Memaparkan catatan dengan label matematik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label matematik. Papar semua catatan

Jumaat, Julai 16, 2021

Kuasai sifir, jantung Matematik

 

Apabila proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) terjejas akibat COVID-19, antara yang membangkitkan kebimbangan adalah penguasaan sifir dalam kalangan murid.

Hal ini disebabkan sifir ibarat jantung dalam Matematik di peringkat sekolah rendah. Jika ia gagal dikuasai sebaiknya, dibimbangi murid akan berasa fobia dan trauma untuk memahami subjek berkenaan.

Dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), sudah digariskan penguasaan

kemahiran asas sifir harus bermula pada Tahun Dua kerana aplikasi fakta asas kira darab dan bahagi ini juga amat penting dalam menyelesaikan masalah lain dalam Matematik seperti tajuk pecahan, perpuluhan, wang, masa dan waktu, sukatan dan geometri, perkaitan dan algebra serta statistik juga kebarangkalian.

Jika asas sifar ini tidak dikuasai ia dibimbangi menjejaskan penguasaan kemahiran Matematik pada peringkat yang lebih tinggi selain murid akan rasa fobia terhadap subjek itu.

Dalam hal ini, ibu bapa boleh membantu meningkatkan peranan memantapkan penguasaan sifir anak. Antaranya;

1. Terdapat pelbagai jenis platform pembelajaran digital dan buku-buku mengenai kaedah penguasaan sifir yang mudah. Antaranya dalam laman sosial seperti Youtube, terdapat pelbagai cara dan strategi penguasaan sifir boleh dipelajari murid. Ibu bapa hanya memerlukan memantau dan mendorong anak untuk menguasai sifir.

2. Kerjasama guru dan ibu bapa juga penting dalam menyokong penguasaan sifir anak. Ibu bapa boleh dapatkan nasihat dan cadangan guru mengenai perkembangan dan status penguasaan sifir anak untuk dijadikan panduan dalam memantapkan lagi kemahiran murid.

3. Ibu bapa juga haruslah menunjukkan minat untuk membantu anak dalam penguasaan sifir supaya kegelisahan dan ketakutan terhadap Matematik dapat diatasi. Sediakan ruang dan masa yang bersesuaian selain berikan kata-kata pujian apabila mereka berjaya menguasainya. Perhatian dan galakan ibu bapa seperti ini mampu meningkatkan perkembangan pembelajaran bukan sahaja dalam Matematik, sebaliknya dalam mata pelajaran yang lain juga.

4. Satu lagi kaedah adalah dengan bermain. Mungkin ramai yang tidak melihat hubungan bermain dan kanak-kanak. Namun, dalam pendidikan Matematik, permainan juga boleh mewujudkan satu suasana yang selesa dan menyeronokkan untuk belajar menguasai sifir berbanding kaedah tradisional. Misalnya, petak sifir sesuai digunakan di dalam bilik darjah dan dapat membantu murid menguasai sifir.

Sumber dari Berita Harian

Rabu, Disember 09, 2020

Murid Malaysia catat skor tertinggi Matematik, Sains global

 

Malaysia melakar sejarah apabila buat julung kali meraih skor aras tertinggi dalam kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) pada 2019.

Kementerian Pendidikan berkata, ia menunjukkan peningkatan murid negara ini bagi mata pelajaran Matematik dengan memperoleh skor lebih 700 iaitu melebihi aras tertinggi 625.

Uniknya TIMSS tahun lalu memperkenalkan pentaksiran berasaskan komputer, eTIMSS dan pentadbiran kajian secara paperTIMSS sebagai sebahagian proses transisi perbandingan.

“Seramai 65 murid eTIMSS dan 25 murid paperTIMSS catat skor lebih 700 malah pencapaian individu tertinggi eTIMSS ialah 764 dan paperTIMSS ialah 799,” katanya menerusi kenyataan.

Murid Malaysia peroleh aras tertinggi paperTIMSS bagi subjek ini ialah enam peratus dan eTIMSS pula empat peratus, naik tiga peratus bagi paperTIMSS dan satu peratus eTIMSS.

TIMSS dikendalikan International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA) ditubuhkan pada 1958 berpusat di Amsterdam, Belanda dengan disertai lebih 60 negara.

Ia menilai pencapaian murid tingkatan dua dan pentadbiran itu dilaksanakan dari 16 Oktober hingga 1 November 2018 melibatkan 1,560 murid bagi paperTIMSS dan 8,077 bagi eTIMSS.

“Bagi mata pelajaran Sains, buat julung kali seramai 13 murid paperTIMSS dan 23 murid eTIMSS memperoleh skor lebih 700 sejak Malaysia menyertai kajian TIMSS pada 1999,” katanya.

Dari segi peratusan, murid Malaysia raih aras tertinggi itu ialah tiga peratus bagi eTIMSS dan empat peratus bagi paperTIMSS, peningkatan hampir setara berbanding TIMSS pada 2015.

Hasil dapatan kajian global itu akan jadi panduan rangka strategi penambahbaikan pelbagai program dan inisiatif kementerian tersebut dengan mengambil kira pencapaian semasa murid.

Ia melibatkan pelbagai aras, kaedah dan teknik penyampaian guru dalam bilik darjah malah usaha itu dibuat secara holistik dengan kerjasama semua pihak berkepentingan di negara ini.

Laporan antarabangsa TIMSS itu boleh dimuat turun menerusi https://www.iea.nl/studies/iea/tmss manakala laporan kebangsaan TIMSS melalui laman sesawang rasmi kementerian iaitu https://www.moe.gov.my

Sumber : Utusan

Recent Posts