Rabu, Januari 21, 2009

Misi kemanusiaan Mercy Malaysia di Gaza

MERCY Malaysia dikenali sebagai badan sukarela antarabangsa dalam memberi bantuan kemanusiaan. Bagaimana ia memulakan operasi bantuan sebaik Israel menggempur Semenanjung Gaza 27 Disember lalu?

Mercy Malaysia adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada 1999 dengan fokus utama memberi bantuan kemanusiaan. Mercy Malaysia sudah bertindak sebagai badan bantuan kemanusiaan antarabangsa serta bertindak mengikut piawaian antarabangsa. Tujuan penubuhan ialah memberi tindak balas apabila berlaku krisis dan bencana dengan secepat mungkin iaitu antara 48 hingga 72 jam daripada bermula sesuatu krisis. Dalam kes di Gaza ini, pengeboman tentera Israel secara besar-besaran ke atas rakyat Palestin berlaku pada 27 Disember lalu. Maka Mercy Malaysia mengaktifkan mekanismenya pada 30 Disember lalu dengan menghantar pasukan pertama ke sempadan Gaza bagi menepati mandat dalam tempoh itu. Bantuan kepada rakyat Palestin dianggap perlu bagi memberi pertolongan kecemasan di wilayah berkonflik.

Apabila berlaku konflik itu, apakah tindakan pertama dirancang Mercy Malaysia dalam memenuhi misinya memberi bantuan kemanusiaan?

Dalam isu di Gaza ini, Mercy Malaysia mengambil sedikit masa iaitu antara antara 24 hingga 72 jam pertama untuk menganalisis dan mekanisme perancangan sebelum menghantar pasukan di Palestin. Pasukan pertama dianggotai Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Jemilah Mahmood; Ahli Majlis Eksekutif, Nor Azam Ab Samah dan Pegawai Program, Muhammad Fitri Muhammad Hashim, yang diberi mandat membuat penilaian dan memulakan operasi bantuan serta mengenal pasti apakah keperluan segera di sana. Mereka berada selama 10 hari di sana. Dua ahli dari Malaysia dan diperkuatkan seorang sukarelawan Malaysia yang sudah beroperasi di Sudan dan Kaherah. Selepas penilaian dibuat, didapati ada keperluan sangat tinggi dari segi bantuan perubatan berikutan ramai mangsa tercedera khususnya wanita dan kanak-kanak.

Bagaimana keadaan di Gaza sebaik pasukan bantuan kemanusiaan Mercy Malaysia tiba di sempadan Semenanjung berkenaan?

Berdasarkan penilaian pertama, kita mendapati kebanyakan hospital kekurangan banyak peralatan perubatan dan ubat-ubatan. Malah, sebelum peperangan memang keadaan hospital di Gaza serba kekurangan dari segi peralatan, perkakasan dan ubat-ubatan. Fungsi hospital tidak sempurna akibat pengepungan Israel dan sekatan dikenakan ke atas Gaza. Keadaan menjadi semakin teruk dan keperluan perubatan meningkat mendadak termasuk tenaga pakar dalam pelbagai bidang pembedahan disebabkan kecederaan dahsyat dialami. Malah, ramai pakar perubatan dan paramedik di Palestin bekerja melebihi masa serta bekerja berterusan, sesetengahnya 24 jam sehari dengan rehat yang minimum. Mereka keletihan dan mungkin boleh berfungsi dengan optimum. Keperluan tenaga pakar dari luar negara untuk menggantikan tugas mereka selain memberi bantuan berkaitan adalah amat tinggi. Oleh itu, kita juga berharap supaya dapat menghantar pasukan pembedahan secepat mungkin sejurus diberi kebenaran masuk dan menyediakan pelan mengeluarkan mereka dari Gaza jika keadaan memaksa. Dalam misi pertama ini, kita tidak membawa bekalan perubatan dari Malaysia, tetapi membeli bekalan perubatan di sana. Pasukan pertama membuka saluran logistik untuk menghantar bekalan ke Gaza melalui persimpangan Rafah. Bekalan pertama bernilai AS$100,000 (RM300,000) iaitu 50 tan bantuan kecemasan meliputi ubat-ubatan, alat perubatan pakai buang dan set pembedahan.

Apa tindakan seterusnya pasukan Mercy Malaysia?

Kita hantar dua lagi sukarelawan dari Malaysia, iaitu Mohammad Said Alhudzari Ibrahim dan Syed Zahid Syed Mohamad dan mereka menghantar bekalan tambahan bernilai AS$70,000 (RM254,000). Pasukan kedua berada di sana sejak 8 Januari dan sehingga ini masih berada di sana bagi menggantikan pasukan pertama yang pulang ke Malaysia untuk memberi maklumat. Malah, kita juga sudah menghantar pasukan ketiga, iaitu Dr Mohamed Ikram Mohamed Salleh dan Dr Al-Amin Mohamad Daud, yang bertolak pada 14 Januari lalu untuk membantu pasukan kedua dalam menentu dan memilih bahan alat perubatan penting untuk dibekalkan. Mereka diberi tugas menyelia pembelian empat ambulans untuk dihantar ke Gaza dan dilengkapi peralatan yang baik. Ketika ini ada 30 ambulans di Gaza sedangkan mereka memerlukan 40 ambulans selepas banyak ambulans musnah dibedil Israel. Oleh itu, tugas mereka juga menjadi pasukan peninjau sejauh mana pasukan perubatan dari Malaysia boleh memasuki Gaza. Kita juga sudah bersiap sedia untuk menghantar 20 doktor kebanyakannya pakar pembedahan sebaik saja pasukan peninjau itu berjaya memberi maklum balas positif serta mendapat kebenaran memasuki Gaza.

Apa rintangan dihadapi Mercy Malaysia serta badan sukarelawan negara asing yang ingin menghulurkan bantuan kemanusiaan di sana?

Halangan utama dari segi keselamatan. Malah bandar Rafah, di sempadan Gaza dibom tentera Israel. Keselamatan anggota adalah perkara utama dan tidak mahu anggota kita menghadapi risiko tinggi. Halangan lain dari segi proses untuk memasuki Gaza yang perlu mendapat kebenaran dan tapisan daripada beberapa pihak berkuasa di sana. Sebelum peperangan juga memang saringan ketat dikenakan untuk memasuki Palestin. Bagaimanapun, ada pasukan perubatan negara Arab khususnya Mesir iaitu seramai 11 orang berjaya masuk dari sempadan Rafah dan sekumpulan doktor perubatan Eropah (Norway) dibenarkan masuk melalui persimpangan Gaza dan Israel, selain Pasukan Bulan Sabit Merah Antarabangsa. Laporan akhir juga ada pasukan sukarelawan antarabangsa berjaya masuk, tetapi kita tidak pasti jumlahnya.

Sejauh mana kerjasama diberikan pihak berkaitan termasuk badan sukarelawan antarabangsa?

Sekarang kita mendapat kerjasama yang baik daripada Kedutaan Malaysia yang membantu menghantar pasukan perubatan, bekalan peralatan dan kelengkapan perubatan. Setakat ini tidak ada halangan besar daripada pihak lain. Mercy Malaysia bekerjasama dengan Kesatuan Perubatan Arab, Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir, Kementerian Kesihatan Palestin dan Hospital Al-Ahli Arab. Mereka membantu menghantar bantuan bekalan perubatan ke pusat perubatan di Palestin sepanjang waktu kecemasan itu. Selepas gencatan senjata dan perhubungan infrastruktur dan komunikasi yang lebih baik, Mercy Malaysia sudah ada kerjasama dengan sukarelawan antarabangsa seperti Pertubuhan Perubatan Palestin dan Save The Children, United Kingdom serta beberapa pertubuhan sukarelawan antarabangsa lain.

Apakah pelan perancangan membantu rakyat Palestin secara keseluruhan selepas tamat peperangan seperti yang pernah dilakukan dalam konflik berkaitan di negara lain?

Untuk Gaza, Mercy Malaysia sudah merangka strategi dalam tiga fasa. Pertama, fasa kecemasan, iaitu selama mana perang berterusan dan itu yang sedang dihadapi sekarang. Setakat ini, dalam fasa kecemasan ini, kita sudah membelanjakan sebanyak AS$300,000 (RM1.5 juta) dan menjangkakan membelanjakan sekurang-kurangnya AS$200,000 lagi diperlukan atau jumlah keseluruhan untuk perubatan sebanyak saja mencecah AS$500,000 dan ia tidak termasuk pembelian ambulans dan Bank Darah Bergerak yang akan meningkat kepada AS$900,000 (RM3.15 juta). Fasa kedua, sejurus selepas gencatan senjata dicapai, masih lagi dikatakan fasa kecemasan dari segi kemanusiaan walaupun perang sudah berhenti. Oleh itu, modus operandi dan bantuan kita banyak mirip kepada bantuan kecemasan berikutan masalah komunikasi dan perhubungan serta bekalan makanan, air dan perubatan masih kekurangan. Fasa kedua, kita membelanjakan AS$250,000 (RM875,000) (jika dapat dana lebih dari Malaysia), kita memberi bantuan yang lebih. Fasa ketiga, ialah berkaitan pemulihan iaitu perancangan jangka pendek dan panjang. Justeru, kita akan merancang membantu memulih dan menambah baik peralatan perubatan yang rosak akibat peperangan itu, keperluan program psikologi sosial, pembangunan kapasiti modal insan, program latihan khusus dalam bidang perubatan (pembedahan, trauma dan sebagainya). Peruntukkan awal ialah sebanyak AS$250,000 (RM875,00).

Setakat ini, berapa dana dan sumbangan diterima daripada kerajaan dan rakyat kepada Mercy Malaysia untuk membantu rakyat Palestin?

Mercy berbesar hati dan berterima kasih dengan sumbangan RM1 juta daripada kerajaan, Petronas AS$300,000 (RM1.5 juta) serta pihak lain. Sehingga ini, kira-kira RM5.5 juta dikumpulkan. Kita masih perlu lagi sumbangan untuk diberikan secara optimum bagi memulihkan Palestin, akibat peperangan di Semenanjung Gaza.

Setiap krisis yang berlaku, Mercy lazimnya akan menerima sumbangan daripada badan korporat, NGO dan orang ramai untuk membantu mangsa bencana dan krisis tertentu. Selain itu Mercy Malaysia mempunyai Tabung Kemanusiaan Umum yang mana orang ramai boleh menyalur derma menerusi cek kepada CIMB (nombor akaun 14240006561053 atau Maybank (562179504126) atas nama Bantuan Kemanusiaan Mercy Malaysia atau hubungi kami 03-22733999 atau layari www.mercy.org.my

- Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.