Isnin, Januari 26, 2009

Pakar Mercy nilai kerosakan hospital Gaza

Lapan pakar perubatan dari pasukan Mercy Malaysia kini ditempatkan di Hospital Shahid Annajar, Genting Gaza bagi menjalankan penilaian dan membuat cadangan mengenai kerosakan di hospital itu.

Timbalan Presiden (Perubatan) Mercy Malaysia, Dr. Ahmad Faizal Perdaus berkata, pasukan terbabit mendapati infrastruktur kesihatan dan kemudahan di hospital itu dan Rafah rosak teruk akibat serangan Israel baru-baru ini.

"Pakar perubatan ini mencadangkan beberapa projek yang boleh dijalankan oleh Mercy Malaysia di hospital terbabit bagi membantu menangani kerosakan.

"Kami mengenal pasti beberapa langkah yang boleh diambil ke atas hospital ini termasuk membaiki bangunan dan kelengkapan unit pemulihan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, pakar perubatan terbabit mencadangkan Mercy Malaysia menyokong dan membantu penduduk yang kehilangan rumah dan kini menginap di khemah.

Dr. Ahmad Faizal berkata, selain menilai dan membuat cadangan tentang keperluan di hospital terbabit, pasukan itu juga perlu menjalankan tugas merawat pesakit di sana mengikut kepakaran masing-masing.

Sebelum ini, katanya, enam pakar perubatan dari Mercy Malaysia dihantar ke Al-Arish, Mesir bagi menjalankan misi bantuan kemanusiaan di Gaza termasuk membekalkan perubatan.

"Ketika ini, pasukan kami di Gaza bekerja keras bagi memastikan bagaimana kami boleh membantu serta menjalankan perancangan selepas ini," katanya.

Pada masa sama, jelasnya, Mercy Malaysia sudah menghantar bekalan ubat bernilai AS$400,000 ke Gaza termasuk agen ubat pelali, rumusan antibiotik intravena, penahan sakit dan peralatan pembedahan serta perubatan.

"Mercy Malaysia dapat membantu penduduk Gaza ini menerusi dana yang disumbangkan rakyat Malaysia," tambahnya.

Rakyat Malaysia, katanya, diharap terus memberi bantuan kewangan kepada penduduk di Gaza melalui Dana Bantuan Palestin.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan kepada Mercy Malaysia menerusi akaun CIMB 1424-000-6561053 manakala bagi Maybank 5621-7950-4126. Semua cek hendaklah ditulis Dana Bantuan Palestin di belakangnya.

- Utusan

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.