Tak ikhlas hantar anak ke kelas KAFA

 


Bagi kebanyakan murid di Malaysia, setiap hari mereka perlu mengikuti dua sesi persekolahan iaitu aliran kebangsaan dan agama. Sama ada mengikutinya di sekolah kelolaan kerajaan negeri atau swasta, aliran agama dilihat sebagai melengkapi sistem pendidikan kebangsaan.

-ADVERTISEMENT-

Bagaimanapun peperiksaan di sekolah-sekolah aliran agama ini menjadi penting apabila ia menjadi syarat masuk utama ke sekolah menengah aliran serupa.

Sekolah berasrama penuh aliran agama misalnya di bawah kelolaan kerajaan negeri atau persekutuan kebanyakannya meletakkan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan seperti Ujian Penilaian KAFA (UPKK) selain ada juga yang bersandarkan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) atau pelbagai lagi jenis peperiksaan agama negeri sebagai syarat kemasukan.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Mohd Syaubari Othman, berkata KAFA (kelas al-Quran dan fardu ain) berkonsepkan pengukuhan asas Pendidikan Islam dengan memberi penekanan kepada kemahiran membaca al-Quran serta asas fardu ain.

Katanya, sejak tahun 1994, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memperkenalkan UPKK bagi murid Tahun Lima di sekolah aliran agama sebelum pada 2010, ia menjadi antara syarat utama kemasukan pelajar ke sekolah menengah agama persekutuan dan negeri.

"Bagaimanapun tidak semua ibu bapa hantar anak ke aliran agama yang umumnya di sebelah petang. Misalnya, kalau tengok rekod UPKK pada 2019, seramai 8,921 calon tidak mengambil ujian berkenaan.

"Malah ada juga ibu bapa menjadikan kelas KAFA hanya sebagai tempat meninggalkan anak-anak sebelum ibu bapa habis kerja. Jadi sebab itu ada murid yang tidak duduki UPKK," katanya.

Mohd Syaubari berkata, selain itu ada juga pandangan yang menyatakan berlaku pertembungan silibus antara KAFA dan subjek Pendidikan Islam di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Hal ini menjadi sebab kenapa ada ibu bapa tidak menghantar anak mereka mengikut pengajian di sekolah yang melaksanakan pendidikan KAFA.

Tambahnya, tidak kurang juga yang melihat kelas KAFA sebagai bebanan, kerana anak-anak sudah penat bersekolah di aliran kebangsaan pada sebelah pagi, justeru mereka letih secara mental dan fizikal menyebabkan ibu bapa enggan memasukkan anak-anak ke sekolah agama.

Justeru tegas beliau, ibu bapa sebenarnya perlu lebih faham dan cakna bagaimana fungsi dan peranan sekolah aliran agama bagi melihat perbezaan dan hala tuju yang ditetapkan dalam subjek Pendidikan Islam di sekolah aliran kebangsaan.

"Dalam hal ini subjek Pendidikan Islam menekankan elemen kefahaman, pengamalan dan menjadikannya tabiat. Namun pengukuhan dan pemerkasaan itu akan lebih mantap menerusi KAFA.

"Apa yang dipelajari di sekolah kebangsaan, ia akan diperkasakan dan kesinambungannya ada menerusi KAFA," katanya.

Mohd Syaubari berkata, disebabkan sekolah aliran agama dikelolakan oleh kerajaan negeri, setiap satunya berbeza. Misalnya, peperiksaan seumpama itu di Selangor dikenali sebagai PSRA, di Johor ia disebut sebagai Sijil Darjah Enam Agama (SDEA), Perak (Ujian Sijil Rendah Agama Islam Negeri Perak (SRAI) dan di Wilayah Persekutuan dikenali Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA).

Jika UPKK diduduki oleh murid Tahun Lima, kebanyakan peperiksaan yang lain diambil oleh mereka di Tahun Enam.

Dalam hal ini Mohd Syaubari berkata, JAKIM dan pihak jabatan agama Islam di setiap negeri mungkin perlu menyeragamkan semua jenis peperiksaan berkenaan.

"Jika semua jenis peperiksaan dan ujian ini distruktur dengan menggunakan nama yang sama, ia akan menjadikan pengurusan peperiksaan bagi sekolah agama rakyat lebih tersusun dan berstruktur.

"Malah mungkin JAKIM dan jabatan agama negeri boleh membuat penilaian dalam bentuk baharu jika mahu melahirkan generasi kreatif dan inovatif dalam bidang pendidikan agama sama seperti yang dilaksanakan oleh oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)," katanya.

Hal ini tegas beliau, bagi memastikan kefahaman agama ini dapat dibentuk secara menyeluruh dan berterusan seiring cadangan beberapa pihak termasuk ahli akademik supaya sistem pendidikan tidak lagi berfokuskan kepada sistem peperiksaan, sebaliknya menumpukan kepada penerokaan bakat, pembangunan karakter dan keupayaan kreativiti murid yang perlu diberikan pertimbangan serius.

Justeru katanya, ia juga boleh menanamkan kesedaran kepada segelintir ibu bapa mengenai kepentingan peranan sekolah KAFA dalam membentuk generasi muda berpengetahuan agama.

Sementara itu JAKIM ketika dihubungi berkata, pengajian aliran agama KAFA adalah berasaskan kurikulum yang ditetapkannya termasuk buku teks, peperiksaan serta jadual atau waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Jurucakapnya berkata, tenaga pengajarnya adalah guru KAFA yang elaunnya dibayar menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan melalui JAKIM, manakala pemantauan pelaksanaannya dikelolakan oleh penyelia yang dilantik.

"Objektif pelaksanaan KAFA adalah supaya kanak-kanak Islam yang berusia tujuh hingga 12 tahun di negara ini dapat menguasai bacaan, tajwid, asas hafazan al-Quran, ilmu akidah, ibadah, sirah, akhlak, kemahiran asas Bahasa Arab dan jawi dengan baik.

"Justeru pembukaan kelas KAFA tidak terhad di sekolah agama rakyat atau sekolah kebangsaan sebaliknya mana-mana pihak boleh mengemukakan permohonan bagi mengadakan kelas KAFA mengikut syarat dan peraturan ditetapkan JAKIM,"katanya

Sebelum ini, ketika mengulas keputusan UPKK yang diumumkan baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata seramai 230,587 murid Tahun lima menduduki peperiksaan itu dengan 28,531 memperoleh keputusan cemerlang dengan A bagi semua subjek.

Beliau bagaimanapun, ketika mengulas pencapaian itu, kemenjadian murid bukan diukur kepada jumlah bilangan A yang diperoleh tetapi melalui amalan dan cara hidup Islam yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan.

"Harapan kami ialah supaya murid yang mengikuti kelas KAFA ini akan menjadi tonggak dan permata yang akan menyemarakkan lagi syiar Islam pada masa akan datang," katanya.

Justeru tegasnya, ibu bapa atau penjaga perlu memastikan anak jagaan mereka menghadiri kelas KAFA yang sangat bermanfaat dalam pembentukan sahsiah diri seawal usia.

Sumber : Berita Harian

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.