Memaparkan catatan dengan label Pendidikan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pendidikan. Papar semua catatan

Khamis, Jun 10, 2021

Pencapaian SPM 2020 lebih baik berbanding 2019


Gred Purata Nasional (GPN) Sijil Pelajaran Malaysia (2020) menunjukkan peningkatan 0.6 mata iaitu sebanyak 4.80 berbanding 4.86 bagi SPM 2019.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata seramai 401,105 calon mendaftar dengan seramai 381,894 calon menduduki SPM 2020 yang berlangsung dalam dua sesi pada 22 Februari hingga 25 Mac lalu serta 6 hingga 23 April untuk 83 mata pelajaran di 3,310 pusat peperiksaan.

Beliau berkata, pencapaian GPN 4.80 itu adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun ini.

Katanya, nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik. 

"Jika kita lihat GPN tahun ini adalah 4.80 berbanding 4.86 pada tahun 2019. Data ini menunjukkan bahawa pencapaian calon adalah lebih tinggi pada 2020 berbanding 2019.

"Analisis ini berdasarkan kepada calon yang menaftar untuk kali pertama, untuk sekurang-kurangnya enam mata pelajaran dan menduduki sekurang-kurangnya satu mata pelajaran," katanya pada Sidang Media Khas SPM 2020 secara maya.

Beliau berkata, Calon LAyak Sijil SPM juga menunjukkan peningkatan sebanyak 1.96 peratus iaitu 88.68 peratus bagi SPM 2020 berbanding 86.72 peratus untuk SPM 2019.

Katanya, bagi Calon Berkeperluan Khas (CBK) Layak Sijil SPM, terdapat 6.88 peratus peningkatan iaitu 68.22 peratus bagi SPM 2020 berbanding 61.34 peratus untuk SPM 2019.

Radzi berkata, keputusan peperiksaan ini akan boleh diperolehi mulai jam 10 pagi ini melalui laman sesawang myresult1.moe.gov.my dan myresult2.moe.gov.my manakala slip peperiksaan beserta jata negara dan kod QR akan boleh mula diakses Isnin ini melalui

myresult3.moe.gov.my

Sumber : Berita Harian

 

Selasa, Februari 23, 2021

Rakaman DidikTV KPM di YouTube mudah ulang kaji

 

Pengisian program DidikTV KPM membantu pelajar mengulang kaji pelajaran dengan lebih mudah dan lengkap kerana rakaman program turut disiarkan menerusi YouTube.

Baik pelajar mahu pun guru, pilihan untuk menonton di televisyen dan diulang menerusi peranti dianggap dapat meningkatkan kefahaman, terutama dalam subjek yang agak rumit atau memerlukan masa difahami.

Di Jertih, saluran DidikTV KPM memberi ruang belajar tambahan bagi pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Agama (SMA) Maarif, Besut, Nur Adriana Rosdan, 16, yang tidak bimbang jika berlaku pertembungan masa antara program di saluran ntv7 itu dengan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bersama guru dan rakan.

"Jika terlepas sesuatu segmen atau subjek di televisyen, saya boleh menonton semula semua rakaman di saluran YouTube.

"Kadang-kadang ada topik dibincangkan menerusi PdPR yang memerlukan pencerahan yang lebih mendalam dan DidikTV KPM dapat membantu kami memahami sesuatu subjek secara lebih kreatif dan mudah dengan penggunaan audio serta visual menarik.

"Sebagai pelajar, saya dapat melihat perbezaan dan tambah nilai proses pembelajaran kerana bimbingan secara langsung daripada guru melengkapi apa yang ditonton menerusi DidikTV KPM," katanya ketika ditemui di Kampung Raja, Besut.

Adiknya, Darwisy Iman Rosdan, 10, murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Kampung Raja berkata, DidikTV KPM memudahkannya mengulang kaji bersama keluarga.

"Jika masih tidak faham, saya boleh minta bantuan kakak atau ibu untuk sama-sama menonton subjek yang diajar di DidikTV KPM dan mereka terangkan semula kepada saya.

"Belajar TV lebih mudah ditonton bersama keluarga dan tidak perlu berkongsi gajet seperti telefon untuk menonton DidikTV," katanya.

Di Tanjung Malim, guru SK FELDA Sungai Behrang, Kamarul Azri Awang, 42, berkata saluran DidikTV KPM adalah berita gembira bagi golongan pendidik yang melihatnya sebagai medium PdPR dalam suasana lebih santai, tetapi padat dengan pengiasan.

"Murid belajar dalam suasana lebih kondusif di hadapan televisyen tanpa perlu melihat peranti yang kecil yang ada masanya berdepan gangguan capaian internet.

"Dengan DidikTV KPM, mereka hanya perlu meneliti jadual harian dan bersedia sebelum menonton supaya lebih memahami apa yang diajar, manakala guru juga boleh menimba ilmu dari segi penyampaian kandungan," katanya.

Di Ipoh, pembelajaran secara menonton DidikTV KPM didapati meningkatkan tumpuan murid, selain memudahkan akses secara keseluruhan bagi melancarkan PdPR.

Bapa, Mohd Aznizam Azahar, 35, berkata medium itu turut membolehkan ibu bapa memantau perkembangan anak mereka, selain memastikan mereka tidak terlepas subjek berdasarkan jadual disediakan.

"Ibu bapa yang bekerja boleh mengingatkan anak mengenai subjek masing-masing atau mencari kembali program menerusi YouTube jika bertembung dengan sesi pengajian dalam talian.

"Bagi saya, DidikTV KPM banyak membantu pelajar dan dapat mengelak daripada berlaku keciciran," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Isnin, Februari 22, 2021

SPM 2020: 401,105 calon mula duduki peperiksaan dalam norma baharu

 

Hari ini, seramai 401,105 pelajar di seluruh negara mula menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dalam suasana negara masih berdepan pandemik COVID-19 yang menuntut mereka membawa 'perisai' tambahan.

Selain berbekalkan pen dan ilmu pengetahuan seperti kebiasaannya apabila memasuki dewan utama peperiksaan, kelainan bagi calon SPM 2020 ialah mereka juga perlu membawa 'perisai' iaitu pelitup muka atau pelindung muka bagi mencegah penularan wabak itu.

Pada hari pertama peperiksaan hari ini, calon akan menjawab subjek Bahasa Melayu Kertas 1 dan 2, masing-masing bermula jam 8 pagi dan 2 petang.

Kumpulan pelajar Tingkatan Lima termasuk pelajar Sijil Vokasional Malaysia (SVM) itu menjadi kumpulan pertama yang menduduki peperiksaan SPM dalam pembudayaan norma baharu. 

Bagi menjamin keselamatan calon sepanjang peperiksaan, penyediaan 3,310 pusat peperiksaan SPM di seluruh negara dilaksanakan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM), termasuklah proses disinfeksi dewan peperiksaan.

Semua pelajar juga perlu menyerahkan borang perisytiharan kesihatan yang lengkap setiap hari sebelum memasuki dewan peperiksaan selain mengambil suhu badan dan memakai pelitup muka sepanjang tempoh menduduki peperiksaan. 

Selain itu, calon yang didapati positif COVID-19 atau calon yang diarahkan menjalani kuarantin kerana merupakan kontak rapat tidak dibenarkan menduduki peperiksaan pada hari berkenaan dan hanya boleh menduduki kertas peperiksaan yang dijadual semula selepas disahkan berada dalam keadaan sihat oleh doktor yang merawat berserta surat pengesahan doktor.

Seramai 48,014 pengawas peperiksaan akan memastikan SOP yang ditetapkan dipatuhi sepenuhnya sepanjang tempoh peperiksaan yang dijadualkan berlangsung hingga 25 Mac.

Calon SPM pada hari ini juga adalah kumpulan pelajar yang mengikuti sesi kelas SPM tahunan terpanjang iaitu hampir 14 bulan yang memaksa mereka beralih kepada pembelajaran dalam talian menerusi aplikasi seperti Google Meet, Google Classroom dan Skype gara-gara penularan pandemik COVID-19.

Peperiksaan SPM, SVM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) diadakan pada November setiap tahun, namun bagi tahun 2020, peperiksaan terbabit terpaksa ditangguh kepada Januari 2021 sebelum dianjak sekali lagi kepada Februari 2021 berikutan penularan pandemik COVID-19 yang memaksa penutupan sekolah. 

Sumber : BERNAMA

 

 

Sabtu, Februari 13, 2021

Saluran khusus TV Pendidikan melalui DidikTV KPM mulai 17 Februari 2021

 

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan yang dikenali sebagai DidikTV KPM mulai 17 Februari 2021 ini.

Majlis pelancaran saluran berkenaan yang bersiaran dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari, akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada jam 8 pagi hari pertama siaran.

KPM dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan inisiatif mewujudkan saluran khusus itu adalah usaha berterusan kementerian dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua murid di seluruh negara.

"Sebelum ini, KPM telah menyediakan program TV Pendidikan selama 11 jam melalui TV Okey RTM, Tutor TV ASTRO dan DidikTV@ntv7. 

"Kini, buat pertama kalinya, KPM memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan secara terestrial dengan pengisian dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari," menurut kenyataan berkenaan.

DidikTV KPM boleh ditonton menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di ASTRO dan saluran ntv7 di TV UNIFI. 

Bagi set TV Digital Bersepadu (iDTV) yang menggunakan antena, carian saluran DidikTV KPM boleh dilakukan menerusi penalaan automatik.

"DidikTV KPM akan menyiarkan program yang diterbitkan khusus dengan berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM.

"Saluran ini juga akan menyiarkan berita mengenai dunia pendidikan, program bercorak didik hibur (edutainment) serta kandungan yang dihasilkan oleh murid. Selain itu, program antarabangsa yang bersesuaian akan turut disiarkan," kata KPM.

Menurut kenyataan itu, saluran DidikTV KPM juga satu platform untuk memperkasakan budaya ilmu, menerapkan nilai-nilai murni dan mewujudkan masyarakat berinformasi.

"KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik," kata kementerian itu lagi.

 Sumber : Berita Harian

 

Rabu, Disember 09, 2020

Murid Malaysia catat skor tertinggi Matematik, Sains global

 

Malaysia melakar sejarah apabila buat julung kali meraih skor aras tertinggi dalam kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) pada 2019.

Kementerian Pendidikan berkata, ia menunjukkan peningkatan murid negara ini bagi mata pelajaran Matematik dengan memperoleh skor lebih 700 iaitu melebihi aras tertinggi 625.

Uniknya TIMSS tahun lalu memperkenalkan pentaksiran berasaskan komputer, eTIMSS dan pentadbiran kajian secara paperTIMSS sebagai sebahagian proses transisi perbandingan.

“Seramai 65 murid eTIMSS dan 25 murid paperTIMSS catat skor lebih 700 malah pencapaian individu tertinggi eTIMSS ialah 764 dan paperTIMSS ialah 799,” katanya menerusi kenyataan.

Murid Malaysia peroleh aras tertinggi paperTIMSS bagi subjek ini ialah enam peratus dan eTIMSS pula empat peratus, naik tiga peratus bagi paperTIMSS dan satu peratus eTIMSS.

TIMSS dikendalikan International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA) ditubuhkan pada 1958 berpusat di Amsterdam, Belanda dengan disertai lebih 60 negara.

Ia menilai pencapaian murid tingkatan dua dan pentadbiran itu dilaksanakan dari 16 Oktober hingga 1 November 2018 melibatkan 1,560 murid bagi paperTIMSS dan 8,077 bagi eTIMSS.

“Bagi mata pelajaran Sains, buat julung kali seramai 13 murid paperTIMSS dan 23 murid eTIMSS memperoleh skor lebih 700 sejak Malaysia menyertai kajian TIMSS pada 1999,” katanya.

Dari segi peratusan, murid Malaysia raih aras tertinggi itu ialah tiga peratus bagi eTIMSS dan empat peratus bagi paperTIMSS, peningkatan hampir setara berbanding TIMSS pada 2015.

Hasil dapatan kajian global itu akan jadi panduan rangka strategi penambahbaikan pelbagai program dan inisiatif kementerian tersebut dengan mengambil kira pencapaian semasa murid.

Ia melibatkan pelbagai aras, kaedah dan teknik penyampaian guru dalam bilik darjah malah usaha itu dibuat secara holistik dengan kerjasama semua pihak berkepentingan di negara ini.

Laporan antarabangsa TIMSS itu boleh dimuat turun menerusi https://www.iea.nl/studies/iea/tmss manakala laporan kebangsaan TIMSS melalui laman sesawang rasmi kementerian iaitu https://www.moe.gov.my

Sumber : Utusan

Ahad, Oktober 18, 2020

COVID-19: Tidak boleh terburu-buru tutup sekolah - Radzi

 

Kementerian Pendidikan tidak boleh mengambil keputusan terburu-buru berhubung cadangan banyak pihak supaya sekolah di seluruh negara ditutup susulan pandemik COVID-19.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, berkata ini kerana sebarang keputusan dibuat bukan hanya memberi kesan kepada kementerian itu tetapi juga seluruh negara.

Justeru, beliau menjelaskan bahawa langkah penutupan sekolah diambil berdasarkan data dan perincian pelbagai pihak, terutama Kementerian Kesihatan.

"Kita mendengar banyak cadangan dan perbincangan kenapa semua sekolah tidak ditutup.

"Saya ingin menjelaskan bahawa di kementerian, kita menaungi lebih lima juta murid dan pelajar serta lebih 500,000 guru dan warga kementerian.

"Oleh itu, sebarang keputusan (menutup sekolah) bukan hanya memberi kesan kepada kita. Ia juga memberi kesan kepada seluruh negara.

"Justeru, kami tidak boleh terburu-buru sebab kesannya amat besar," katanya dalam program temu bual Soal Rakyat disiarkan TV3, hari ini.

Radzi berkata, kementerian turut menerima maklum balas daripada ibu bapa, terutama dalam Zon Hijau dan Zon Kuning, supaya sekolah tidak ditutup.

"Ada ibu bapa dalam Zon Hijau memberi maklum balas kenapa perlu tutup sekolah sedangkan kawasan mereka tiada kes COVID-19.

"Oleh itu, saya katakan, setiap pertimbangan dibuat berdasarkan data dan perincian," katanya.

Beliau sekali gus menegaskan, komitmen Kementerian Pendidikan ialah memastikan tiada pelajar yang keciciran dalam pembelajaran.

"Komitmen kami tidak boleh dipertikaikan. Seperti mana ibu bapa sayang anak, kami juga sayang mereka di sekolah," katanya.

 Sumber : Berita Harian

 

Ahad, September 20, 2020

Tingkatkan potensi dengan skil baharu menerusi portal UPSKIL.my

 

Perkembangan digitalisasi dalam dunia normal baharu telah meningkatkan permintaan terhadap tenaga pekerja yang cekap dan berkemahiran. 

Ini turut mewujudkan persaingan yang kian mencabar merentas  semua industri di Malaysia termasuklah pendidikan, kerjaya mahupun perniagaan. 

Buat masa ini, setiap peluang yang ada perlulah direbut oleh setiap lapisan masyarakat untuk meningkatkan potensi diri dengan mempelajari pelbagai kemahiran secara dalam talian.

Kuasai skil baharu

Platform teknologi pendidikan, OpenLearning, kini memperkenalkan sebuah portal kemahiran digital terkini iaitu UPSKIL.my.

Portal dalam talian ini menawarkan kursus, sijil dan program berasaskan kemahiran untuk mereka yang ingin maju dalam kerjaya, mencari pekerjaan baharu atau menambah ilmu pengetahuan.

 

Khamis, Ogos 27, 2020

KPM tiada kaitan pelaksanaan UPSR, PT3 2020 secara online

Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan maklumat yang tular berkaitan pelaksanaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) secara dalam talian yang dikatakan akan diadakan pada September dan Oktober depan.

Melalui kenyataan media, KPM menegaskan kedua-dua peperiksaan itu bukan di bawah kendalian Lembaga Peperiksaan dan tiada kaitan dengan pihaknya.

"Pada 15 April lalu, KPM mengumumkan bahawa UPSR dan PT3 bagi tahun ini dibatalkan. Bagaimanapun, KPM mendapati sebuah portal menawarkan kedua-dua peperiksaan itu yang akan diadakan secara dalam talian pada bulan September dan Oktober 2020.

"KPM memandang serius perkara ini kerana melanggar Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Untuk makluman, KPM mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak terbabit," katanya.

Sehubungan itu, KPM menasihatkan agar orang ramai, terutama ibu bapa kepada murid Tahun 6 dan Tingkatan 3 supaya merujuk portal rasmi KPM di http://www.moe.gov.my/ dan portal Lembaga Peperiksaan di http://lp.moe.gov.my/ bagi mendapatkan maklumat tepat dan sahih mengenai peperiksaan dilaksanakan kementerian.

Sumber : Berita Harian

Rabu, Julai 01, 2020

Pengajaran dalam talian kurang berkesan



Kementerian Pendidikan mendapati pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dan belajar dari rumah kurang berkesan, berbanding secara bersemuka.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, berkata kementerian juga sedar terdapat kelemahan dalam pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian.

"Kaedah 'home-based learning' sesuatu yang baharu dalam kalangan guru, murid dan ibu bapa.

"Selain itu, ramai dalam kalangan murid tidak dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian kerana akses kepada teknologi komunikasi yang terhad.

"Ini menyebabkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan 'home-based learning' agak terhad jika dibandingkan dengan kaedah secara bersemuka," katanya dalam sidang media khas di sini, hari ini.

Mohd Radzi berkata, jika situasi itu berterusan, murid akan menghadapi kesukaran untuk mencapai tahap penguasaan minimum dalam setiap mata pelajaran yang diikuti.

"Ini akan memberi kesan kepada minat dan motivasi murid untuk terus mengikuti pengajaran dan pembelajaran.

"Hubungan murid dengan sekolah juga akan terkesan kerana mereka terasing dari suasana persekolahan untuk satu tempoh yang panjang," katanya.

Beliau berkata, kementerian yakin murid, ibu bapa dan guru menyedari betapa perlunya sekolah dibuka semula bagi membolehkan pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dapat dilaksanakan dalam keadaan selamat.

Isnin, Februari 06, 2017

Peti Aduan Disiplin Di Sekolah Bendung Salah Laku Pelajar



Pihak pengurusan sekolah menengah dan rendah di seluruh negara diarah menyediakan 'Peti Aduan Disiplin Murid' khusus untuk membendung salah laku pelajar terutama dalam jenayah, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata dengan adanya peti aduan itu, pelajar boleh menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak sekolah yang kemudiannya dipanjangkan kepada polis.

"Aduan yang dibuat pelajar ini adalah rahsia...pelajar tidak perlu takut untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan pelajar yang terbabit dalam salah laku ini.

"Ia di bawah seliaan guru disiplin dan semua maklumat berkenaan akan  disampaikan kepada anggota Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang ditugaskan di  setiap sekolah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jom Ke  Sekolah peringkat Kebangsaan 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Syed Ahmad di Kuala Nerang.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Kedah  Datuk Asri Yusoff dan Pengarah Jabatan Pendidikan Kedah Datuk Azuyah Hassan.

Mahdzir berkata tujuan utama program berkenaan adalah juga untuk mengatasi masalah ketidakhadiran pelajar ke sekolah yang dikenal pasti kerana adanya pelajar yang terpaksa bekerja dan juga yang terbabit dalam jenayah.

"Ini merupakan punca ketidakhadiran pelajar yang menyebabkan ada sesetengah sekolah mencatatkan peratusan kehadiran yang rendah," katanya.

Beliau berkata purata peratus kehadiran pelajar di seluruh negara pada 2016  membabitkan pelajar sekolah rendah adalah 94.1 peratus manakala sekolah menengah 91.4 peratus.

"Peratus kehadiran di peringkat kebangsaan yang ditetapkan adalah 92.3 peratus dan ini yang menjadi tumpuan kementerian dan polis untuk mengatasinya," katanya.

Beliau merayu kepada ibu bapa dan juga Persatuan Ibu Bapa dan Guru di  setiap sekolah agar dapat memainkan peranan untuk bersama-sama membantu menyelesaikan masalah berkenaan.

"Kita khuatir ada pelajar yang ponteng ini terbabit jenayah yang berat dan  boleh dihukum sekiranya masalah ponteng sekolah ini tidak diatasi," katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya Mahdzir yakin kerjasama pemuafakatan dengan Polis Diraja Malaysia, komuniti dan ibu bapa akhirnya akan menarik minat  pelajar untuk ke sekolah.

- BERNAMA

Sabtu, Oktober 01, 2016

Adakah Miliki Ijazah Kedua Mudah Dapat Kerja?



Oleh Ahmad Abd Hamid

Ijazah kedua untuk lebih mudah dapat kerja? Adakah ini satu saranan berteraskan kajian sahih dan berdasarkan realiti keperluan pasaran tenaga kerja atau adakah ia sekadar satu pandangan rambang dan teori semata-mata?

Namun inilah saranan yang dilontarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. Beliau mahu para pelajar pusat pengajian tinggi berusaha memiliki ijazah kedua bagi menambah nilai kebolehpasaran dalam menghadapi saingan memasuki pasaran pekerjaan.

Saranan ini nampak mudah iaitu dengan memiliki dua ijzah (double degree) seseorang boleh lebih mudah mendapat kerja. Mungkin dari segi teori pandangan ini munasabah kerana mereka yang memiliki ‘ilmu tambahan’ dianggap mempunyai kelebihan untuk berjaya.
Namun jika sekali pun teori ini boleh diterima pakai, ia mungkin tidak akan bertahan untuk satu jangka masa yang lama. Ini kerana apabila lulusan pusat pengajian tinggi mengambil ijazah kedua dan terbukti mereka mudah menembusi pasaran kerja, maka semakin ramai akan mengambil ijazah kedua.

Apabila jumlahnya semakin ramai maka persaingan mencari kerja kembali menjadi sengit, apatah lagi jika peluang pekerjaan itu sendiri tidak berkembang. Maka masalah mencari kerja berbangkit semula. Adakah ketika ini kita akan menggesa pelajar mengambil ijazah ketiga pula?

Prosesnya juga bukan mudah bagi pelajar. Menamatkan ijazah pertama mengambil masa tiga atau empat tahun (perubatan lima tahun). Bermakna jangka masa yang sama perlu diambil untuk menamatkan ijazah kedua. Jangka masa yang lama ini pasti mencabar, khususnya bagi mereka yang benar-benar memerlukan kerja untuk menyara diri dan keluarga.

Untuk mengambil ijazah kedua, bidang apa pula yang harus diambil? Haruskah pelajar mengambil bidang menurut gerak hati sendiri atau dipimpin dalam menentukan bidang apa yang perlu diambil? Perlu diingat keperluan pasaran kerja juga sentiasa berubah. 

Mengambil ijazah kedua yang lain daripada bidang ijazah pertama juga bukan mudah. Misalnya pelajar yang beroleh ijazah pertama dalam bidang sastera tentulah menghadapi masalah jika hendak mengambil ijazah kedua dalam bidang kewangan atau sains. Begitu juga seterusnya.

Pandangan ini bukan bertujuan untuk tidak menggalakkan pelajar mengambil ijazah kedua. Tetapi jika tujuannya semata-mata untuk mudah memasuki pasaran kerja ia masih boleh diperdebatkan. Ini kerana, dari segi realiti, penyelesaian masalah mencari kerja bukanlah semudah dengan hanya memiliki dua ijazah, hatta dengan ijazah lanjutan sekalipun. 

Setiap tahun, ribuan lulusan dihasilkan oleh Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Jumlah yang semakin ramai tahun demi tahun ini menyaksikan jumlah yang ramai juga memburu peluang pekerjaan yang sedikit. Ramai lulusan universiti yang masih menganggur setelah beberapa tahun tamat pengajian. 

Ini bukan seperti zaman tahun 60-an atau lewat 70-an di mana lulusan universiti tidak ramai dan peluang pekerjaan menanti mereka. Ramai pelajar universiti ditawarkan kerja sekalipun masih belum menamatkan pengajian.

Bukan pula tanggungjawab IPTA atau IPTS menyediakan peluang pekerjaan kepada para graduan mereka. Mereka sekadar menyiapkan pelajar dengan ilmu. Namun IPTA atau IPTS tetap bertanggungjawab menyediakan pelajar dengan pendidikan yang sesuai, iaitu menyediakan kursus-kursus yang selari dengan keperluan semasa. Ini mesti diawasi dan dipantau oleh pihak berwajib.

Penawaran kerja umumnya terletak di bahu sektor awam dan swasta, dua sumber utama penawar kerja. Jika ada pun yang memilih untuk bekerja sendiri, jumlahnya adalah kecil dalam konteks negara kita. 

Namun, dengan semakin ramai pencari pekerjaan, peluang di kedua-dua sektor awam dan swasta semakin menguncup. Kerana itulah gejala pengangguran kian lama kian serius yang memerlukan perhatian serius pula untuk mengatasinya.

Penyelesaiannya bukan semudah dengan hanya memiliki ijazah kedua. Sebaliknya, usaha mesti dibuat untuk memastikan sektor awam dan swasta terus berkembang bagi membolehkan kedua-duanya menyediakan peluang pekerjaan yang berterusan.

Bagi membolehkan kedua-dua sekor ini berkembang, ekonomi perlu berkembang pesat. Selain perkembangan melalui sektor dalaman, sektor luaran seperti pelaburan asing mesti sentiasa dipertingkat. 

Pelaburan asing penting dalam membantu menggerakkan ekonomi negara. Bersama-sama, ia membolehkan kerajaan melaksanakan projek-projek yang mencetuskan pekerjaan, begitu juga di sektor swasta.

Oleh itu, usaha menarik pelaburan asing mesti sentiasa berterusan. Jangan berpuas hati dengan apa yang ada. Lebih sedih jika kita hanya memejam mata membiarkan pelabur-pelabur asing yang sudah lama bertapak di negera ini memindahkan operasi ke negara lain dan meninggalkan ramai pekerja tempatan menjadi penganggur. 

Jangan biarkan ini berterusan.

Langkah kerajaan menaikkan had umur persaraan kepada 60 tahun juga dilihat sebagai satu faktor yang mengekang peluang mendapat kerja. Dengan umur persaraan ditingkatkan, peluang untuk tenaga kerja baru memasuki pasaran pada masa yang sama juga terhad. Begitu juga  peluang untuk naik pangkat.

Dalam keadaan ini pun CUEPACS mencadangkan umur persaraan kakitangan kerajaan dinaikkan kepada 62 tahun. Cadangan ini tidak sepatutunya dilayan. Lupakan sahaja kerana ia hanya akan menutup peluang anak-anak muda memasuki sektor awam.

Sekarang sudah menjadi perkara biasa jika seorang bakal guru yang telah tamat pengajian belum dapat penempatan (posting). Malah bidang kedoktoran yang dianggap berprestij  pun menghadapi masalah penempatan pelajar untuk menjalani latihan (houseman). Semuanya kerana peluang yang makin terhad.

Difahamkan, lulusan daripada peringkat pertengahan (Diploma) yang menekankan kepada pendidikan berteraskan kemahiran, didapati lebih mudah mendapat kerja. Ini kerana aspek kemahiran dianggap memenuhi citarasa keperluan pasaran kerja. Jika ini benar, barangkali aspek ini perlu diutamakan dalam sitem pendidikan.

Pusat pengajian tinggi juga mesti memberi pendidikan daripada aspek sahsiah dan keterampilan diri, bukan akademik semata-mata. Telah terbukti ramai pelajar yang cemerlang ketika di kampus tetapi gugup dan gagap apabila hadir temu duga kerja sekaligus mengagalkan mereka memasuki pasaran kerja.

Aspek ini penting kerana dalam mengintai peluang pekerjaan, selain ilmu yang ditimba di pusat-pusat pengajian tinggi, para lulusan mestilah mempersiapkan diri dengan keterampilan yang menyakinkan majikan dan dan mampu memikat hati bakal majikan.

Ingat, semua calon pada dasarnya berkelulusan sama. Yang mmbezakan antara mereka ialah  keyakinan diri dan keterampilan yang menyakinkan. Biasanya hanya mereka yang nampak ada ‘kelainan’ dengan personaliti menarik, mantap dan tegas akan mempunyai peluang lebih cerah diterima majikan. Janganlah terlalu bimbang jika tidak ada ijazah kedua.

Jumaat, September 30, 2016

Soalan PT3 Berkaitan Kondom Jadi Bualan



Satu soalan berkaitan kondom dalam peperiksaan percubaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) hangat diperkatakan di laman media sosial.

Soalan peperiksaan percubaan PT3 bagi mata pelajaran Sains itu bertanya maklum balas mengenai penjualan kondom.

Soalan itu berbunyi: "Jualan kondom secara terbuka akan membawa kesan negatif yang menyebabkan masalah sosial. Adakah anda bersetuju? Sila jelaskan.

Jawapan pelajar itu didakwa berbunyi: "Tidak. Kondom adalah satu langkah mengawal kelahiran yang diperlukan untuk mencegah kehamilan.

Namun, pemeriksa yang menyemak kertas soalan itu menandakan jawapan tersebut salah.

Bercakap kepada pemberita selepas pertandingan akhir Game4Life untuk sisipan pendidikan akhbar The Star, Timbalan Menteri Pendidikan Chong Sin Woon berkata: "Mari kita siasat dan lihat apa masalah sebenar. Sesuatu tidak kena kerana kondom digunakan untuk mencegah kehamilan.

Chong berkata soalan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) itu adalah sebahagian daripada Pelan Pembangunan Pendidikan malaysia 2013-2025.

"KBAT memerlukan pelajar mempertahankan pendapat mereka ketika menjawab soalan-soalan tersebut. Kita perlu menghormati maklum balas mereka," katanya.

Bekas Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPKKN) Datuk Dr Raj Karim menyifatkan tindakan menandakan salah pada jawapan tersebut sebagai tidak adil.

"Kami sentiasa mengatakan bahawa kita perlu mengajar pendidikan seks atau pendidikan kehidupan keluarga di sekolah dan kanak-kanak untuk mengekalkan gaya hidup yang sihat dan selamat.

"Ia tidak bermakna anda perlu mengajar mereka mengenai perancangan keluarga, tetapi anda meminta mereka untuk mengamalkannya di kemudian hari.

"Walaupun pendidikan sedia diajar semasa mata pelajaran Biologi, pelajar tidak diajar mengenai fakta utama. Guru mungkin atau tidak mahu bercakap mengenainya atau hanya meminta pelajar membacanya sendiri," kata Dr Raj.

Goh Seng Chui, 46, yang anak perempuan menduduki PT3 tahun depan juga berkata adalah tidak adil bagi pemeriksa untuk menandakan jawapan itu sebagai tidak tepat.

"Soalan berbentuk pendapat tidak mempunyai jawapan tetap yang digunakan guru.

"Saya rasa masalah berlaku kerana pemikiran sempit guru terbabit, bukan soalan itu atau bagaimana cara pelajar menjawabnya," kata Seng Chui.

- mSTAR

Jumaat, April 29, 2016

Pilihan Lepasan SPM & STPM



Oleh: AHMAD ABD HAMID

Ke mana arah tuju pelajar selepas keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan? Inilah soalan rutin yang dihadapi oleh majoriti lepasan STPM dan SPM pelajar, malah ibu bapa, apabila keputusan kedua-dua peperiksan itu diumumkan setiap tahun.

Bagi tahun 2015, sejumlah 440,682 calon telah menduduki SPM dengan 9,721 mencapai kejayaan cemerlang dalam semua mata pelajaran (A+, A, A-). Bagi STPM pula seramai 4,711 calon mendapat Purata Nilai Gred Kumalatif (PNGK) 3.5 ke atas dengan 335 calon memperoleh PNGK 4.

Calon yang berjaya dan memenuhi syarat kelayakan pasti mahu meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Mereka memilih untuk mengikuti kursus yang mereka minati di pusat pengajian tinggi.

Ada yang bernasib baik mendapat apa yang dihajati. Ada yang berjaya mendapat tempat tetapi  gagal mendapat pusat pengajian tinggi atau kursus yang diharapkan, sebaliknya diberi pilihan lain di luar bidang yang diminati. Tidak kurang pula yang gagal sama sekali.

Bagi kebanyakan mereka, Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) secara tradisi menjadi pilihan utama. Selain yuran pengajian yang lebih rendah kerana menerima subsidi kerajaan berbanding Institusi pengajian Tinggi swasta (IPTS), mereka berasa lebih `selamat’ dan selesa belajar di institusi milik kerajaan yang menawarkan pelbagai kursus sebagai pilihan.

PERMINTAAN MELEBIHI PENAWARAN

Namun 20 IPTA yang ada sekarang tidak dapat menampung ribuan lulusan SPM dan STPM. Jumlah yang layak berkali ganda daripada kekosongan yang ditawarkan sama ada untuk program ijazah pertama, diploma, atau asasi. Itu pun nasib baik ada program matrikulasi Kementerian Pendidikan. Sebahagian yang diterima belajar di program matrikulasi akan membuka peluang kepada yang lain untuk bersaing kerusi dan tempat di IPTA yang lain.

Oleh kerana terlalu ramai jumlah lulusan yang layak berbanding tempat yang ditawarkan oleh IPTA, akibatnya ramai yang gagal mendapat tempat. Selepas rayuan, masih ramai yang gagal. Mereka yang berada mungkin boleh memilih untuk meneruskan pengajian di IPTS. Bagi yang lain, perlu merancang semula apa yang terbaik demi masa depan mereka.

Pada masa yang sama, ramai juga lepasan SPM khususnya berpendirian bahawa keutamaan adalah untuk melanjutkan pengajian dalam bidang berteraskan akademik tanpa mengambil kira kursus apa yang diambil.  Apabila gagal mendapat tempat mereka beranggapan masa depan dan kerjaya mereka akan suram.

Tetapi kini ada yang sudah menyedari bahawa selain berteras akademik semata-mata, kursus berteraskan vokasional dan kemahiran adalah alternatif yang boleh memberi jaminan masa depan. Kerana itu, ramai kini yang lebih berminat menyambung pelajaran dalam bidang  kemahiran, malah menjadikannya pilihan utama.

Justeru, ramai yang memohon memasuki politeknik, institut kemahiran, pusat latihan belia dan lain-lain. Dahulu, tempat-tempat ini mungkin hanya berfungsi sebagai pilihan terakhir tetapi kini persepsi tersebut telah bertukar.

Anggapan bidang kemahiran atau vokasional sebagai kurang menarik berbanding memasuki IPT adalah tidak tepat. Pembangunan pesat negara dan kemajuan sektor industri dalam era menuju negara maju, memerlukan ramai tenaga kerja mahir.

Kemahiran adalah aset menyediakan diri menceburi dunia pekerjaan. Sektor guna tenaga masa kini menekankan kepada kemahiran berbanding akademik semata-mata. Peluang kerjaya kepada mereka yang memiliki kemahiran lebih terbuka luas. Mereka boleh terus diambil untuk bekerja tanpa perlu banyak latihan berbanding mereka yang hanya ada kelayakan akademik semata-mata.




KELEBIHAN KEMAHIRAN

Aspek kemahiran bukan sahaja berguna untuk menyediakan diri dengan keperluan pasaran kerja. Sebaliknya ia juga sangat berguna untuk menyediakan seseorang meneroka kerjaya sendiri, tanpa mengharapkan pekerjaan di pasaran terbuka.

Contohnya,  dengan ilmu kemahiran yang ditimba dan latihan amali yang dilalui, pelajar kemahiran fesyen boleh membuka kedai fesyen atau butik. Yang belajar mengenai automotif boleh membuka bengkel.

Yang berkemahiran komputer boleh membuka kedai memperbaiki komputer. Begitu juga dengan bidang kemahiran lain. Bekerja sendiri bukan sahaja membolehkan seseorang merancang dan menentukan hala tuju perniagaan menurut acuan sendiri malah apabila telah berkembang maju boleh pula membuka peluang pekerjaaan kepada orang lain. Itu adalah lebih baik daripada makan gaji.

Harus diingat bahawa suasana dunia pekerjaan kini sudah berubah daripada era tahun 70-an dan sebelumnya. Pada era tersebut, peluang kerja mudah dan banyak. Malah ada pelajar universiti yang sudah menerima tawaran kerja sekalipun masih belum menamatkan pengajian. Ertinya ‘kerja mencari orang’.

Dahulu dengan kelulusan SPM atau Malaysian Certificate of Education (MCE) bagi aliran Inggeris, seseorang boleh terus memohon jawatan Inspektor dalam perkhidmatan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) atau Leftenan Muda dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Apabila calon semakin ramai, jawatan semakin mengecil dan saingan semakin sengit serta tahap profesionalisme makin meningkat, kelayakan permohonan sebagai Inspektor dinaikkan kepada STPM atau Higher School Certificate (HSC). Kemudian ditingkatkan kepada Diploma.

Kini kelayakan masuk minimal adalah Ijazah Sarjana Muda yang mana dengannya dahulu seseorang layak terus memohon jawatan Penolong Penguasa Polis (ASP).

Gambaran ini menunjukan persaingan mendapat kerja semakin sengit dan taraf kelayakan untuk sesuatu jawatan semakin meningkat dan terus meningkat. Ini ditambah dengan hakikat bahawa setiap tahun, ribuan graduan baharu dilahirkan oleh IPT atau institusi pendidikan tinggi lain seperti politeknik serta institut-institut latihan kemahiran.

Sementara ada di antara graduan ini yang mendapat kerja selepas menamatkan pengajian, ramai pula masih menganggur selepas dua tahun selesai konvokesyen. Malah ada yang lebih lama daripada itu. Pelajar berkemahiran pula dikatakan lebih terbuka peluang mendapat kerja, khususnya untuk jawatan peringkat pertengahan.

Berdasarkan senario inilah  pelajar mesti lebih bijak menyusun dan merancang arah tuju selepas tamat persekolahan. Pendidikan memang penting tetapi memilih bentuk pendidikan yang boleh menjamin kejayaan masa depan tidak kurang pentingya. Justeru pilihlah bidang yang boleh memberi laluan lebih lancar dalam menempa kecemerlangan hidup.

- mSTAR


Khamis, November 27, 2014

UPSR 2014 : 36,304 calon dapat semua A

PUTRAJAYA 26 NOV 2014 – Peratusan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang mendapat gred A dalam semua mata pelajaran menurun sebanyak 1.26 peratus iaitu daripada 9.15 peratus pada 2013 kepada 7.89 peratus pada tahun 2014.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, daripada 460,407 calon yang menduduki UPSR 2014, sebanyak 7.89 peratus atau 36,304 calon berjaya memperolehi gred A dalam semua mata pelajaran.

Beliau berkata, 271,776 orang atau 59.03 peratus calon pula mendapat minimum gred C dan jumlah tersebut tidak termasuk mereka yang mendapat semua gred A.

“Sementara itu, 13,211 orang atau 2.87 peratus calon UPSR 2014 berada di bawah penguasaan minimum iaitu mendapat semua gred D atau E,” katanya dalam sidang akhbar mengenai keputusan UPSR untuk sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan (SJK.

Mata pelajaran yang mencatat penurunan peratusan dari segi calon yang mendapat gred A termasuk Bahasa Melayu Pemahaman SK, Bahasa Melayu Penulisan SK, Bahasa Melayu Penulisan SJK, Bahasa Inggeris SJK, Matematik, Sains, Bahasa Cina Penulisan dan Bahasa Tamil Pemahaman.

Daripada segi pencapaian keseluruhan pula, UPSR 2014 mencatat penurunan 0.02 mata Gred Purata Nasional (GPN) iaitu daripada 2.27 mata pada 2013 kepada 2.29 mata pada 2014.

GPN UPSR 2014 bagaimanapun adalah lebih baik berbanding 2.31 mata pada 2012 dan 2.3 mata pada 2011.

Dalam pada itu, Khair berkata, peratusan calon yang mendapat pencapaian semua mata pelajaran di bawah tahap penguasaan minimum iaitu semua gred D dan E menurun 0.26 peratus di bandar dan 0.72 peratus di luar bandar.

“Pada masa yang sama, peratusan calon yang mendapat pencapaian semua gred A di bandar dan luar bandar masing-masing menurun sebanyak 1.64 peratus dan 0.89 peratus,” katanya.

Menurut Khair lagi, 1,981 orang calon berkeperluan khas menduduki UPSR 2014 dengan 16 daripadanya mendapat gred A dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

Sementara itu, Khair berkata, kejadian kertas soalan UPSR 2014 bocor adalah berpunca daripada reaksi ekstrem dan perhatian keterlaluan terhadap gred dalam slip keputusan peperiksaan calon.

“Demi menjamin kualiti pendidikan yang menjurus kepada pembangunan modal insan, sistem peperiksaan sedia ada akan diperkukuh dan diperluas konsepnya kepada pentaksiran yang bertujuan mendapatkan maklumat tentang perkembangan pembelajaran murid,” katanya.

UPSR 2014 telah dijalankan secara serentak di seluruh negara pada 9 hingga 11 September lalu, tetapi kebocoran soalan untuk kertas peperiksaan Sains, Bahasa Inggeris SK, Matematik dan Bahasa Tamil menyebabkan peperiksaan untuk kertas berkenaan ditangguh atau dijalankan semula.

Sumber : Utusan

Selasa, Oktober 14, 2014

453,413 duduki PT3 sulung

Seramai 453,413 pelajar menduduki Ujian Bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang julung-julung kali diadakan menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di 2,608 pusat peperiksaan seluruh negara pada 13 Oktober 2014.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, PT3 yang diadakan sehingga 16 Oktober ini melibatkan calon-calon daripada sekolah kerajaan, sekolah swasta dan calon persendirian.

Menurutnya, semua set soalan ujian bertulis PT3 disediakan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia dan diuruskan oleh pengurusan sekolah.

Sumber : KOSMO!


Isnin, September 29, 2014

Keputusan Percubaan SPM sudah tidak diterima untuk Kemasukan Pra Universiti

Lepasan sekolah menengah tidak lagi menggunakan keputusan percubaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memasuki program asas atau pra universiti bermula Januari.

Kementerian Pendidikan memaklumkan kepada ketua institusi pengajian tinggi swasta bahawa keputusan tersebut tidak lagi diterima kerana kelayakan kemasukan tidak seperti tahun sebelumnya.

Notis perkeliling itu mengejutkan industri pendidikan swasta yang mengutamakan kemasukan pelajar menggunakan keputusan percubaan lebih 30 tahun lalu.

Pelajar menduduki peperiksaan SPM pada November dan keputusan kebiasaannya akan diumumkan pada akhir bulan Mac tahun berikutnya.

Setiap tahun seramai 30,000 pelajar lepasan mendaftar menggunakan keputusan tersebut untuk program pra universiti yang ditawarkan bermula Januari.

Wakil dari Persatuan Kolej Swasta Malaysia bertemu pegawai kanan Kementeri Pendidikan berhubung isu itu.

Presiden Persatuan Kolej dan Universiti Swasta Malaysia (Mapcu), Datuk Dr Parmjit Singh berkata, persatuan itu telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu untuk dikaji semula.

Melakukannya, kata Dr Parmjit, amat baik untuk fraterniti pendidikan swasta termasuk ahli Persatuan Kolej-kolej Swasta Malaysia (Napei).

"Kami telah mengetengahkan isu itu dan kesannya kepada pegawai Kementerian Pendidikan," katanya kepada The Star.

Dr Parmjit berkata perbincangan termasuk kesannya terhadap pelajar terutama mereka yang sudah memutuskan mengenai apa yang ingin mereka lakukan dan mempunyai motivasi tinggi untuk melanjutkan pengajian mereka.

Katanya, mereka akan melakukan beberapa aktiviti tidak produktif atau membuang masa beberapa bulan ini.

Beliau berkata, pelajar yang merancang untuk melanjutkan pengajian ke Australia dan New Zealand mungkin kerugian tempoh setahun kerana terpaksa memulakan program Matrikulasi atau kursus asas, sekali gus menangguhkan program Ijazah Sarjana Muda.

Jelasnya, Mapcu menyedari salah satu syarat yang ditulis dalam surat kelulusan untuk institusi pengajian tinggi swasta adalah kelayakan kemasukan untuk setiap kursus.

"Bagi kes program asasi, standard minimum keputusan SPM adalah ditetapkan dan keputusan percubaan peperiksaan tidak diperuntukkan dalam syarat itu dan oleh itu, mengambil pelajar berdasarkan keputusan tersebut dianggap sebagai melanggar syarat-syarat tersebut.

"Namun, kemasukan pelajar berdasarkan keputusan percubaan telah diamalkan sejak tiga dekad lalu dan dibenarkan oleh kementerian.

"Malah ia turut digalakkan pada pertengahan 1990 apabila negara dibelenggu gejala lepak dan bohsia untuk memastikan pelajar lepasan sekolah menengah melakukan aktiviti produktif," katanya.

Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan berkata Mapcu telah menghantar kertas kerja mengenai perkara tersebut kepada Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh.

"Kami akan mengkaji semula perkara itu," katanya.


Sumber : mSTAR



Rabu, September 03, 2014

Bahasa Inggeris subjek wajib lulus IPTA

Satu dasar baharu akan dilaksanakan bagi menjadikan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus, di samping bahasa Melayu, bagi pelajar di universiti awam.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata beliau membincangkan perkara itu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kira-kira seminggu lepas dan maklumat lanjut mengenainya akan diumumkan kelak.

"Pengetahuan asas sahaja tidak mencukupi bagi siswazah sekiranya mereka tidak mampu berkomunikasi dan menulis dalam bahasa Inggeris.

"Syarikat mempunyai tanda aras tertentu. Mereka mahukan orang yang bukan sahaja memiliki kelayakan, tetapi juga yang boleh menjadi duta, yang boleh berkomunikasi dengan seluruh dunia dan antara perkara penting ialah kemampuan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris," katanya.

Muhyiddin berkata demikian pada majlis pelancaran Pemboleh Kebolehgajian Siswazah Cyberjaya Kedua (CGEE 2).

Sumber : BERNAMA



Khamis, Mac 20, 2014

JPA tawar tajaan program kejuruteraan untuk lepasan SPM 2013


Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menawarkan penajaan untuk program kejuruteraan di Jerman, Perancis, Jepun dan Korea untuk tahun ini kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013.

JPA, dalam satu kenyataan hari ini, menyatakan permohonan boleh dibuat secara dalam talian dengan melayari http://esilav2.jpa.gov.my mulai 20 Mac sehingga 27 Mac 2014.

"Pertanyaan mengenai program tajaan ini boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-8885 3670/3398/3564/3489 pada hari bekerja mulai 9 pagi hingga 4.30 petang atau melalui emel penawaranlsp@jpa.gov.my," katanya.

Pemohon digalakkan menyemak status terkini permohonan di laman web www.jpa.gov.my atau http://esilav2.jpa.gov.my

Keputusan SPM 2013 yang diumumkan hari ini menunjukkan seramai 13,970 calon memperoleh gred A (Cemerlang) bagi semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 13,720 calon pada 2012, iaitu peningkatan sebanyak 0.05 peratus.

Seramai 405 calon pula berjaya memperoleh gred A+ (Cemerlang Tertinggi) bagi semua mata pelajaran yang diduduki.

- BERNAMA
 


Isnin, Februari 24, 2014

Guru tak perlu laksana PBS

Guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sehingga kenyataan mengenainya dibuat Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof dalam kenyataan semalam berkata, pihaknya akan memaklumkan keputusan kajian semula berkenaan setelah Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpuas hati dengan penambahbaikan yang dicadangkan.

Katanya, penambahbaikan itu mengambil kira dapatan kajian terbaharu kementerian, rungutan guru dan mengambil kira pandangan masyarakat termasuk Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM).

“Kementerian mengambil inisiatif meneliti semula pelaksanaannya agar dapat mengurangkan bebanan tugas guru, dengan memfokuskan kepada rombakan perkara yang membabitkan kekerapan guru memasukkan data termasuk pengisian borang perekodan prestasi murid yang boleh membebankan guru,” katanya.

- BERITA HARIAN


Selasa, Januari 07, 2014

Yuran daftar masuk UiTM kekal


Kira-kira 200,000 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dinasihati supaya tidak terpedaya dengan penipuan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan mengenai kononnya yuran pendaftaran universiti itu telah dinaikkan.

Naib Canselor UiTM, Prof. Tan Sri Sahol Hamid Abu Bakar berkata, tiada sebarang kenaikan yuran pendaftaran yang akan dikenakan kepada pelajar semester dua dan ke atas universiti itu di seluruh negara bermula Jun 2014 ini seperti yang didakwa dalam poster tersebut.

Menurut beliau, yuran pendaftaran tetap sama iaitu antara RM300 hingga RM500 setiap pelajar mengikut kos pengajian masing-masing dan bukannya dinaikkan sehingga RM730.

- KOSMO!

Recent Posts