Rabu, Januari 28, 2009

Trauma kanak-kanak Gaza

Puluhan kanak-kanak Palestin duduk berselimutkan kain berwarna-warni sambil melukis dan dikelilingi oleh persekitaran bukit-bukit timbunan runtuhan rumah mereka.

Mereka melukis kereta kebal Israel, mayat yang bergelimpangan di jalanan serta pejuang Palestin yang sedang menembak bagi menggambarkan suasana kejadian yang mereka lihat semasa serangan baru-baru ini oleh tentera Israel.

Seorang daripada kanak-kanak berkenaan, Sharif Abdel Rabbo, 11, berkata, "kami rasa seperti akan mati tidak lama lagi. Saya sedih kerana telah kehilangan rumah kediaman."

Ahli psikologi berkata, serangan selama tiga minggu oleh tentera Israel mengakibatkan lebih banyak kesan trauma berbanding konflik sebelum ini di Gaza kerana mereka tidak mempunyai tempat untuk lari menyelamatkan diri.

Kaunselor dan pekerja bantuan khuatir kanak-kanak Gaza yang merupakan 56 peratus daripada 1.4 juta penduduk akan membesar dengan perasaan benci terhadap Israel dan mudah menjadi mangsa kumpulan pelampau.

"Kami kehilangan generasi seterusnya," kata pegawai tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, John Ging di Gaza.

Bagi menentang pergerakan militan, sekolah PPB melancarkan kelas hak asasi manusia kepada 200,000 pelajar mereka minggu ini.

Di Gaza, Pusat Hak Asasi Manusia rakyat Palestin melaporkan seramai 280 kanak-kanak daripada 1,285 terbunuh sementara lebih 4,000 lagi cedera ringan.

Seorang kanak-kanak yang berlindung di sekolah PBB, Ansam Rahel, 10, terpaksa menerima jahitan besar di kepala selepas terkena serpihan bom tentera Israel yang menyerang sekolah berkenaan.

Abu Hein yang merupakan ahli psikologi yang menguruskan pusat komuniti kesihatan di Gaza City berkata, kumpulannya telah menemuramah 950 keluarga dan di antara mereka terdapat 2,180 kanak-kanak di pusat perlindungan PBB seluruh Genting Gaza.

Kebanyakan keluarga memberitahu anak-anak mereka tidak mahu berjauhan dengan mereka dan satu pertiga pula menyatakan mereka mahu tidur bersama dalam satu bilik.

Sejak gencatan senjata minggu lalu, pusat Abu Hein dan kumpulan pertolongan telah menghantar pasukan mereka ke kawasan-kawasan yang musnah untuk memberi kaunseling kepada kanak-kanak.

- AP

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.