Rabu, Januari 21, 2009

Sumbangan material lebih bermakna untuk Palestin

Sebagaimana reaksi Setiausaha Gabungan Badan NGO Malaysia, Mohd. Jurit Ramli yang hanya sekadar mampu menggelengkan kepala apabila kempen memboikot barangan Amerika Syarikat (AS) seolah-olah tidak dihiraukan masyarakat di negara ini, sebagai warga yang prihatin, kita semua turut merasakan bahawa matlamat kempen tersebut hanya akan tinggal agenda semata-mata.

Rakyat kita sudah terbiasa menjadikan waktu makan di luar terutama di restoran makanan segera sebagai trend hidup. Situasi ini sudah pasti menyebabkan rasa simpati akan hilang dalam sekelip mata apabila sudah berada di dalam restoran berkenaan, lebih-lebih lagi ketika rasa lapar mula menjengah.

Antara simpati yang melimpah terhadap mangsa kekejaman rejim Zionis dan kelaziman makan di premis seperti itu, adalah dua perkara berbeza.

Rakyat Malaysia barangkali bukannya menolak secara total kempen memboikot barangan berjenama AS dan Israel ini. Tetapi, mereka tidak nampak kesan yang dapat dilihat daripada kempen yang mendapat sambutan dingin itu.

Keprihatinan rakyat di Malaysia terhadap penderitaan yang ditanggung rakyat Palestin lebih mudah dijelmakan dengan pelbagai cara lain sebenarnya.

Paling mudah adalah menyertai mana-mana demonstrasi anjuran banyak NGO yang prihatin, selain mengadakan majlis amal untuk mengutip derma kepada Palestin.

Pada pendapat penulis, sumbangan dalam bentuk material terutamanya wang adalah lebih cekap, tepat dan bermakna pada waktu mereka terlalu mengharapkan bantuan luar ini.

Sumbangan boleh disalurkan terus kepada rakyat Palestin sama ada dalam bentuk pembelian ubatan, keperluan makanan dan pakaian.

Kita bukannya menolak kempen memboikot barangan AS dan Israel secara total, tetapi itulah realitinya. Kerajaan sendiri tidak boleh membuat keputusan mendadak membatalkan pembelian semua barangan Amerika dan sekutunya, termasuklah alatan senjata sebagaimana saranan mantan PM, Tun Dr. Mahathir.

Jika kempen memboikot itu berjaya sekalipun, kesannya mungkin hanya dirasai oleh mereka yang terlibat secara langsung dalam perniagaan francais dan pengimport yang ada di negara kita sahaja, bukannya kerajaan Amerika.

Keperluan kepada bahan asas yang amat kritikal bagi mangsa kekejaman zionis seperti ubatan di hospital, sumber makanan dan minuman yang mencukupi dan pakaian perlulah diutamakan.

Pada saat mereka kembali ke kediaman yang telah hancur dan hilang segala-galanya, tiada apa yang mereka harapkan selain memerlukan keperluan asas tersebut bagi meneruskan sisa hidup.

Sumbangan material ini juga sekurang-kurangnya dapat mengubati kesedihan mereka yang telah kehilangan ramai ahli keluarga termasuk yang cedera.

Sebagai rakyat yang begitu prihatin terhadap nasib mereka, dengan mudah boleh menyalurkan sumbangan sama ada menerusi tabung bantuan yang dianjurkan oleh media ataupun melalui tabung bantuan di masjid-masjid, pasar raya dan di tempat tumpuan awam.

Usah kita biarkan mereka hilang segala-galanya. Ahli keluarga yang cedera sekurang-kurangnya akan panjang hayat dengan bantuan ubatan. Begitu juga dengan bekalan makanan yang akan dapat membantu mereka meneruskan kehidupan tanpa perlu berlapar.

Seluruh penduduk di negara ini khasnya dan di seluruh dunia amnya akan merasa puas hati, lega dan boleh tersenyum melihat sedikit sumbangan mereka kepada penduduk Palestin.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.