi meraih undi termasuk di dalam rumah pembangkang tetapi semangat perjuangan berkenaan semakin luntur akibat dikaburi dengan jawatan dan kedudukan.

Apa yang berlaku di Kuala Terengganu ialah Puteri hanya menumpukan perhatian di zon selesa iaitu di kawasan yang kalau mereka tidak masuk pun pengundi tetap akan memilih BN. Keadaan ini berbeza dengan suatu ketika dulu apabila Pas begitu bimbang dengan kehadiran Puteri.

Pengalaman penulis ketika Pilihan Raya Kecil Parlimen Pendang dan Dewan Undangan Negeri Anak Bukit yang menyaksikan bagaimana Pas terpaksa melipat gandakan pergerakan Dewan Muslimatnya bagi menghadapi Puteri UMNO sudah tidak kelihatan lagi.

Lebih malangnya lagi apabila ada laporan yang menyatakan terdapat ahli-ahli Puteri yang masuk ke kampung-kampung untuk berkempen, berpakaian seperti hendak pergi 'bershopping', biarpun mereka mengetahui bahawa mereka berada di kawasan luar bandar.

Bagi penulis, gelagat yang ditunjukkan oleh Puteri sepanjang pilihan raya di Kuala Terengganu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sejak hari penamaan calon lagi, beberapa pemimpin Puteri yang berbual dengan penulis termasuk ada antaranya bertaraf YB, lebih banyak bercakap soal pemilihan parti pada Mac ini berbanding strategi yang akan digunakan untuk menumbangkan Pas.

Berdasarkan apa yang dipaparkan, jika BN benar-benar ingin menarik perhatian generasi muda menyokongnya, satu usaha untuk memberi nafas baru kepada Pemuda dan Puteri perlu dilakukan.

Ini termasuklah kebijaksanaan memilih pemimpin yang akan menerajui kedua-dua sayap berkenaan mulai Mac nanti.

Pemimpin yang akan dipilih bukan sahaja mempunyai idea bagi menarik sokongan generasi muda tetapi juga mempunyai karisma untuk disukai rakyat. Ini kerana dalam pilihan raya segala faktor akan diambil kira termasuklah bagaimana penampilan seseorang pemimpin itu.

Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu seharusnya menyedarkan kepimpinan dan ahli-ahli kedua-dua sayap tersebut bahawa cabaran yang menanti mereka bukanlah sedikit. Tiada gunanya kalau kita hanya sekadar popular di kalangan ahli sahaja sedangkan apabila pilihan raya rakyat menolak BN. Kuala Terengganu sudah membuktikan fakta itu!

Selasa, Januari 20, 2009

Komentar - Umno, BN mesti diperkukuh lebih prihatin masalah rakyat

PELBAGAI analisis sudah dikemukakan mengenai keputusan Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, tetapi sebagai penyokong Barisan Nasional (BN) dan Umno, saya berasakan masih ada aspek perlu diperhalusi. Analisis politik yang objektif mestilah berlandaskan hakikat yang berlaku tanpa perasaan takut dan malu. Dengan matlamat untuk mencari kesilapan sebenar maka barulah pembaharuan dan perubahan berkesan dapat diambil. Sikap membohongi diri hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Apakah pentingnya pilihan raya kecil Kuala Terengganu kepada Umno dan BN? Ia penting kerana Umno bukan saja mempertahankan kerusinya, tetapi juga bertujuan menyekat tsunami politik yang bermula 8 Mac 2008.

Umno perlu memulihkan imejnya supaya parti itu terus relevan sebagai tonggak kekuatan BN dan Kerajaan Persekutuan. Kekalahan dua pertiga kerusi Parlimen 8 Mac 2008 dan kehilangan lima negeri kepada Pakatan Rakyat mesti ditebus di Kuala Terengganu. Kemenangan dengan majoriti besar akan memulihkan keyakinan rakyat kepada Umno sebagai peneraju Kerajaan Pusat.

Apakah pentingnya pilihan raya kecil ini kepada Pas dan Pakatan Rakyat? Bagi Pas, kemenangan di Kuala Terengganu akan mengukuhkan imejnya sebagai rakan Pakatan Rakyat yang tidak boleh dipandang ringan oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat. Kemenangan di Kuala Terengganu dapat mengubat rasa malu Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang gagal mempertahankan Terengganu sedangkan parti itu mencatat kejayaan cemerlang di Kedah, Perak dan Selangor. Bagi Pakatan Rakyat, kemenangan Kuala Terengganu melonjakkan pengaruhnya sebagai parti alternatif kepada BN. Bagi Pas dan Pakatan Rakyat, kemenangan walaupun dengan majoriti kecil sudah cukup untuk menaikkan imej mereka.

Kemenangan memihak kepada calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi, keputusan di luar jangkaan Pas sendiri. Calon Umno, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh memperoleh 30,252 undi, kehilangan 2,310 undi berbanding jumlah undi diperoleh Allahyarham Datuk Razali Ismail pada pilihan raya umum Mac tahun lalu. Dari segi statistik, kehilangan hampir 10 peratus undi dalam tempoh 10 bulan tidak boleh dipandang ringan oleh Umno. Jika jumlah pengundi Cina yang menyokong BN meningkat seperti didakwa Datuk Seri Ong Tee Keat, ini bermakna kemenangan calon Pas adalah kerana sokongan ahli Umno sendiri.

Ada penganalisis politik yang melihat pilihan raya sebagai percaturan persepsi dan populariti, justeru, kesilapan memilih calon dilihat sebagai faktor utama kekalahan BN. Umno menyedari hakikat itu, lalu menamakan Wan Ahmad Farid sebagai calon lebih awal bagi memberi masa yang cukup untuk menangani sebarang isu dalaman parti berhubung calon. Bagaimanapun, andaian ini terbatal kerana dalam pilihan raya umum dan kecil sebelum ini, BN pernah meletakkan calon yang kontroversi dan bermasalah tetapi tetap menang.

Kalau persepsi dijadikan ukuran, maka rakyat sepatutnya akan memilih parti terbaik untuk mereka. Melihat kepada jumlah kempen, ceramah dan propaganda media massa sejak hari penamaan calon hinggalah ke hari mengundi, Umno sepatutnya menang besar. Umno mempamerkan kepada rakyat Kuala Terengganu imej sebuah parti yang 'cakna rakyat', parti yang membawa kemajuan, berjiwa rakyat dan parti yang murah dengan wang ringgit. Sementara Pas dan Pakatan Rakyat pula digambarkan sebagai parti yang tidur sebantal tetapi mimpi berbeza, pakatan yang sedang retak menanti belah. Isu hudud dan perpecahan dalam Parti Keadilan Rakyat dihebahkan secara meluas.

Pas dan Pakatan Rakyat pula mencanangkan gagasan yang sama seperti pilihan raya umum tahun lalu. Pembangkang berjanji untuk membawa perubahan dan reformasi melalui pembentukan Malaysia baru yang lebih adil dan telus. Isu yang diulang tayang oleh mereka ialah rasuah, ketidakadilan, penyalahgunaan kuasa dan pelbagai kelemahan Umno dan BN.

Sebenarnya, pemikiran rakyat kita sudah maju dan mereka mampu membuat penilaian sendiri. Persepsi dan populariti calon bukan ukuran utama tetapi pragmatisme yang menjadi asas utama pemilihan rakyat.

Ketaksuban rakyat sekarang kepada parti tertentu tidak sama dengan 20 tahun lalu. Generasi muda khususnya sudah mempunyai pendirian sendiri yang tidak sama dengan ibu atau ayah mereka dalam soal politik. Malah, generasi ini mampu menjadi ejen perubahan kepada kaum keluarga mereka.

Kempen Umno tidak sama dengan apa yang dilakukannya. Perkara ini mudah dilihat oleh pengundi Kuala Terengganu. Rakyat melihat kehadiran pemimpin Umno dari seluruh negara dengan rombongan kereta mewah sedangkan mereka terpaksa berasak dalam van untuk mendengar ceramah. Pemimpin Wanita Umno yang datang dari Selangor dan Wilayah Persekutuan tidak segan silu mempamerkan gelang dan cincin berlian. Apakah peniaga kecil di Pasar Payang dan mak cik di Batu Buruk dan Wakaf Mempelam tidak tahu nilainya?

Dari segi penampilan diri, pemimpin Umno mempamerkan kemewahan hidup di Kuala Terengganu berbanding pemimpin Pas dan Pakatan Rakyat.

Jubah yang sama dipakai beberapa hari. Wanitanya pula bertudung labuh, jadi tidak ada subang atau rantai berlian yang hendak dipamerkan. Imej mereka jauh berbeza dengan imej pemimpin Umno.

Kita juga tidak tahu sama ada taktik pemimpin mendukung anak kecil, memapah orang tua dan menghulur buah tangan kepada pesakit di hospital di setiap kempen pilihan raya memberi kesan kepada pengundi.

Poster besar calon dan pemimpin bersama rakyat mungkin tidak lagi menarik minat rakyat kerana mereka dapat membezakan di antara lakonan pilihan raya dan pemimpin yang benar-benar berjuang untuk rakyat.

PEMERHATI POLITIK,
Kuala Lumpur.

Masa untuk wakil rakyat bermuhasabah (PRK Kuala Terengganu)

Kekalahan Barisan Nasioanl (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu tidak memeranjatkan pemerhati politik termasuk saya.

Keputusan itu sudah diduga sebaik sahaja nama calon BN diumumkan dan dikhuatiri menjadi kenyataan apabila Pas menamakan Abdul Wahid Endut sebagai calonnya.

Menghormati hak UMNO dan pucuk pimpinannya dalam memutuskan calon, calon paling sesuai untuk kerusi itu dalam senario poltik selepas PRU 12 ialah seorang yang mesra rakyat dan mudah digauli rakyat bawahan yang menjadi sebahagian besar daripada pengundi.

Pas membuat keputusan tepat apabila mempertaruhkan Abdul Wahid yang sudah bermesra dengan rakyat sejak menjadi ADUN Wakaf Mempelam sejak 20 tahun lalu.

Pengundi sekarang terutama yang muda bukan mahu menukar parti, tapi mahukan perubahan dari segi peribadi dan karektor wakil rakyat mereka.

Mereka tidak mahukan calon yang hanya mahukan status sebagai wakil rakyat untuk mencapai kepuasan dan cita-cita peribadi dan bukannya mengabdi diri kepada pengundi.

Wakil rakyat dari mana-mana parti sekali pun harus berawas anda bakal diketepikan pengundi jika tidak berkhidmat untuk ramai dan hanya sibuk mengejar cita-cita peribadi semasa diberi amanah oleh rakyat.

Wakil rakyat dan ahli UMNO juga harus muhasabah diri dengan natijah pilihan raya kecil ini yang kedua selepas kekalahan tidak terduga dalam PRU 12.

Nampaknya masih banyak pemimpinnya yang masih belum celik kepada realiti hari ini bahawa pengundi sudah menjadi tuan dan bukan lagi alat kepada mereka.

Masih belum terlambat untuk memperbaiki keadaan. Bagi mereka yang benar-benar mahu menjadi wakil rakyat cepat-cepat bertaubat dan kembali ke perjuangan asal parti anda.

Kalau tidak minta maaf anda bakal dilanyak dalam PRU 13 kelak.

Selain soal calon, pengundi Cina pula ternyata bijak mengatur strategi apabila mereka sering disebut sebagai faktor penentu keputusan di Kuala Terengganu.

Mereka mengatur langkah politik bukan saja untuk mereka, tetapi seluruh kaum Cina dalam memperkukuhkan kuasa tawar-menawar mereka dalam PRU 13 nanti.

Bab ini bangsa Melayu kena renungkan.

IBNU SOLLEH
SETAPAK

Kekalahan BN sebab tiada kekuatan imej, idea dan isu (PRK Kuala Terengganu)

Punca kekalahan Barisan Nasional (BN) di Kuala Terengganu mungkin disebabkan ia tidak mempunyai kekuatan dari segi imej, idea dan isu untuk menghadapi pilihan raya.

Pada saya BN tidak perlu jadikan hukum hudud sebagai modal berkempen. Rakyat sudah maklum, hukum hudud sudah sebati dengan penyokong Pas. Kenapa tidak guna isu yang boleh menggugat penyokong parti itu?

Kami berpendapat apabila UMNO menggunakan isu hudud sebagai alat serangan untuk menakutkan penyokong Pas dan pengundi, mereka hanya ketawa bukannya takut.

Cara begini seolah-olah kita menakut-nakutkan kanak-kanak: ''Jangan bermain di tempat itu, nanti kena sampuk hantu''.

Tetapi kanak-kanak tidak mempedulikan gertakan itu kerana mereka mempunyai sikap ingin tahu yang tinggi.

Sebaliknya pembangkang mempunyai banyak isu yang boleh mempengaruhi penyokong mereka dan penyokong BN.

Antaranya projek-projek terbengkalai, isu pemimpin yang hanya turun padang ketika pilihan raya sudah dekat, isu jalan raya lambat siap, sampah sarap bertimbun dan isu pendatang tanpa izin yang memualkan penduduk setempat.

Saya mencadangkan BN memikirkan kempen pilihan raya dalam bentuk baru iaitu berteraskan khidmat pemimpin kepada rakyat.

Persoalan perlu dirungkai, adakah wakil-wakil rakyat BN telah menunaikan tanggungjawabnya dengan baik selama menjadi wakil rakyat? Jika jawapannya ya, maka kepercayaan pengundi akan meningkat.

Perkhidmatan terbaik ialah cara berkempen yang terbaik.

Memang banyak Yang Berhormat BN yang berkaliber tetapi banyak juga yang hanya menggunakan nama parti untuk kepentingan peribadi. Mereka inilah yang melemahkan BN.

Ada pula Ahli Parlimen BN yang hanya melalak di sidang Parlimen tetapi habuk pun tarak di kawasannya.

Ada yang marah-marah (terikut-ikut dengan pembangkang) tetapi isu yang dimarah-marahkan itu hanyalah isu-isu picisan.

Cubalah YB perdebatkan tentang isu menangani remaja yang semakin runtuh moralnya, pendidikan dan isu yang lebih merupakan isu langsung rakyat.

Saya berharap, isu-isu seperti 'kau monyet' dan lain-lain perbincangan bersifat emosi tidak lagi menjadi keutamaan.

Saya berharap dengan bantuan media ia berani membentuk YB-YB BN ini dengan cara yang telus. Percayalah rakyat sekarang sudah boleh menilai yang mana baik dan buruk.

Dalam zaman Internet ini, seseorang YB tidak lagi mampu menutup kelemahan politiknya kepada umum.

Kita mungkin akan dibenci, tetapi jika kita sanggup mengakui kesilapan kita, dan melakukan yang terbaik kepada rakyat saya yakin penyokong BN akan kembali dan penyokong pembangkang juga akan berpaling tadah.

''Ingatlah pengundi bukan mahu mendengar ceramah atau cerita yang baru direka sehari sebelum pilihan raya, tetapi mahu melihat apa yang telah dibuat, disumbangkan dan diamalkan sejak lima tahun lalu.''

PEMERHATI YB
SEMPORNA, SABAH

BN selepas PRU 12 dan 2 Pilihanraya Kecil

Pakatan Rakyat berjaya menambah satu lagi kerusi di Dewan Rakyat apabila calon Pas, Mohd. Abdul Wahid Endut memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu pada Sabtu lalu. Dan bagi Barisan Nasional (BN), ini kekalahan kedua dalam pilihan raya kecil selepas tewas di Permatang Pauh pada Ogos 2008.

Bagaimanapun, Permatang Pauh memang milik Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan pilihan raya kecil diadakan hanya untuk memberi laluan kepada Penasihat PKR, Anwar Ibrahim menjadi ketua pembangkang bagi mengejar impian membentuk Kerajaan Persekutuan pada 16 September lalu.

Kekalahan di Kuala Terengganu bermakna BN ditolak sekali lagi melalui pilihan raya kecil sementara PKR dan Pas membuktikan pengaruh mereka selepas pilihan raya umum Mac tahun lalu. Pengaruh terhadap BN pula nyata merosot.

Di Permatang Pauh, PKR berjaya menambah 857 undi berbanding BN yang kehilangan 1,426 undi. Ketika Dr. Wan Azizah Wan Ismail bertanding mempertahankan kerusi itu pada 2008, beliau memperoleh 30,338 undi berbanding Pirdaus Ismail dari BN yang mendapat 16,950 undi. Bagaimanapun pada pilihan raya kecil, Anwar memperoleh 31,195 undi sementara Arif Shah (BN) mendapat 15,524 undi.

Dalam pilihan raya kecil Sabtu lalu, Pas memperoleh 32,883 undi - meningkat 949 undi berbanding Mac lalu, 31,934 undi. BN pula mendapat 30,252 undi berbanding 32,562 undi (2008) - hilang 2,310 undi.

Jelaslah, dua pilihan raya kecil di kawasan majoriti Melayu ini menyaksikan kemerosotan sokongan kepada BN. Apakah maknanya ini?

Bukanlah kejutan apabila calon Pas menang tetapi yang menjadi kejutan ialah majoriti undi. Kejutan mengenai majoriti ini pula ada dua.

Pertama majoriti dimenangi Pas lebih besar berbanding kemenangan BN pada Mac lalu. Kejutan kedua, seperti kata seorang sahabat yang turut mengundi Sabtu lalu ialah Pas sebenarnya boleh menang lebih besar.

Banyak analisis yang dibuat mengenai kemenangan calon Pas ini dan tentunya yang paling popular ialah mengenai calon itu sendiri. Begitu juga di Permatang Pauh.

Calon menjadi faktor kemenangan. Tidak dinafikan kejayaan PKR dan Pas pada dua pilihan raya kecil ini adalah disebabkan calon yang diturunkan lebih berpengalaman berbanding calon BN.

Diselak kembali pengalaman calon-calon PKR dan Pas ini, ternyata, mereka berpengalaman luas berbanding lawan masing-masing.

Mohd. Abdul Wahid misalnya ialah anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Wakaf Mempelam yang mendekati rakyat selama lima penggal. Beliau pernah menjadi Exco kerajaan negeri semasa pemerintahan Pas.

Memang benar kata Presiden Pas, Abdul Hadi Awang sebelum ini bahawa Pas tidak tersilap memilih Mohd. Abdul Wahid sebagai calonnya.

Kata Abdul Hadi: "Kalau dia tak bagus, tentu orang tak pilih dia."

Sebagai orang lama, Mohd. Abdul Wahid lebih dikenali berbanding calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang bertugas di Pusat.

Menurut laporan Bernama, seorang penduduk dari Kubang Parit dalam kawasan DUN Wakaf Mempelam berkata, Mohd. Abdul Wahid amat dekat di hati pengundi.

"Dia selalu turun tengok orang kampung tanya khabar, belanja makan dan berborak, " katanya.

Rosli Kasim, 47, juga seperti dilaporkan Bernama berkata, calon Pas itu aktif melawat kampung.

"Kita suka dia sebab dia tidak bezakan taraf dia dengan kita... boleh duduk bersama, bergurau dan kalau rajin, dia mari ke rumah. Pemimpin macam ini kita nak," katanya.

Begitulah jika dilihat dari sudut calon Pas. Bagaimana pula dengan calon BN? Mungkin Wan Farid 'orang baru' berbanding Abdul Wahid. Dan jika dari sudut ini, maka sudah sewajarnya kelebihan memihak kepada Abdul Wahid.

Jika calon menjadi faktor, maka pada masa akan datang, BN perlu bijak memilih calon yang disukai semua kaum dan berpengaruh di- bahagian tidak kira siapa dia. Tidak semestinya ketua bahagian sahaja berpengaruh kerana pertandingan di peringkat bahagian belum tentu bersih malahan mungkin dipengaruhi politik wang.

Mungkin ketua cawangan yang tidak ghairah bertanding di bahagian atau tidak berkeupayaan 'membeli undi' adalah orang yang lebih dekat dengan orang ramai.

Setiap ahli pula perlu mempunyai semangat bersatu teguh, bercerai roboh dalam apa keadaan sekali pun, bukannya untuk kepentingan diri.

Apa pun alasan yang diberi berikutan kekalahan BN ini, UMNO perlu 'berubah'. Selain soal calon, carilah sebab musabab kenapa orang muda gagal memberi sokongan. Bagaimana nasib UMNO andainya orang muda ini tidak akan berubah pada pilihan raya umum akan datang? Selama mana mahu mengharapkan orang lama?

Justeru, pengundi muda perlu didekati. Kaji dan selidiki adakah di peringkat bahagian masih berlaku dendam, sabotaj terhadap pemimpin tertentu kerana tidak terpilih sebagai calon dan sebagainya sehingga mereka memainkan peranan mengalihkan sokongan ahli-ahli kepada parti pembangkang, tidak keluar mengundi atau merosakkan kertas undi.

Satu lagi perubahan yang boleh dilakukan ialah tidak lagi mengamalkan politik membuat pengumuman mengenai pelan pembangunan atau projek semasa pilihan raya. 'Upah' mengejut kepada rakyat sudah tidak boleh diterima. Mereka menerima pembangunan tetapi ia tidak mampu mengubah fikiran menyokong parti lawan.

BN tidak boleh lagi berpeluk tubuh, ia perlu melakukan sesuatu bagi menentukan nasib UMNO seterusnya BN pada hari-hari berikutnya.

Bukan salah Najib - Tun Mahathir (PRK Kuala Terengganu)

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak harus dipersalahkan ekoran kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu semalam.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kekalahan BN itu disebabkan kesilapan meletakkan calon yang tidak boleh diterima dan tidak disukai orang ramai.

"Sebahagian daripada sebab kekalahan ini ialah kerana pengundi tidak suka kepada calon.

"Pengundi terpaksa membuat pilihan antara calon BN serta Pas dan akhirnya memilih Pas walaupun tidak suka kepada parti pembangkang itu tetapi terpaksa membuat pilihan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melancarkan Kempen Selamatkan Palestin oleh Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Menentang Pembunuhan Palestin (Complete) di sini hari ini.

Dr. Mahathir mengulas mengenai kegagalan BN mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu apabila calonnya, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh tewas kepada calon Pas, Mohd. Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi.

Dalam keputusan yang diumumkan oleh pegawai pengurus pilihan raya, Wan Mustafa Wan Hassan pada pukul 9.35 malam, Wan Ahmad Farid memperoleh 30,252 undi manakala Mohd. Abdul Wahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam memperoleh 32,883 undi.

Seorang lagi calon yang bertanding atas tiket Bebas, Azharudin Mamat hanya memperoleh 193 undi dan hilang wang pertaruhan. Undi rosak 665.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, calon BN, Allahyarham Datuk Razali Ismail menewaskan calon Pas, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusuf dengan majoriti 628 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Razali yang juga Timbalan Menteri Pelajaran.

Dr. Mahathir menambah, jika BN mahu mencapai kejayaan pada pilihan raya umum ke-13, Najib perlu melakukan tindakan berani dan salah satunya ialah untuk menolak pemimpin-pemimpin yang terlibat dalam rasuah.

"Pemimpin-pemimpin yang rasuah ini juga tidak boleh dipilih memegang jawatan-jawatan di dalam kerajaan ataupun Kabinet.

"Kalau pemimpin-pemimpin ini masih dipilih oleh ahli parti menjadi pemimpin, mereka tidak boleh dipilih untuk menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti," katanya.

- Utusan

BN akan cari punca kekalahan - Pak Lah (PRK Kuala Terengganu)

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Barisan Nasional akan mencari punca kekalahan dan sebab penduduk Kuala Terengganu menolak parti itu pada pilihan raya kecil semalam.

Perdana Menteri berkata, ini termasuk mengambil kira pandangan rakyat di kawasan itu supaya tindakan segera dapat diambil.

Oleh itu katanya, beliau akan menunggu keputusan bedah siasat ekoran kekalahan BN pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

"BN berjanji akan mengambil kira pandangan rakyat di kawasan itu.

"Itu adalah kehendak rakyat. Pilihan raya telah dijalankan dengan baik dan teratur secara demokrasi serta tidak ada perkara yang tidak baik berlaku,"katanya kepada pemberita sejurus tiba di Hotel Ritz Carlton di sini malam ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika mengulas kegagalan BN mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu apabila calonnya, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh tewas kepada calon Pas, Mohd. Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi.

Dalam pilihan raya itu, Wan Ahmad Farid memperoleh 30,252 undi manakala Mohd. Abdul Wahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam memperoleh 32,883 undi.

Seorang lagi calon yang bertanding atas tiket Bebas, Azharudin Mamat hanya memperoleh 193 undi dan hilang wang pertaruhan manakala Undi rosak 665.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang, Datuk Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran pada bulan lalu.

Abdullah berkata, walaupun kalah dalam pilihan raya itu, UMNO tetap akan memberi khidmat kepada rakyat Kuala Terengganu.

"Wan Farid juga memberitahu saya yang beliau akan terus berkhidmat di kawasan itu walaupun tewas," ujarnya.

Katanya, pembangunan di kawasan itu juga akan tetap diteruskan bagi manfaat rakyat.

Abdullah turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi Kuala Terengganu yang mengundi BN.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga pengarah pilihan raya kecil yang telah bekerja kuat sepanjang tempoh kempen" ujarnya.

Perdana Menteri juga mengucapkan terima kasih kepada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO serta parti komponen BN dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang telah menjalankan tugas dengan cemerlang.

- Utusan

Isnin, Januari 19, 2009

Nik Aziz nasihat usah angkuh keluar kenyataan

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengingatkan semua pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat (PR) khususnya ahli Pas tidak angkuh hingga mengeluarkan kenyataan yang menyinggung lawan berikutan kemenangan dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, kelmarin.

Nik Abdul Aziz berkata, kemenangan itu perlu dirai dengan usaha lebih gigih untuk menarik sokongan rakyat selepas berjaya merapatkan kaum Cina khususnya penyokong DAP yang sebelum ini dikenali sebagai golongan ekstrem kepada perjuangan Islam yang dibawa Pas.

"Perjuangan kita adalah untuk dakwah, jadi saya minta tidak ada yang mengeluarkan kenyataan yang boleh melukakan pihak lawan kerana tindakan seperti itu akan menyukarkan kita menarik sokongan kerana mereka akan terus melarikan diri kerana terluka dengan kata-kata itu," katanya kepada media semalam.

Menteri Besar Kelantan itu berkata pendirian pengundi bukan Islam khususnya generasi muda Cina dan penyokong DAP kini semakin lembut kepada perjuangan Islam yang dibawa Pas.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub percaya kejayaan itu banyak dibantu faktor kelebihan calonnya, Mohd Abdul Wahid yang lebih berpengalaman memenangi hati rakyat.

Beliau berkata, Pas belajar daripada kesilapan lepas dan memilih Mohd Abdul Wahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam yang dianggap bebas daripada segala isu.

"Ini mesej jelas rakyat yang mahukan perubahan dan Pas mempelajari daripada kesilapan lampau," katanya.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali berkata isu yang dibawa dalam setiap ceramah PR adalah satu daripada faktor kejayaan calon Pas selain kehadiran Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Sebenarnya, isu yang dibawa BN banyak membantu calon kita seperti isu ekonomi, royalti dan bahasa yang dilihat lebih kepada unsur memfitnah.

"Golongan muda juga semakin sedar arah tuju mereka kerana kita membawa isu yang lebih relevan seperti bahasa, pendidikan, jenayah serta nasib orang Melayu," katanya.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula berkata keputusan pilihan raya kecil itu adalah peringatan kepada pemimpin Umno akibatnya jika mereka enggan menyahut gesaan rakyat supaya melakukan perubahan.

"Ia mencerminkan aspirasi politik rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan.

Lim yang juga anggota Parlimen Ipoh Timur berkata, keputusan itu perlu kajian mendalam terutama mengenai impak isu hudud dalam pilihan raya kecil.

- Berita Harian

Wahid Endut angkat sumpah Ahli Parlimen Kuala Terengganu 17 Februari

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut dijangka mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat sehari selepas perasmian Persidangan Parlimen, Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Parlimen Kedua Belas (2009), pada 17 Februari depan.

Sumber Dewan Rakyat berkata, persidangan Parlimen penggal kedua parlimen Kedua Belas akan dirasmikan Yang Dipertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 16 Februari dan Mohd Abdul Wahid akan mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen sebelum mesyuarat diadakan sehari selepas majlis perasmian.

Berdasarkan peraturan mesyuarat, katanya, setiap Ahli Dewan Rakyat yang menang pada pertandingan pilihan raya umum atau kecil perlu mengangkat sumpah sebelum menyertai mesyuarat pada persidangan Parlimen.

"Mohd Abdul Wahid yang menang pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, kelmarin akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat sebelum mesyuarat diadakan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Abdul Wahid yang juga Ketua Pas bahagian Kuala Terengganu menang kerusi Parlimen Kuala Terengganu selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam dengan majoriti 2,631 undi.

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diadakan berikutan kerusi itu kosong selepas penyandangnya, Datuk Razali Ismail meninggal dunia di Institut Aminuddin Baki (IAB) pada 28 November lalu.

Pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu kelmarin, Mohd Abdul Wahid memperoleh 32,883 undi, Wan Ahmad Farid yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu mendapat 30,252 undi, manakala Azharudin hanya meraih 193 undi, sekali gus hilang wang pertaruhan.

Seramai 63,993 atau 79.9 peratus daripada 80,229 pemilih berdaftar keluar menunaikan tanggungjawab memilih Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Dengan kemenangan Mohd Abdul Wahid, jumlah kerusi Pas pada persidangan Parlimen nanti bertambah daripada 22 kerusi kepada 23 kerusi dan jumlah kerus parti pembangkang juga bertambah kepada 83 kerusi, manakala kerusi BN berkurangan kepada 137 kerusi.

- Berita Harian

Polis tegur cara rai kemenangan (PRK Kuala Terengganu)


Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan kesal dengan tindakan penyokong sebuah parti pembangkang yang merayakan kemenangan calon mereka secara berlebih-lebihan dengan membuat bising dan membunyikan hon hingga mengganggu ketenteraman penduduk bandar raya ini malam kelmarin.

Beliau berkata, tindakan mereka berarak dan membuat bising sambil mengibarkan bendera di beberapa jalan utama termasuk kawasan pantai Batu Buruk, mengganggu pesakit di Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ).

Bagaimanapun, Musa berkata, tindakan proaktif polis mengawal keadaan dapat mengelakkan kejadian buruk berlaku dan keadaan bandar raya ini kembali tenang beberapa jam selepas keputusan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diumumkan.

"Tiada sebarang kejadian tidak diingini dan polis menafikan khabar angin kononnya ada pihak yang melempar mercun ke dalam kawasan kediaman rasmi Menteri Besar di Sri Iman," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan anggota polis yang terbabit dalam pilihan raya kecil itu di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini, semalam.

Bagi mengawal ketenteraman awam, Musa berkata, polis mengeluarkan 200 saman terhadap pelbagai kesalahan termasuk mengibarkan bendera parti daripada kenderaan. Mengulas perjalanan pilihan raya kecil itu, Musa berkata, orang ramai memberi kerjasama penuh dan sentiasa patuh kepada arahan polis menyebabkan pilihan raya kecil berlangsung dengan aman dan teratur.

"Media juga turut memainkan peranan menerusi laporan adil dan positif serta memberi ruang yang cukup kepada Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan memberi penerangan dan penjelasan mengenai tugas polis bagi memastikan perjalanan pilihan raya yang adil dan bersih," katanya.

Musa berkata, keadaan itu juga dicapai disebabkan keberkesanan lebih 3,500 anggota yang ditempatkan di empat markas taktikal di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kuala Terengganu.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang kesal dengan tindakan penyokong sebuah parti politik yang membuat perarakan besar-besaran bagi meraikan kemenangan calon mereka di sini malam kelmarin akan berunding dengan polis berhubung kemungkinan merangka peraturan tertentu supaya perkara sebegitu tidak dibenarkan pada masa depan.

Menyifatkan tindakan itu sebagai budaya politik yang tidak sihat, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata perarakan kenderaan sambil melaung-laung dan membunyikan hon bukan saja mengganggu ketenteraman penduduk, tetapi boleh mencetuskan provokasi.

- Berita Harian

Faktor kekalahan Barisan Nasional (PRK Kuala Terengganu)

Kini segala debaran sudah berakhir, kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang sebelum ini dikuasai oleh Barisan Nasional (BN) sejak tahun 2004 akhirnya dirampas kembali oleh Pas yang pernah berbuat demikian pada tahun 1999.

Calon Pas, Mohd.Abdul Wahid Endut yang sudah lima penggal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Wakaf Mempelam berjaya melebarkan sayapnya ke Parlimen apabila memperolehi majoriti 2,631 undi menewaskan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Sememangnya biarpun pilihan raya berkenaan turut disertai oleh calon Bebas, Azharudin Mamat namun persaingan lebih dilihat antara BN dan Pas. Kedua-dua parti itu bertarung sengit dari hari penamaan calon lagi iaitu pada 6 Januari lalu.

Sejak awal lagi, dari segi 'rating' sehinggalah malam pengundian Pas dikatakan mendahului sekitar 3,000 undi. Walaupun BN cuba bangkit di saat-saat akhir bagi mengurangkan majoriti namun ia gagal.

Kekalahan BN itu dianggap satu lagi tamparan yang diterima selepas parti tersebut kecundang di Permatang Pauh pada Ogos lalu. Ia sekaligus akan memberi modal kepada pakatan pembangkang yang disertai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas untuk meneruskan misi mereka mengkhabarkan kepada rakyat bahawa BN semakin ditolak atau sudah tidak relevan lagi.

Apa pun keadaannya, pilihan raya kecil berkenaan bukan sahaja menunjukkan bahawa jentera BN tidak belajar daripada pengalaman di Permatang Pauh malah mereka juga masih mengulangi tingkah laku yang tidak sesuai sebagai orang luar yang datang membantu jentera tempatan.

Sama ada hendak diakui atau tidak, Kuala Terengganu juga menyaksikan buat kali kedua bagaimana lemahnya jentera perang saraf BN, walaupun sehari sebelum hari penamaan calon pada 6 Januari lalu Pas sudah mula mengedar risalah dan makalah namun BN seolah-olah bersantai.

Risalah dan perang saraf BN hanya berlaku di penghujung-penghujung kempen ketika perang saraf Pas sudah meresapi hampir keseluruhan pemikiran pengundi. Walaupun BN mungkin sedikit sebanyak mampu mengawal keadaan tetapi pembangkang meneruskan pula serangan melalui ceramah-ceramahnya.

Apa yang malangnya, penceramah-penceramah BN gagal menangkis setiap serangan yang dilemparkan oleh pembangkang dalam ceramah mereka. Biarpun hakikatnya sebahagian besar dakwaan yang dibuat oleh pembangkang adalah palsu tetapi politik adalah berkaitan persepsi, apabila ada keraguan maka mereka akan mempercayai apa yang diperkatakan oleh pembangkang.

Lebih malang lagi, ada penceramah yang datang hanya 'menyerang' Pas berhubung hukum hudud manakala ada pula yang menjadikan Kuala Terengganu sebagai medan politik peribadi. Kesudahaannya mereka gagal untuk mempengaruhi pengundi bagi memastikan BN mencatatkan majoriti lebih besar memandangkan dalam tempoh satu malam sahaja segala hujah BN dapat dipatahkan oleh pembangkang.

Sokongan kepada BN juga tergugat apabila pembangkang melancarkan 'serangan' tiga hari berturut-turut sebelum hari pengundian dengan diketuai oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain menaburkan pelbagai dakyah mengenai pentadbiran negara, mereka juga melakukan serangan peribadi ke atas beberapa pemimpin UMNO termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak yang sejak awal lagi bertungkus lumus untuk memastikan kemenangan BN.

Masalah dalaman

Keadaan menjadi lebih buruk lagi, apabila masalah dalaman UMNO seolah-olah terus menjadi 'virus', kini terus mengancam parti itu di mana juga pilihan raya yang disertai. Difahamkan, sehingga awal pagi hari pengundian masalah itu tidak dapat diselesaikan dan ia memberi petanda awal bahawa BN akan menghadapi kekalahan.

Mungkin ada di antara kita yang membuat tafsiran awal bahawa kekalahan ini ada kaitan dengan personaliti Wan Ahmad Farid, namun untuk bertindak adil kepada beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, personaliti bukanlah faktor utama.

Faktor yang paling jelas menyumbang kepada kekalahan BN ialah jumlah keluar mengundi yang terlalu rendah, pengundi bukan Melayu tidak menyebelahi BN, masalah dalaman UMNO dan kekurangan sokongan daripada sebahagian kakitangan kerajaan.

Turut memeritkan lagi BN, apabila wujudnya tafsiran di kalangan pengundi bahawa pilihan raya ini tidak mempunyai apa-apa signifikannya kepada arena politik negara. Mereka membuat tafsiran bahawa siapapun menang BN tetap memerintah pusat dan negeri.

Persepsi ini juga memungkinkan pengundi-pengundi luar termasuk penyokong BN membuat keputusan tidak balik untuk mengundi. Bagi pembangkang pula, kemenangan ini tidak harus dibanggakan sangat kerana berdasarkan undi yang diperolehi oleh Wan Ahmad Farid adalah jelas penyokong BN tidak berganjak.

Pas atau pakatan pembangkang memperoleh kemenangan melalui pengundi atas pagar, sebahagian golongan pendidik yang menyokong Allahyarham Datuk Razali Ismail dan pengundi bukan Melayu yang sememangnya sejak awal lagi dilihat tidak memihak kepada BN.

Malah kemenangan ini juga seharusnya memberikan pengajaran kepada pembangkang untuk menerima realiti politik bahawa di Malaysia tidak ada pengundi hantu dan kita yakin tuduhan ini tidak akan lagi kedengaran berikutan kemenangan berkenaan.

Apa pun rakyat Kuala Terengganu sudah membuat keputusan dan semua pihak harus menghormatinya kerana itulah amalan demokrasi di Malaysia.

Semoga kali ini, kekalahan di Kuala Terengganu akan benar-benar menginsafkan BN. Parti itu perlu melakukan 'post mortem' secara terperinci, telus dan tegas bagi memperbaiki kelemahannya. Ini kerana apa yang berlaku dalam pilihan raya kecil tersebut tidak harus dilihat sebagai 'kalah di satu kerusi sahaja' tetapi perlu dilihat dalam skop yang lebih luas dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

- Utusan

Recent Posts