Abdullah Yakin BN Boleh Menang Di Kuala Terengganu (PRK Kuala Terengganu)

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yakin Barisan Nasional (BN) mampu memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu berasaskan perkembangan baik yang dilihatnya dalam lawatan kedua beliau ke sini hari ini.

"InsyaAllah kami (BN) boleh menang, tetapi kami perlu bekerja bersungguh-sungguh," kata Perdana Menteri kepada pemberita ketika ditanya tentang penilaiannya berhubung pilihan raya kecil Kuala Terengganu kali ini berbanding dengan lawatan pertamanya minggu kepas.

Abdullah berkata apa yang penting ialah BN mampu memberi penjelasan yang baik terhadap isu-isu yang dibangkitkan dan juga meyakinkan rakyat akan kemampuan parti itu untuk melaksanakan pembangunan.

Katanya jentera parti juga harus menggiatkan usaha meyakinkan masyarakat di sini akan keupayaan calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan itu.

"Saya kenal Wan Ahmad Farid kerana kebetulannya dia telah menjadi Setiausaha Politik kepada saya dan kemudian dilantik sebagai timbalan menteri dan itu adalah atas keyakinan saya yang dia mampu buat kerja dan buat kerja dengan baik," katanya.

Abdullah berkata kewibawaan Wan Ahmad Farid juga dibuktikan menerusi cadangan Umno Bahagian Kuala Terengganu yang meletakkan beliau sebagai satu-satunya nama untuk menjadi calon BN pada pilihan raya kecil itu.

"Yang pentingnya beliau mesti bekerja kuat," kata Abdullah.

Perdana Menteri turut mengulangi bahawa BN tidak pernah mengambil tindakan untuk membeli undi sebagaimana didakwa oleh pembangkang.

"Kami mempunyai kekuatan dan kami berada dalam dunia politik sejak dari awal, kami tahu cabaran, kesukaran yang kami perlu hadapi dalam pilihan raya. Kami ada jentera pilihan raya dan apa yang kami perlu pastikan adalah jentera kami bergerak, pekerja dan anggota parti melakukan kerja dan bekerja dengan baik," kata Abdullah.

- Bernama Abdullah Yakin BN Boleh Menang Di Kuala Terengganu (PRK Kuala Terengganu)

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.