Calon BN nafi beri wang (PRK Kuala Terengganu)

Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menafikan beliau terbabit memberikan wang kepada dua wartawan sebuah laman web di Pusat Media Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, petang kelmarin.

Beliau berkata, dalam tempoh pilihan raya kecil sekarang, pelbagai pihak akan mengambil kesempatan untuk memburukkan peribadinya.

“Saya tidak ada wang untuk ditawar kepada sesiapa...itu bukan saya punya.

“Anda tahu orang boleh buat apa saja, terutama pada pilihan raya kecil apabila anda menjadi perhatian.

“Yang pasti ia bukannya daripada BN ..saya boleh pastikan. Itu bukan wang saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Pusat Bukit Besar di sini, semalam.

Beliau yang ditemani isterinya, Toh Puan Intan Baizura Abdul Wahab kelihatan tenang dan sentiasa tersenyum ketika bertemu pengundi di sekolah berkenaan selepas mengundi pada jam 8.02 pagi.

Wan Ahmad berkata, beliau mahu menang pilihan raya kecil ini dengan cara adil tanpa bersubahat dengan sesiapa atau melakukan yang menyalahi undang-undang.

Kelmarin, dua wartawan laman web berbahasa Mandarin membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu kerana mendakwa diberikan satu sampul surat berisi wang ketika berada di pusat media berkenaan.

Sementara itu, Wan Ahmad Farid berkata, tempoh 11 hari berkempen dengan jadual program yang padat dari pagi sehingga lewat tengah malam menyebabkannya kehilangan berat badan sehingga membolehkannya memakai seluar yang digunakannya tujuh tahun lalu ketika keluar mengundi semalam.

Walaupun tempoh kempen 11 hari mungkin dianggap pendek sesetengah pihak lain, baginya ia tempoh yang panjang dan beliau memanfaatkannya untuk berjumpa dengan rakyat.

“Hari ini, saya memakai seluar yang pernah dipakai pada 2002, masa saya kurus dulu. Ia menunjukkan bahawa bukan saja berat badan dalam tempoh ini, tetapi ukuran pinggang badan menurun,” katanya.

Intan Baizura berkata, dia berdoa agar usaha kuat suami dan jentera parti selama berkempen akan mendapat hadiah kemenangan untuk BN bagi meneruskan usaha pembangunan kepada rakyat Terengganu.

- Berita Harian Calon BN nafi beri wang (PRK Kuala Terengganu)

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.