Wan Ahmad Farid terus berkhidmat


Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh bertekad untuk bekerja keras dan terus memberi khidmat kepada rakyat Kuala Terengganu walaupun tewas pada pilihan raya kecil Parlimen itu hari ini.

Katanya, beliau akan melakukan semua itu bagi memastikan pengundi menukar fikiran mereka untuk menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

''Saya ucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi BN. Walaupun tidak cukup untuk menang pilihan raya tapi saya akan bekerja keras supaya pengundi menukar fikiran pada pilihan raya umum akan datang," katanya ketika ditemui di sini malam ini.

Beliau seterusnya mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang baru dari parti Pas, Mohd. Abdul Wahid Endut kerana diberi kepercayaan oleh rakyat untuk mewakili mereka di Dewan Rakyat.

''Saya ucapkan selamat menjalankan tugas baru sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu," katanya.

Wan Ahmad Farid turut mengucapkan penghargaan kepada jentera BN yang membantunya sepanjang kempen pilihan raya kecil itu.

''Saya tahu mereka bekerja keras, namun akhirnya rakyat yang membuat keputusan," ujarnya.

- Utusan

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.