Memaparkan catatan dengan label pt3. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pt3. Papar semua catatan

Selasa, Ogos 09, 2022

UPSR, PT3 tidak akan diadakan semula

 


Kementerian Pendidikan (KPM) kekal dengan pendiriannya memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) walaupun terdapat permintaan daripada ibu bapa yang mahu ia dilaksanakan semula.

Timbalan Menteri Pendidikan ll, Datuk Mohamad Alamin, berkata

UPSR dan PT3 dimansuhkan kerana KPM mahu melahirkan modal insan yang mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang dan tidak terhad dalam bidang akademik sahaja.

Beliau berkata, perkara itu sudah diputuskan sebelum ini dan pihaknya berulang kali memberikan penerangan kepada masyarakat serta ibu bapa berkaitan dengan pemansuhan dua peperiksaan berkenaan.

Katanya, keputusan itu dilakukan kerana KPM mahu mengambil pendekatan yang lebih inklusif dan tidak mahu pelajar berkenaan hanya bergantung kepada peperiksaan semata-mata.

"Kita sudah putuskan untuk hapuskan kerana mahu jadikan dan lahirkan modal insan yang berkebolehan dalam banyak bidang lain, bukannya soal akademik semata-mata.

"Kita mahu Malaysia ini bergerak sebagai sebuah negara yang lebih maju, (maka) kita ingin bekalkan negara dengan modal insan yang mempunyai kepakaran pelbagai, bukan hanya dalam bidang akademik tetapi bidang lain juga.

"KPM tidak akan lahirkan modal insan yang hanya berorientasikan peperiksaan, itu tujuan utamanya. Percayalah kita akan bantu negara untuk lahirkan modal insan yang lebih berkebolehan, bukan hanya akademik sahaja," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Program Pegawai Intergiriti Bertauliah (CEIO) Siri 31, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan semakin ramai ibu bapa yang menuntut supaya UPSR dan PT3 dikembalikan dalam sistem pendidikan negara kerana berpendapat KPM masih belum bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sebagai pendekatan tunggal kepada sistem penilaian di sekolah.

Perkara itu disebabkan tiga prasyarat utama PBD masih belum dipenuhi hingga kini sekali gus menambah keresahan ibu bapa terhadap keberkesanan pendekatan baharu berkenaan.

Tiga prasyarat itu ialah bilangan murid yang ideal antara 20 hingga 25 orang dalam kelas bagi memudahkan guru memantau dan menilai; kedua ialah sukatan pelajaran yang tidak terlalu padat bagi memberi laluan kepada pelbagai aktiviti di dalam kelas dan syarat ketiga ialah guru perlu diberikan autonomi sepenuhnya untuk mentaksir murid.

Pada 28 April tahun lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan UPSR dimansuhkan sepenuhnya manakala pada tahun yang sama PT3 turut dibatalkan.

Selaras dengan pemansuhan berkenaan, Radzi berkata, pihaknya akan melaksanakan PBD untuk mengukur pencapaian murid dan pelajar terbabit.

UPSR mula diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul manakala PT3 dilaksanakan sejak 2014 bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Sementara itu, dalam ucapannya sempena majlis berkenaan, Mohamad meminta guru KPM supaya menggunakan media sosial dengan sewajarnya kerana secara tidak langsung mereka membawa imej kementerian kepada umum.

Beliau berkata, KPM sudah mengeluarkan Garis Panduan dan Etika Penggunaan Media Sosial bagi Guru dan Murid pada Januari 2017, untuk menerangkan tatacara, peraturan serta kawalan kandungan media sosial yang perlu dipatuhi oleh guru dan murid supaya penyebaran dan perkongsian maklumat terkawal, selain tidak menjejaskan kepentingan perkhidmatan awam juga kedaulatan negara.

"Dokumen ini dengan jelas menyatakan perkara yang dilarang dilakukan oleh guru dan murid ketika menggunakan media sosial antaranya membuat sebarang penyataan menyentuh perkara yang boleh menjejaskan imej dan dasar kerajaan.

"Sebenarnya kementerian sudah selangkah ke hadapan untuk mengawal risiko penggunaan media sosial dengan mewujudkan dokumen ini. Oleh itu, perlu untuk setiap warga kementerian, ibu bapa dan murid sekolah cakna akan kewujudan dan garis panduan ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) Datuk Idris Zaharudin dalam ucapannya pula berkata KPM adalah kementerian pertama yang melaksanakan program CeIO secara 'in house' bersama MACA membabitkan 57 pegawai kanan.

"Ini menunjukkan KPM komited dalam memartabatkan nilai integriti khususnya pada warga KPM. Program CeIO ini dilihat selari dengan visi dan misi KPM untuk membangunkan potensi individu bagi melahirkan insan terdidik," katanya.

Sumber : Berita Harian

Khamis, Jun 02, 2022

Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dimansuh

 


Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin hari ini mengumumkan pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), pada tahun ini.

Sebaliknya, beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil pendekatan untuk memperkasakan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) melalui Ujian Akhir Sesi Akademik.

Katanya, biarpun kini tiada peperiksaan pentaksiran Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan PT3, penguasaan dan pencapaian murid boleh diukur melalui pentaksiran secara sumatif yang dijalankan pada akhir tahun, bermula tahun ini.

Beliau berkata, keputusan memansuhkan sistem penilaian akademik yang diguna pakai sejak 2014 itu bertujuan untuk membina kemenjadian dan kompetensi murid, selain memberi ruang untuk melaksana intervensi terhadap murid yang didapati ketinggalan serta tidak mendapat tahap penguasaan sepatutnya.

"Pentaksiran sumatif adalah pentaksiran yang dibuat pada akhir tempoh atau sesi akademik.

"Kita sudah biasa laksanakan di sekolah, khususnya melalui ujian akhir tahun atau pertengahan penggal," katanya pada Sidang Media Khas di kementeriannya, petang ini.

Menegaskan keputusan itu bukan bersifat menggantikan UPSR dan PT3, Radzi berkata, ia sebaliknya membolehkan pentaksiran terhadap penguasaan murid dilakukan setiap tahun.

Kedua-dua pentaksiran UPSR dan PT3 tidak dijalankan pada 2020 dan 2021.

Beliau berkata, sebelum ini, apabila tiada peperiksaan UPSR dan PT3, setiap sekolah dikatakan menyediakan soalan berbeza-beza menimbulkan rungutan bahawa ada sekolah menyediakan soalan yang kompleks manakala ada sekolah yang menyediakan soalan yang udah.

"Ini bukan untuk menggantikan UPSR dan PT3, cuma kita nak isi kekosongan, apabila kita terima banyak pandangan ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah, mengenai tidak ada satu piawaian soalan yang boleh digunakan dan dipercayai," katanya.

Beliau berkata, ketika UPSR dan PT3 digunakan untuk mentaksir penguasaan murid, ia akan turut memasukkan apa yang dipelajari pada tahun sebelumnya.

Katanya, bermula tahun ini, sekolah rendah dan menengah akan melaksanakan Pentaksiran Sumatif melalui Ujian Akhir Sesi Akademik, dengan bank soalan akan disediakan KPM.

Radzi, berkata ujian itu akan membabitkan murid Tahun Empat, Lima dan Enam bagi sekolah rendah serta Tingkatan Satu, Dua dan Tiga bagi sekolah menengah.

Untuk tujuan itu, katanya, KPM akan menyediakan bank soalan bagi lima mata pelajaran untuk murid sekolah rendah iaitu bagi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah, manakala soalan mata pelajaran lain akan disediakan guru.

Bagi sekolah menengah, Radzi memaklumkan, KPM akan menyediakan bank soalan untuk semua mata pelajaran.

"Jika kita lihat, apabila bercakap UPSR dan PT3, ini adalah pentaksiran sumatif, bukan hanya pada tahun itu tapi tahun-tahun sebelumnya.

"Ia bukan hanya menilai silibus pada Tingkatan Tiga saja (bagi PT3) tapi turut menilai pembelajaran bagi Tingkatan Satu dan Dua. Jadi, murid sudah lama tinggalkan dan pada Tingkatan Tiga, mereka rasa gugup (untuk berdepan PT3).

"Justeru, dalam pendekatan baharu yang kita perkenalkan ini, kita akan laksanakan penilaian mengikut tahun dan tingkatan," katanya.

Pada masa sama, pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PDB) yang juga antara komponen PBS akan dilaksanakan secara lebih menyeluruh.

Beliau berkata, ia akan dilaksanakan dua kali setahun iaitu bermula tahun ini untuk PBD akhir tahun manakala bagi pertengahan sesi ia akan dimulakan pada sesi 2023-2024, tahun depan.

Katanya, melalui pelaporan itu ia merangkumi diskriptor bagi tahap penguasaan lebih komprehensif dan jelas; penilaian tahap usaha murid dalam pembelajaran; ulasan guru kelas dan guru mata pelajaran serta cadangan intervensi bagi murid yang tidak mencapai tahap penguasaan minimum.

Sumber : Berita Harian

Khamis, Ogos 27, 2020

KPM tiada kaitan pelaksanaan UPSR, PT3 2020 secara online

Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan maklumat yang tular berkaitan pelaksanaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) secara dalam talian yang dikatakan akan diadakan pada September dan Oktober depan.

Melalui kenyataan media, KPM menegaskan kedua-dua peperiksaan itu bukan di bawah kendalian Lembaga Peperiksaan dan tiada kaitan dengan pihaknya.

"Pada 15 April lalu, KPM mengumumkan bahawa UPSR dan PT3 bagi tahun ini dibatalkan. Bagaimanapun, KPM mendapati sebuah portal menawarkan kedua-dua peperiksaan itu yang akan diadakan secara dalam talian pada bulan September dan Oktober 2020.

"KPM memandang serius perkara ini kerana melanggar Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Untuk makluman, KPM mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak terbabit," katanya.

Sehubungan itu, KPM menasihatkan agar orang ramai, terutama ibu bapa kepada murid Tahun 6 dan Tingkatan 3 supaya merujuk portal rasmi KPM di http://www.moe.gov.my/ dan portal Lembaga Peperiksaan di http://lp.moe.gov.my/ bagi mendapatkan maklumat tepat dan sahih mengenai peperiksaan dilaksanakan kementerian.

Sumber : Berita Harian