Ahad, Januari 18, 2009

Gencatan senjata Israel

Israel bersiap sedia untuk melaksanakan gencatan senjata sebelah pihak tetapi menegaskan tidak akan berundur dari Semenanjung Gaza selepas 22 hari membedil wilayah Palestin dan membunuh 1,199 orang, termasuk 410 kanak-kanak serta mencederakan 5,300 orang.

Bagaimanapun Hamas yang menguasai Gaza, menegaskan kumpulan itu akan terus menyerang Israel selagi tentera rejim Zionis itu meneruskan pencerobohan di wilayah Palestin.

Hasrat Tel Aviv itu dibuat selepas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) lewat kelmarin bersetuju mendesak pelaksanaan gencatan senjata segera dan berpanjangan serta pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Gaza.

Bagaimanapun, badan dunia itu menolak deraf lebih keras terhadap rejim Zionis berkenaan yang dikemukakan sebilangan negara termasuk Malaysia, Indonesia, Ecuador, Venezuela, Iran, Syria dan Nicaragua.

Kabinet Keselamatan Perdana Menteri Israel Ehud Olmert mengadakan mesyuarat lewat petang semalam berhubung gencatan senjata yang dicadangkan Mesir.

Mengikut gencatan senjata itu, Israel merancang menghentikan bedilan selama 10 hari tetapi mengekalkan kehadiran tenteranya di Gaza.

Pintu masuk ke wilayah itu yang bersempadan dengan wilayah dicerobohi Israel dan Mesir akan terus ditutup sehingga peraturan keselamatan diwujudkan atas alasan mahu menghalang penyeludupan senjata ke Gaza.

Mesir yang dibantu pasukan keselamatan antarabangsa juga akan menutup semula laluan penyeludupan senjata dan memulakan rundingan membuka pintu masuk pada masa yang akan ditentukan kemudian.

Radio Israel melaporkan, sidang kemuncak gencatan senjata yang akan diadakan di Kaherah hari ini akan dihadiri Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan pemimpin Israel.

Sementara itu, pegawai Hamas Osama Hemdan berkata kumpulan itu akan terus memerangi tentera Israel selagi ia tidak berundur.

"Kami tidak melihat mereka akan berundur di bawah gencatan senjata sebelah pihak ini.

"Selagi ia kekal di Gaza, pemberontakan dan serangan kami akan diteruskan," katanya.

Dalam pertempuran semalam Israel meneruskan serangannya ke atas Gaza, termasuk membedil sebuah sekolah PBB yang meragut nyawa dua kanak-kanak lelaki.

- AFP / Reuters

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.